

KOTA SAMARAHAN : Ceramah  PAS di Kampung Jawa, Dun Muara Tuang yang pada mulanya agak lengang  malam tadi kemudiannya bertukar meriah dengan kehadiran hampir 50 anak  muda.
Kira-kira setengah jam ceramah berlangsung, mereka datang  dan berdiri dalam gelap kemudiannya mengambil tempat di kerusi yang  disediakan.
Untuk pilihanraya negeri Sarawak kali ini, Noraini Hamzah, 49, (gambar) akan berhadapan dengan adik Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Mohamad Ali Mahmud (BN-PBB) yang juga merupakan penyandang kepada DUN ini.
Noraini hampir menang percuma di DUN ini semasa sesi penamaan calon  tempoh hari apabila Ali gagal mengemukan penyataan kewangan  pilihanrayanya bagi tahun 2006 sebelum tempoh penamaan tamat. Namun ia  diselamatkan oleh SPR dan lain-lain pihak.
Pada 2006, Mohamad  Ali menang dengan mendapat 7.863 undi menewaskan calon PKR, Abang  Ibrahim Abang Othman (1,536 undi) and calon bebas, Jong Nyuk Chan (415  undi).
AJK PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin  memulakan ceramahnya dengan menekankan prinsip Pakatan Rakyat yang  membela rakyat tanpa membela kaum.
Katanya, atas dasar itulah PAS  bertanding di Sarawak dan menanamkan semangat kepada ahlinya untuk  berusaha sehabis mungkin bagi merampas kerusi daripada BN.
"30  tahun saudara-saudari di bawah pemerintahan Taib Mahmud,nasib masih  tidak berubah sebaliknya puak-puak mereka yang mengaut keuntungan.
"PAS datang untuk pastikan saudara-saudari tidak lagi berada di bawah kekuasaan BN," katanya.Semalam Nizar bersama dengan pemimpin Pakatan Rakyat dari PKR dan DAP melancarkan bersama manifesto Pakatan Rakyat.
(Gambar: Nizar [paling kanan] melancarkan manifesto Pakatan Rakyat bersama pimpinan PKR dan DAP)
Sepuluh perkara yang terkandung di dalamnya ialah kebebasan  kepercayaan, pentadbiran yang baik, reformasi tanah dan Suruhanjaya  Tanah Pusaka Bumiputra, pembasmian kemiskinan, hubungan persekutuan  negeri Sarawak yang lebih hijau, layanan adil kepada semua rakyat  Sarawak, kebudayaan dan pendidikan, hak wanita dan melabur dalam masa  depan.
Bagi reformasi tanah dan Suruhanjaya Tanah Pusaka  Bumiputra,Pakatan Rakyat memberi jaminan untuk menubuhkan Suruhanjaya  Tanah Pusaka Bumitputra bagi menyiasat semua tuntutan Tanah Hak Adat  Bumiputra (NCR),dan selepas itu mengkaji selidik dan mengeluarkan geran  atau pajakan bagi tanah yang dipersoal sejajar dengan adat kaum asli  Sarawak.
Seorang lagi AJK PAS, Hanipa Maidin yang turut  berceramah berkata, walaupun PAS masih baru di Sarawak, namun rakyat  Sarawak sudah boleh menerima kehadiran PAS.
"Apa yang membezakan  ceramah PAS dengan BN, saudara-saudari tak dapat dengar apa yang kami  cakap dalam surat khabar atau televisyen.
"Walaupun PAS masih  muda di sini, tapi setakat hari ini, dalam ceramah-ceramah kita  menunjukkan orang Sarawak boleh menerima PAS," katanya.
Katanya, rakyat Sarawak tidak termakan dengan kata-kata Timbalan Perdana Menteri yang menuduh Pakatan Rakyat sebagai jembalang.
"Muhyiddin kata PAS jembalang akan masuk Sarawak.
"Kalau kami jembalang, dah tentu dia bapak jembalang," katanya.
Turut  berucap malam tadi ialah bekas setiausaha politik Nizar, Ustaz Misbahul  Munir dan Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Salbiah Wahab.
Sementara  itu, bagi suasana pilihan raya pula, belum menampakkan kemeriahan  dengan 'perang poster' di kawasan ini baik di pihak PAS mahupun BN.
Di  tepi-tepi jalan  tidak begitu kelihatan bendera dan poster calon-calon  yang bertanding seperti yang biasa dilihat setiap kali pilihan raya. -Hrkh
 

 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
