Ikuti Blog ini

Guan Eng: Rais Yatim harus hentikan permainan yang bahaya

Siri pembohongan yang berniat jahat dan menyerang peribadi saya diteruskan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Rais Yatim yang mendakwa bahawa sebuah majlis rasmi yang dihadiri Rais di Pulau Pinang telah meminggirkan Bahasa Malaysia. Rais jelas tidak dapat membezakan antara salah dan betul. Pertamanya, Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang hak dalam majlis yang dianjurkan oleh agensi swasta, dan di samping itu, beliau enggan mengakui bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang turut bertutur dalam Bahasa Malaysia.

Rais (gambar kiri) pada mulanya berbohong bahawa hanya beliau seorang sahaja bercakap Bahasa Malaysia pada majlis makan malam di Kolej Han Chiang pada 29 September 2011 ketika beliau hadir mewakili Perdana Menteri Najib Tun Razak. Dakwaannya adalah tidak benar kerana saya juga turut bertutur dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin. Rais juga turut berucap beberapa patah dalam Bahasa Mandarin. Mengapa Rais cuba menggambarkan dirinya seorang sahaja pejuang Bahasa Malaysia dengan menafikan bahawa saya turut bertutur dalam Bahasa Malaysia?

Rais telah salah menilai majlis anjuran Han Chiang sebagai majlis Kerajaan Negeri Pulau Pinang apabila majlis tersebut merupakan anjuran kolej swasta. Jelas sekali orang yang ingin menutup pembohongan akan terpaksa berbohong lagi. Daripada mengakui kesilapan yang mengatakan bahawa majlis anjuran Han Chiang bukan merupakan majlis kerajaan negeri, Rais terus menyerang Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan menyuruh supaya saya menasihati konco-konco (pengikut) di Kolej Han Chiang supaya menghormati bahasa kebangsaan.

Penggunaan perkataan "konco-konco" (pengikut) adalah tidak munasabah kerana pihak pengurusan HanChiang hanya terlibat dalam bidang pendidikan dan bukan politik. Rais bukan sahaja biadap dan tidak menghormati penganjur malah telah melanggar protokol dengan meminta kerajaan negeri untuk mencampur tangan dalam sebuah majlis yang dianjurkan untuk pemimpin tertinggi Kerajaan Persekutuan. Saya ingin menegaskan di sini bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai apa jua peranan dalampenganjuran majlis di Kolej Han Chiang pada 29 September yanglalu.

Tambahan pula, bagaimana kerajaan negeri sekarang boleh terlibat dengan penubuhan Kolej Han Chiang sebagaimana didakwa oleh Rais sedangkan kolej tersebut sudah lama wujud sebelum Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mengambil alih pada 2008? Sekiranya Rais tidak gembira dengan Han Chiang, beliau sepatutnya berani membantah pada malam tersebut. Sebaliknya beliau hanya "berani" mengkritik Han Chiang daripada jarak yang jauh dan selamat, iaitu ketika beliau berada di Negeri Sembilan.

Jelas sekali, sebanyak mana pembohongan Rais pun tidak cukup untuk menyembunyikan kebenaran bahawa beliau dengan tidak adilnya telah menghina Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas majlis anjuran Kolej Han Chiang. Seharusnya Rais berhenti daripada berkelakuan seperti Utusan Malaysia yang enggan mengakui pembohongan dan akan terus menipu untuk memainkan sentimen perkauman.

Adakah Rais Yatim akan menafikan bahawa saya juga turut bertutur dalam Bahasa Malaysia pada malam tersebut? Itulah sebabnya mengapa Rais Yatim harus menghentikan permainan bahaya kononnya beliau merupakan seorang pejuang Bahasa Malaysia, dan juga berhenti menyalahkan Kerajaan Negeri untuk sebuah majlis anjuran kolej swasta.

Baca: Reaksi Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Rais Yatim pada 5 Oktober 2011 (Laporan Malaysiakini)
*Kenyataan media oleh Lim Guan Eng (gambar kanan) selaku Ketua Menteri Pulau Pinang.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .