Ikuti Blog ini

Depa dok kata Azizan tak reti perintah tapi macamana pulak boleh untung nie..??

Keuntungan Koperasi Pembangunan Beris Berhad meningkat

SIK – Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Azizan Abdul Razak mengumumkan dividen hasil keuntungan ladang Koperasi Pembangunan Beris Berhad (KPBB) pada tahun ini meningkat dari RM1.4 juta kepada RM1.6 juta.

Pengumuman itu turut disambut dengan penuh kesyukuran oleh semua ahli KPBB di mana KPBB adalah koperasi pertama di negara ini yang mengadakan kutipan cukai pintu berkelompok untuk jenis taman perumahan.

Kaedah itu sudah dilaksanakan semenjak tiga tahun lalu dan mendapat sokongan sepenuhnya daripada Majlis Daerah Sik (MDS) serta kepercayaan daripada ahli koperasi.

Pengerusi KPBB, Shuib Ismail menjelaskan, mereka mengadakan kutipan dengan cara membuat pemotongan wang keuntungan setiap ahli koperasi sebelum proses penyerahan hasil dividen keuntungan daripada pelbagai cabang aktiviti perniagaan diserahkan kepada mereka.

Menurutnya, setiap penduduk yang tinggal dalam kawasan perumahan ini secara tidak langsung akan menjadi ahli KPBB dan mereka masing-masing turut mempunyai saham dalam koperasi serta menerima hasil dividen setiap tahun.

“Tahun pertama, jumlah cukai pintu yang dikutip berkurangan kerana tempoh masa hanya enam bulan, namun pada tahun kedua dan tahun ketiga dikutip penuh bagi tempoh setahun iaitu sebanyak RM77.92 bagi setiap ketua keluarga mewakili sebuah rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyampaian Dividen Hasil Ladang di Bandar Baru Beris Jaya, di sini.

Shuib memberitahu, terdapat 600 rumah yang terdapat dalam kawasan ini dan melalui kaedah itu mereka dapat memastikan setiap ketua keluarga melunaskan hutang cukai pintu MDS tanpa sebarang masalah.

“Namun, kaedah pembayaran cukai pintu pada tahun 2011 akan diubah kepada pemotongan secara pukal bagi membolehkan lebihan wang daripada hasil bayaran dapat dijadikan sebagai tambahan modal untuk setiap ahli,” ujarnya.

Inisiatif membuat pemotongan dividen itu, katanya, turut dilaksanakan untuk tabung masjid sebanyak RM6 dan Takaful sebanyak RM51.95 bagi memastikan penduduk di sini mendapat perlindungan yang sewajarnya.

Sementara itu, Yang Dipertua MDS, Mat Noh Ahmad dalam ucapannya berkata, pihaknya menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh pihak koperasi dalam memastikan urusan kutipan cukai pintu dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Susulan daripada usaha itu, jelasnya, sebuah jawatankuasa pengurusan taman perumahan ini akan dibentuk bagi memudahkan segala permasalahan penduduk dapat diselesaikan dengan sebaiknya.

“Sebelum ini, apabila berlaku sebarang masalah melibatkan kemudahan infrastruktur seperti jalan rosak, lampu tidak bernyala dan sebagainya, koperasi menjadikan tempat rujukan masalah walaupun sebenarnya mereka tidak memikul tanggungjawab berkenaan,” katanya.

Mat Noh memberitahu, sekiranya proses pembentukan jawatankuasa terbabit berjalan lancar, koperasi akan lebih fokus terhadap peranannya dalam memajukan pelbagai aktiviti perniagaan bagi meningkatkan hasil dividen ahli.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi, YB. Dato’ Mohamed Taulan Mat Rasul.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .