Ikuti Blog ini

Majlis Mahabbah


Stop War

1. Menyedari dan memahami kedudukan ahli yang kian resah, masyarakat awam yang terpinga-pinga dan musuh yang tersenyum lirik, maka Dewan Pemuda Pas Malaysia menasihatkan agar dihentikan segera "perang mulut" dan "perang media" dari kalangan pimpinan yang terlibat. Justeru, ia tidak mendatangkan apa-apa kebaikan dan manfaat kepada parti. Sebaliknya, mengundang persepsi negatif di saat parti mengorak langkah menuju gerbang Putra Jaya.

2. Dewan Pemuda Pas Malaysia mencadangkan satu "Majlis Mahabbah" yang mempertemukan Dato' Seri Presiden Parti, Setiausaha Agung, Dato' Dr. Hasan Ali dan Ust Nasharudin Mat Isa bagi menyelesaikan "krisis" yang berlaku. Sesungguhnya tiada perkara yang tidak boleh diselesaikan. Sebaliknya apa yang penting, kesemua pihak mestilah ikhlas, berlapang dada, sedia berbincang, bersemuka dan berterus terang. Realitinya, ini bukanlah masanya lagi untuk pimpinan parti saling bertelagah antara satu sama lain.

3. Jangan rosakkan mood anggota parti yang gigih berkerja dan berjuang untuk mencari kemenangan buat perjuangan ini dengan pertelagahan yang saling mendedah dan membongkar kelemahan serta kekurangan parti. Ini tidak baik untuk amilin yang berjuang di bawah, di samping ia juga akan menghakis keyakinan rakyat kepada parti malah turut merosakkan reputasi parti dihadapan khalayak.

4. Selesaikanlah dengan baik dan berbincanglah dengan penuh hikmah dan sabar. Dalam perkara ini, tiada siapa yang perlu menang sebagaimana tiada siapa pula yang perlu kalah. Sebaliknya, jernihkan apa yang keruh, tenangkan apa yang ribut, jelaskan apa yang keliru, luahkan apa yang terbuku, insafi apa yang salah, perbaiki apa yang silap, teguhkan apa yang pincang, satukan apa yang retak, damaikan apa yang kacau dan kembali tautkan al-ukhuwwah Fillah.

5. Ingatlah bahawa perjuangan ini adalah kerana Allah. Ianya untuk mendaulatkan Islam dan mendidik Ummah agar bersatu dengan tali Allah, pula saling ingat mengingat dengan wahyu Allah. Dewan Pemuda Pas Malaysia sangat mengharapkan polemik ini dihentikan segera dengan semua pihak ikhlas berkerjasama ke arahnya. Kami percaya semuanya cintakan Islam, kami juga percaya semuanya sayangkan parti dan kami turut percaya bahawa polemik ini boleh diselesaikan dengan baik dan harmoni tanpa perlu siapa pun rasa rendah diri lalu meminggirkan dirinya dari parti dan tanpa perlu siapa pun rasa tersinggung lalu keluar meninggalkan parti. Sebagaimana kami turut percaya bahawa tiada siapa yang perlu merasa dirinya hebat dan jaguh lalu menghalau dan mengherdik pihak lain. Kita semua adalah insan yang diamanahkan oleh Allah untuk memperjuangkan agamanya. Bersatulah! Semoga kemenangan berpihak kepada kita, Insya-Allah.

Nasrudin Bin Hassan.
Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .