Ikuti Blog ini

Jika ditangkap - Anwar mahu PAS, KeADILan dan DAP teruskan perjuangan




Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dato' Seri Anwar Ibrahim mahu PAS, KeADILan dan DAP untuk meneruskan agenda perjuangan Pakatan Rakyat sekiranya apa-apa terjadi kepada beliau.
Beliau juga mahu agar rakyat turut sama meneruskan agenda perjuangan bersama pemimpin Pakatan Rakyat seandainya kemungkinan beliau dipenjara semula.

Perkara itu ditegaskannya semasa menyampaikan ceramah '100 Hari Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah' bersama-sama Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak di Kompleks PAS Kedah di sini semalam.
Menjawab pertanyaan media bahawa wujud khabar angin yang mengatakan pihak keselamatan akan melakukan sesuatu ke atasnya, Anwar tidak menolak kemungkinan itu.
"Kita tidak tolak kemungkinan itu sebab kita pernah lalui dan watak yang sama juga masih main peranan, saya tidak tahu. Tetapi saya tidak tolak kemungkinan.
"Dulu kita tolak kemungkinan perkara itu berlaku, jadi kemungkinan itu ada. Saya cuma harap harap kali ini mereka hormat proses undang-undang,"ujarnya pada sidang media selepas ceramah tersebut.
Ditanya media mengenai jaminan keselamatan ke atasnya, beliau menegaskan tidak melihat adanya perubahan dari segi kawalan keselamatan sebagaimana yang mereka lakukan terhadap Balasubramaniam dan juga Saiful.

Pada ceramah tersebut, Anwar turut menyentuh mengenai debat antara beliau dengan Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek yang disambut hadirin dengan laungan 'lawan, lawan'.
"Saya nak lawan Menteri Penerangan buat apa? Saya nak lawan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
"Jadi saya hendak ulang, saya tunggu 15 haribulan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri atau kedua-duanya sekali! Tetapi setakat ini dia tidak mahu, dia tidak mahu tidak mengapa,"ujarnya.

Bagaimanapun menurutnya, selepas beliau berbincang dengan pimpinan PAS dan DAP, beliau setuju meneruskan debat itu dengan tujuan mengambil peluang untuk jelaskan mengenai kesediaan Pakatan Rakyat untuk memerintah.

Dr Syed Azman dalam 'Hujah' TV9 esok


AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi akan berdebat dengan Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim dalam rancangan Hujah, TV9, jam 9.00 malam esok (14 Julai).

Syed Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Batu Buruk, Kuala Terengganu akan berhadapan dengan wakil Umno itu dalam debat bertajuk "Politik Kotor Jejas Keharmonian".

Moderator bagi rancangan ini ialah Dr Razali Agus dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Nik Aziz beat modal insan Islam Hadhari…!



Cadangan kerajaan Kelantan pimpinan Tok Guru Nik Aziz untuk menjadikan solat sebagai satu syarat kenaikan pangkat bagi kakitangan yang beragama Islam mendapat kritikan mendadak dari media-media yang anti kepada perjuangan Islam.Cetusan idea bijak Tok Guru ini terus dihentam dari pelbagai sudut oleh media seakan-akan inilah peluang mereka bagi menggambarkan buruknya idea dan pemerintahan negeri serambi Mekah di bawah pimpinan ulama ini.

Sebenarnya jika kita bertenang dan memperhalusi idea ini nyata ianya satu langkah langkah bijak dan dapat memberikan impak yang sangat baik kepada ummah seterusnya kepada pembangunan negara.Syarat ini sebenarnya sebagai syarat tambahan bagi kakitangan Islam sahaja dan tidak menjejaskan langsung hak kaum dan agama lain.

Selain daripada kecekapan menjalankan tugas,amanah,bertanggungjawab serta mempunyai komitmen yang tinggi(syarat-syarat asas) Kakitangan Islam ditambah pula dengan syarat tambahan iaitu taat dan takut pada Allah dalam pekerjaan mereka.Sementara orang bukan Islam hanya dinilai prestasi berdasarkan syarat-syarat asas serta moral tanpa dibebankan dengan syarat tambahan yang lain.Berdasarkan ini lojiknya kakitangan bukan Islam lebih mudah mendapat kenaikan pangkat berbanding kakitangan Islam yang perlu memenuhi lain-lain kriteria.

Tidak timbul sebenarnya seseorang kakitangan itu perlu berpura-pura dan berlakon alim bagi kenaikan pangkat seperti yang digambarkan media yang tidak bertanggungjawab sekarang.Kerja-kerja Solat dan lain-lain kebaikan ini memang sudah menjadi ketetapan dalam Islam sejak dulu lagi.Apakah sebelum ini mereka jarang bersolat sehingga kewajipan solat ini menjadi beban baru kepada mereka atau selama ini mereka solat berpura-pura?Kita rasa tidak.

Yang menjadi permasalahannya apabila ada dikalangan pengamal media yang cuba memandang negatif cadangan Tok Guru ini semata-mata kerana cadangan ini lahir dari seorang ulama bukan dari pemimpin yang mereka sanjung selama ini.

Idea Tok Guru ini sebenarnya untuk memperkasakan lagi ummah itu sendiri.Manusia yang taat dan takut pada Allah tidak kiralah mereka kakitangan kerajaan,swasta,kontraktor atau sebagainya tidak akan berani melakukan penyelewengan,rasuah,ponteng tugas,salahguna kuasa dan lain-lain kemungkaran.Inilah salah satu penyelesaian yang baik bagi gejala rasuah,penyelewengan atau salahguna kuasa yang hebat berlaku sekarang.

Apakah idea ini ada persamaan dengan modal insan Islam hadhari?Tidak! Islam hadhari tidak menjadikan pembangunan roh atau jiwa sebagai teras utama gagasan mereka.Apa yang kita tahu modal insan tajaan mereka menjadikan pembangunan material dan kemajuan sains sebagai teras utama.Kemajuan seseorang atau sesebuah negara itu di ukur dengan pencapaian kebendaan semata-mata.Berbeza dengan Tok Guru yang menjadikan jiwa dan roh yang taat pada KHALIQ sebagai pemangkin utama kepada pembangunan negara.Kakitangan atau individu yang terdidik jiwa mereka dengan akidah dan moral yang baik akan menjadikan tugas satu amanah yang mesti dilaksanakan sebaik mungkin tanpa ada ruang yang boleh dimanipulasi dengan kejahatan.

Inilah indahnya jika hidup di bawah pimpinan yang berpandangan jauh dan terdidik jiwanya dengan agama.Pimpinan bukan sahaja perlu bertanggungjawab di dunia malah akan dipertanggungjaqwabkan juga di akhirat kelak.Sebarang cadangan atau dasar yang menganiaya kaum lain tidak akan dilakukannya.Langkah ini pasti akan melahirkan ummah yang berkualiti dan boleh memainkan peranan yang lebih besar dal;am pembangunan negara.Sementara bukan Islam melihat Islam sebagai agama yang memotivasikan umatnya kita sudah boleh berdiri sama tinggi dengan bangsa lain dalam mencapai kemajuan di dunia dan di akhirat.

Lanskap baru politik negara bermula Isnin ini - Anwar


Mungkinkah Isnin ini bakal mencatat satu lagi lanskap politik negara apabila usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibincangkan di parlimen?

Usul tersebut dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Khamis lalu.

Ketua Umum Parti KeADIlan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim berharap usul tersebut diterima Speaker untuk dibahas bagi kepentingan seluruh rakyat.

"Sekarang rakyat berdepan dengan banyak kes kezaliman yang berlaku dan ditambah pula dengan masalah ekonomi ekoran kenaikan harga minyak," katanya pada ceramah perdana di Putik malam tadi.

Hadir sama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat; Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa; Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato' Takiyuddin Hassan; Pengerusi Perhubungan KeADIlan Kelantan, Aziz Abdul Kadir dan anggota parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail.

Kawasan kompleks Putik penuh sesak dengan orang ramai. Kenderaan yang diletak di kiri kanan jalan sepanjang satu km menghala ke Putik.

Rekod kehadiran agak luar biasa sejak sejarah bangunan Putik beroperasi.

Anwar berkata, usul tersebut begitu penting bagi memulihkan kembali suasana politik negara yang semakin tidak selesa sekarang.

Beliau juga menjelaskan selagi keadaan politik negara tidak dipulihkan semakin ramai pelabur asing tidak berminat untuk melabur di negara ini.

"Ketika saya menghadiri perjumpaan dengan kira-kira 700 pelabur dan pengurus dana di Singapura baru-baru ini mereka memberitahu sudah tidak yakin dengan suasana politik di Malaysia sekarang.

"Keadaan politik yang tidak menentu menyebabkan mereka tidak berminat. Begitu juga pelabur dan pengurus dana dari negara-negara Arab.

"Malah ada pelabur terkenal dari Arab memberitahu sekiranya kerajaan baru dapat dibentuk di Malaysia, dia bersedia melabur di negara ini," katanya.

Menurutnya selain keadaan politik yang tidak stabil sekarang, gejala rasuah dan penyelewengan membabitkan pemimpin dan pegawai kerajaan begitu berleluasa.

Malah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Dato' Nazir Razak juga mengakui perkembangan politik semasa negara telah menggugatkan keyakinan pelabur.

Anwar juga memberitahu isu liwat yang cuba dipalitkan terhadap dirinya bertujuan melarikan pemikiran rakyat terhadap masalah kegawatan politik dan ekonomi yang berlaku sekarang.

"Isu pokok sekarang ialah masalah negara dengan kehidupan rakyat yang semakin terbeban. Oleh itu bagi mengalih perhatian rakyat mereka khianati saya kononnya terbabit kali kedua dengan kes liwat.

"Biarlah orang yang hendak percaya atau tidak, apa yang penting tuduhan itu hanya ulangan daripada cerita lama," katanya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, tuduhan terbabit dengan seks pernah dialami Nabi Yusof a.s apabila difitnah bersama isteri raja yang bernama Siti Zulaikha.

Husam juga memberitahu isteri Nabi Muhammad s.a.w., Siti Aisyah pernah juga cuba difitnah dengan kes yang serupa namun kebenaran akhirnya berpihak kepada orang yang jujur.

Menteri Besar berkata, rakyat Kelantan cerdik apabila datang beramai-ramai mendengar isu semasa pada ceramah yang diadakan itu bagi mendapatkan berita sebenar.

Iran menguji peluru berpandu jarak jauh kali kedua dalam persiapan menghadapi serangan Amerika

Usul: Sokongan Ahli Parlimen dialu-alukan - Wan Azizah



Ketua Pembangkang Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengalu-alukan lebih banyak Anggota Parlimen daripada Barisan Nasional untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bernama melaporkan, Wan Azizah tidak mengharapkan suatu perubahan dalam kerajaan, sebaliknya perwakilan bagi suara rakyat didengar di Parlimen.

"Proses itu tidak akan membabitkan sebarang pengundian dan kami tidak akan memfailkan usul itu buat kali kedua sekiranya Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak memberi kebenaran kali ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN), yang membawa gelaran "Datuk Seri Utama", sempena sambutan ulang tahun ke-70 Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas di sini semalam.

Dr Wan Azizah berkata beliau menyerahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk menerima usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Usul itu disokong oleh dua Anggota Parlimen daripada Parti Maju Sabah (SAPP) iaitu Dato' Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Dato' Dr Chua Soon Bui (Tawau).

Khamis lepas, Dr Wan Azizah memfailkan usul tergempar undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Jika diterima, usul itu, yang difailkan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) and 18(2), akan didengar dan diputuskan Isnin ini.

Tiada pengundian akan dibuat memandangkan usul itu hanya akan dibahaskan.

Protes ahli Umno makin menjadi-jadi

Bernama melaporkan Mesyuarat Agung Khas Umno bahagian Muar di sini semalam sebulat suara meluluskan usul mendesak Majlis Tertinggi Umno memansuhkan kuota pencalonan jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Anggota Majlis Tertinggi (MT).

Bahagian itu mencadangkan agar setiap calon hanya perlu mendapat 10 pencalonan daripada bahagian Umno yang sah untuk melayakkan diri bertanding jawatan itu.

Mengikut fasal 9.5 Perlembagaan Umno, calon Presiden perlu mendapat 30 peratus pencalonan daripada jumlah bahagian Umno yang sah untuk melayakkan diri bertanding, 20 peratus bagi jawatan Timbalan Presiden, 10 peratus untuk mereka yang menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden dan lima peratus bagi jawatan Anggota Majlis Tertinggi.

Seramai 308 perwakilan dari 131 cawangan Umno bahagian yang menghadiri persidangan di Dewan Tun Sulaiman Ninam Shah di Jalan Meriam di sini mengangkat tangan tanda setuju sebaik sahaja Timbalan Pengerusi Tetap, Muntaha Kailan memanggil perwakilan untuk membuat keputusan mengenai usul itu.

Perwakilan Umno bahagian berkenaan juga meluluskan usul agar pencalonan bagi jawatan ketua Umno bahagian turut dipinda dengan mengehadkan dua pencalonan sahaja untuk melayakkan diri bertanding jawatan itu.

Terdahulu, ketika membentangkan usul berkenaan, Anggota Jawatankuasa Umno bahagian Muar, Zakaria Mahadi berkata pindaan itu penting untuk membolehkan pemilihan jawatan tertinggi dalam parti dilaksanakan secara demokratik.

Ia juga bagi membolehkan setiap anggota yang berkebolehan dan mempunyai ciri kepimpinan mendapat peluang bertanding jawatan, sekali gus menghidupkan demokrasi dalam parti di semua peringkat.

Dengan ini jelas bahawa arus akar umbi Umno, melihat pucuk pimpinan parti itu kini tidak relevan lagi bagi memimpin parti dan menerajui pemerintahan negara kerana jika masih demikian sudah pasti fasal 9.5 perlembagaan parti itu tidak akan dipinda bahkan kuota berkenaan tidak berbangkit untuk dipinda.

Selama ini pun tidak berbangkit soal pindaan berkenaan kerana ahli Umno yakin dengan kepimpinan yang sedia ada.

Bagaimanapun dengan prestasi buruk pilihan raya umum ke 12, kepimpinan sedia ada khususnya Presiden parti itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak berupaya menjadikan Umno sebagai parti orang Melayu yang disegani lawan dan kawan.

Bahkan tidak mampu meraih sokongan majoriti rakyat berbilang kaum terhadap Barisan Nasional (BN) yang diterajuinya.

Dengan kekalahan teruk BN sehingga hilangnya majoriti dua pertiga penguasaan di Dewan Rakyat, ahli Umno akar umbi sudah membuat penilaian serius terhadap pucuk pimpinan parti tersebut dengan mencadangkan suatu perubahan berlaku agar satu jalan bagi membolehkan pucuk pimpinan sedia ada disingkirkan dibuka dengan seluas-luasnya.

Jalan itu ialah memansuhkan kuota pertandingan jawatan tertinggi parti itu kepada had yang dicadangkan itu bagi membolehkan angin demokrasi ditiupkan semula ke dalam parti berkenaan.

Keputusan pertemuan kepimpinan tertinggi sebelum ini, sudah tidak diendahkan lagi oleh ahli Umno Muar supaya memberi sokongan penuh kepada pucuk kepimpinan parti itu agar jawatan tertinggi khususnya Presiden dan Timbalan Presiden, tidak dipertandingkan.

Suara protes ahli sebelum ini sudah begitu lantang kedengaran dari seluruh pelusuk negara dan dipercayai ia akan menjadi-jadi sehingga tiba Perhimpunan Agung Umno Disember ini.

Prestasi kedua-dua pucuk kepimpinan parti itu, Abdulah dan Najib mendapat penilaian buruk ahli parti itu, apabila kedua-duanya tidak berupaya meletakkan negara dan parti itu dalam kedudukan selesa.

Kehilangan banyak negeri yang kini dikuasai pakatan rakyat termasuk Wilayah Persekutuan cukup merungsingkan ahli parti itu. Sudah pasti mereka meletakkan kesilapan besar kepada pucuk kepimpinan parti bagaimana Abdullah dan Najib tidak berkemampuan mengenalpasti kehendak rakyat dan cepat mengatasi segala kepincangan berlaku dalam pentadbiran negara khususnya isu berkaitan dengan skendal berkait dengan kepimpinan negara, konspirasi politik,rasuah, kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barang, sebelum tibanya pilihan raya umum ke 12, 8 Mac lalu.

Sogokan pilihan raya tidak lagi mengikat pengundi untuk terus mengundi BN dalam pilihan raya umum lalu di kebanyakan negeri di pantai Barat dan Utara Semenanjung apa lagi pengundi-pengundi di bandar di kebanyakan negeri.

Parti itu hanya mencurahkan wang untuk menempah kuburnya sendiri. Yang pentingnya ialah dasar parti dan sikap kepimpinannya perlu berubah.

Hasrat rakyat untuk melihat bebanan kehidupan mereka akibat kepincangan politik dan kejatuhan ekonomi berpunca dari salah urus pucuk pimpinan negara dikurangkan atau dihapuskan terus, perlu diberi perhatian serius oleh Umno.

Sepatutnya bukan sekarang tetapi sejak Umno itu wujud, 50 tahun lalu. Rakyat sekarang majoritinya bukan jenis mereka yang mudah dicucuk hidung seperti dulu, ketika mereka berada di ambang merdeka atau selepas beberapa tahun mengecapi kemerdekaan negara dari penjajah.

Sekarang mereka sudah pandai mengkaji sejarah politik negara dan peka merasai kepincangan politik dan ekonomi kerana rakyat yang buta huruf zaman pasca kemerdekaan sudah lama pergi.

Tinggal hari ini, rakyat yang celik sejarah, bermaklumat, sensitif terhadap kelemahan yang berlaku dan suka memprotes untuk melihat perubahan segera berlaku bagi membebaskan diri mereka dari belenggu kehancuran politik dan budaya dan ekonomi negara.

Mereka percaya Malaysia bukan negara miskin, hasil bumi masih banyak khususnya hasil petroleum dan gas mencecah puluhan bilion ringgit setahun.

Mereka mempertikaikan kemana perginya wang begitu banyak sedangkan kehidupan mereka masih dicengkam kemelut ekonomi dan politik berpanjangan. Kenapa wang negara yang begitu banyak tidak dimanfaatkan untuk mengatasi semua masalah itu?

Apa lagi mereka menerima maklumat kepimpinan negara terbabit dengan skendal rasuah dan skendal membocorkan wang khazanah negara itu untuk kepentingan kroni dan keluarga sendiri.

Ia menjadi cetusan kemarahan mereka dan akibatnya Umno dan pemimpinnya menerima desakan supaya hentikan kegiatan buruk itu atau mereka sendiri perlu disingkirkan dari menerajui negara.

Dewan Ulama sokong penuh kenyataan Presiden PAS


Dewan Ulama PAS Pusat ingin mengalu-alukan dan menyatakan sokongan sepenuhnya kepada kenyataan yang dibuat oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS sebagaimana yang telah dimuatkan dalam Harakah keluaran 13-28 Rejab 1429/ 16-31 Julai 2008 yang antaranya memperjelaskan peranan PAS dalam arus politik perdana masa kini.

Dewan Ulama PAS Pusat amat prihatin dengan isu negara yang berlaku dan sentiasa memastikan agar ianya memberi kesan yang baik untuk Islam dan ummahnya.

Dewan Ulama juga berkeyakinan bahawa masyarakat Malaysia pada hari ini menaruh harapan yang tinggi kepada PAS untuk menerajui negara, bahkan telah ramai yang ingin melihat wujudnya Negara Islam atau negara berkebajikan yang sebenar yang memberi jaminan keamanan dan kesejahteraan kepada semua kaum dalam negara.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PAS sememangnya mengambarkan bahawa perjuangan PAS adalah jelas iaitu menyeru manusia ke arah yang maaruf dan berusaha menjauhkan manusia dari kemungkaran dan kezaliman.

Apa saja cara yang diajar oleh Islam itulah teori dan landasan yang dibawa oleh PAS. Pendekatan yang diambil oleh PAS dalam arena politik tanah air sememangnya berbagai-bagai dan PAS ternyata telah matang.

Dewan Ulama percaya bahawa semua ahli PAS seharusnya menyedari bahawa bertemu dan berbincang dengan mad�u yang mempunyai pelbagai latarbelakang adalah penting untuk memastikan sasaran dakwah dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Semua ahli diajar bahawa Tahaluf Siyaasi adalah satu juzuk yang penting dalam politik Islam. Ia mesti diguna pakai oleh Jamaah Islam seperti PAS agar dasar yang diperjuangkan oleh PAS dapat dihayati dengan lebih dekat oleh rakan-rakan di dalam gagasan tahaluf siyaasi ini.

Selain dari itu juga, kehadiran PAS dalam Pakatan Rakyat adalah perlu difahami dalam konteksnya yang luas.

Kerjasama yang dibuat oleh PAS amat jelas iaitu untuk menentang kezaliman dan menegakkan kebenaran (Islam). Kerjasama dan pakatan yang boleh merealisasikan hasrat murni ini sudah pastinya akan terus dijulang oleh PAS.

Begitu juga sebaliknya kalau pakatan yang merugikan Islam dan perjuangannya pasti akan ditolak oleh PAS.

PAS bukannya parti yang melukut di tepian yang boleh diletakkan di mana-mana. Parti-parti lain yang turut mendukung cita-cita membentuk kerajaan baru di Malaysia pula perlu terlebih dahulu menjaga sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam di Malaysia.

Isu-isu syiar agama yang menjadi tuntutan dan prinsip kepada orang yang beragama Islam perlu juga difahami tahap sensitivitinya.

Wujudnya tuntutan untuk memperlahankan suara azan sebagai contohnya menunjukkan segelintir masyarakat masih tidak memahami urusan penting bagi umat Islam. Perkara ini sepatutnya difahami oleh semua kaum di Malaysia.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .