KUCHING, 14 April: AGAM, sama usia dengan Tan Sri  Abdul Taib Mahmud. Beliau tinggal di Kampung Batu Boya. Anehnya Agam  seperti menyesal tidak sudah kebelakangan ini. Tanahnya seluas seekar  sudah terlepas ke tangan pemaju.
Kini dia hanya ada tapak rumah  sahaja. Namun apa yang dimusykilnya sehingga ke hari ini tanah itu  dibayar hanya RM25,000, sedangkan kenalannya Uncle Lim, mendapat hampir  RM1 juta.
Tanah Lim juga diambil pemaju. Keluasannya serupa. Agam  sedih mengenangkan nasib keluarganya. Hari ini barulah dia tahu tanah  kenalannya ada ’land title’. Agam hanya mengaru kepalanya yang semakin  licin.
(Gambar kanan: Doa untuk kejayaan Pakatan Rakyat di Sarawak)
Tanah seekar itu diwarisi sejak turun temurun. Biar pun tanah itu hak milik keluargannya tetapi tiada ’land title’.
Rupa-rupanya  bukan hanya Agam yang mengalami nasib begitu, sebaliknya ramai lagi  penduduk peribumi termasuk Iban, Bidayuh dan Melayu-Melanau. Lebih-lebih  lagi Orang Ulu yang tinggal jauh di pedalaman Sarawak.
Malang  sungguh bagi Agam kerana Taib yang acap kali ditonton di televisyen  sekarang sudah kaya raya. Taib, 75 juga ada isteri muda lagi cantik  pula.
Taib menduduki kerusi Ketua Menteri Sarawak pada 26 Mac 1981. Beliau menggantikan bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman Yaakob.
Selepas  mengangkat sumpah, Taib menubuh lembaga yang dinamakan sebagai Agensi  Pembangunan Tanah (Pelita). Ketua Menteri menjadi pengerusinya. Beliau  juga bertindak sebagai Menteri Perancangan dan Pembangunan Sumber.
Sesiapa  sahaja yang menerajui jawatankuasa tersebut dikatakan mempunyai kuasa  ’ajaib’ bagi mengagihkan tanah kepada sesiapa sahaja.
Berlapik  atas nama pembangunan tanah-tanah tradisi penduduk asal hari ini semakin  berkurang sedikit demi sedikit. Lebih malang lagi adapenduduk mendakwa  tanah tradisi mereka didatangi syarikat-syarikat pembalakan dan  perladangan.
Ramai juga penduduk tidak menyedari tanah adat Bumiputera (NCR) mereka telah disukat orang lain.
Di  Batu Boya, Samarahan ramai orang seperti Agam dirundung nasib malang.  Namun saban hari Taib menjaja melalui media harian kehidupan rakyat  sudah jauh terbela sekarang.
Akhirnya tanah-tanah NCR terlepas  dengan mudah kepada pihak lain. Inilah kesedaran baru yang berputik di  jiwa Agam sekarang. Agam berjanji pada dirinya sendiri mahu melepaskan  geram pada 16 April ini.
”Biarlah Taib tahu siapa sebenarnya  kami,” kata Agam. Pegawai kerajaan pusat yang bertugas di Kuching itu  menganguk-anguk. Mereka bersembang di sebuah kedai kopi di Samarahan.
Pegawai  dari Semenanjung itu sudah bertugas lebih 20 tahun di Kuching. Dia  hanya mampu mengeleng-ngeleng kepala tanda simpati terhadap nasib
Agam.
Baginya sudah banyak cerita seperti itu menerjah telinganya sejak menjejak kaki di bumi Kenyalang.
Maka  tidak hairanlah sehingga kini lebih 200 kes tanah adat sudah dibawa ke  mahkamah. Hakikat itu juga diakui seorang peguam, Baru Bian. Beliau juga  Pengerusi PKR Sarawak.
"Kalau kita lihat di pedalaman banyak kerusi di kawasan ini diwakili masyarakat Dayak. Terdapat 29 daripada 71 kerusi semuanya.
“Bagi  Melanau dan Melayu ada 26 kerusi. Ertinya di seluruh Sarawak, bukan  hanya satu kawasan sahaja yang terlibat dengan masalah NCR, tapi juga  berlaku di Sematan, Lundu, Sibu, Miri, Kelimau dan Lawas.
”Itu  sebab NCR menjadi isu panas," katanya dalam satu rancangan terbitan TV  Selangor, dua minggu lalu. Baru memberitahu NCR merupakan isu besar yang  boleh menghalang kemenangan BN.
Taib telah diberi peluang selama  30 tahun untuk menyelesaikan masalah NCR, namun nampaknya beliau tidak  bersungguh-sungguh melakukannya. Sebab itulah menjelang 16 April ini  Taib kelihatan gelabah sekali. Gundah pilihan raya kecil parlimen Sibu  Mei tahun lalu juga belum reda.
Ketua Menteri paling lama dalam  sejarah di Sarawak itu tidak jangka DAP mampu memenangi pilihanraya  kecil Sibu. Soal menang dengan majoriti tipis sebanyak 398 undi bukan  lagi perkara penting.
Pada pilihan raya tersebut calon DAP mendapat 18,845 undi dan BN (18,447 undi). Peratusan keluar mengundi 70 peratus.
Biar  pun ketika kempen, BN yakin dapat mengekalkan kerusi tersebut namun   hakikatnya kewujudan pengundi Cina sehingga 67 peratus cukup  mendebarkan.
Tsunami Mac 2008 yang melanda semenanjung ternyata sudah berolak ke Sarawak.
Calon  DAP, Wong Ho Leng mendapat sokongan kira-kira 64 peratus daripada  jumlah pengundi kaum Cina, manakala calon BN Robert Lau Hui Yew dari  dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) hanya sekitar 36  peratus.Manakala calon Bebas, Narawi Haron hanya mendapat 232 undi.
Biar apa sekali pun alasan diberi Taib dan BN, rasa tidak senang pengundi terhadap SUPP tidak mampu lagi disembunyikan masyarakat Cina Sarawak.
Malah kebenaran dakwaan itu turut dirasai Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan.
"Lebih  50 peratus pengundi berasa tidak senang dengan SUPP, sudah pasti kami  perlu turun ke akar umbi untuk mengetahui puncanya," katanya sejurus  selepas pilihan raya tersebut selesai.
Bagi melegakan ombak di  dada, Dr George Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri hanya mampu  berkata, parti itu akan mengadakan bedah siasat untuk mengetahui faktor  SUPP ditolak pengundi.
Kecewanya membuak apabila menyebut "Kita tidak tahu mengapa mereka tidak gembira dengan SUPP."
SUPP  juga ditolak di enam kerusi majoriti Cina pada pilihan raya negeri  2006. Di kerusi parlimen Kuching juga SUPP tidak diterima rakyat.  Sebaliknya DAP menguasai kerusi tersebut melalui Chong Chieng Jen.
Berdasar  kepada fenomena di Sibu, jelaslah hanya kaum Melayu dan Dayak yang  masih menjadi tulang belakang BN di Sarawak. Sokongan sehingga 75  peratus masyarakat Melayu/Melanau dan Dayak boleh menjadi penyelamat.
Namun  BN tidak mampu mendabik dada memandangkan 15 kerusi Dun didiami  majoriti masyarakat Cina. Maka tidak hairanlah ada ramalan menyebut BN  mungkin sukar menguasai kesemua Dun terbabit.
Sebaliknya bagi  pengundi Melayu/Melanau undi BN boleh terjejas angkara Datuk Trio atau  Trio Umno yang diketuai Tan Sri Rahim Tambi Chik (RTC). Ciptaan isu  video seks yang dikatakan mirip pemimpin Pakatan Rakyat memualkan  mereka.
Ramai orang Melayu di Sarawak tidak mudah menerima bulat-bulat apa yang dipersembahan.
Mereka sependapat dengan Mufti Perlis yang berasal dari Sarawak, Dr Juanda Jaya.
Dalam surah al-Hujurat, disebut, ”Apabila datang berita daripada orang fasik, hendaklah kamu selidik dahulu berita itu."
"Dan kalau tidak cukup empat saksi, sepatutnya penuduh dikenakan  hukuman Qazaf. Hukum orang fasik dia tak layak lagi menjadi saksi untuk  sebarang kes," ujarnya seperti dilapor laman berita baru-baru ini.
Seorang kakitangan kerajaan di Sibu menyebut, semua orang kenal siapa RTC.
“Skandal  lama membabitkan dirinya sudah cukup untuk orang ramai mengenali siapa  bekas Ketua Menteri Melaka itu,” ujar penjawat awam itu.
Kalau ada yang masih keliru pun, mereka yang berada di sekeliling pinggang Ketua Menteri Sarawak.  Alasan mereka kerana takut terlepas projek segera anugerah Taib dan kerajaan BN. ”Tanpa Taib hidup mereka pasti berubah,” dakwa pegawai tadi.
BN  Sarawak sekarang hanya bergantung kepada 56 kerusi majoriti Bumiputera.  Bagaimanapun isu rampasan Alkitab tidak boleh dipandang mudah. Ini
kerana sebahagian kaum Melanau ada juga beragama Kristian.
(Gambar: Petugas PAS dari Semenanjung bergambar kenangan  dengan rakan-rakan mereka di Sarawak)
Dr Jeneri Amir dari Unimas juga bersetuju isu Alkitab telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan masyarakat Bumiputera Kristian.
Seorang lagi pensyarah universiti mendakwa sekiranya mubaligh atau paderi mengambil pendirian, ia boleh mempengaruhi undi penganut Kristian di Sarawak.
Jeniri juga memberitahu dalam beberapa kes menjelang pilihan raya 16 April ini, jalan-jalan menunju ke rumah panjang penduduk yang menyokong pembangkang tidak lagi diturap, manakala lampu jalan dipadamkan.
Benarkah begitu.
Sekarang ada tiga isu besar berada di tangan rakyat Sarawak. Satunya liabiliti Taib, kedua, isu NCR dan ketiga, Alkitab. Isu paling besar ialah kekecewaan rakyat Sarawak terhadap Taib. Maka tidak hairanlah sebuah NGO, Movement for Change Sarawak (MoCS) minggu lalu memberi tempoh sehingga 13 Ogos kepada Taib meletak jawatan.
Pengerusinya, Francis Paul Siah mendakwa MoCS akan menggerakkan kuasa rakyat jika Taib gagal berbuat demikian. Tunggulah sejarah Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad di Terengganu pada 1999 sedang berpusar menuju ke Sarawak. -Hrkh
 

 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
