Ikuti Blog ini

Sekolah Tamil terima sumbangan PAS

BATU CAVES, 24 Mac: Pelajar dan warga Sekolah Rendah Tamil Batu Caves di sini merasa gembira apabila menerima sumbangan cek bernilai RM5,000 daripada PAS bagi membantu pelajar membeli buku latihan.

Pengerusi PIBG sekolah berkenaan, RT Raja a/l Raju telah menerima cek tersebut, semalam.

Sebelum itu, cek tersebut telah disampaikan oleh petugas Pejabat Agung PAS, Syed Mohamad kepada BR Rajan, mantan AJK PIBG Sekolah Tamil Batu Caves di Ibu Pejabat PAS Pusat, Kuala Lumpur (gambar).

"Kita mengucapkan terima kasih kepada Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang begitu prihatin dengan pelajar-pelajar sekolah Tamil di sini dan hari ini beliau telah melunaskan janjinya untuk membantu pelajar-pelajar sini,” kata RT Raja.

Katanya, kehadiran Tuan Guru Abdul pada bulan April 2010 untuk menghulurkan bantuan kepada 100 pelajar dari kalangan keluarga miskin, berpendapatan rendah serta OKU.

Pelajar-pelajar tersebut tidak mampu beli buku latihan walaupun sekolah telah bermula kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh keluarga mereka.

“Seperti tidak disangka, suara hati kami telah diterima oleh Presiden PAS, Tuan Guru Hadi dengan berjanji akan membantu sekolah ini.

“Ini merupakan satu sejarah buat sekolah kami apabila menerima bantuan daripada Presiden PAS. Dengan bantuan dihulurkan sekaligus telah meringankan beban semua keluarga pelajar tersebut,” katanya

Rentetan daripada masalah itu, Balasubramaniam, Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan penyokong PAS yang mewakili kaum India yang telah menerima maklumat itu telah menyuarakan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk mencari dana bagi membantu pelajar-pelajar berkenaan.

Pihak sekolah juga telah menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2009 sebanyak RM10,000 dan tahun lepas dengan jumlah tersebut.

Dr. Xavier Jayakumar, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri telah menyampaikan sumbangan kepada pihak PIBG. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .