Ikuti Blog ini

Himpunan Dah Berjalan Aman, Najib Dah Ucap Terima Kasih, Apasal Polis Masih Buru...,


Buru peserta HKR bawa anak, polis ikut telunjuk Umno

KUALA LUMPUR 30 Jan: ‘Kepantasan’ polis mengenal pasti peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) 12 Januari lalu yang membawa kanak-kanak sepatutnya diamal apabila memburu penjenayah.

Demikian sinis Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua membidas tindakan polis dilaporkan mengeluarkan 14 gambar ibu bapa yang didakwa membawa kanak-kanak di bawah umur 15 tahun ke HKR di Stadium Merdeka.

“Ini hanya tindakan terdesak kerajaan dengan mengerahkan polis sebagai orang suruhan. Umno BN tidak akan senang hati melihat rakyat berkumpul di HKR.

“Membawa anak-anak mereka adalah hak ibu bapa. Tapi kenapa perhimpunan BN tidak pernah menyatakan larangan bawa kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau mempersoal sikap kerajaan yang memberi jaminan bahawa perhimpunan HKR adalah aman dan selamat, tetapi menghalang kanak-kanak hadir.

“Kalau sudah beri jaminan, kenapa timbul pula isu tidak boleh bawa kanak-kanak. Saya kesal sikap polis yang sibuk mengejar isu ini berbanding soal keselamatan orang awam.

“Hasil daripada tangkapan atau denda tidak akan mendatangkan apa-apa faedah kepada polis. Ini semua muslihat politik Umno sahaja,” kata Ahli Parlimen Batu itu.

Polis hari ini dilapor mengeluarkan gambar mereka terbabit yang didakwa membawa kanak-kanak ke himpunan itu.

Menurut polis, perbuatan itu melanggar Seksyen 4 (2) Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan dengan hukuman denda maksimum RM20,000 di bawah PAA, dan denda maksimum RM20,000 atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali, di bawah Akta Kanak-kanak. -KD



Najib: 'Terima kasih kepada pembangkang'


KUALA LUMPUR - Sambil mengucapkan "terima kasih kepada pembangkang", Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berlangsung secara aman, anjuran Pakatan Rakyat (PR), di Stadium Merdeka Sabtu lalu, menjadi testimoni kepada keberkesanan penguatkuasaan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dipetik Bernama, Najib berkata, ia membuktikan kemampuan semua pihak tidak kira pihak berkuasa mahu pun penganjur mematuhi peruntukan dan semangat akta itu.

"Pendek kata, apa yang berlaku menunjukkan bahawa islah dan reform kepada apa yang kita lakukan adalah tepat sekali.

"Terima kasih kepada pembangkang walaupun saya tak bersetuju dengan mereka, kerana telah menghormati semangat akta itu," kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian persidangan transformasi perundangan berhubung dengan keselamatan dan hak asasi di sini, hari ini.

Buat pertama kali satu perhimpunan anjuran pihak pembangkang diadakan di Stadium Merdeka. Penganjur menyasarkan penyertaan kira-kira sejuta orang. Ia dipercayai dihadiri sekitar 100,000 orang.

Himpunan Kebangkitan Rakyat yang turut dikenali dengan kod #KL112 dibenarkan oleh polis dengan 27 syarat manakala pengurusan Stadium Merdeka hanya membenarkan hadirin tidak melebihi 30,000 orang.

Ia yang berlangsung dari jam 2 hingga 5 petang berakhir dengan pengisytiharan deklarasi 10 perkara.
-SH
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .