Ikuti Blog ini

Penahanan Fariz tanda imiditasi awal BN

KUALA LUMPUR - PENAHANAN Timbalan Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Fariz Musa pagi ini membuktikan imiditasi awal Barisan Nasional (BN) yang memanipulasi pihak polis untuk mengekang kempen yang dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat.

Menurut Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin, penahanan berkenaan adalah sesuatu yang menghairankan, dan ianya mengambarkan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab kepada pengurusan polis bertindak menggunakan kuasa di saat-saat akhir beliau menjawat jawatan berkenaan

“Apa yang menghairankan ialah,apakah aktiviti penampalan poster boleh dikaitkan sebagai satu hasutan yang boleh membawa kepada kemudaratan awam? Apakah calon BN, yang merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab kepada pengurusan polis bertindak menggunakan kuasa di saat-saat akhir beliau menjawat jawatan berkenaan sebelum beliau melepaskan jawatan untuk dinamakan sebagai calon PRK Kuala Terengganu esok?” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi ini.

Fariz yang juga Ketua AMK Terengganu ditahan awal pagi ini bersama empat yang lain ketika menampal poster yang ditampal memaparkan gambar mendiang Altantuya Shaaribuu di kawasan Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu.

AMK turut mempersoalkan apakah Najib Tun Razak berasa gusar dengan penampalan poster berkenaan berikutan beliau akan hadir ke penamaan calon di Kuala Terengganu?

“Seharusnya Najib tidak perlu gusar jika beliau benar-benar tidak terlibat mahupun mengenali mendiang Altantuya sebagaimana yang pernah disumpahkan beliau sewaktu Pilihanraya Kecil Permatang Pauh pada Ogos 2008 lepas,”katanya lagi.

Oleh yang demikian, menurut Shamsul pihak polis harus membebaskan kelima mereka secepat mungkin serta memberikan justifikasi terperinci mengapa mereka ditahan.

“AMK dengan ini mendesak agar pihak polis memberikan justifikasi terperinci berkenaan penahanan sdr Fariz dan ahli Skuad AMK dan menggesa mereka dibebaskan pada kadar segera,” kata Shamsul;

AMK, menurut Shamsul, ingin memberi peringatan kepada Umno-BN agar mereka tidak menyalahgunakan jentera dan instrumen kerajaan termasuklah pihak polis untuk memastikan kemenangan mereka pada 17 Januari kelak.

“Rakyat tidak mudah diperbodohkan dengan siri intimidasi yang kelak akan menjerat leher Umno-BN sendiri,” tegasnya.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .