Ikuti Blog ini

KERANA MELAYU PERJUANGAN UMNO SEMAKIN REPUT


  • Ramai percaya perjuangan berteraskan bangsa akhirnya akan pupus. Keadaan yang sama bakal menimpa Umno sekiranya dogma itu terus dipertahankan.
  • Seorang pensyarah, Nadzir Awang Ahmad pula menganggap kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengejutkan orang Melayu.
  • Anggota parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir berkata, amalan melantik pemimpin Islam yang berwibawa tanpa memilih bulu adalah amalan Islam sebenar kerana memeperlihatkan perjuangan Islam tidak sempit dan melangkaui sempadan bangsa.
  • Sedangkan pemimpin Umno sebelum ini mendakwa Malaysia sebagai negara Islam, namun mengapa pula pemimpin yang patuh kepada ajaran agama tidak mahu dicontohi
  • Perjuangan Umno semakin luput kerana ideologi yang dipertahankan sejak 1946 sudah tidak sesuai lagi dalam situasi masyarakat pelbagai agama dan bangsa di Malaysia.
  • Ramai menyokong penuh cadangan Tuan Guru Nik Abdul bagi memberi peluang pemimpin Cina Muslim yang warak menjadi ketua kerajaan.
  • Adun Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria berkata, pemikiran Menteri Besar Kelantan melangkau sempadan bangsa sehingga menyebabkan Umno semakin gelisah.
  • Umno tetap mahu mempertahankan perjuangan berteraskan bangsa bukan bagi kepentingan rakyat demi mendapat faedah peribadi mereka.
  • Adun Dabong, Ariffabillah Ibrahim berkata, cadangan Menteri Besar itu tidak mustahil dilaksanakan kerana Islam tidak meletakkan bangsa sebagai fokus perjuangan.
  • Cadangan tersebut amat ditakuti Umno kerana tanpa perjuangan Melayu Umno sudah tidak bermakna lagi.

SU Akhbar TG Nik Aziz minta Berita Harian mohon maaf

KOTA BHARU, 30 Dis: Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Saiba Yaacob meminta akhbar Berita Harian memohon maaf secara terbuka kerana menyiarkan kenyataan yang dianggap tidak tepat mengenai dirinya.

Malah katanya, wartawan akhbar berkenaan tidak pernah menemuinya sebelum menyiarkan kenyataan dianggap panjang lebar berkaitan dirinya.

“Beberapa laporan yang terdapat dalam akhbar berkenaan semalam bukan sahaja tidak betul, bahkan tidak pernah menghubungi saya untuk mendapatkan sebarang penjelasan.

“Laporan itu kata saya merancang untuk mengajar di Kias tak betul, nak melanjutkan pengajian di Kuis pun tak betul, sebaliknya saya akan menyambung pengajian di peringkat PhD di UM,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Akhbar terbabit semalam menyebut Mohd Saiba sudah lama merancang menjadi pensyarah di Kias sambil melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Kuis.

Laporan tersebut juga memberitahu beberapa pihak mempersoalkan Setiausaha Politik Menteri Besar, Annual Bakri Harun kerana gagal memberi nasihat yang betul kepada Menteri Besar.

Oleh yang demikian, Mohd Saiba memberi peluang akhbar berkenaan memohon maaf sebelum tindakan lanjut diambil memandangkan berita yang disiar tidak mendapat kebenarannya dan turut dilibat nama Anual Bakri.

“Jadi bagi membersihkan nama saya dengan laporan yang agak kurang manis, ada baiknya akhbar berkenaan memohon maaf secara terbuka sebelum tindakan lanjut diambil,” ujarnya.

Katanya begitu kecewa dan terkejut dengan laporan tersebut dengan memperincikan maklumat mengenainya.

Beliau juga berkata, ekoran laporan tersebut menyebabkan beliau bertemu dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku.

Katanya juga beliau mengambil keputusan tidak menyambungkan kontrak kerana ingin melanjutkan pengajiannya di peringkat PhD di Jabatan Syariah di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Siasah Syariah.

“Pada masa yang sama saya akan bertugas sebagai ahli akademi seperti jawatan asal sebelum ini di sebuah kolej di sini,” tambahnya.

Saiba sebelum ini pernah bertugas sebagai pembantu pensyarah di UM selama empat tahun sehingga 2000, kemudiannya mengajar di Kolej Darul Quran di Terengganu akhir 2000 hingga Januari 2002.

Selepas itu dilantik Setiausaha Akhbar Menteri Besar pada 3 Febuari 2002 dan berakhir Febuari 2010.

Beliau merupakan Setiausaha Akhbar yang keempat dan paling lama berkhidmat iaitu selama lapan tahun.

Semalam Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengesahkan kedua-dua setiausahanya itu akan tamat tempoh perkhidmatan, di mana Anual mohon berhenti dan Saiba tamat tempoh kontrak.

Zambry Ditahan Di San Franscisco

Amerika Syarikat menghalang Menteri Besar Haram Barisan Nasional Perak, Zambry Abd Kadir daripada memasuki Amerika negara itu kerana namanya tercatat dalam senarai pengganas yang dikenalpasti oleh negara tersebut.

Memetik laporan akhbar rasmi PKR, Suara Keadilan, Zamry berlepas ke San Francisco 9 Disember lalu atas misi perdagangan dan pelaburan anjuran Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

Menurut sumber yang rapat dengan pejabat Menteri Besar Perak, sampai sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco pihak imigresen menahan Zambry dari memasuki negara itu apabila nama beliau tersenarai dalam pangkalan data pengganas.

Sumber tersebut memberitahu Suara Keadilan keadaan itu menimbulkan kecurigaan pada pihak keselamatan dan Zambry gagal meleraikan syak wasangka pegawai AS berkenaan.
Zambry tidak ada pilihan kecuali menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia.

"Beliau sepatutnya mengetuai delegasi Perak untuk mempromosi peluang pelaburan dan perdagangan tetapi diarah pulang dan tidak ada perwakilan Perak untuk misi itu," kata sumber.

Misi perdagangan dan pelaburan ke Amerika Syarikat anjuran MIDA berlangsung dari 7 hingga 12 Disember di San Francisco dan Los Angeles.

Ketika dihubungi Penolong Pengarah Kanan MIDA (FDI Amerika), Norhizam Ibrahim berkata pihaknya hanya diberitahu Zambry ada komitmen lain dan tidak dapat menghadiri misi berkenaan.

Teoh Beng Hock Sah Dibunuh - Autopsi Kedua

Teka-teki kematian setiausaha politik exco Selangor, Teoh Beng Hock akhirnya terjawab apabila laporan kedua pakar patologi terkemuka, Pornthip Rojanasunand dari Thailand membuktikan kesasihan ujian forensik itu yang mensabitkan mendiang mati dibunuh Julai lalu.

Menurut sumber-sumber kementerian kesihatan Pornthip membuat rumusan itu setelah hadir sama pada bedah siasatan kedua mendiang Teoh pada 22 Novermber lalu di Hospital Sungai Buloh.

Memetik laporan akhbar rasmi PKR, Suara Keaadilan, sumber berkenaan juga mendakwa, Pornthip sudah menyerahkan laporan kepada pihak-pihak berkenaan, termasuk keluarga Teoh dan kerajaan negeri Selangor yang meminta bantuan kepakarannya selepas terdapat keraguan yang melampau terhadap kesan yang ada pada mayat mendiang.

Inkues kematian Teoh ini akan disambung pada 7 Januari 2010 selepas dua kali ditangguh.

Difahamkan, Pornthip mengguna pakai beberapa teknik dan proses baru yang meyakinkan beliau sepenuhnya bahawa Teoh mati dibunuh dan bukan membunuh diri atau pun menjadi mangsa kemalangan.

Teoh, 30, ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, di mana pejabat SPRM Selangor terletak, pada 16 Julai lalu selepas disoalsiasat sepanjang malam hingga ke Subuh oleh SPRM.

Mendiang disiasat berkenaan tuntutan RM3,000 kerana pembelian bendera sempena menyambut kemerdekaan negara

Memetik laporan-laporan terdahulu, tindakan SPRM itu adalah sebahagian daripada komplot atau konspirasi Umno-BN yang mahu menjatuhkan kerajaan PR di Selangor dengan membabitkan pemimpin-pemimpin PR di negeri itu.Tujuh lagi kes membabitkan exco dan pegawai mereka, kebanyakannya dari DAP juga sedang disiasat SPRM.

Namun pelbagai laporan yang dibuat kepada suruhanjaya itu, yang membabitkan pemimpin Umno-BN, termasuk mantan Menteri Besar Khir Toyo yang didakwa memiliki rumah ala-Bali bernilai lebih RM20 juta, menjadi ’sunyi’ dan ’sepi’ dalam peti simpanan SPRM.

Teoh mati pada hari yang sama beliau sepatutnya berkahwin dengan tunangnya yang mengandung tiga bulan.

Dalam keterangan pertama Pornthip di hadapan koroner, Azmil Muntapha Abas Oktober lalu, pakar forensik Thailand itu yakin 80 peratus kematian Teoh kerana dibunuh.

Beliau membuat rumusan itu berdasarkan gambar menunjukkan tanda bulatan merah pada tengkuk mendiang yang menjadi petunjuk Teoh dicekik. Kesan jari juga dilihat pada tengkuk mangsa.

Pornthip juga menyatakan dengan tegas, Teoh juga didera kerana ada kesan luka pada dubur mangsa akibat tusukan objek keras.

Di samping itu, tegas Pornthip tiada tanda-tanda akibat jatuh pada tengkorak kepala Teoh, sebaliknya lebih mirip kepada dipukul dengan kuat.

Selain Pornthip, autopsi kedua itu juga disaksikan oleh pakar patologi, Prof Dr Peter Vanezis dari Pusat Sains Forensik Cameron, United Kingdom bagi pihak SPRM, serta Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberkar.

Autopsi dilakukan oleh Ketua Jabatan Patologi dan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor.

MALAYSIA BELI PESAWAT PEJUANG UNTUK PAMERAN

Langkah Kerajaan untuk menggantikan pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) MIG 29N yang akan ditamatkan perkhidmatan pada 31 Disember 2010 menggundang kritikan dari pelbagai pihak. Terkini daripada Tun Dr. Mahathir yang merupakan individu bertanggungjawab urusan pembelian MRCA berkenaan di Malaysia semasa menjadi Perdana Menteri.

Beliau mempertikaikan kemungkinan penglibatan orang tengah yang ambil untung 'atas angin' di sebalik urusan pembelian jet pejuang baru itu nanti.

Dr. Mahathir juga berkata negara lain seperti India yang menggunakan jet tempur jenis yang sama tidak berhadapan dengan sebarang masalah. Alasan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan tidak mampu menanggung kosRM 260 juta untuk baik pulih 17 pesawat sedia ada.

Tambah Dr. Mahathir, walaupun pesawat tentera Rusia lebih murah berbanding buatan Amerika Syarikat (AS), tetapi sejumlah wang yang besar masih terpaksa dibelanjakan untuk menukar kepada pesawat baru yang sudah pasti akan menelan kos jutaan ringgit.

"Dalam keadaan ekonomi negara sekarang, mampukah kita belanja ratusan juta untuk pesawat ganti?

"Pesawat AS kononnya tahan lebih lama. Tetapi kita perlu ingat apabila duit untuk membeli MiG-29 diguna untuk beli pesawat F/A-18, akhirnya kita tahu syarat ketat yang dikenakan oleh AS," katanya.

Jelas beliau, pihak AS tidak akan memberikan source code atau kod teknikal yang akan mengehadkan kegunaan pesawat F/A-18 itu dan akhirnya digunakan untuk tujuan pameran sahaja.

Inilah juga yang berlaku terhadap pembelian jet pejuang Hawk 100 dan 200 dari Britain yang disifatkan oleh kerajaan terbaik di dunia dalam kelasnya ketika itu. Menurut sumber Kementerian Pertahanan sebelum ini lebih separuh dari pada jet pejuang berkenaan tidak dapat digunakan kerana kesukaran mendapatkan alat ganti.

Saya yakin banyak lagi aset pertahanan yang dimiliki negara mempunyai masalah yang serupa.

Ini bermakna Malaysia mempunyai banyak koleksi pesawat pejuang canggih yang tidak dapat digunakan atau berfungsi seperti sepatutnya dan kini hanya menjadi bahan pameran.

Namun jika terlalu banyak aset ketenteraan yang hendak dipamerkan dan tidak ada ruang atau tempat untuknya, saya yakin di Melaka negeri yang mempunyai berpuluh muzium bersedia untuk menawarkan muzium baru untuk pesawat pejuang milik negara yang tak boleh guna.

Apa yang berlaku menunjukkan sesuatu yang tidak kena terhadap aset pembelian keselamatan negara yang menelan kos bilion ringgit. Kenapa dalam laporan audit negara tidak mendedahkan hal ini? Adakah tidak dapat dikesan atau memang sengaja dirahsiakan kerana faktor keselamatan atau melindungi individu tertentu yang berkepentingan?

Dalam hal ini sebenarnya, Dr. Mahathir yang menjadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Najib Menteri Pertahanan ketika itu kena bertanggungjawab dan menjelaskan punca masalah yang berlaku.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .