Parti  Islam Se-Malaysia memandang serius fitnah yang dilemparkan oleh bekas  Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin yang mengatakan bahawa  semasa Tragedi 13 Mei 1969 Pas minta Allahyarham Tunku Abdul Rahman  Putra al-Haj ‘merampas’ harta-harta orang Cina, manakala ketika  Konfrontasi Malaysia-Indonesia Pas menyebelahi Indonesia supaya  ‘mengambil’ Malaysia.
Kenyataan yang dibuat dalam temuramah  bertajuk "Zam Dedah Hasutan Jahat Pas" bersama umno-online itu adalah  satu fitnah yang besar dan cuba memberikan gambaran buruk berkenaan PAS  kepada orang-orang Cina dan rakyat keseluruhannya. Kenyataan beliau itu  jelas sengaja dicipta bagi mencemarkan imej dan nama baik PAS sebagai  sebuah parti yang mendokong kedaulatan negara dan perpaduan rakyat.
PAS  yakin beliau dan Umno kini terdesak untuk memburukan PAS dan sanggup  mencipta fitnah di bulan Ramadhan ini bagi menarik sokongan bukan Melayu  untuk kepentingan politik mereka.
Umno sudah sinonim dikaitkan  dengan penciptaan kisah-kisah fitnah dan propaganda jahat demi survival  politik mereka yang kini tertekan dengan penolakan bukan Melayu dinegara  ini. Tuduhan bahawa PAS
menyokong Indonesia semasa konfrontasi juga  sengaja direka bagi menunjukan bahawa PAS ini tidak patriotik sedangkan  begitu ramai tokoh-tokoh politik dalam PAS telah berjuang memartabatkan  kedaulatan negara dan menjaga kepentingan rakyat.
PAS menuntut  Zainuddin menarik balik fitnah yang diciptanya itu dan memohon maaf  dalam masa 3 hari. Sekiranya beliau enggan menarik balik fitnah itu PAS  akan mengarahkan semua organisasi PAS negeri dan dewan-dewan untuk  membuat laporan Polis dan seterusnya akan mengemukakan saman kepada  beliau.
Ustaz. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
