Ikuti Blog ini

Husam Musa: Mentransformasi Ekonomi Islam

YB Dato’ Haji Husam Musa diberikan penghormatan untuk mewacana suatu kertas kerja dalam Seminar Muamalat Dan Perbankan Islam 2011 anjuran Jabatan Muamalat, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Pembentangan kertas kerja yang bertajuk Mentransformasi Ekonomi Islam; Model Dan Instrumentasinya mengambil masa selama satu jam setengah.

Antara kandungan kertas kerja yang dibentangkan oleh YB Dato’ Husam Musa adalah bermatlamatkan penghayatan dan pengamalan prinsip Islam dalam kewangan, perdagangan dan ekonomi. Sekali gus ia juga mengupas tentang aspek praktikal yang dipadankan dengan amalan dan pelaksanaan yang telah diambil oleh Kerajaan Kelantan selama dua dekad yang lalu.

YB Dato’ telah mengajak para peserta yang terdiri daripada semua lapisan masyarakat sama ada pelajar, mahasiswa, pensyarah, guru, kakitangan bank dan kakitangan awam serta swasta untuk kembali menilai peradaban ekonomi Islam. Dengan mengambil contoh peristiwa yang cukup terkenal, yang berlaku kepada Habil dan Qabil.

Kedua-dua anak nabi Adam a.s itu membuktikan penternakan telah bermula sejak generasi pertama ummat manusia di muka bumi melalui peristiwa korban binatang ternak mereka. Era Nabi Daud a.s telah memperlihatkan permulaan industri keluli dan pertukangan. Pada era Nabi Allah Ibrahim a.s dan Nabi Syuaib a.s , kegiatan perdagangan telah mengambil tempat, hatta berhala juga diperdagangkan. Nabi Syuaib a.s antara lain ditugaskan membetulkan amalan perdagangan yang salah seperti menipu timbangan.

Para audiens juga diajak untuk melihat aspek praktikal kepada bapa pemodenan ekonomi Islam iaitu Nabi Yusof a.s yang telah membawa model ekonomi dan kewangan yang lebih menyeluruh, termasuk prinsip Belanjawan, pengurusan sumber dan hasil mahsul, termasuk simpanan, agihan dan tambah nilai (pelaburan). Baginda juga membawa model kesaksamaan ekonomi bersendikan kebajikan dan pengurusan beramanah yang cekap.

Sepanjang pembentangan para peserta diajak untuk melihat dan menilai secara nyata praktikal transformasi yang dilakukan oleh kerajaan negeri Kelantan melalui slogan yang sering diungkapkan oleh YB Tuan Guru Menteri Besar, “berbelanja jangan sampai boros dan berjimat jangan sampai kedekut”, ternyata kata beliau slogan itu berkesan sehingga kewangan negeri Kelantan yang selalu dikaitkan dengan kekurangan hasil, dapat bertahan hingga kini. Langkahan seupaya mungkin mengelakkan amalan riba adalah antara teras utama tranformasi ekonomi Islam yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri.

Konsep pinjaman mengikut syarak yang mula-mula diasakan oleh pihak kerajaan negeri dalam bank Islam akhirnya diguna-pakai oleh hampir keseluruhan bank-bank di Malaysia. Konsep gadaian ar-Rahnu pula adalah model nyata yang telah dipelopori oleh kerajaan negeri. Bagi rakyat Kelantan, institusi Ar Rahnu adalah penting bagi penyedian pertukaran emas kepada tunai untuk tujuan pembiayaan perdagangan jangka pendek dan pengalihan tunai kepada emas semula bagi tujuan simpanan dan pelaburan jangka lebih panjang.

Beliau juga menegaskan, sehingga ke hari ini pinjaman untuk kakitangan kerajaan Negeri adalah tanpa bunga dan ia boleh bertahan, sekalipun beroperasi berbeza dari amalan biasa. Kerajaan Kelantan juga bergerak selangkah lebih ke hadapan dalam model ekonomi berasaskan kebajikan. Bahkan, Kelantan telah memperkenalkan istilahnya sendiri bagi mengambarkan semua inisiatif ini digerakkan oleh Kelantan sendiri, seperti Ar Rahan, Kifaalah, armalah, rumah dhua'fa', skim al itt'am, az ziwajj atau lainnya.

Ini semua adalah gambaran model yang ditransformasi oleh kerajaan negeri Kelantan dalam membina semula ekonomi yang berteraskan neraca syarak. Kemuncak bagi usaha menyediakan prasarana kewangan Islam yang bebas riba dan kalis inflasi ialah pelancaran dinar dan dirham. Tidak syak lagi, matawang Islam terdiri dari dinar, dirham dan mata wang kertas biasa yang dipanggil fulus. Ia datang bersama dengan institusi wakalah dan wadi'ah.

Sepanjang sesi pembantangan para peserta dibuai dengan hujahan-hujahan praktikal berkenaan dengan model-model dan instrumentasi ekonomi dan kewangan Islam. Sesi soal jawab telah dibuka kepada peserta dan sesi penggulungan telah menyaksikan YB dato’ membuat kesimpulan bahawa transformasi ekonomi Islam perlu mendapat kesedaran semua pihak dan ianya perlu digerakkan secara bersepadu. Konsep yang cuba diketengahkan adalah menerapkan unsur takwa dalam katalis ekonomi Negara.

Sejurus menyudahkan pembentangan yang kemudiannya diteruskan oleh pakar ekonmi daripada Iran dalam seminar yang diadakan, YB Dato’ Husam bergegas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri makan malam sempena pelancaran Tabung Yayasan Sultan Kelantan Darul Naim di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Berita penuh Majlis Pelancaran Dan Santapan Malam Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim dalam Sinar Harian.

YB Dato Husam - Mentransformasi Ekonomi Islam; Model dan Instrumentasinya - Bahagian I


YB Dato Husam - Mentransformasi Ekonomi Islam; Model dan Instrumentasinya - Bahagian II


YB Dato Husam - Mentransformasi Ekonomi Islam; Model dan Instrumentasinya - Sesi Soal Jawab dan Pengulungan

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .