Ikuti Blog ini

DR. MAHATHIR:UMNO SUDAH TIDAK RELEVAN


Tun Dr Mahathir menyifatkan Umno hari ini sudah tidak relevan walaupun siapa yang bakal menerajui Umno dalam proses peralihan kuasa yang dicanangkan.

Ini disebabkan oleh budaya mahukan jawatan, amalan rasuah dan politik wang yang semakin tidak terkawal yang sedang berlaku dalam Umno.

Demikian penegasan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dalam majlis wacana 'Dilema Melayu' anjuran Gapena semalam.

Menurut Tun Mahathir, seandainya Dato' Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno, masalah rasuah tidak akan dapat diatasi kerana telah menjadi satu budaya dalam Umno.

Beliau sekali lagi mengulangi bahawa Najib sebagai pengganti Pak Lah akan gagal untuk memulihkan Umno yang semakin parah dan kronik sekarang.

"Apakah dengan peralihan kuasa itu dapat memulihkan parti? Saya tidak boleh yakin lagi kerana saya belum lagi nampak Najib mampu menyelesaikan masalah rasuah dan politik wang.

Katanya, apabila ia sukar dibendung dan dikawal maka ia secara tidak langsung akan menyebabkan Umno akan menjadi parti yang tidak relevan lagi pada perjuangan orang-orang Melayu.

Katanya lagi, seandainya ada pemimpin sendiri yang terlibat dengan rasuah, maka janganlah memilih pemimpin berkenaan sambil merujuk kepada pemilihan Umno yang akan diadakan pada tahun hadapan.

"Kita tak boleh harap pembaharuan boleh dilakukan dalam Umno dan mereka harus ingat, kalau orang tidak memberi undi mereka tidak boleh menang atau sekiranya mereka menang dalam pemilihan parti, tak semestinya mereka akan menang pilihan raya," katanya.

Telah acap kali kita mendengar bahawa Umno semakin hanyut dari agenda perjuangannya. Malah ini turut diakui oleh mereka yang masih berada di dalam Umno. Umno ibarat sebuah kapal yang hampir karam. Apakah masih terdapat sekelumit harapan untuk kita mengharapkan Umno mampu memulihkan kemelut politik dan ekonomi yang sedang melanda negara? Bolehkan kita hendak mengharapkan Umno memulihkan negara kalau dalam keluarga dan rumah tangganya sendiri sedang berkecamuk dan kacau bilau?

Jika Umno sudah tidak relevan, siapa lagi yang kita dapat harapkan? Adakah kita hendak harapkan orang luar atau asing memulihkan negara?Selain memberi peluang kepada Pakatan Rakyat untuk memulihkan negara agar kembali stabil dalam sosioekonomi dan politik.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .