Ikuti Blog ini

Eksklusif: Sidang Bloggers Buff , Syed Hamid Cadang Penulis Blog Wujudkan Kod Etika !!

KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini mencadangkan penulis blog mewujudkan kod etika mereka sendiri bagi memastikan mereka bertanggungjawab dengan apa yang ditulis. Beliau berkata perkara itu penting kerana kebanyakan penulis blog bukan dari kalangan wartawan yang dilatih untuk menulis sesuatu perkara secara adil dan seimbang. Syed Hamid berkata kod etika yang dicadang itu perlu dibuat dalam bentuk peraturan dan bukannya perundangan atau akta baru. Beliau berkata penulisan blog merupakan cara berkesan dan boleh mempengaruhi serta membentuk perspektif pembaca mengenai pelbagai isu. "Mereka (penulis blog) boleh menyatukan masyarakat atau memecahkan. Seperti rakyat Malaysia lain, penulis blog juga perlu mempunyai tanggungjawab dalam menjaga kestabilan dan keselamatan negara," katanya ketika merasmikan persidangan 'Bloggers Buff' 2008 baru-baru ini. Syed Hamid berkata wartawan profesional sekalipun mempunyai garis panduan masing-masing, dan oleh itu tidak ada sebab kenapa penulis blog tidak perlu mempunyai kod etika mereka sendiri.

Beliau berkata blog tidak dimasukkan dalam media lain kerana menerusi blog, pembaca boleh memberikan reaksi terhadap sesuatu isu yang ditulis sebaik ia disiar dalam blog. "Komen dan sesi menjawab semula itu malangnya menyediakan saluran kepada orang ramai untuk menyebarkan perasaan benci dan sentimen perkauman," katanya. Sementara itu, presiden penaja National Alliance of Bloggers (All Blogs) dan wartawan Ahirudin Atan berkata penulis blog sepatutnya mengeluarkan kod etika mereka sendiri tanpa campurtangan kerajaan. "Penulis blog mempunyai kuasa mempengaruhi pendapat, dan jika ia (kuasa)disalahguna, ia boleh menimbulkan pemusuhan di kalangan rakan," katanya pada persidangan itu. Beliau juga berkata komen yang tidak mempunyai nama perlu dilayan seperti "surat layang" dan penulis blog serta pembaca mempunyai hak untuk tidak melayan mesej itu.

[Etika untuk blogger sudah lama kami wujudkan sendiri. Pertamanya, melaporkan segala maklumat tentang rasuah, korupsi dan penyelewengan yang ditutup untuk pengetahuan rakyat. Kedua, menjawab segala laporan berat sebelah yang dibuat oleh media arus perdana tentang isu-isu semasa tanahair. Ketiga, memastikan rakyat mendapat maklumat yang lebih jelas dan tepat dari sumber yang boleh dipercayai dan tidak diragui dan yang terakhir, melaporkan segala kepincangan yang melibatkan salah laku serta pembohongan pihak kerajaan kepada rakyat sejak dulu, kini dan selama-lamanya. Itulah kod etika yang digunakan oleh Pahang Daily dalam mencerna minda serta mewujudkan masyarakat yang mendapat maklumat yang lebih adil dan saksama daripada segala sumber, kerana selama ini rakyat ditipu dan diseleweng dengan fakta-fakta palsu bagi mengiyakan apa jua yang tidak. Contohnya, beri duit dalam pemilihan UMNO dikatakan politik wang...padahal rasuah. Beri duit masa pilihanraya, dikatakan sumbangan ikhlas padahal itu dan banyak lagi].


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .