Beliau menyifatkan tindakan Zahrain, yang mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jumaat lalu, dan wakil rakyat yang melompat parti sebagai golongan yang mengkhianati amanah rakyat.
Katanya, wakil rakyat yang bertindak demikian mesti bertanggungjawab kepada rakyat yang memilih mereka pada pilihan raya lepas dan perlu menyerahkan mandat semula kepada rakyat untuk membuat pemilihan baru.
"Undi adalah amanah yang diberikan oleh rakyat, jika kita melompat ke parti baru atas sebab tertentu, maknanya kita tidak amanah kepada rakyat," katanya kepada pemberita ketika menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina oleh pengerusi syarikat perumahan SBJ terkenal di negeri itu, Datuk Tan Liang Chong, di Panji, dekat sini, hari ini.
TG Nik Abdul Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata demikian ketika mengulas tindakan Zahrain yang mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Parlimen Bebas setelah keluar dari PKR.
Keputusan Zahrain itu dibuat kerana beliau tidak yakin dengan kerajaan pakatan pembangkang Pulau Pinang pimpinan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dianggapnya diktator dan berfikiran ala komunis.
TG Nik Abdul Aziz berkata, isu lompat parti atau keluar parti bukan sesuatu perkara yang baru, malah ia sudah lama berlaku dalam PAS sendiri.
Menurutnya, sama ada wakil rakyat yang sengaja melompat atau dilompatkan akan diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka.
Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana setakat ini tidak ada wakil rakyat dari Kelantan yang bersikap demikian walaupun beberapa cubaan telah dibuat oleh pihak tertentu.
Katanya, wakil rakyat dari Kelantan tidak keluar parti atau melompat parti kerana mereka berpegang teguh kepada amanah dan mandat rakyat yang memilih mereka.
Mengenai sambutan Tahun baru Cina, TG Nik Abdul Aziz berkata, rakyat segenap lapisan digalakkan menghadiri majlis rumah terbuka masyarakat keturunan Cina, kerana ia tidak bercanggah dengan agama Islam. - BERNAMA