Ikuti Blog ini

Kedah: Tolak mereka yang menangguk di air keruh

KUALA LUMPUR, : Teras Pengupayaaan Melayu (Teras) mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Kedah di bawah kepimpinan Datuk Seri Ustaz Azizan Razak (gambar) yang berjaya keluar dari kemelut kepimpinan yang telah berakhir dengan permuafakatan positif dan baik melalui keputusan kolektif di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Presidennnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, khilaf kepimpinan adalah suatu yang lazim dalam mana-mana organisasi.

"Hanya kematangan dan hati yang ikhlas untuk bertanggungjawab langsung kepada Allah ketika menerajui organisasi dan kerajaan negeri, akan menelurkan kejernihan yang cemerlang," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, episod kekhilafan antara pemimpin yang berakhir itu seharusnya menambahkan tekad dan iltizam untuk kembali memperkukuhkan saf dengan lebih ampuh dan utuh.

Katanya, sesungguhnya rakyat akan terus memerhati gelagat kepimpinan kerajaan mana-mana gabungan parti politik.

Justeru, katanya tidak seharusnya diperkecilkan atau meremehkan arus rakyat yang akan sentiasa siap membuat perubahan apabila keyakinan dan kepercayaan rakyat terhakis.

Lebih berat lagi, ujarnya kepimpinan seharusnya lebih rasa takut dan gerun dengan persoalan yang bakal dilontarkan bila mana berhadapan dengan Allah SWT nanti ketika mana amanah dikhianati.

"Inilah rumusan yang sepatutnya dijadi ‘ibrah yang penting untuk semua yang terlibat dengan kepimpinan agar sentiasa mawas dan sedar diri," katanya lagi.

Tambahnya, Teras sangat mengharapkan di saat rakyat meletakkan keyakinan bahawa sudah tiba masanya mandat memerintah diserahkan kepada mereka yang berjiwa Islam, kerja keras untuk menunjukkan hasil bahawa memang tawaran Islam jauh lebih ulung berbanding kerajaan yang berteraskan dasar asobiyyah dan sekularisme, hendaklah dizahirkan.

Kini, ujarnya lagi seluruh tenaga harus kembali kepada menentukan mandat rakyat disempurnakan dan amanah Allah ditunaikan.

"Tolak mereka yang cuba meraih kesempatan untuk menangguk di air yang keruh, semua aktivis Islam seharusnya kembali bermuhasabah dan siap mentarbiyyah diri dengan lebih intensif dengan kesedaran tinggi bahawa mehnah dan fitnah dalam perjuangan tidak mengenal sama ada seseorang itu menjadi aktor senior mahpun aktivis muda," katanya.

Sehubungan itu, tambahnya Teras menyeru semua yang terlibat dalam episod kekhilafahan di kalangan kepimpinan negeri Kedah bersedia meletak ketepi segala persengketaan dan kembali mengukuh khittah perjuangan dengan istiqamah.

"Cukup rakyat telah meneliti kepincangan pemerintah yang sudah terlajak tua memerintah negara ini.

"Jika rakyat dikecewakan lagi dengan retorika perjuangan atas nama Islam tetapi gagal mencari jalan persepakatan, tidak ada yang seharus dipersalahkan selain diri sendiri," ujarnya.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .