Ikuti Blog ini

Presiden tegaskan PAS tidak akan sertai BN


IPOH, 16 Ogos - Buat sekian kalinya Dato' Seri Abdul Hadi Awang menegaskan PAS tidak sekali-kali akan menyertai Barisan Nasional (BN) atau mengadakan kerjasama dengan Umno.

Presiden PAS berkata, muqabalah yang diadakan sebelum ini kerana kita dijemput dan bukan kita yang menghulurkan tangan kepada mereka.

"Kita ada prinsip. Sudah dibuat keputusan, PAS sekali-kali tidak akan menyertai BN. Kalau hendak bincang perkara lainlah termasuk Akta ISA, OSA, sekat royalti Terengganu.
"Kerajaan BN sebenarnya ada banyak penyakit, tidak pasal-pasal kita hendak masuk bahtera yang ada penyakit," katanya ketika menggulung ucapan dasar presiden menjelang penangguhan muktamar pada hari kedua, petang ini.

Menurutnya Islam mengajar kalau orang ajak bincang, kita perlu berbincang dengan mereka."Ini kerana hasil perbincangan (muqabalah) itu Harakah sudah dibenarkan terbit dua kali seminggu. Ini baru mukadimah, sedangkan kita sudah hantar surat dan menyebutnya di parlimen.

"Sedangkan perkara itu (muzakarah) tidak berlaku sebelum ini biar pun diajak berlaki-kali melalui surat yang dihantar kepada Presiden Umno, namun tidak dijawab.

Menurutnya PAS meletak perjuangan parti mengikut tahalul siasi di mana kita menyertai Pakatan Rakyat selain berjaya mengekalkan kerajaaan di Kelantan pada pilihan raya umum lalu.
"Saya sebagai nelayan, saya tahu cara hendak tolong orang yang lemas. kita beri jaminan semua perkara mesti dirujuk kepada parti manakala Majlis Syura Ulamak memberi panduan," katanya.

Ustaz Abdul Hadi berkata, hasil kemenangan itu menyebabkan ada parti lain yang hendak peluk PAS.
"Mereka hendak peluk PAS, sedangkan kita kata tidak ada love to you," tambahnya diikuti kelak ketawa perwakilan dan pemerhati.

Beliau berkata, hasil kejayaan hubungan dalam Pakatan Rakyat membolehkan tiga pemimpin PAS mengetuai kerajaan negeri iaitu di Kelantan, Kedah dan Perak.
Manakala sebuah lagi negeri diketuai KeADILan dan satu lagi DAP.

Menurutnya juga PAS mempunyai kedudukan yang kukuh di mana memenangi 83 kerusi, KeADILan (40) dan DAP 73 kerusi di peringkat negeri dan Parlimen.
Malah kerusi PAS mempunyai kerusi pertama di Dun di Negeri Sembilan dan di Johor bertambah kepada dua.

"Saya ucap terima kasih rakan-rakan Pakatan Rakyat kerana memberi kerjasama erat," katanya
Beliau juga memuji ahli-ahli parlimen PAS kerana berjaya memainkan peranan mereka dengan berkesan di Dewan Rakyat sebelum ini.

Menurutnya sebelum ini kehebatan ahli parlimen PAS kerana mereka turut dibantu tokoh-tokoh akademik terkenal termasuk Prof Ungku Omar dan Dr Aminuddin Baqi yang berada di belakang tabir.

Kunjungan mengejut MB Perak ke sudut media


IPOH, 16 Ogos - Rasa penat dan mengantuk warga media terubat seketika apabila Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin menjenguk ke sudut media di dewan Muktamar Tahunan PAS ke 54, Stadium Indera Mulia, sebentar tadi.

Nizar yang diiringi Pengurus Operasi Pembangunan Perniagaan Harakah, Shuhaimi Embong, tanpa diduga menyapa dan bersalaman para wartawan sebaik saja sidang muktamar hari ini berakhir kira-kira 6.15 petang tadi.

Beliau yang berbaju Melayu berwarna peach dengan ramah bertanya khabar kepada wartawan Harakah yang sedang menyiapkan tugasan masing-masing.

"Idak ke letih yop...," usik beliau kepada Pengarang Berita Harakah, Tarmizi Mohd Jam dan rakan-rakan wartawan yang lain.

Beliau juga yang mesra rakyat tidak keberatan untuk bergambar bersama pasukan wartawan Harakah, yang tidak jemu-jemu sejak 15 Ogos lalu membuat liputan langsung muktamar.

Satu lagi halangan dilepasi DSAI



Assalamu 'alaikum,,..
Selawat dan Salam ke atas Junjungan,,..

Pengesahan penerimaan pencalonan DSAI di PRK PP pagi ini melegakan penyokong PR.DSAI yang diiringi lebih kurang 100 ribu penyokong berbanding lebih kurang 5 ribu penyokong calon BN menjelaskan kekaburan berikutan percubaan menyekat beliau dari bertanding.Maka sahlah sekarang DSAI melepasi satu lagi halangan menuju destinasinya, Putra Jaya.

Kini harapan penyokong PR dipikul oleh DSAI dan harapan DSAI dipikul bersama penyokong PR.Mesej semakin jelas kedengaran dan semakin diterima rakyat bahawa perjuangan ini bukan untuk DSAI tetapi kerana DSAI.Perjuangan ini ialah perjuangan PR,bukannya perjuangan peribadi DSAI.

Di ambang PRK PP ini juga,rakyat disajikan dengan sumpah mubahalah si penuduh dan dimainkan saban hari oleh media perdana.Lagu lama dan taktik lama masih dialunkan oleh BN tetapi kali ini rakyat tak mudah lupa seperti orang UMNO mudah lupa.DSAI secara resmi dinamakan sebagai calon PR di PRK PP.Satu lagi ketakutan diatasi sekaligus membuka jalan yang lebih luas di hadapan.

Seiring dengan PRK PP ini ialah kenyataan Tok Guru presiden PAS yang menegaskan sokongan tidak berbelah bagi kepada DSAI.Satu suntikan dan satu penjelasan kepada kesamaran yang cuba dimainkan oleh BN menerusi media perdana.BN kalah lagi,itulah mesej jelas dari kenyataan Tok Guru ini,terlebih lagi diucapan dasarnya Tok Guru juga menjelaskan perkara yang cuba diputarbelit selama 2/3 mnggu ini bahawa PAS tidak akan bekerjasama dengan parti yang sakit.

Tok Guru juga tegas menyatakan keyakinannya bahawa DSAI tidak bersalah dan mubahalah si penuduh bermotif politik,sekaligus mengesahkan kenyataan yang sama oleh DSAI yang dibuat sebelum ini.Rakyat sudah tahu dan faham kenapa mubahalah itu tidak perlu dan tidak menjejaskan sedikitpun sokongan kepada DSAI malah diyakini bakal menambah sokongan.

Nampaknya BN semakin terdesak.semua percubaan menyekat DSAI gagal tetapi BN masih ada SPR untuk terus mencuba menyekat DSAI.Dari itu kepada penyokong PR teruskan usaha sambil teruskan berdoa agar PR diberi pertolongan ALLAH.Kepada petugas PRK PP dari PR,selamat bertugas kepada kalian dan sambutlah salam perjuangan dari ana yang jauh ini.

Buku 'Mutiara Dua Tok Guru' berharga RM25 dibida RM1,000



IPOH, 16 Ogos - Senaskah buku berjudul 'Mutiara Dua Tok Guru' yang telah ditandatangani oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din berjaya dibida pada harga tertinggi RM1,000.00 pagi tadi.

Seorang perwakilan Dewan Ulama, Ustaz Nik Mohd Zawawi Salleh, berjaya membidanya setelah berlawan dengan beberapa pembida lain sejurus buku tersebut dilancarkan oleh Dr. Haron pada Muktamar Tahunan PAS ke-54 yang diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh.

Wang jualan buku tersebut akan disalurkan kepada tabung sumbangan PAS Pusat bagi tujuan membiayai kegiatan parti diperingkat Pusat. Ketika Ustaz Nik Zawawi menerima buku tersebut di pentas, dewan digamatkan laungan takbir.

Sebelum itu, naskah buku yang ditandatangani oleh Dr Haron, telah diumum oleh Timbalan Pengerusi Tetap, Husein Ismail untuk dilelong pada harga terendah RM50 kepada semua perwakilan dan kepimpinan parti. Buku setebal 280 muka surat adalah karangan Mursyidul Am dan Presiden PAS, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam ucapan ringkas promosi buku tersebut, Dr Haron memuji keistimewaan buku itu yang disifatnya sebagai amat sesuai dijadikan rujukan para da'ie yang gigih berdakwah. Ujarnya, kandungan buku itu selaras dengan tuntutan hidup politik semasa.

"Buku 'Mutiara Dua Tok Guru', saya lihat benar-benar merupakan mutiara yang bermutu. Anda akan rugi jika tidak membelinya. Anda juga tidak akan menemukan dua pandangan daripada dua Tok Guru, Tuan Guru Mursyidul Am dan Tuan Guru Presiden tentang perjuangan PAS. Seruannya, kata-katanya, tulisannya daripada orang yang mengajak kita kepada Allah SWT. Mereka melaksanakan amalan-amalan yang soleh," terangnya.

Buku 'Mutiara Dua Tok Guru' diterbitkan oleh Nufair Street Sdn. Bhd. dan dijual pada harga RM25.00 di Semenanjung Malaysia manakala di Sabah dan Sarawak, buku itu dijual pada harga RM27.00. Dalam tinjauan Harakahdaily, buku tersebut banyak dijual di gerai-gerai pameran di luar stadium dan menjadi buku pilihan pengunjung.

Dr. Haron Din persoal mengapa penuduh pula yang bersumpah?


IPOH, 16 Ogos - Isu liwat yang membabitkan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan merupakan suatu keganjilan.

"Apa yang berlaku dalam konteks Saiful Bukhari bersumpah memperlihatkan keganjilan, bilamana sepatutnya yang bersumpah adalah pihak yang kena tuduh, tetapi apa yang berlaku adalah pihak yang menuduh," katanya.

Bahkan tambahnya, pihak yang kena tuduh (Anwar) pula sedang menunggu perbicaraan. Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu juga bertambah hairan apabila Saiful bersungguh-sungguh meminta Allah melaknat dirinya beserta keluarganya dalam sumpah tersebut.

"Mendengar Saiful melibatkan memohon kepada Allah melaknatinya beserta keluarga dan keturunannya tanpa menyebutkan berapa lama seolah-olah sampai ke hari kiamat, mana ada sumpah yang meminta Allah melaknati keturunan?"

"Tidak sepatutnya keturunan yang akan mewarisi kita dilaknati Allah bersama atas permintaan kita sedangkan mereka (keluarga) tidak melakukan kesalahan," ujarnya. Beliau turut mempertikaikan dalang di sebalik majlis angkat sumpah semalam oleh Saiful.
"Saya tidak nampak ini suatu cara yang sebenarnya berlaku dalam hukum syarak.
"Iaitu siapa yang menasihati dirinya, sama ada orang politik atau siapa?" tegasnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan Saiful dinasihati orang politik yang mempergunakan agama untuk memenuhi agenda politik mereka malah menggunakan masjid atau mempergunakan pegawai masjid untuk melakukan perkara yang amat janggal serta tidak kena pada tempatnya.

Dalam pada itu, Haron turut mempertikaikan sumpah yang dilafazkan oleh Saiful sebagai tidak dibuat dengan persiapan yang rapi apabila Saiful tersasul menyebut kalimah sumpah tersebut.

"Ianya seolah-olah tidak diprogramkan secara teliti, dengan persiapan yang tidak cukup sehingga sampai ke peringkat menyebutkan kalimah sumpah pun tersasul," katanya lagi.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa mesej Saiful yang kononnya tidak mengetahui tarikh penamaan calon Anwar dengan mengatakan ianya suatu kebetulan adalah bermotif politik.

"Ianya dibuat secara tergesa-gesa sebab dirujuk kepada orang yang benar-benar mengetahui prosiding sumpah sperti ini atau mungkin Saiful tidak diberi penerangan yang sejelas-jelasnya tentang akibat sumpah.

"Kenapa beliau tidak boleh menunggu sehingga proses mahkamah berjalan dan hukuman dijatuhkan dan apa kepentingan dirinya untuk bersumpah?
"Adakah ia agenda dirinya atau orang lain," ujarnya lagi.

Walau apapun, Haron berkata ia hanya boleh dijawab dengan meninggalkan tanda tanya.
Semalam upacara 'bersumpah' Saiful telah dijalankan di Masjid Wilayah Persekutuan terletak berdekatan dengan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Upacara itu diadakan sehari sebelum Anwar mengemukakan borang pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Permatang Pauh.

Sebelum Saiful 'bersumpah', pihak media telah berkumpul sejak selepas Asar, setelah diberitahu upacara sumpah 'mubahalah' akan dilakukan oleh Saiful.

Sebelum itu, Saiful didapati telah hadir di masjid tersebut sekitar pukul 4.30 petang semalam. Adalah difahamkan, Saiful telah 'disorokkan' di salah sebuah bilik dalam masjid itu.

Kelihatan dua orang pengawal keselamatan bersama seorang lelaki dan dua orang wanita sedang menunggu di hadapan pintu bilik tersebut yang sementara di hadapan pintu pejabat pentadbiran masjid, kelihatan seorang lelaki yang memakai baju Melayu berwarna ungu sedang berbual-bual dengan pengawal keselamatan.

Juga kelihatan bapa saudara Saiful, yang lebih dikenali dengan nama 'Uncle Pet' sedang bercakap dalam telefon bimbitnya dan dari sumber percakapan seperti mengatakan sesuatu tentang mengambil 'wudhu.'

Sejurus selepas itu, Uncle Pet memberitahu kepada wartawan yang Saiful ada di dalam.

"Dia kat dalam...," kata Uncle Pet tapi enggan mengulas dengan lebih lanjut.

Cadangan 'bermubahalah' ini pertama kali diusulkan oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin Julai lalu.

Gesaan ini dibuat untuk meredakan kekalutan yang sedang berlaku sekarang di mana Anwar menghadapi tuduhan meliwat oleh Saiful Bukhari. Ini adalah kali kedua Anwar menghadapi isu dakwaan meliwat. Kali pertama ialah pada tahun 1998.

Menurut Asri, "Kedua-dua mereka (Saiful dan Anwar), baik yang menuduh atau yang dituduh meliwat hendaklah bermubahalah kerana inilah cara yang pernah Nabi buat dulu."

Sumpah pegang Quran tiada dalam Islam: Nik Aziz


BUKIT MERTAJAM: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata kaedah sumpah laknat yang dilafazkan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan memegang kitab suci al-Quran adalah satu perbuatan yang menyalahi ajaran Islam.
Nik Aziz berkata perbuatan memegang atau menjunjung al-Quran sebenarnya adalah perbuatan meniru orang Kristian yang memegang kitab suci mereka.

“Dalam Islam sesiapapun bebas bersumpah untuk membuktikan dirinya benar tapi bukanlah dengan memegang kitab suci al-Quran kerana ia adalah perbuatan orang Kristian yang memegang kitab mereka ketika bersumpah,” katanya kepada pemberita selepas menyertai rombongan Pakatan Rakyat yang mengiringi calon Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di sini.

Menteri Besar Kelantan itu bagaimanapun berkata tindakan Mohd Saiful bersumpah laknat itu adalah dibenarkan dalam Islam dan kini terpulang kepada keikhlasan pengakuannya bahawa beliau diliwat Anwar.

Mengenai saranan supaya Anwar turut bersumpah, Nik Aziz berkata dalam Islam seseorang yang membuat pendakwaan harus bersumpah bahawa dakwaannya adalah benar dan kemudiannya tertuduh perlulah membela diri.

Semalam, Mohd Saiful membuat sumpah laknat di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mendakwa Anwar meliwatnya dalam keadaan paksaan.

Anwar pula menyifatkan tindakan bekas pembantu peribadinya adalah satu perbuatan politik kotor untuk menjatuhkannya pada pilihan raya kecil itu.

Live dari P44:100,000 iring Anwar. Anwar layak bertanding





Pengundi Hantu Lompat Parti


Hahahaha.....nak tergelak pulak baca dakwaan calon BN mengenai 'Pengundi Hantu' di Permatang Pauh.

Seringkali pihak pembangkang yang mendakwa ujudnya pengundi hantu. Kali ini dakwaannya datang dari calon BN Datuk Arif Shah. Ini bermakna memang ujudlah pengundi hantu seperti dakwaan pembangkang dahulu.

Kita lihat nanti apa komen pemimpin² BN yang lain tentang dakwaan rakan mereka sendiri. Senyap saja kot!

Mungkin pengundi hantu ini sudah mula sedar kemenangan akan berpihak kepada parti Keadilan. Jadi mereka awal² lagi dah melompat parti. Cari tuan baru.....hahaha!

Petikan dari Malaysiakini :

"Calon Barisan Nasional (BN) di pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, Datuk Arif Shah Omar Shah, mendakwa terdapat "pengundi hantu" di kawasan itu.

Ariff shah omar shahArif Shah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya berkata, satu kajian yang dibuat selepas pilihanraya 8 Mac lalu, mendapati banyak nama pengundi yang didaftarkan menggunakan satu alamat tetapi apabila disemak, hanya dua atau tiga orang sahaja yang tinggal di alamat"

"I love you" gamatkan muktamar


IPOH, 16 Ogos - Suasana dalam Stadium Indera Mulia, Ipoh pagi ini mula diceriakan dengan saranan kepada para suami mengucap 'I love you' (saya mencintaimu) kepada isteri masing-masing setiap hari.
"Ucapan ini paling disukai mereka yang bergelar isteri," kata wakil dari Pahang Dr Hamzah Jaafar dalam perbahasan ucapan dasar Presiden PAS yang mendapat sambutan gemuruh para hadirin dalam Muktamar Tahunan PAS ke-54 di sini hari ini.

Tidak habis dengan kata-kata tersebut beliau terus mencuit hadirin dengan saranan kepada suami yang berjauhan dengan isteri dengan berkata, "abang tidak boleh tidur ni... rindu dekat sayang," katanya yang disambut dengan gelak ketawa hadirin.
Padahal katanya, suami itu tidur berdengkur.

Ketika ini sekali lagi dewan menjadi gamat mendengar saranannya itu.
Sementara itu, hadirin juga digamatkan dengan ucapan dari wakil Dewan Pemuda, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi yang mengambil tempat selepas wakil Pahang berucap.

Hadirin yang pada mulanya khusyuk mendengar syarahan yang agak serius darinya tiba-tiba ketawa berdekah dengan cerita burung puyuh dengan seekor ular.

Kisah tersebut diceritakan bagi menerangkan sikap 'keras keng' segelintir ahli parti.
Sebutan perkataan 'keng' yang katanya dipinjam dari loghat Terengganu mendapat tarikan hadirin.

Suasana ini sedikit sebanyak menceria Muktamar di pagi yang permai ini.
Sekaligus, ia mematahkan anggapan ramai bahawa suasana dewan akan muram gara-gara hari penamaan calon di Permatang Pauh hari ini.

Setiap ruang dewan juga dipenuhi hadirin sejak awal pagi. Ramai hadirin kelihatan segak dengan baju Melayu warna-warni dan kopiah putih. Tidak ketinggalan juga dengan kaum Muslimat tampil dengan wajah berseri-seri pada hari ke empat persidangan.

Perebutan 3 penjuru di Permatang Pauh



Pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh akan menyaksi pertandingan tiga penjuru di antara calon BN, PKR dan Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).

Pengumuman tersebut dibuat oleh pegawai pengurus pilihanraya, Roslan Yahya pada jam 11.45 pagi tadi.
Calon-calon tersebut ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Datuk Arif Shah Omar Shah (BN) dan Hanafi Hamad dari AKIM.
Seorang lagi calon yang turut mengemukakan borang pencalonan pagi tadi, Dr Mansor Othman telah menarik diri.
Menurut Roslan, Suruhanjaya Pilihanraya menerima lima bantahan tetapi semuanya ditolak.

Dr Mansor yang juga timbalan pengerusi biro pilihanraya PKR, mengejutkan banyak pihak pagi tadi apabila mengemukakan borang untuk bertanding sebagai calon bebas.
Ekoran itu, tercetus desas-desus yang mengatakan Dr Mansor adalah calon 'simpanan' PKR sekiranya pencalonan Anwar, ditolak.
Ketika ditemui pihak media kemudiannya, pengarah pilihanraya PKR Permatang Pauh, Mustapha Kamal Yusof mengesahkan bahawa Dr Mansor adalah calon 'simpanan'.

Calon BN, Arif Shah adalah yang pertama menyerahkan borang penamaan calon pada jam 9.12 pagi dan diikuti oleh Anwar pada jam 9.18 pagi.
Dr Mansor pula menyerahkan borang penamaan calonnya pada jam 9.40 pagi, diikuti oleh Hanafi pada jam 9.55 pagi.
Roslan bagaimanapun tidak menyentuh langsung mengenai penarikan diri Dr Mansor.

'Perang mulut'

Sementara itu sepanjang menunggu proses pengumuman calon, keadaan di luar dewan riuh rendah dengan penyokong kedua pihak 'berperang mulut'.

pematang pauh by election nomination day 160808 04Penyokong BN melaung 'liwat tetap liwat' sambil menepuk benteng penghalang. Penyokong Pakatan pula membalas dengan laungan 'Altantuya' dan turut menepuk benteng penghalang.

Juga kedengaran laungan 'Samy Vellu undur undur'. Ini dibalas oleh penyokong BN dengan melaungkan 'Kasihan Saiful' beberapa kali. Kemudian kedengaran laungan Selawat dari penyokong Pakatan dan disambut oleh jeritan 'Hidup BN' oleh penyokong BN.

Kedengaran juga penyokong PKR yang meluangkan 'Saiful penipu' dan 'Tangkap boleh boleh'. Turut kedengaran laungan 'Najib' dan disambut dengan jeritan 'Altantuya'.

Keadaan tegang sedikit pada kira-kira jam 10.55 apabila seorang penyokong BN bertindak menunjuk punggung ke arah penyokong Pakatan. Dia bagaimanapun dinasihatkan oleh pihak polis supaya jangan berbuat demikian.

Kira-kira 40 anggota FRU kelihatan masuk ke ruang kosong yang memisahkan antara penyokong BN dan Pakatan, tetapi beredar keluar dari situ sejurus kemudian.

Penyokong kedua belah turut membawa kain rentang yang berbunyi 'Bersatu kita bersatu, menjulang pemimpin Melayu, Umno terus maju, menipu umat Melayu'. Di sebelah BN pula terdapat kain rentang 'Pastikan kemenangan Barisan Nasional di Permatang Pauh', 'Hidup Umno!!! hidup BN!!!.

Sebelum itu, Penyokong BN sampai di padang Institut Perguruan Tuanku Bainun pada kira-kira jam 8.50 pagi, penyokong kedua belah pihak bersorak antara satu sama lain. Di sebelah BN, kedengaran laungan 'liwat tetap liwat'. Manakala di pihak Pakatan, penyokongnya melaung reformasi.

Penyokong kedua belah pihak dipisahkan oleh benteng pada jarak 30 meter.

Sumpah Saiful tindakan bodoh


IPOH, 16 Ogos - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menganggap tindakan bersumpah yang dilakukan oleh Saiful Bukhari Azlan bagi mempertahankan kebenaran dirinya terhadap kes liwat membabitkan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah suatu kebodohan.
Menurutnya, lebih malang lagi ia melibatkan mereka yang terdiri daripada kalangan cerdik pandai agama.

"Ianya suatu kebodohan dan lebih malang lagi melibatkan golongan yang memakai jenama Islam," katanya pada sidang media di Muktamar Tahunan PAS ke-54 hari ini.

Jelasnya, kes tersebut adalah dikategorikan sebagai kes yang menyamai kes zina.

Menurut beliau, merujuk kepada artikel 121 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan, kes liwat yang dikiaskan kepada hukuman zina perlu diadili di mahkamah syariah.

Sumpah yang diucapkan oleh Saiful juga, ujar beliau hanya boleh dilakukan oleh isteri atau suami yang menuduh pasangan mereka melakukan zina.

Hukum yang disebut sebagai li'an dalam perundangan Islam ini, jelasnya tidak boleh dilakukan oleh orang yang tidak mempunyai hubungan perkahwinan seperti dalam kes liwat Saiful.

Ustaz Abdul Hadi turut menyifatkan kes liwat ini sebagai berunsur politik.

"Kita lihat, bagaimana Saiful Bukhari mengangkat sumpah sehari sebelum Anwar dinamakan sebagai calon.
"Maka tidak syak lagi ia sememangnya bermotifkan politik kotor dan tidak bermoral," tegasnya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Anwar tidak bersalah.
"Bahkan, badan kehakiman membenarkan beliau bertanding di Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh.
"Kita masih tetap menyokong Anwar dan menyatakan bahawa (beliau) tidak bersalah," katanya lagi.

Ditanya mengenai keperluan Anwar untuk bersumpah sepertimana yang dilakukan Saiful, beliau berpandangan ianya tidak wajar.

Ketika ditanya kemungkinan kes ini akan memberi kesan negatif kepada pengundi, Ustaz Hadi menegaskan ianya tidak mungkin.
"Saya tidak merasakan begitu, bahkan kemungkinan sokongan terhadap beliau bertambah itu ada," ujarnya lagi.

Mengulas isu yang sama, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Mohd Daud Iraqi berkata pertuduhan liwat memerlukan empat orang saksi yang adil.
"Sekiranya terbukti berlaku pembohongan maka kesaksian individu tersebut sudah tidak dapat digunakan sampai bila-bila," katanya.

Jelas beliau, bukan sebarang kenyataan dapat dibuat oleh saksi yang mahu membuktikan kes liwat ini.

Sumpah menggunakan kitab suci ini juga menurutnya menyerupai amalan golongan kristian.

MB Perak hormati keputusan Istana


IPOH, 15 Ogos - Menteri Besar, Dato' Seri Ir Nizar Mohd Jamaludin berkata beliau menghormati keputusan yang dibuat pihak Istana Perak berhubung pembatalan kebenaran bagi dua pemimpin utama PAS menyampaikan khutbah Jumaat pada hari ini di bandaraya Ipoh.

"Meskipun pada peringkat awal pihak Tuanku Sultan memperkenankannya, dan kini ianya telah berubah saya menghormati pandangan tuanku tersebut,"

Bercakap kepada pemberita selepas perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke-54, Nizar menegaskan beliau menerima keputusan daripda pihak istana dengan terbuka.

Diminta mengulas mengenai cadangan penubuhan Majlis Menteri Besar negeri-negeri Pakatan Rakyat oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan Dasarnya, Bekas Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak itu menyambut baik saranan tersebut.

"Bagi saya, ianya sangat perlu dan perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih terperinci lagi," ujarnya.

Penganjuran Muktamar Tahunan PAS Pusat buat pertama kalinya di Ipoh ujarnya membuktikan proses 'engagement' di antara semua rakyat berbilang kaum dan agama di Perak sangat memberangsangkan.

"Ia sekaligus menolak semua tanggapan kuno dan negatif yang ditohmah kepada PAS. Image

"Pada masa yang sama ia menunjukkan PAS mempunyai ciri-ciri global, selain kehadiran para tetamu luar yang berminat mengikuti sidang muktamar," katanya.

Dalam pada itu, bandaraya Ipoh katanya kini menjadi tumpuan banyak pihak dengan kehadiran pemerhati dari luar dan dalam negara seterusnya meningkatkan publisiti terhadap negeri Perak.

Muktamar Tahunan PAS kali ke-54 yang diadakan di Ipoh Perak bermula pada 13 Ogos lalu dan akan berakhir pada 17 Ogos akan datang.

Anwar akui PAS mahu PM yang boleh laksanakan Islam


IPOH, 15 Ogos - PAS akan menerima sesiapa sahaja sebagai Perdana Menteri asalkan calon tersebut melaksanakan Islam, demikian ujar Penasihat KeADILan, Dato Seri Anwar Ibrahim.

Tegasnya, beliau menghormati pendirian yang dibuat oleh parti Islam itu dalam usaha Pakatan Rakyat menyelesaikan isu pelantikan Perdana Menteri selepas kerajaan BN ditumbangkan.

"Mereka (PAS) akan menamakan sesiapa sahaja yang dilantik sebagai Perdana Menteri asalkan dia melaksanakan Islam," katanya ketika ditemui media hari ini.

Tambahnya, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin PAS bagi membincangkan beberapa perkara khususnya berkaitan pilihan raya kecil Permatang Pauh. Image

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai ucapan Dasar Presiden PAS, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PAS atas sokongan yang diberikan kepadanya dalam pilihan raya kecil itu nanti.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Ustaz Hadi atas penegasan mengenai arahan yang diberikan kepada ahli-ahli PAS dalam ucapan dasarnya hari ini.

"Ia adalah penting bagi Pakatan Rakyat ke arah perundingan yang lebih matang," ujarnya.

Tambahnya, beliau yakin bahawa PAS akan memberikan sokongan penuh kepadanya untuk menghadapi pilihan raya kecil itu nanti.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut menyatakan pihaknya telah melakukan persiapan yang lengkap bagi menghadapi hari penamaan esok, 16 Ogos.

Namun beliau tetap yakin pihak Umno-BN akan menggunakan segala apa yang mereka ada bagi memenangi pilihan raya di Permatang Pauh.

"Kita yakin bahawa BN akan menabur wang yang banyak nanti," katanya lagi.

Anwar beserta isterinya, Dato' Seri Dr wan Azizah adalah antara tetamu khas yang hadir ke Muktamar Tahunan PAS ke-54 di Dewan Indera Mulia, Ipoh Perak.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .