Ikuti Blog ini

Video : Kecoh !!! Sidang Akhbar Rahimi Dihentikan Kerana Gangguan Penyokong Anwar


Rahimi Osman (dua dari kanan) ketika muncul pada sidang media di Klang hari ini. – Gambar oleh Choo Choy May

KLANG: Sidang akhbar oleh bekas pembantu kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa dihentikan selepas diganggu sekumpulan lelaki sebaik sahaja bermula.

Semasa para wartawan sedang sibuk menunggu apa yang bakal diutarakan oleh Muhamad Rahimi Osman, di dalam satu bilik di sebuah restoran di sini kira-kira pada pukul 4.05 petang tadi, mereka dikejutkan dengan jeritan suara "Oi Sudahlah Rahimi Sudahlah" dan "Keluar, Keluar" berulang kali.

Kumpulan lelaki itu meminta Rahimi supaya menghentikan sidang akhbar itu dan tidak membuat dakwaan terhadap Anwar yang kini sedang dibicarakan di atas tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mereka juga mengambil kesempatan memburuk-burukkan Muhamad Rahimi, yang juga seorang ahli perniagaan, di hadapan media yang sedang menunggu kenyataan daripadanya.

Bagaimanapun, Rahimi kemudian mengambil keputusan untuk menghentikan sidang akhbar itu pada pukul 4.30 petang dan beredar daripada bilik itu yang bukan sahaja panas kerana gangguan daripada pihak luar tetapi kerana lebih daripada 30 pengamal media bersesak-sesak dalam bilik itu.

Pihak media yang khuatirkan keselamatan mereka turut bergegas keluar dan merasa lega apabila melihat beberapa anggota polis telah berada di luar restoran itu untuk mengawal keadaan.

Sementara itu, di luar restoran pembantu khas kepada Anwar mengenai kaum India Suresh Kumar berkata tindakan Muhamad Rahimi itu akan meningkatkan lagi tekanan kepada kes Anwar.

Bila ditanya kehadiran beliau pada hari ini sebagai penyokong Anwar, beliau berkata:"Sudah tentu, saya mahu lindungi Datuk Seri (Anwar), kami kenal Rahimi, saya kenal baik Rahimi dan (Mohd) Saiful."Dia mendakwa Muhammad Rahimi mempunyai hubungan istimewa dengan Mohd Saiful.

Bekas pembantu Anwar dakwa dipaksa tandatangan akuan sumpah kaitkan PM, Rosmah BACA DISINI

GALAS: PAS Tetap Lawan.


PAS tetap lawan biarpun Ku Li calon Galas

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, TG Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 4 November nanti.

Mursyidul Am PAS itu berkata, jika Tengku Razaleigh ingin menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pasti beliau sudah bertanding ketika Ahli Parlimen Gua Musang itu menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan.

Bagaimanapun, TG Nik Abdul Aziz, berkata PAS tidak akan memberi kemenangan percuma jika Tengku Razaleigh menjadi calon dalam pilihan raya kecil itu biarpun Ahli Parlimen tersebut pernah memberikan sokongan kepada kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS berhubung isu tuntutan royalti minyak.

"Tuntutan royalti dan menentang calon dalam pilihan raya adalah perkara yang berbeza," katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Lapan Briged di sini, hari ini.

Kerusi DUN itu kosong berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, di Kuala Lumpur akibat barah usus pada 27 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari ini bahawa penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan pada 26 Oktober dan pengundian pada 4 November.

Mengulas tarikh mengundi pilihan raya kecil itu, TG Nik Abdul Aziz berkata, jentera PAS sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya berkenaan.

"Bagi PAS akan yakin menang juga sekalipun yang dicalonkan itu Tengku Razaleigh," katanya.

Mengenai pemilihan calon PAS, beliau berkata, pihaknya sudah mempunyai calon yang sesuai untuk diketengahkan.

"Calon memang ada dan sekarang ini makin ramai orang layak jadi calon, kerana kita tunjuk secara fizikal dan praktikalnya di Kelantan, yang menyebabkan orang Melayu, orang Cina pun sudah tertarik," tambahnya. - BERNAMA

Perkembangan saman Petronas



Kerajaan Negeri bersetuju memenuhi permohonan peguam petronas untuk melanjutkan tempoh untuk mereka memfailkan penyataan pembelaan mereka dan sebaliknya pula tidak bersetuju atas penyertaan Kerajaan Pusat dalam kes saman tersebut.

