Apakah takrif keganasan yang digunapakai oleh Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan polis sendiri?Bagi  rakyat biasa, sesuatu pihak dikira melakukan keganasan apabila  menyerang dengan segala kudrat dan senjata yang ada pada mereka (gas  pemedih mata, air berkimia, menumbuk dan memijak) terhadap sasaran yang  tidak bersenjata (kecuali botol air mineral) tetapi hanya berhimpun  secara aman.
Inilah yang berlaku pada 9 Julai.
Tidak  perlu Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengemukakan video untuk  membuktikan sebaliknya kerana begitu banyak rakaman yang sudah sedia ada  dalam laman-laman blog untuk tatapan seluruh dunia.Dan  jika bukti video itu tidak mencukupi, gambar-gambar Mohamad Sabu di  atas kerusi roda dan foto enam jahitan di kepala ahli parlimen Shah Alam  Khalid Samad boleh juga boleh diperolehi dengan mudah oleh Najib,  Hisham dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar untuk melakukan  penilaian.  
Kalau masih tidak memadai, mungkin ada  pihak perlu memberi peringatan bahawa sebuah keluarga kini berkabung  kerana kehilangan ketua keluarga mereka yang menyertai perhimpunan  BERSIH 2.0.
Kematian allahyarham Baharuddin Ahmad  diselubungi dengan pelbagai dakwaan namun hakikatnya ialah beliau  menemui ajal semasa asakan polis bagi menyuraikan sebuah perhimpunan  bersih dan aman.
Remehkan kecederaan
      
Namun  semua fakta ini tidak akan memberi kesan kepada Najib, Hishamuddin dan  Ismail kerana mereka terpaksa mempertahankan kredibiliti Polis Diraja  Malaysia.Maka,  oleh kerana itulah Najib meremehkan kecederaan yang dialami oleh Datuk  Seri Anwar Ibrahim, walaupun mengakui ketua pembangkang itu ditembak  dengan gas pemedih mata.  
Ketua Polis Negara sebelum  ini menafikan Anwar ditembak dengan gas pemedih mata, sungguhpun visual  dan keterangan saksi menunjukkan keadaan sebaliknya.
Hishamuddin  pula enggan mengakui polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan air  berkimia ke perkarangan Hospital Tung Shin di Jalan Pudu.  Ismail  sekali lagi menafikan insiden memalukan itu sungguhpun, wujud foto dan  keterangan saksi yang menempelak penafian itu.         
Tentunya  Najib dan Hishamuddin tidak mahu mengambil tanggungjawab di atas  sebarang kekerasan polis sungguhpun apa yang berlaku Sabtu lalu lebih  berpunca daripada keputusan-keputusan yang dibuat oleh mereka berdua.
Bertukar ganas
Persoalan asas ialah bila dan pada tahap mana perhimpunan aman BERSIH 2.0 bertukar menjadi ganas Sabtu lalu?“Keganasan”  itu jelas tercetus apabila polis mula menyembur air berkimia dan gas  pemedih mata serta melakukan tangkapan rawak ke atas sesiapa disyaki  mendokong BERSIH 2.0.
Namun “keganasan” yang berlaku adalah pada satu pihak sahaja. Tidak ada tindak balas daripada rakyat yang menjadi sasaran.
 
Respon  paling “agresif” beberapa peserta BERSIH ialah melontar balik sarung  gas pemedih mata ke arah polis atau membuangnya ke dalam longkang dan  sungai berdekatan.Mereka  mengharungi segala kesakitan akibat terhidu gas beracun atau terkena  pancutan air berkimia atau kedua-duanya sekali. Rasa pedih dan loya dan  sesak nafas hanyalah sebahagian daripada pengalaman yang terpaksa  diharungi mereka.
      
Hakikat bahawa polis akan menggunakan kekerasan menjadi satu kepastian jauh sebelum 9 Julai menyingsing.
Aparatus polis
 
Ia menjadi satu hakikat apabila Hishamuddin bingkas mengisytiharkan BERSIH 2.0 sebuah pertubuhan haram minggu lalu.Hanya  beliau dan Najib boleh menerangkan keperluan untuk sebuah rangkaian  kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang termasuk Sasterawan  Negara Datuk A Samad Said tiba-tiba boleh menjadi musuh kerajaan hanya  kerana menuntut pilihan raya adil dan telus.
Apa yang  jelas ialah Hishamuddin dan Najib menggunakan segala aparatus polis  untuk memaksa penganjur BERSIH 2.0 membatalkan perhimpunan mereka,  dengan disokong oleh media arus perdana dan institusi awam yang lain.Namun  rancangan itu tersasar kerana BERSIH 2.0 tidak beralah daripada  matlamatnya mengadakan perhimpunan aman walaupun penyokongnya mula  ditangkap di seluruh negara dan pemimpinnya diaibkan di media arus  perdana.
Terima tamparan
Najib  dan Hishamuddin juga menerima tamparan apabila Yang di-Pertuan Agong  Tuanku Mizan Zainal Abidin mengambil peranan negarawan dan berjaya  “memujuk” BERSIH 2.0 membatalkan perarakan di jalan raya.Campurtangan  Seri Paduka itu membuka ruang untuk Najib dan Hishamuddin menyelesaikan  kemelut BERSIH 2.0 secara baik, khususnya apabila penganjur bersetuju  untuk menerima tawaran kerajaan  supaya perhimpunan diadakan di sebuah  stadium.
 
Namun belum sempat rakyat menarik nafas  lega,  gandingan sepupu ini mengisytiharkan bahawa BERSIH 2.0 pertubuhan  haram dan tidak layak memohon permit.
 Permohonan  BERSIH 2.0 menganjurkan perhimpunan aman di Stadium Merdeka ditolak dan  sebaliknya penganjur “diarah” mengadakan perhimpunan di stadium-stadium  yang terletak di negeri–negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.
Tujuan  arahan itu adalah jelas – Perdana Menteri cuba menyempitkan gerakan  BERSIH 2.0 kepada sesuatu yang didalangi oleh pembangkang dan bukannya  cetusan suara rakyat.
Justin Bieber lebih berhak
 
Najib  memberi alasan kononnya Stadium Merdeka tidak boleh digunakan oleh  BERSIH 2.0 kerana ia adalah mercu atau simbol negara, tidak masuk akal.Stadium   Merdeka telah berkali-kali digunakan untuk konsert rock dan hiburan  termasuk pertunjukan Justin Bieber pada 21 April lalu.
 
Apakah  Justin Bieber lebih berhak menggunakan Stadium Merdeka daripada ribuan  rakyat negara ini yang mahu menyuarakan keperluan pilihan raya yang adil  dan telus secara aman?
Tentunya tidak. Namun inilah  alasan yang dijaja oleh Najib kepada penyokong-penyokong Umno, ahli  pertubuhan silat dan sebagainya, sehari selepas perhimpunan BERSIH 2.0.
      Penganjur  BERSIH menyedari perangkap yang diletakkan oleh Najib dan Hishamuddin  dan terus berpegang kepada hak mereka mengadakan perhimpunan aman di  Stadium Merdeka, walaupun di luar perkarangannya.  
Ini  kerana Stadium Merdeka adalah kawasan “neutral”  dan adalah “milik”  rakyat Malaysia serta bukan di bawah telunjuk mana-mana parti politik.
Patahkan BERSIH
 
Apabila  penganjur mengambil ketetapan ini, maka arahan dikeluarkan kepada pihak  polis untuk melakukan apa yang perlu bagi mematahkan rancangan BERSIH.
 Justeru  diadakan sekatan-sekatan jalanraya, penutupan kawasan tertentu,  pembekuan permit bas ke Kuala Lumpur dan pemeriksaan di hotel-hotel  menjelang 9 Julai.
 
Perintah mahkamah diperolehi  untuk menghalang penganjur dan pemimpin politik tertentu daripada  memasuki Kuala Lumpur. Ibu negara seolah-olah dalam keadaan darurat.
Dengan  kongkongan sebegitu, tidak hairanlah  pada 9 Julai, pancutan air  berkimia, gas pemedih mata polis menunggu puluhan ribu rakyat pelbagai  kaum yang keluar beramai-ramai menghala ke Stadium Merdeka.
 Hak mereka untuk berjalan secara aman dicabuli dengan sewenang-wenang di atas nama memelihara keamanan dan kesejahteraan negara.
 
Najib  harus menerangkan bagaimana satu  “perjalanan demokrasi” oleh rakyat  untuk dua tiga jam di beberapa kerat jalanraya boleh menjadi isu   keselamatan negara dan  mendatangkan kerugian berbilion ringgit kepada  peniaga, jika tidak ada provokasi polis!
Rakyat dihukum
Jika  polis telah memberi kerjasama kepada lebih 5,000 pengawal yang  disediakan oleh penganjur BERSIH untuk mengawal lalu lintas dan aspek  keselamatan lain, apakah kita akan menyaksikan adegan-adegan yang  terpampang di Internet sekarang.Rasanya tidak!
Akibat  agenda politik Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, puluhan ribu  rakyat yang “berani” menyokong BERSIH seolah-olah dikumpulkan di Kuala  Lumpur dan “dihukum” dengan tembakan gas pemedih mata dan air berkimia.
 
Lebih  1,600 orang ditangkap untuk diheret ke mahkamah, seorang mati dan tidak  kurang yang menyimpan parut luka atau kenangan “ikhlas”dari polis.Justeru,  janganlah Perdana Menteri dan sepupunya terlalu bingkas menuding jari  kepada penganjur BERSIH 2.0 di atas kekecohan Sabtu lalu.
Tidak dinafikan keganasan berlaku, tetapi siapa yang mencetuskannya dan siapa pula yang mengganas?
Bak kata Karam Singh Walia dari TV3: Siapa pula yang melontar batu dan menyembunyi tangan?
Wira Arjuna adalah nama samaran seorang wartawan dan editor kanan yang berpengalaman luas dan pernah menerajui beberapa media arus perdana sebelum bersara menjadi pemerhati politik.
 

 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
