Ikuti Blog ini

Kerajaan Perak terbit 'Fakta', tangani propaganda Umno-BN

IPOH, 23 Nov : - Kerajaan Pakatan Rakyat Perak terpaksa menubuhkan pasukan Urus Setia Penerangan sendiri untuk bertindak segera menangkis segala tohmahan serta manipulasi berita oleh Umno-BN ketika ini.

Menteri Besar Perak, Dato' Seri Muhammad Nizar Jamaluddin mengakui bahawa kerajaannya sekarang sejak ditubuhkan sembilan bulan lalu hingga ke hari ini sering diburuk-burukkan dengan pelbagai tohmahan dan propaganda jahat Umno-BN.

Menurutnya, disebabkan Jabatan Penerangan sedia ada tidak dipercayai langsung, maka terpaksalah kerajaan negeri ketika ini menubuhkan unit Penerangan khas untuk memerangi perbuatan umno/BN yang tidak bertanggungjawab untuk melemahkan kerajaan negeri.

"Maka hari ini dengan tugas sulung unit tersebut telah menerbitkan buletin Edisi Khas FAKTA mempunyai empat muka surat untuk menangkis berita-berita dan isu-isu terkini seperti 'MB rampas kamera', 'Wartawan media arus perdana putar belitkan fakta Cukai Pintu MBI' dan fitnah oleh umno-BN tentang Perjanjian Pangkor 11 itu, dapat dipatahkan,"jelas Muhammad Nizar semasa berucap merasmikan majlis Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Perak di Dewan Serbaguna, Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) di sini semalam.

Tegasnya, Kerajaan Perak mulai dari sekarang akan menggunakan FAKTA untuk membalas balik propaganda dari umno-BN.

"Jika terdapat isu-isu panas memburukkan Kerajaan ianya diterbitkan segera sebagai 'balas balik' untuk rakyat membaca dan mengetahui kedudukan sebenarnya.

"Ianya diberi percuma dan dicetak sebanyak 30,000 naskah setiap keluaran,"katanya.

Disamping itu juga, katanya, Citra Perak buletin bulanan Kerajaan Negeri tetap diedarkan percuma.

Sementara itu, Nizar berharap kepada peserta yang hadir dalam majlis tersebut bersikap positif kerana merekalah sebagai benteng jurucakap kerajaan Pakatan Rakyat untuk mematahkan berita-berita dan isu karut marut dari media dan perbuatan jahat umno-BN itu.

"Semoga kita kuat memberikan tentangan hebat dengan mengalahkan musuh-musuh yang tidak nampak berada di dalam selimut kita dan dari media, TV dan radio masuk meracuni fikiran rakyat ke rumah-rumah itu,"tegas Nizar di hadapan lebih 200 orang yang terdiri daripada penulis blog Perak, pegawai-pegawai serta Lajnah Penerangan Parti Pakatan Rakyat.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .