Ikuti Blog ini

Apa Khabar Orang PAS di Kedah?



Minggu lepas saya berada di Kedah. Sembang-sembang dengan orang kampung sambil pekena cucuq kodok dan kopi "o". Dah lama tak kena angin bendang. Sejuk angin bendang, walaupun sepoi-sepoi bahasa.

"Apa khabar orang PAS di Kedah?" tanya saya kepada seorang kawan.

Nampak dia terperanjat. Mungkin dia tak menduga itu soalan saya. Soalan cepumas kot agaknya.

"Apa khabar orang PAS di Kedah?" tanya saya sekali lagi.

"Semua OK," dia balas sambil membetul-betulkan songkok putihnya. Matanya memandang tepat ke muka saya.

"Apa yang OK?" tanya saya.

"Semua OK. Kerajaan Negeri OK, parti OK," kata dia.

"Kalau semua OK, baguslah .. Alhamdulillah .. Eh, ada dengar tak tentang memorandum kawan-kawan PAS tentang Menteri Besar," tanya saya.

"Ah, itu semua fitnah. Penyakit orang iri hati, kerja orang UMNO," balas dia. Saya suka melihat keghairahan sahabat saya mempertahankan partinya. Ini jauh beza dengan orang UMNO. Ahli UMNO bukan menolak kawan-kawan naik atas, tetapi suka menarik pemimpin di atas supaya jatuh ke bawah.

"Memorandum tu dibuat oleh orang PAS," kata saya.

"Alaa, itu kerja orang UMNO," katanya berkeras. Saya hanya tersenyum. Tak mahu komen panjang-panjang.

* * *

Sebelah petang, saya menziarahi seorang Ketua UMNO Cawangan, pemimpin kecil dalam kampung. Mauduk perbincangan hampir sama.

"Apa khabar orang PAS di Kedah?" tanya saya.

"Uih, depa OK. Nampak steady saja Menteri Besar sekarang," kata beliau.

"Steady macam mana?" tanya saya.

"Steady la, tak ada masalah," kata Ketua UMNO Cawangan itu.

"Kalau begitu, problem la bagi UMNO nak ambil balik Negeri Kedah?" kata saya.

"Tak pa aih, orang PAS pun orang kita juga!" jawap Ketua UMNO Cawangan tadi dengan penuh keyakinan.

* * *

Sebelah malam, saya mengunjungi seorang lagi Ketua UMNO Cawangan. Tajuk perbincangan lebih kurang sama.

"Apa khabar orang PAS di Kedah?" tanya saya.

"Ini yang saya risau, depa makin kuat," kata beliau.

"Kuat macam mana?" tanya saya.

"Macam mana tak kuat .. Ni, tengok anak saya ni ... Saya, bapa dia ni Ketua UMNO Cawangan .. tapi bila dia balik rumah bercuti (anaknya kerja di Kuala Lumpur), tak habis-habis bercakap tentang Nik Aziz, Nik Aziz, Nik Aziz..." rungut dia.

"Dia tak cakap tentang Anwar Ibrahim ka?" tanya saya.

"Tak pulak. Anak saya tu tak berapa suka sangat dengan PKR. Dia tak habis-habis sebut tentang PAS," katanya.

"Bapa Ketua Cawangan UMNO, anak jadi ahli PAS!" kata saya mengusik.

"Tu la pasal, pening kepala!" kata beliau.

* * *

Pada satu malam yang lain, saya bertemu dengan seorang Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian. Dia juga G7 bahagiannya.

"Apa khabar orang PAS di Kedah?" tanya saya.

"Ah, depa la ni lekeh betul. Banyak perkara tak kena sampai Tuanku pun kena campur tangan," jawab beliau.

"Sampai macam tu sekali?" kata saya.

* * *

Itu perbualan saya. Kisah benar. Saya tidak berhasrat membuat apa-apa rumusan. Anda buatlah rumusan yang sesuai bagi menjawab soalan: "Apa khabar orang PAS di Kedah?"


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .