(Konvoi Royalti dari Kubang Kerian ke Pasir Puteh petang semalam)
KOTA BHARU: Menjelang lawatan kerja sehari Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Kelantan pada 5 Ogos ini, rakyat
Kelantan semakin lantang menyuarakan tuntutan royalti petroleum dan gas.
Badan
bukan kerajaan (NGO) Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak
Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti) mengadakan siri konvoi
royalti ke seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di negeri
ini.
Konvoi Royalti-1 Kota Bharu ke Gua Musang (Parlimen Gua
Musang), manakala Konvoi-2 Kota Bharu ke Rantau Panjang (Parlimen Rantau
Panjang).
Dalam perkembangan terbaru hari ini, Royalti
mengadakan Konvoi Royalti-3 dari Kota Bharu ke Pasir Puteh (Parlimen
Kubang Kerian dan Parlimen Pasir Puteh).
Program dianjurkan
dengan kerjasama Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat Kelantan
(GEGAR) disertai lebih 500 peserta terdiri dari para belia yang
bermotorsikal dan kereta sambil mengibar bendera merah puteh ‘royalti’
di samping menyebarkan risalah penerangan.

Pelepasan
konvoi hari ini disempurnakan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
(DPPNK) Abdul Latiff Abdul Rahman di hadapan Masjid Sultan Ismail Petra,
Kubang Kerian dekat sini petang semalam.
Turut hadir Timbalan
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri
merangkap Adun Demit Mohamad Mustafa dan Pengarah Urusetia Penerangan
Kerajaan Negeri Abdul Rahman Yunus.
Presiden Royalti, Nazri Deraman
(gambar) berkata
Konvoi Royalti-3 diadakan bertujuan antara lain menyampaikan mesej
jelas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelang lawatan
kerjanya ke Kelantan pada 5 Ogos ini.
“Kami menuntut supaya
Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Najib serta Petronas supaya
membayar royalti petroleum dan gas kepada Kelantan.
"Bahkan kami menyokong Titah Sultan Muhammad V yang bertitah supaya gas didaratkan di pantai Bachok.
“Ini
kerana kawasan seluas 4,000 ekar di Bachok telah pun disediakan
khususnya sebagai Zon Industri Petroleum sejak 1990-an lagi," katanya.
Nazri bercakap kepada pemberita pada upacara pelepasan peserta konvoi petang tadi.
Presiden
Royalti itu berkata pihaknya menyokong saranan Ahli Parlimen Gua
Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang telah menyatakan sokongan kepada
tuntutan royalti petroleum Kelantan.
“Bahkan Ku Li sendiri
mahukan supaya pemberian royalti kepada Kelantan itu diselesaikan segera
sebelum Pilihan Raya Umum ketiga belas (PRU-13) diadakan," katanya.
Selain
itu, Royalti menuntut agar Najib Razak mematuhi “Amanat Ayah Najib @
Tun Razak” berkaitan Perjanjian Royalti Petroleum Kelantan.
Royalti
petroleum dan gas sebanyak 5 peratus yang dituntut rakyat dan Kerajaan
Negeri Kelantan itu kini telah tertunggak sebanyak RM7 bilion sejak
2005.
Ini berdasarkan kepada Akta Kemajuan Petroleum 1974 selain
Perjanjian Kelantan dengan Petronas yang ditandatangani pada 9 Mei 1975.
Dalam
perjanjian itu, wang royalti atau wang tunai diberikan kepada Kerajaan
Negeri Kelantan dan bukannya kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan
(JPP) atau mana-mana agensi tidak berkaitan.
Gerakan Konvoi
Royalti-3 petang semalam melewati kawasan kediaman Menteri Besar Tuan
Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kampung Pulau Melaka sebelum
melewati kawasan kediaman Pengerusi Jawatankuasa Wang Ehsan Kelantan
merangkap Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin di
Kampung Perupok, Bachok sebelum tiba di Pasir Puteh.
-Hrkh