Ikuti Blog ini

Cahaya Untuk Kerajaan Nizar Tegak Semula Di Perak

Semalam, Mahkamah Persekutuan menetapkan bahawa isu mengenai takrif Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak perlu didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan perkara itu hanya boleh dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan menerusi rayuan.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Hakim Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff membuat keputusan itu setelah membenarkan bantahan awal oleh Sulaiman Abdullah, peguam utama Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, bahawa Mahkamah Persekutuan tidak tertakluk kepada bidang kuasa untuk mendengar empat persoalan yang dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk ditentukan.

Mahkamah sepatutnya hari ini mendengar kes berhubung empat persoalan yang dibangkitkan dalam saman Mohammad Nizar yang mencabar kesahihan pelantikan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Hakim Alauddin berkata panel lima hakim bersepakat bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tidak mempunyai kuasa untuk membuat perintah agar empat persoalan itu dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman kerana seksyen itu hanya terbatas kepada Perlembagaan Persekutuan dan bukannya perlembagan negeri.

Beliau kemudian mengetepikan semua perintah Mahkamah Rayuan pada 20 Mac lepas, dan mengarahkan agar kes itu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk didengar oleh Hakim Lau Bee Lan. Tiada tarikh ditetapkan.

Mohammad Nizar, 52, yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, mengemukakan permohonan bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah selain untuk mendapatkan injunksi menghalang Dr Zambry daripada melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar.

Ini merupakan kali kedua keputusan hakim yang boleh memberikan harapan untuk Kerajaan Pakatan Rakyat Perak berkuasa semula. Kali pertama ialah bilamana penal hakim Mahkamah Rayuan menetapkan Sivakumar berhak untuk menggunakan Peguam persendirian.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .