Kemaman – Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang baru dipilih, Mohd Abdul Wahid Endut telah mengarahkan peguamnya untuk mengkaji tindakan terhadap akhbar mingguan WATAN. (Gambar - pertemuan kembali dua bekas Exco Negeri Terengganu, Ustaz Awang Dagang Jusoh (kanan) pernah memegang protfolio Hal Ehwal Wanita dan Hubungan Kaum dari 1999 - 2004)
“Saya sudah menyerahkan kepada peguam saya untuk mengambil tindakan susulan (terhadap akhbar WATAN),”katanya kepada Buletinonline ketika ditemui sebelum berucap dalam ceramah sempena Majlis Kesyukuran Kemenangan PAS dalam Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu yang diadakan di Geliga, dekat sini, malam semalam.
Beliau menegaskan berita bertajuk ‘Wahid Lepas ADUN’ yang disiarkan akhbar WATAN menjatuhkan maruah dan imej beliau sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat.
Katanya sebuah akhbar sepatutnya tidak menyiarkan satu ‘spekulasi’ tetapi menyiarkan berita sebenar yang dipertanggungjawabkan.
“Spekulasi bukan ‘berita’, dan apa yang disiarkan oleh akhbar WATAN berbentuk berita, bukan spekulasi,
“saya telah menafikan dan telah disiarkan oleh sekurang-kurangnya sebuah akhbar internet dan sebuah akhbar cetak, itu berita sebenarnya,”ujarnya.
Beliau berkata ekoran dari berita yang disiarkan oleh WATAN, beliau telah mendapat kesusahan, terganggu dan kegelisahan akibat mendapat banyak panggilan telefon dari pelbagai pihak yang bertanya tentang perkara tersebut.
“Termasuk (panggilan) dari pejabat MB Terengganu sendiri, meminta pengesahan dari saya, apakah benar berita sebagaimana yang disiarkan oleh WATAN,”jelas Wahid.
Menurutnya akhbar tersebut telah melanggar etika kerana mengeluarkan berita yang tidak tepat, apatah lagi kalu membuat satu berita ‘spekulasi’, tanpa membuat rujukan terlebuh dahulu.
Justeru katanya akhbar tersebut harus mengambil tanggungjawab (sekiranya tindakan diambil).
Harakahdaily Isnin, 26 Januari, 1.46am telah menyiarkan penafian Wahid terhadap berita akhbar mingguan WATAN Bilangan 22 Ahad 25-31 Januari.
Wahid dalam kenyataannya yang dipetik oleh wartawan Suhaimi Taib menyifatkan kenyataan akhbar tersebut dikeluarkan oleh orang yang 'desperado' dan cuba menfitnah dirinya.
Beliau meminta akhbar berkenaan membuat pembetulan atau menarik balik kenyataan tidak benar itu dengan menafikan beliau melepaskan jawatan sebagai ADUN Wakaf Mempelam.
Editor Akhbar Mingguan WATAN, Zabidi Haji Saidi tidak membuat pembetulan atau menarik balik kenyataan akhbarnya namun hanya mengaku berita yang dikeluarkan oleh akhbar dibawah seliaannya bertajuk ‘Wahid Lepas Adun’ hanya sebuah berita spekulasi.
Pengakuan Zabidi dibuat melalui tulisannya dalam Blog peribadinya selepas Buletinonline menyiarkan berita mendedahkan, sudah dua kali dalam bulan ini akhbar Mingguan WATAN seolah-olah sengaja mencari pasal dengan PAS.
Selain mendakwa Wahid akan melepaskan jawatan ADUN, akhbar tersebut telah melakukan provokasi dengan menyiarkan berita dengan tajuk sensasi ‘PAS Beli AKIM’ pada 10 Januari lalu.