Ikuti Blog ini

Anwar dijangka cuba ditahan dalam tempoh 48 jam


KUALA LUMPUR, 31 Julai - Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim dijangka akan ditahan dalam tempoh 48 jam berhubung kes dakwaan meliwat bagi menyekat beliau bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.
Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua berkata KeADILan tidak menolak kemungkinan Anwar ditahan dalam tempoh terdekat.

"Kelihatannya mereka merancang mendakwanya (di mahkamah) pada Isnin depan," kata Tian Chua seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

"Mereka mungkin menangkapnya dalam tempoh 48 jam akan datang. Ia bertujuan menyekatnya bertanding dalam satu pilihanraya kecil," tegasnya.

Hari ini, polis telah melengkapkan siasatan dakwaan liwat Anwar Ibrahim dan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Sebelum itu, pada jam tiga petang tadi isteri Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail telah menghantar surat perletakan jawatan sebagai ahli parlimen kawasan tersebut untuk memberi laluan kepada beliau bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi itu.

Wan Azizah bagaimanapun memberitahu beliau kekal sebagai Presiden KeADILan dan Pengerusi Yayasan Aman Malaysia.

Dalam sidang media di Ibu Pejabat KeADILan di Petaling Jaya jam 3 petang tadi, Wan Azizah juga memberitahu beliau telah menghantar surat perletakan jawatan tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat hari ini.

Pada pilihan raya baru-baru ini, Wan Azizah mendapat majoriti sebanyak 13,388 di Permatang Pauh menewaskan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail yang hanya memperolehi 16,950 undi.

Beberapa hari lalu, Anwar disebut-sebut akan bertanding di kerusi Kulim Bandar Baru, Kedah, selain beberapa kerusi di Lembah Klang termasuk Bandar Tun Razak, Lembah Pantai dan Gombak.

Rakan Ezam Mohd Nor sertai PAS


Bekas Pengarah Gerak Demokrasi dan Anti-Korupsi (Gerak) Pahang, Zukri Akasah 36, yang juga bekas Exco Angkatan Muda KeADILan semasa Ezam Mohd Nor menjadi ketua, mengambil keputusan untuk menjadi ahli PAS.

"Saya mengikut Ezam meninggal KeADILan dan menubuhkan Gerak tetapi bila Ezam menyertai Umno saya tarik brek lah," katanya.


Dilahirkan di Kuala Terengganu, kini beliau menetap di Kuantan, Pahang.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Pentadbiran Perniagaan.

Zukri terlibat dalam runding cara latihan dan pengurusan semenjak tahun 2001 lagi. Dari segi profesionnya, Zukri menyandarkan kepada keahliannya dalam beberapa institut pengurusan antarabangsa, termasuklah Asian Institute of Management Science (AIMS) dan juga sebagai Board Member kepada Licensed International Financial Analyst (LIFA) dan International Research Association (the-ira.org).

Beliau juga sedang dalam proses mendaftarkan dirinya sebagai ahli kepada International High IQ Society (highiqsociety.org) setelah lulus ujian IQ kemasukan dengan skor 131.

Di samping sibuk dengan kerja hariannya, Zukri juga telah dipilih dan dilantik sebagai Pengerusi Biro Latihan, Pembangunan Cawangan dan Pemasaran untuk Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Negeri Pahang.

Beliau juga dikenali sebagai seorang penulis, hampir setiap keluaran akhbar lidah rasmi parti, Suara Keadilan (semasa di dalam parti itu) memuatkan tulisan-tulisan beliau.

Tulisan beliau juga biasa diterbitkan di dalam portal-portal berita internet seperti Malaysiakini, Malaysia Today, Agenda Daily, Harakahdaily, juga oleh lain-lain laman web bebas.

Wan Azizah lepas kerusi Permatang Pauh



Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melepas kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk membuka laluan kepada suaminya, yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihanraya kecil untuk kerusi tersebut.

Beliau bagaimanapun kekal sebagai presiden PKR.
Wan Azizah berkata, beliau telah menghantar surat peletakan jawatan tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat hari ini.

PAS tolak kerajaan campuran dengan Umno, BN



PAS menolak sebarang usaha untuk mengadakan kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional untuk menubuhkan kerjaan campuran sama ada di peringkat pusat ataupun negeri.
Selain itu, PAS memutuskan bahawa ia akan terus mengambil pendirian terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan semua pihak sama ada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, institusi atau individu demi kepentingan negara.
Malah, PAS mengulangi akan terus kekal bersama Pakatan Rakyat dan terus aktif untuk membuat perubahan kerajaan dan mengajak ahli-ahli Umno untuk menyertai PAS ataupun Parti Keadilan Rakyat.
Keputusan itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat PAS dan Majlis Syura yang berlangsung selama lima jam, bermula pukul 10 pagi tadi.

Dari Berita Harian
Pas jamin kekal dalam Pakatan Rakyat
KUALA LUMPUR: Pas hari ini menegaskan untuk terus kekal dalam Pakatan Rakyat dengan memberi peranan lebih aktif membela sesiapa saja yang dizalimi termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengumumkan demikian, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata pendirian Pas ialah isu Anwar berhubung tuduhan liwat terhadapnya perlu dirujuk ke Mahkamah Syariah.

Selamatkan Pakatan Rakyat


Isu muzakarah & muqabalah masih belum reda, menandakan taktik Umno mengkucar-kacirkan pakatan rakyat semakin mengena tambahan pula ramai yang tak faham terus gelabah.

Alhamdulillah Parti Keadilan Rakyat tidak bermasalah dengan PAS dan begitu memahami apa yang sedang PAS hadapi sekarang melainkan Yb Karpal Singh yang mempersoalkan PAS dalam Pakatan Rakyat yang diminta untuk dikaji semula peranannya.

Akhirnya Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Pengerusi DAP Karpal Singh supaya menghormati hasrat PAS untuk mengadakan muqabalah dengan Umno tambahan kata Tuan Guru Nik Abd Aziz, Karpal dan beliau sama-sama tua jadi kenalah saling hormat-menghormati.


Permasalahan ini seakan semakin kencang dengan desas desus tawaran gila talak dan rujuk cina buta si Umno yang secara tergantung menawarkan PAS dengan jawatan Menteri Besar dan Exco asalkan PAS setuju meninggalkan Pakatan Rakyat untuk bersama-sama Umno.

Semakin lama semakin terdesak itulah dia Umno, mereka sedar usia politik mereka akan sampai ke penghujungnya makanya serampang tiga mata syaitan digunakan untuk membangkitkan sentimen keliru rakyat dan perbalahan semua parti dengan PAS dengan isu muzakarah, PKR dengan isu liwat Anwar dan DAP dengan isu undang-undang Islam.

Kami ingin tegaskan disini untuk memberi faham kepada semua bahawa PAS bukannya gila untuk berkuasa dan tamakkan jawatan Menteri dan Exco. Kalau PAS mahu dah lama PAS mencium punggung Umno hasilnya tidakkan PAS masih bersama Pakatan Rakyat biarpun Selangor dan Perak ada tawaran serakah nafsu jahat dari Umno.

Kami dari PAS tiadalah lain hanyalah mencari persamaan dalam menegakkan keadilan, menentang rasuah dan menentang kezaliman yang dilakukan oleh UmnoBN selama ini yang akhirnya hasrat rakyat ini telahpun diterjemahkan dengan tertubuhnya parti-parti gabungan Pakatan Rakyat.

Tugas PAS adalah sekadar menjalankan kewajipan sebagai Islam yang ingin menyelamatkan akidah semua umat Islam dan manusia, persoalan kemenangan bukanlah natijah mutlak semata-mata kerana syarat berjuang tidak semestinya menang.

Yang tersangat penting ialah menyampaikan dakwah dan memberi faham kepada semua manusia apa itu keindahan Islam dan tidakkah kita sedar selama ini ruang lingkup dakwah sangat-sangat tertutup rapat biarpun Umno ramai yang Islam tetapi Islam mereka berbaur munafik.

Alhamdulillah 5 negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat sekarang ini sangat terbuka luas dalam menyampaikan dakwah Islam biarpun ada salah faham tetapi ianya sangat kecil dibandingkan dengan sifat toleransi yang sudahpun terjalin baik sekarang ini.

Polisi kita sangat jelas dalam menyampaikan dakwah kerana Allah berpesan didalam Al-Quran melalui dakwah Rasulullah SAW sekiranya musuh menghulurkan tangan untuk perdamaian maka hendaklah kita buka ruang untuk mendengar dan berbincang dan kita sangat faham dengan Umno yang tersepit kerana Umno juga ramai orang Islam makanya tugas kita untuk selamatkan akidah mereka.

Sekiranya mereka menipu dan berhelah sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancangan dan tipu daya makanya urusan ini kita serahkan kepada Allah Taala dan pastinya PAS berpengalaman untuk mengelakkan diri dari digigit ular dan kala dalam lubang yang sama sebanyak dua kali.

Pesanan kami tidak usahlah penyokong semua risau dan bimbang dengan situasi ini sampaikan ramai penyokong sesama penyokong berbalah tidak puas hati. Ada juga yang memberikan pandangan baik PAS keluar sahaja dari Pakatan Rakyat kerana parti-parti lain tidak hormatkan PAS.

Bagi kami pendokong dan penyokong PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat kerana tahaluf siyasi yang diamalkan PAS sekarang ini benar-benar telah banyak memberi kelebihan kepada kita semua untuk menyampaikan mesej Islam.

Umno Perak kini semakin gelabah - Mursyidul Am PAS



KOTA BHARU, 30 Julai - Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan pelawaan Umno untuk menubuhkan kerajaan bersama PAS di Perak menggambarkan parti itu kini semakin gelabah.

Mursyidul Am PAS berkata, pelawaan itu membuktikan parti tersebut begitu menyesal terhadap apa yang telah dilakukan terhadap PAS selama ini sehingga terpaksa mengajak untuk bergabung sekarang.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran tabung Penambahbaikan Masjid Al-Baraah dan Ceramah Israk Mikraj di perkarangan Pasar Besar Siti Khatijah hari ini katanya, tindakan seperti dilakukan Umno Perak menggambarkan mereka bermasalah.

"Kalau di dunia sudah memperlihatkan masalah, apa lagi�kalau di akhirat, lagi bermasalah," kata beliau.

Kelmarin Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dilaporkan mengajak PAS menubuh kerajaan campuran di Perak sebagai simbol perpaduan Islam dan Melayu.

Ekoran tawaran tersebut Dewan Pemuda PAS Kubang Kerian petang semalam membuat laporan polis kerana menyifatkan tindakan bekas Menteri Besar Perak itu mempunyai unsur-unsur rasuah.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan bagaimanapun berkata, keputusan mengenai perkara akan dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat di Kuala Lumpur esok.

Beliau yang akan menghadiri mesyuarat itu esok menjelaskan pendiriannya tetap sama sebagaimana sebelum ini iaitu muqabalah dibolehkan dengan Umno dan tidak mungkin untuk bergabung dalam pakatan politik.

"Muqabalah dengan sesiapa sahaja boleh, sebab Islam sendiri telah mengajar pertemuan perlu diadakan sekiranya ia dapat menyelesaikan masalah masyarakat.

"Nabi Muhammad saw pernah mengadakan muqabalah dengan kaum musyrikin untuk menyelesaikan masalah masyarakat di zaman baginda.

"Begitu juga sekarang muqabalah dengan sesiapa pun boleh, tetapi jangan libatkan gabungan politik," ujarnya.

Menurutnya, muqabalah, muzakarah, musyawarah atau seumpamanya tiada masalah diadakan, sebaliknya berbincang politik dengan parti lawan (Umno) perlu berhati-hati kerana peristiwa lama telah berlaku 50 tahun lalu.

Beliau menegaskan PAS memang terluka hati dengan tindakan Umno menyingkir PAS setelah bergabung dalam Barisan Nasional pada 1970-an.

"Peristiwa Memali, peristiwa Lubuk Merbau, penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan di Kelantan dan membatal pendaratan minyak dan gas di Pantai Senok Bachok adalah antara peristiwa yang tidak mudah dilupakan," ujarnya.

Beliau juga berkata, muqabalah yang diadakan di antara pemimpin PAS dan Umno sebelum ini menyebabkan situasi tidak tenang berlaku di kalangan penyokong PAS.

"Mereka marah saya macam-macam sehingga pedih telinga mendengarnya," ujar beliau.

Jabatan polis seleweng RM98j?


KUALA LUMPUR - Ahli Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Tan Sri Robert Phang mendakwa baru-baru ini beliau menerima surat layang yang mendedahkan penyalahgunaan kuasa sebuah jabatan polis.

Surat tanpa nama pengirim dan beralamat di Desa Pandan itu diterima pada 23 Julai lalu dan ia dihantar melalui pos laju ke alamat pejabatnya di Kompleks Dayabumi, Jalan Sultan Hishamuddin di sini.

Robert memberitahu, kandungan surat sepanjang lapan helai itu antara lainnya menceritakan berlaku penyalahgunaan kuasa dalam pemberian kontrak pembelian kelengkapan barangan kegunaan jabatan tersebut yang berjumlah hampir RM98 juta.

“Pengirim mendakwa wujud pelanggaran prosedur dalam pemberian kontrak yang sepatutnya dilakukan melalui tender terbuka.

“Surat itu mendakwa penyalahgunaan kuasa itu berlaku sebelum pilihan raya umum lalu dan beberapa hari selepas pilihan raya,” kata beliau di pejabatnya di sini semalam.

Menurut beliau, surat tersebut turut menamakan enam pegawai polis berpangkat Asisten Supritendan sehingga Komisioner Polis di jabatan terbabit.

“Saya tidak mahu dedahkan nama mereka (pegawai) terbabit kerana ini perlu disiasat,” katanya dengan memberitahu beliau akan menyerahkan dokumen tersebut kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini.

Robert bagaimanapun berkata, alamat pengirim yang tertera pada salinan sampul surat itu tidak wujud.

Anwar kemuka JAWI laporan Pusrawi, Saiful dipanggil


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan laporan perubatan yang dikeluarkan hospital Pusrawi yang mengatakan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak diliwat semasa memberi keterangan di Jabatan Agma Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini.

Beliau hadir ditemani isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada pukul 10.30 pagi bagi memberi keterangan berhubung laporan tuntutan qazaf (tuduhan palsu) yang dibuat terhadap Saiful sebelum ini.

Pagi semalam Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, pendedahan laporan doktor Pusrawi, yang disebar meluas menerusi portal berita semalam, membuktikan dakwaan meliwat terbaru terhadapnya hanya bermotifkan politik dan tidak berasas sama sekali.

“Saya ada menyebut mengenai laporan perubatan (Dr. Mohd Osman) itu dan JAWI ambil maklum mengenainya,” katanya selepas memberi keterangan hampir dua jam setengah.

Hadir sama peguamnya Kamar Ainiah Kamarulzaman.

Semasa memberi keterangan, Anwar turut mengemukakan hujah oleh seorang ulama feqah terkemuka, Prof. Sheikh Taha Jabir al-Ulwani yang mengatakan qazaf bagi tuduhan liwat terpakai seperti tuduhan zina.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut memberitahu media kemungkinan JAWI akan memanggil Saiful bagi merekodkan keterangannya selepas ini.

Bagaimanapun beliau menyatakan kesanggupan untuk hadir sekali lagi bagi memberi keterangan tambahan jika diperlukan sepanjang siasatan dijalankan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan, JAWI akan merujuk kepada doktor berkenaan bagi memberikan keterangan lanjut.

Ditanya apakah soalan yang dikemukakan oleh JAWI kepadanya, Anwar berkata JAWI mengajukan soalan mengikut prosedur biasa.

“Mereka tanya saya mengapa saya anggap kes ini tiada motif. Mereka juga ingin tahu mengapa saya katakan saya difitnah serta apa bukti yang saya ada untuk kuatkan hujah,” katanya.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu bagaimanapun berpuas hati dengan proses memberi keterangan yang dijalankan oleh JAWI berbanding pihak polis.

Tambahnya lagi, proses yang dijalankan oleh JAWI adalah lebih professional dan beliau yakin dengannya.

Beliau turut diajukan soalan sama ada bimbang dengan hasil laporan perubatan terhadap Saiful yang dilakukan oleh Hospital Kuala Lumpur (HKL), beliau berkata "tidak".

“Saya tidak bimbang mengenai laporan HKL jika ia dibuat dengan professional dan telus.

“Persoalannya adakah akan ada kemungkinan laporan itu akan dikoyak (dipalsukan).” katanya dengan sinis.

Beliau sekali lagi menegaskan agar siasatan yang dijalankan terhadapnya tidak bermotifkan politik sebaliknya perlu mengikut prosedur yang jelas berdasarkan undang-undang sedia ada.

Diminta mengulas mengenai kenyataan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar agar beliau menghentikan sebarang spekulasi sebaliknya memberi kerjasama penuh kepada polis, beliau berkata:
“Kerjasama apa lagi yang tidak saya berikan?.

“Cuba anda tanya dia (Syed Hamid) adakah dia sanggup untuk berbogel seperti yang saya alami. Adakah itu menunjukkan saya tidak memberi kerjasama," katanya.

"Saya tidak buat sebarang spekulasi sebaliknya kadang-kadang ada wartawan yang nakal megajukan soalan untuk dapatkan reaksi saya," jelasnya.

Hudud Dan Qisas Akan Dilaksanakan Jika PAS-UMNO Bersatu – Tok Guru Nik Aziz


Mursyidul Am PAS berkata pelaksanaan hukum Hudud dan Qisas menjadi satu daripada cadangan bagi PAS jika pergabungan antara parti itu dan UMNO menjadi satu kenyataan. Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata cadangan pelaksanaan undang-undang itu yang mengikut lunas syariat Islam akan dilakukan kemudian, selepas muqabalah (pertemuan) antara pemimpin kedua-dua parti mencapai persetujuan yang membawa kepada penubuhan satu entiti parti politik yang baru.

Agensi Bernama melaporkan ia adalah sejajar dengan semangat muqabalah yang akan membincangkan masa depan umat Islam di negara ini.

Beliau berkata perkara pertama yang perlu dilakukan adalah kerjasama Umno-PAS dalam membentuk parti baru perlu berlandaskan kepada Islam, termasuk melaksanakan hukum Hudud sebagaimana ditetapkan oleh agama.

"Yang membimbangkan saya bila kerjasama itu berlaku, ada pihak yang cuba mensabotajkan parti (gabungan PAS-Umno) dengan menganjurkan calon bebas yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan Islam mengikut syariatnya bagi melawan calon kita," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan kempen derma bagi kerja-kerja mengubahsuai masjid Baraah di pusat bandar ini di sini, hari ini.

Nik Aziz berkata berlandaskan semangat demokrasi di negara ini, semua pihak termasuk Umno, kaum Cina dan India boleh mengadakan perbincangan serta mengeluarkan hujah mereka untuk lebih memahami Islam dan syariatnya.

"Saya hendak benar kalau orang Cina dan India kata dia tidak mahu kepada Islam. Di mana tidak kena dengan Islam, boleh tolong beritahu, kita boleh berbincang" katanya.

Namun, katanya, bagi beliau perkara yang paling penting adalah memastikan muqabalah antara PAS dan Umno dapat dijayakan terlebih dahulu untuk membincangkan masa depan umat Islam.

Anwar: Saya boleh menang di Kulim


Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin beliau boleh menang di kerusi parlimen Kulim-Bandar Baharu apabila bertanding di situ jika ia diisytiharkan kosong oleh mahkamah bulan depan.

"Pilihanraya kecil atau besar (umum), kalau (dijalankan secara) bebas, jujur dan adil, itu beres. Di Malaysia ini, kita hanya mahu memastikan ia bebas dan adil.

"Saya yakin, insya Allah. Dan kebetulan Kulim-Bandar Baharu itu berhampiran dengan kampung asal saya yang terkenal itu Cherok To'kun," kata penasihat PKR sambil berseloroh dalam sidang media pagi ini.
Menurut Anwar, beliau "sudah dapat laporan bahawa kawasan itu baik".
Tambahnya, tiga parti dalam Pakatan Rakyat telah memberikan komitmen penuh untuk membantunya dalam pilihanraya kecil nanti.

Beliau bagaimanapun faham bahawa pilihanraya kecil selalunya lebih mencabar bagi seseorang calon pembangkang.

"Saya sedar, seluruh sumber kerajaan, Umno dan parti (BN). Saya ada sebut di Kulim pada malam dulu (Ahad), seluruh traktor dari Semenjanjung kini sedang bergerak ke Kulim," katanya, disambut ketawa kecil kumpulan wartawan yang membuat liputan.

Katanya, beliau sebelum ini menimbang sama ada bertanding di Bandar Tun Razak yang kini dimenangi oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang juga menteri besar Selangor, atau Kulim-Bandar Baharu.

"Kita melihat Bandar Tun Razak dan Kulim-Bandar Baharu, tetapi keputusan kita, terus (bertanding) di Kulim," kata Anwar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Beliau enggan mengulas kesediaan bekas pemimpin kanan PKR dan setiausaha politiknya Mohamad Ezam Mohd Noor mencabarnya dalam pilihanraya kecil itu.

Mahkamah akan mendengar petisyen pilihanraya calon BN Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir bulan depan.

Pada pilihanraya umum 8 Mac, calon PKR Zulkifli Noordin memenangi dengan majoriti 5,583 – beliau memperolehi 22,255, manakala Aziz pula sebanyak 16,672.
Kulim-Bandar Baharu mempunyai 67.93% pemilih Melayu, 21.13% Cina dan 11.48% India daripada jumlah keseluruhan 51,444 orang.

Mengulas tawaran Umno supaya PAS membentuk kerajaan campuran di Perak, Anwar berkata perkara itu sudah dijawab oleh menteri besar Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa beliau tetap komited dengan Pakatan.
Mengulas sama ada isu muzakarah antara PAS dan Umno akan menjejaskan gabungan pembangkang yang dikepalainya, Anwar berkata:

"Ia sekarang muqabalah, bukan lagi muzarakah. Ia penting diketahui daripada aspek epistemologi.
"Muzakarah bermaksud diskusi biasa untuk mencari persefahaman. Muqabalah bermaksud, kamu berdiskusi atas pendirian kamu."

TTI dan Piala Monsun - Pemuda PAS Tidak Buat Laporan Polis Tapi Buat laporan BPR


Kuala Terengganu - Dewan Pemuda Pas Terengganu sebagaimana yang dilaporkan semalam tidak membuat laporan polis namun membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini mengenai projek Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man dan Kejohanan Perahu Layar Piala Monsun, di Pulau Duyong, di sini.

Semalam, Setiausahanya Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, satu laporan polis berkaitan kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said, yang meminta pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat dua projek Mega tersebut.

Hari ini, Ketua Dewan Pemuda, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani, membuat laporan di pejabat BPR di Wisma Persekutuan, di sini, kira-kira jam 11 pagi susulan kenyataan yang sama.

"Saya meminta BPR menyiasat kenyataan Ahmad kerana yakin kenyataan Menteri Besar itu mempunyai asas yang kuat," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan itu.

Selasa lalu, Ahmad berkata, BPR jangan memilih tempat hendak menjalankan siasatan, dan meminta BPR menjalankan siasatan ketas projek TTI di Pulau Wan Man dan pembinaan serta pengurusan Piala Monsun dan Pulau Duyong.

Kedua-dua projek tersebut adalah termasuk dalam projek-projek Mega yang dilaksanakan pada era pemerintahan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh, yang dikatakan oleh Ahmad sebagai ‘lebih besar’.

Ahmad berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan berkaitan siasatan BPR keatas kes kos penyenggaraan yang terlalu tinggi kereta rasmi kerajaan, Proton Perdana V6 Executive.

Anwar lega


TERBARU: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan laporan doktor Hospital Pusrawi yang menyebut tidak ada kesan liwat terhadap bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan membuktikan tuduhan liwat yang dilemparkan kepadanya adalah tidak berasas dan bermotifkan politik. Ia juga membuktikan wujudnya konspirasi terhadap dirinya, kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, tengahari Selasa. Selain itu, bukti terbaru itu juga tambah beliau, memberikan kelegaan yang besar kepada dirinya. Anwar turut berkata, kenyataan bahawa siasatan polis dilakukan dengan profesional adalah satu momokkan kerana ia bercanggah dengan laporan doktor perubatan yang pertama ke atas Saiful Bukhari. Dengan sebab itu katanya, beliau enggan memberikan sampel DNA kerana tahu perkara ini akan berlaku. Mengulas lanjut, Anwar yakin dengan kesahihan kandungan laporan perubatan pertama (Hospital Pusrawi) dan pasti tiada siapa yang akan mempertikaikannya. Anwar juga berkata, beliau tidak pernah menemui doktor berkenaan dan Pusrawi juga mengesahkan laporan yang disiarkan portal berita hari Isnin adalah tulen dan benar. Dengan adanya laporan hospital Pusrawi itu, beliau mendesak agar siasatan ke atas dirinya berhubung dakwan liwat itu dihentikan.

Ahmad Minta BPR Siasat – Pemuda PAS Buat Laporan Polis


Kuala Terengganu – Dewan Pemuda PAS Negeri Terenganu (DPPNT) akan membuat satu laporan polis berkaitan kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said, yang meminta pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat dua projek Mega yang dilaksanakan dibawah pentadbiran Bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh.
Setiausaha DPPNT Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata demikian ketika ditemui Buletin Online malam ini.
Beliau berkata Ahmad Said telah mengeluarkan kenyataan malam kelmarin ketika bercakap dengan pemberita, beliau mengalu-alukan siasatan BPR keatas kes penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive.

“Ahmad, dalam ucapannya berharap pihak BPR tidak memilih dalam membuat penyiasatan dan meminta pihak BPR turut menyiasat projek pembangunan Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man dan Penganjuran Piala Monsun di Pulau Duyong,”kata Wan Sukairi, sebelum berceramah di Majlis Sempena Isra’ Mikraj yang diadakan di Ma’ahad Tahfidz Wal Tarbiyah, Jalan Kelantan dekat sini.

Akhbar Sinar Harian juga melaporkan perkara tersebut hari ini, 28 Julai, dimana pihak BPR telah membuat kenyataan meminta Ahmad Said tampil memberikan maklumat berhubung dakwaan penyelewengan TTI dan Piala Monsun.

Wan Sukairi menjemput para pemuda untuk mengiringi rombongan DPPNT membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu pada jam 10.00 pagi, 29 Julai, 2008.

Beliau berkata tujuan DPPNT membuat laporan polis itu adalah supaya pihak polis mengambil tindakan segera untuk menyiasat kenyataan Menteri Besar Terengganu tersebut.

“Kerana kedua-dua projek mega yang melibatkan ratusan juta ringgit wang rakyat tersebut memang telah disyakki berlaku penyelewengan berdasarkan beberapa kenyataan Ahmad Said sebelum ini, yang menyebut beliau tidak tahu berapa yang dibelanjakan sebenarnya dalam penganjuran Piala Monsun,”tambah Wan Sukairi.

'Muzakarah': Usaha PAS kuatkan PR


Saya baru mendapat sedikit ketenangan berhubung isu muzakarah yang masih lagi hangat diperkatakan dewasa ini.Bahkan ianya masih lagi dalam peringkat berbalas balas kenyataan dari beberapa orang pemimpin samada dalam PAS ataupun UMNO,malah DAP juga kini mula memasuki gelanggang kerana barangkali merasakan tidak mahu tenggelam dan tertinggal di belakang dalam isu yang sedang hangat diperkatakan itu.Bukankah sesuatu isu yang kontroversi itu akan meruntun glamour juga kepada mereka yang terlibat di dalamnya hehe..

Karpal Singh berhak untuk berasa sangsi.Beliau cuma mewakili mereka yang lain turut berasa sangsi melalui sikapnya yang selalu 'vokal' itu.Malah sikap 'tak fahamnya' terhadap 'perjuangan PAS' itu memang telah dimaklumi sejak lama dulu.Justeru suaranya yang terbaru meminta 'keanggotaan PAS dalam PAKATAN RAKYAT di kaji semula'tidak harus dilihat sebagai satu masalah yang baru.Karpal singh memang sudah terkenal 'nakal' sejak dulu sama seperti rakannya yang seorang lagi Samy Vellu.

Barangkali ramai yang tidak faham betapa muzakarah itu adalah salah satu daripada usaha PAS untuk menguatkan PAKATAN RAKYAT dalam mempersiapkan diri untuk berangkat menduduki tahta di putrajaya pertengahan september ini.Masakan tidak,dalam keghairahan PKR berbincang dan bermuzakarah dengan ahli ahli MP UMNO dan komponen BN di Sabah dan Sarawak untuk menyertai atau dalam istilah yang lebih popularnya 'melompat' ke dalam PR,begitu juga DAP yang cuba mempengaruhi ahli ahli MCA untuk turut melompat,lalu PAS juga merasa diri terpanggil untuk turut mengatur langkah ke arah itu.

Saya melihat PAS dalam isu ini telah terpilih (oleh media khususnya serta orang yang berkepentingan)untuk menjadi 'lebih popular' berbanding yang lain apabila digossipkan telah mengadakan 'hubungan sulit' dengan UMNO.Bukankah orang yang baik dan berpotensi untuk diminati ramai itu sering menjadi bahan fitnah dan dengki segelintir manusia?

Kepada ahli dan penyokong PAS di luar sana,anggaplah isu 'muzakarah' ini sebagai salah satu proses kearah diri yang lebih matang.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .