Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sekiranya usaha penyelesaian cara rundingan dengan kerajaan pusat buntu, kerajaan negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan melalui undang-undang.
Malah kata beliau sekiranya mahkamah tempatan tidak juga dapat menyelesaikan tuntutan itu, ia mungkin akan dibawa ke mahkmah antarabangsa.
"Bagaimanapun sebelum tindakan akhir dibawa ke mahkamah kerajaan negeri akan menyelesaikan secara rundingan dengan kerajaan pusat bagi mendapatkan royalti.
Baru-baru ini Menteri Besar menghantar surat tuntutan royalti minyak kepada Perdana Menteri memandangkan terdapat pelantar carigali yang di kawasan perairan Kelantan.
Bagaimanapun surat tersebut belum dijawab perdana menteri sehingga sekarang.
Sebelum ini Petronas Carigali Sdn Bhd mengadakan usahasama dengna Shell Exploration dan Production Malaysia B.V menemui gas di Blok PM301 yang difahamkan terletak dalam kawasan perairan Kelantan.
Mengenai kenyataan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang berhujah Kelantan berhak mendapat royalti berkenaan Menteri Besar berkata, beliau bersyukur di atas keprihatinan bekas Menteri Kewangan itu.
"Tengku Razaleigh yang juga bekas Pengerusi Petronas memang mengetahui perkara sebenar dan sedar akan hak Kelantan," ujarnya.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga melahirkan rasa tidak puas hati terhadap cadangan Kementerian Pelajaran yang cuba menghadkan 10 subjek sahaja bagi calon SPM bermula tahun depan.
Katanya, tindakan itu secara tidak langsung mencantas daya saing seseorang manusia di samping merugikan masyarakat.
"Antara sedar atau sebaliknya kerajaan pusat telah mematikan hasrat di kalangan pelajar yang mempunyai semangat berlumba bagi mencapai kecemerlangan dalam pelajaran," katanya.
Menurutnya semangat ingin berlumba di kalangan pelajar perlu disemai serta dibajai dari awal lagi.
Pada sambutan itu anggota parlimen Pengkalan Chepa, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman diumumkan Tokoh Pendidikan Yik 2009.
Dengan anugerah itu beliau mendapat tiket mengerjakan umrah dan sijil penghargaan yang disampaikan Menteri Besar.