KUANTAN - Hasrat seorang lelaki cuba menyelesaikan salah faham yang
timbul berhubung dakwaan penyokong parti lawan kononnya bendera parti
mereka dibuang pihak tertentu hampir meragut nyawanya apabila dia parah
ditetak dalam kejadian di Felda Neram 1, Kemaman dekat sini, awal pagi,
semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa Hasri Hassan,
40, yang juga ahli PKR ranting tanah rancangan Felda terbabit cedera di
bahagian bawah lutut kanan, pergelangan kaki kiri, tangan kiri dan
bahagian belakang badan akibat ditetak dan dipukul menggunakan parang
serta kayu oleh kumpulan terbabit.
Mangsa yang turut ditumbuk serta disepak dan tidak sedarkan diri
dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bukit Goh dekat sini sebelum dirujuk ke
Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan bagi rawatan lanjut.
Hasri ketika ditemui di rumahnya semalam berkata, suspek yang
menyerangnya tidak kurang daripada 13 orang berusia dalam lingkungan 20
hingga 40-an termasuk beberapa individu dikenali dari tanah rancangan
itu.
Menurutnya, kira-kira jam 11 malam, dia bersama beberapa rakan sedang
minum di sebuah warung sebelum didatangi seorang penyokong parti lawan
mengadu bendera parti mereka dicabut dan dibuang individu tertentu dalam
kalangan penyokong pembangkang.
“Saya dibawa ke lokasi oleh lelaki itu menaiki motosikal dan saya dapati
terdapat beberapa bendera parti lawan berada di bawah tebing seperti
didakwa.
“Saya turun melihat dan agak pelik kerana bendera terbabit kelihatan
bersih seolah-olah sengaja diletakkan dan bukan seperti dibuang,”
katanya.
Dia berkata, disebabkan keengganan lelaki terbabit mendedahkan individu
yang didakwa bertanggungjawab, dia mengambil keputusan untuk pulang.
“Mereka kata nampak individu yang buat kerja itu tapi tidak mahu
dedahkan namanya jadi saya kata masalah itu tidak dapat diselesaikan
lalu mengajaknya pulang,” katanya.
Hasri berkata, semasa berada di atas motosikal lelaki itu mengugut untuk
mencabut semua bendera parti pembangkang di kawasan tersebut namun dia
menegur dan menghalangnya daripada berbuat demikian.
“Dia naik angin dan mencabar saya menghalangnya jika berani. Saya rasa
tercabar dengan cabaran lelaki itu dan minta dia berhentikan motosikal
sebelum berlaku pergelutan.
“Bagaimana pun pergaduhan itu tidak berlanjutan dan dia minta maaf atas perbuatannya sebelum beredar,” katanya.
Dia berkata, selepas kejadian, dia balik ke rumah dan keluar kembali selepas seorang rakan datang mengajak keluar minum.
“Sebaik saya tiba di kedai itu, lelaki tadi ada di situ bersama
saudara-mara dan rakannya sambil membawa kayu dan parang panjang
seolah-olah sedang menanti kehadiran saya.
“Sangkaan itu tepat apabila kumpulan terbabit tiba-tiba menyerbu dan
menyerang saya sambil mengayunkan parang dan kayu di tangan mereka,”
katanya.
Menurutnya, dia hanya mampu mengelak dan terpaksa mempertahankan diri
daripada serangan itu menggunakan tangan dan bahagian belakang badan.
“Saya dapat rasakan mata parang dan kayu terkena bahagian belakang namun
tidak boleh buat apa-apa sebaliknya berserah kepada ALLAH.
“Orang ramai yang berada di situ juga tidak mampu untuk menolong kerana
kumpulan terbabit bersenjata selain turut mengugut mereka jika tampil
membantu,” katanya.
Dia berkata, ekoran serangan bertubi-tubi dia terjatuh dan ketika itu
beberapa lelaki memegangnya dan yang lain menyerang dengan menetak
bahagian kaki.
“Ketika itu saya hanya ingatkan mati atau mungkin bahagian kaki akan terputus.
“Lepas itu saya tidak sedarkan diri dan sedar-sedar berada dalam markas
setelah dibawa ke situ sebelum dihantar ke klinik Bukit Goh manakala
kumpulan terbabit melarikan diri.
Menurutnya, selepas dihantar ke HTAA untuk menerima rawatan dia mengambil keputusan untuk pulang ke rumah.
Menurutnya, dia menyerahkan kes itu kepada pihak polis untuk menjalankan
siasatan malah salah seorang daripada kumpulan itu dipercayai pernah
terlibat menyerang penyokong pembangkang di kawasan itu sebelum ini. ~
Sinar Harian
Berita paling bangsat yang kita peroleh hari ini. Cedera ringan banyak
dah. Kena tikam pun sudah. Kena tetak dengan parang pun sudah. Bila pula
mereka akan membunuh?
Semoga pihak polis bertanggungjawab penuh atas keselamatan rakyat
Malaysia walau di pihak mana mereka berada. Polis bukan untuk UMNO
semata-mata. Jangan malukan kedaulatan undang-undang Malaysia.
Adakah penjenayah seramai sepuluh orang itu akan dilepaskan begitu
sahaja? Atau adakah satu kambing hitam akan dikenakan hukuman manakala
selebihnya akan dilepaskan? Kita tunggu beritanya nanti.
-adios