KUALA LUMPUR - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mengadakan sidang khas ahli Parlimen bagi membincangkan mengenai Malaysia yang mengalami pengaliran keluar pelaburan langsung asing (FDI) melebihi pengaliran masuk yang menyebabkan negara mengalami aliran bersih FDI yang negatif. Cadangan itu dibuat selepas Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dikemukakan beliau pada Rabu lalu yang meminta sidang Dewan ditangguhkan bagi membincangkan mengenai FDI negara seperti yang dilaporkan United Nations Conference on Trade and Development World Investment Report 2008. Penolakan usul tersebut dibacakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee mengikut Peraturan Mesyuarat 18(2) kerana tidak perlu disegerakan sebelum sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2009 peringkat jawatankuasa.
"Saya menerima keputusan yang dibuat oleh Datuk Yang Dipertua, tapi ingin menggunakan Dewan ini untuk terus meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengambil isu ini dengan serius dengan tidak hanya mencatatkan wang pengaliran masuk dan tenggelamkan. "Harap menteri dapat memanggil sidang khas ahi Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat untuk bincangkan mengenai isu ini bagi kepentingan negara dan rakyat kerana ia ada kaitan dengan rakyat," kata Anwar dalam reaksinya terhadap penolakan usul tersebut. Menerusi usul tersebut, Anwar berkata, secara menyeluruh rantau ASEAN mengalami peningkatan kemasukan FDI yang besar mencecah RM209 billion untuk 2007 berbanding hanya RM116 billion untuk tahun 2006 iaitu bersamaan dengan peningkatan sebanyak 81.9 peratus.
[Parlimen Malaysia sebenarnya memang sudah hilang kreadibilitinya. Ia disebabkan kerana speaker-speaker yang dilantik menjadi "robot" kepada kerajaan yang memerintah. Jika dulu penggulungan Bajet 2009 yang dibuat oleh Menteri Kewangan, Najib Razak diterima biarpun ternyata satu "penyelewengan" apabila angka-angka diubah setelah berdebat selama dua minggu. Ransangan Fiskal yang sebenarnya "Bajet Baru" itu dikatakan tidak melanggar peraturan parlimen, walhal usul tersebut tidak langsung dihantar untuk disemak oleh Speaker. Namun dek keraja ia membabitkan kerajaan, lalu diterima. Begitu juga kes pembohongan ahli parlimen UMNO/BN, Nazri Aziz berhubung dengan pemecatan hakim. Sehingga ke hari ini sengaja dilambat-lambatkan dan esok sudah pasti kita tahu yang keputusan akan menyebelahi menteri UMNO itu. Dan kini usul FDI yang dihantar oleh Anwar pula ditolak atas alasan tidak perlu disegerakan. Walhal ia adalah untuk kepentingan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Apakah maknanya semua ini?. Semua usul yang baik dibawa oleh pembangkang ditolak bulat-bulat oleh Speaker. Apakah ini rupa bentuk parlimen Malaysia? Lalu bergelak ketawalah PM, TPM dan Speaker melihat konspirasi parlimen yang skripnya telah dirancang bersama itu].