Datang pilihanraya ada saja manusia mengaku macam-macam kondem Anwar..!!

Penipuan Rahimi Makin Terbongkar

Umno panik dengan pertembungan di kawasan majoriti Melayu di DUN Galas. Dalam keadaan mereka sedang melakukan perang saraf memaksa semua percaya bahawa Melayu sudah benci Pakatan Rakyat dan mencintai Umno melalui Perkasa yang mendapat hak francais peembakar suhu perkauman sudah tentu pilihanraya kecil di kawasan Melayu ini mencemaskan mereka.

Galas sukar buat Pakatan Rakyat untuk mengekalkan kerusi tetapi akan cuba yang terbaik. Bn cemas dan mengarut bermula dengan nak lantik pemimpin yang mereka pinggirkan selama ini 'KuLi' sebagai pengarah, Umno panik kerana kalau tewas Galas maka retorik konon mereka dipuja Melayu akan hancur.

Mereka tahu sesuatu perlu dilakukan segera. Pakatan Rakyat jika turun dengan jentera yang padu pasti Bn tumbang. Faktor pengikat Pakatan Rakyat, Anwar kini berada di Itali. Tanpa perlu menanti Anwar berada di luar negara serangan dituju kepada Anwar.

Kempen Bn sempena Galas bermula hari ini dengan 'kick off' nya dimulakan oleh Rahimi, bekas kakitangan di pejabat Anwar Ibrahim.


Rahimi ini kononya hari ini hadir di Ibu Pejabat Balai Polis Kelang dengan menyatakan dia dipaksa membuat kenyataan bersumpah palsu.

Strategi menggunakan Rahimi ini sudah dihidu beberapa hari lepas. Kononya Rahimi akan membuat aduan polis yang dia juga diliwat. Pelik juga sebab strategi itu mudah sangat dipatahkan kerana Rahimi ini pernah membuat akuan bersumpah dan rakaman audio visual menolak semua dakwaan Saiful, malah dia juga yang menimbulkan dan mengaitkan nama Ezam Mohd Nor sebagai orang yang terlibat dalam kes fitnah 2.

Mungkin 'perancang jahat' juga sedar perkara ini, maka Rahimi tidak jadi mengaku diliwat tetapi sekadar mengaku dia dipaksa membuat akuan bersumpah palsu.

Saya sendiri ada bersama beliau selepas Saiful membuat laporan polis dia diliwat. Rahimi oleh kerana kononya takut maka dia diletakkan di sebuah hotel dan beberapa teman saya diminta menjaga dan memenuhi keperluan Rahimi.

Sepanjang dijaga selama kira - kira 6 hari itu, dia bebas gunakan telefon, dia bebas ke sana ke mari termasuk ke Seri Pentas untuk menonton perlawanan bolasepak ketika itu.

Malah ketika berbual dengan teman-teman yang menemani beliau diberitahu betapa dia sedih kerana bagaimana Saiful boleh buat sedemikian rupa zalim terhadap Anwar.

Namun cheGuBard secara peribadi lansung tak percaya Rahimi ini, saya pernah sendiri ketika itu bercakap dengan Anwar Ibrahim sendiri mengenai keraguan yang timbul kerana beberapa perkara jelas yang terjadi tetapi Rahimi menipu. Rahimi ini cheGuBard tak suka sebab terlalu elit gayanya, pakai kereta mewah dengan pemandu, pakaian jenama hebat dan cakap besar sentiasa. Konon dialah orang yang banyak bantu Anwar itu dan ini termasuk susun pertemuan dan buat ucapan. Dia kata kalau nak anak muda ikut parti kena pakai banyak duit, itulah kata yang cukup menjadikan cheGuBard menyampah dengan dia, cuma dah tugasan ialah meneman bukan mendidik maka teman dan dengar je lah.

Mungkin sharpshooter a.k.a Din Binjai dan Zulkifli Ibrahim (Nibong Tebal) boleh berkongsi lebih banyak cerita kerana dialah yang bersama Rahimi ke banyak tempat 'berfoya' ketika mereka menemani Rahimi.

Dipaksa ? Gila...... langsung tak wujud paksaan, malah dia sendiri yang cerita itu dan ini termasuk mengaitkan Ezam.

Lama dia hilang tak tahulah buat apa bagi che'GuBard tak nak campur itu urusan pejabat Anwar, che'GuBard tumpu perkasa parti, tak mahu campur urusan pejabat Anwar Ibrahim sebab nanti tak sesuai pula kerana kita tak secerdik mana.

Tiba - tiba beberapa bulan lepas ketika menghantar sepupu Isteri bernikah di Sg. Buloh kami sekeluarga singgah di Denai Alam. Sebab dengar tempat ini boleh tengok kuda maka cheGuBard bawa anak-anak untuk ambil gambar dengan kuda. che'GuBard jumpa Rahimi ini baru lepas naik kuda, biasalah dengan pakaian hebat, boot naik kuda dan cakap besarnya dia menyapa, salam siap nak cium tangan lagi. Kalau dia kena paksa kenapa sekarang ? Kenapa dekat dengan Galas ?

Penulis Tamu - cheguBard

Laporan Polis 'Siasat UMNO Besut Di Bawah Akta Hasutan'

Kelihatan Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad (Yang DiPertua PAS Kawasan Besut), Ustaz Mohd Zulkifli Kadir (Ketua Pemuda sedang memegang salinan report) dan Nik Hassan Azmi (Penolong Setiausaha)

Tempoh 24 jam telah tamat dan Umno Besut gagal membuat sebarang permohonan maaf kepada Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar negeri Kelantan.

Ekoran ceramah yang dianjurkan oleh Umno Bahagian Besut bertajuk DAP Anti Islam pada 1 Oktober, yang bertukar menjadi 'majlis maki hamun dan sumpah seranah', PAS Kawasan Besut hari ini telah membuat satu laporan polis.

Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar semalam telah memberi kata dua kepada Umno Bahagian Besut, minta maaf atas keceluparan penceramah undangan yang menghina Mursyidul Am PAS sebagai 'Tok Guru Gilo' atau menghadapi sebarang tindakan undang-undang.

Justeru hari ini 6 Oktober, Wan Azhar (Gambar - berbaju kuning) sendiri telah membuat laporan polis di balai polis daerah Besut pada jam 11.30 pagi.

"Ada kecenderungan yang sangat merbahaya, berbaur perkauman yang mampu mengheret masyarakat kepada perbalahan yang serius berasaskan tuduhan melulu tanpa asas kukuh dan bukti yang benar,"jelas Wan Azhar dalam laporan yang dikemukakan merujuk kepada perlakuan penceramah undangan Umno Besut, Abdullah Saamah.

Sumber

KU LI TERIMA PENCALONAN



SIDANG AKHBAR KU LI




PENCALONAN KU LI


Tengku Razaleigh Hamzah yang pada ketika ini berada di luar negara
akan membuat satu sidang akhbar sekembalinya ke tanah air pada pagi Jumaat ini.

Adalah difahamkan bahawa Ku Li akan mengumum kan bahawa beliau telah bersetuju untuk menerima kedua-dua pencaloan.

Pencalona pertama ialah pencalonan Ku LI untuk menjadi Perdana Menteri.

Pencaloan kedua ialah pencalonan untuk menampar muka Muhyiddin Yassin yang memandai memandai melantik Ku Li sebagai Pengarah PRK Galas dan mencadangkan Ku Li sebagai calon kah kah kah. sumber

Galas: Sokongan bukan Islam makin meningkat

KOTA BHARU, 6 Okt: PAS yakin sokongan masyarakat bukan Islam khususnya Cina di Dun Galas terhadap Pakatan Rakyat semakin meningkat hasil perubahan 20 tahun dilakukan oleh kerajaan Kelantan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata hasil dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan Kelantan, masalah Islamofobia tidak wujud lagi di negeri itu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada media ketika di Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri di Markas 8 Briged Pengkalan Chepa, tengah hari tadi sebagai mengulas tarikh penamaan calon dan pilihan raya kecil Dun Galas yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini.

Kehadirannya bersama isteri, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, disambut oleh Penglima 8 Briged, Brigedier Jeneral, Abdul Rahim Abdul Mutalib.

Katanya lagi, tiada halangan untuk PAS menghadapinya memandangkan sokongan pelbagai pihak termasuk golongan itu semakin kuat terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.

Tambahnya, PAS telah mewujudkan Dewan Himpunan Penyokong PAS untuk golongan bukan muslim atas permintaan mereka sendiri yang menunjukkan sokongan semakin meningkat.

Katanya, fahaman daripada teori Islamofobia oleh kalangan masyarakat itu kepada ke arah yang lebih baik.

“Perkembangan ini satu kemenangan kepada perjuangan Islam, bahkan tidak ada fahaman Islam fobia di Kelantan ini.

“Untuk itu, PAS bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Galas yang akan berlangsung 4 November ini,” ujarnya.

Beliau juga turut mendedahkan calon yang bakal bertanding juga telah dikenal pasti.

Mengulas kemungkinan Tengku Razaleigh Hamzah bakal bertanding, beliau berkata, PAS tidak menentang Umno atas sifat peribadi.

“Kita lawan Umno ni bukan kita lawan batang tubuh, tetapi lawan fikrah dia, lawan teori dia, politik lain, agama lain, ni salah, bahaya,” ujarnya.

Beliau menegaskan, PAS tidak akan beri kemenangan percuma kepada Ku Li sekiranya menjadi calon walaupun beliau menyokong tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan.

Menurutnya, tuntutan royalti dan menentang calon dalam pilihan raya adalah perkara yang berbeza.

Tegasnya, PAS menentang perjuangan atau fikrah yang salah dan bukannya batang tubuh individu.

“Jangankan Umno yang diperjuangkan oleh orang Melayu, andai kata Umno ni diperjuangkan oleh orang Arab sekalipun PAS tetap akan menentangnya,” ujarnya lagi.

Katanya, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga bekas Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, sebelum ini tidak pernah mencalonkan dirinya untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya di negeri ini.

“Sepatutnya sewaktu menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan yang lebih layak jadi calon, tetapi dia (Umno) tak buat. Mungkin juga Ku Li tak mahu, kalau dia mahupun siapa boleh sekat sebab dia pengerusi,” ujarnya.

Kerana itu, tambahnya bukan taraf beliau (Ku Li) untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Bagaimanapun, PAS menghormati keputusan Ku Li untuk bertanding dan akan berlawan sebagaimana biasa. -Hrkh

PRK Galas: Sewa Rumah Naik Berpuluh Kali Ganda, Gerai Tumbuh Macam Cendawan

Pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kawasan Galas pada 4 November ini telah menyebabkan kadar sewa rumah di sekitar bandar Gua Musang kini melambung manakala gerai makanan mulai tumbuh dengan banyaknya.

Tinjauan mendapati sewa rumah meningkat berpuluh kali ganda sejak awal bulan ini kerana penduduk mahu mengambil keuntungan besar seperti yang berlaku pada pilihan raya kecil Manek Urai tahun lepas.

Seorang penduduk, Ismail Dollah, 43, berkata, harga rumah sewa yang kebiasaannya RM200 sebulan kini meningkat kepada RM10,000 dan ada rumah banglo disewakan pada harga RM15,000 untuk tempoh pilihan raya kecil itu.

"Harga rumah naik setiap jam kerana kadarnya berubah mengikut siapa yang sanggup membayar harga yang mahal," katanya.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, daripada Pas pada 27 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan bahawa penamaan calon ialah pada 26 Oktober dan pengundian pada 4 November.

Tinjauan juga mendapati kadar sewa hotel turut meningkat disebabkan permintaan yang tinggi.

Jika sebelum ini kadarnya RM150 sehari kini kadarnya ialah RM200 sehari.

Menggalas Tugas di Pilihanraya Kecil N.45 DUN Galas - Presiden PAS


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Berikutan dengan kekosongan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.45 Galas,Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah pun menggerakkan seluruh jentera pilihan raya

PAS di peringkat pusat, negeri, kawasan dan DUN untuk berhadapan dengan pilihanraya kecil berkenaan yang akan diadakan pada 4 November 2010.

Dalam Pilihan Raya Kecil itu nanti, PAS akan meletakkan calon yang berwibawa dan selayaknya untuk memikul amanah rakyat di DUN Galas, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Almarhum Chek Hashim sepanjang tempoh beliau berdampingan dengan rakyat di DUN Galas.

Saya menyeru kepada seluruh ahli dan petugas PAS, serta seluruh petugas dari Pakatan Rakyat yang berada di seluruh negara dengan kepakaran yang berbagai itu

supaya dapat turun ke DUN Galas, Kelantan untuk sama-sama bertugas bagi mempertahankan kemenangan kerusi PAS di DUN Galas yang diperolehi menerusi Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu. Bertugaslah dengan penuh semangat dan dedikasi

dengan menggunakan segala bentuk ilmu kemahiran berpilihan raya, dan janganlah kita terperangkap dengan provokasi dan segala bentuk taktik buruk serta tidak bermoral yang akan dilakukan oleh lawan kita nanti. Sebagaimana pilihan raya kecil yang lepas, kita akan sekali lagi berhadapan dengan segala bentuk mainan media cetak dan televisyen yang berupa laporan berat sebelah, ugutan, cercaan dan rasuah janji pilihan raya terhadap pengundi.

Saya percaya bahawa kita semua akan dapat menghadapi tindakan tidak bermoral parti lawan nanti dengan kita menyusun strategi dan gerakerja yang kemas, serta kita sekali-kali tidak gentar dengan sebarang ugutan yang menjadi mainan parti lawan sejak puluhan tahun. InsyaAllah, kita akan mempertahankan kerusi di DUN Galas nanti.

TG Nik Aziz ziarah keluarga Lee Kuan Yew

SINGAPURA, 6 Okt: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam diterima sebagai tetamu kehormat bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Beliau ke negara republik itu bagi memberi penghormatan dan mengucapkan takziah kepada keluarga Kuan Yew berikutan kematian isterinya, mendiang Kwa Geok Choo.

Deligasi Tuan Guru Nik Aziz yang juga Musryidul Am PAS tersebut turut disertai Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa dan dua setiausahanya yang lain.

Ketibaan rombongan di Lapangan Terbang Changi, Singapura jam 10.20 pagi semalam, disambut Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dr Ahmad Faisal Muhamad.

Mereka kemudianya ditempatkan sementara di bilik rehat di VIP Complex sebelum dibawa menziarah mendiang Kwa di Sri Temasek, kediaman rasmi Lee di Istana di sini.

Kunjungan ke Istana kemudiannya disambut anak kepada mendiang Kwa, Lee Hsien Loong yang juga Perdana Menteri republik ini sekarang.

TG Nik Aziz dibawa menziarah mendiang Kwa sebelum diberi peluang bertemu dan berbual-bual dengan Hsien Loong yang sentiasa berada di sisi mendiang ibunya sejak lawatan dibuka kepada umum semalam.

Semalam juga adalah hari terakhir untuk rakyat negara itu memberi penghormatan sebelum jenazah mendiang dibawa ke Mandai Crematorium hari ini untuk upacara terakhir.

Kwa, 89, meninggal dunia di rumahnya pada petang Sabtu lalu.

Ketika ditemui selepas lawatan itu, TG Nik Aziz berkata beliau mengharapkan ahli keluarga sabar menerima ketentuan tersebut.

(Gambar kiri: Tuan Guru bersama Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura.)

"Saya hadir untuk ucap takziah kepada keluarga Kuan Yew. Jangan bersedih sangat dan saya yakin mereka sabar terima ketentuan ini," katanya ketika ditanya beberapa wartawan tempatan dan antarabangsa.

Menurutnya lagi, penganut Islam mempercayai bahawa hidup dan mati adalah kepunyaan Allah, dan dia berkuasa ke atas hamba-Nya.

"Semasa kita hidup ini kita kena isi betul-betul untuk keredhaan Allah sebab kita mati akan jumpa Dia (Allah).

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan lawatan tersebut juga adalah sebagai kunjungan balas terhadap lawatan Kuan Yew ke Kota Bharu awal tahun ini.

TG Nik Aziz bagaimanapun tidak dapat bertemu dengan Lee Kuan Yew sendiri semalam ekoran masalah kesihatan bekas perdana menteri Singapura itu dengan ditambah pula dengan suasana kematian isterinya.

Kuan Yew kini sedang mendapat rawatan ekoran infeksi pada paru-parunya selepas lawatan ke Eropah, baru-baru ini.

Difahamkan, pihak hospital juga tidak membenarkan Kuan Yew menerima kunjungan tetamu buat sementara waktu.

"Lee Kuan Yew datang melawat Kelantan awal tahun ini, dan ini adalah kunjungan balas saya.

"Walaupun tidak dapat bertemu, saya harap beliau berada dalam keadaan sihat," katanya. -Hrkh

Pilihan raya Galas: 4 Nov undi, 26 Okt penamaan calon

Tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, di Gua Musang, Kelantan ditetapkan pada 4 November ini.

azlanPada sidang media di Putrajaya, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar juga mengumumkan tarikh penamaan calon akan diadakan pada hari Selasa, 26 Oktober ini.

Keputusan itu dibuat selepas SPR bermesyuarat, pagi ini.

Menurut Wan Ahmad, seramai 11,553 pengundi yang melibat 11,426 pengundi biasa manakala 127 pengundi pos layak menentukan ADUN di Galas.

SPR juga menamakan Ketua Jajahan Gua Musang, Wan Mustaffa Wan Abdul Halim sebagai pegawai pengurus pilihan raya yang akan dibantu oleh tiga penolong pengurus.

machap by election nomination 030407 wan ahmadPenamaan calon yang dijadualkan pada 26 Oktober ini bakal berlangsung di Bilik Gerakan Jajahan Gua Musang manakala Pusat Sivik Gua Musang akan dijadikan pusat penjumlahan undi pada malam 4 November.

Sebanyak 11 buah sekolah, sebuah balai dan dewan akan digunakan sebagai tempat mengundi yang membabit 25 buah saluran.

Wan Ahmad juga berkata seramai 323 petugas pilihan raya telah dilantik oleh SPR bagi melincinkan perjalanan pilihan raya itu.

Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 48, akibat barah usus, 27 September lalu.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Chek Hashim mendapat 4,399 undi menewaskan penyandang dari Barisan Nasional (BN), Mohd Saufi Deraman (3,753 undi) dengan majoriti 646 undi.

Galas terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang bersama DUN Nenggiri dan DUN Paloh. -M'kini

Guan Eng : Sebab UMNO paling takut


Warga Emas P.Pinang Kena Tipu Hidup-Hidup

Mengikut laporan berita online Malaysiainsider hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, mengumumkan pada sidang media, Umno setakat ini belum lagi memulangkan satu sen pun dari duit ehsan yang dikutipnya dari warga tua.

Pemimpin Umno, Reezal Merican telah mendakwa duit ehsan yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada warga tua Pulau Pinang adalah haram kerana duit itu adalah dari sumbangan dari kelab lumba kuda di Pulau Pinang.

Namun, kerajaan negeri Pulau Pinang telah menafikan dengan sekeras-kerasnya bahawa duit yang diberikan kepada warga tua adalah dari duit sumbangan judi tetapi dari duit kerajaan yang berjaya dijimatkannya.

Umno mula menganjurkan ‘program mengembalikan duit haram’ dari penerima-penerima wang ehsan tersebut. Dalam setiap program yang yang dianjurkan Umno, kelihatan warga tua sedang mengembalikan duit yang dikatakan haram itu.

Menurut TV3/4, Umno akan mengembalikan semua wang yang dikutip oleh mereka kepada kerajaan negeri. Tetapi, KM, Lim Guan Eng menafikan setakat ini ada menerima apa-apa wang dari Umno Pulau Pinang.

“Jangan berikan kepada Umno, bimbang mereka mempergunakan wang itu untuk tujuan yang tidak munasabah kerana sejarah telah membuktikan parti itu sering tidak amanah terutamanya peruntukan menjelang pilihan raya kepada para petugas,” kata Lim. – harakahdaily

Setakat ini dikatakan lebih dari 100 orang telah mengembalikan duit ehsan itu. Ini bermakna kutipan mereka sudah mencecah lebih dari RM 10,000. Siapakah yang sedang memegang duit ini? Reezal Merican Naina Merican?

Apakah duit ini akhirnya akan dikembalikan ke khazanah kerajaan negeri? Kita tidak tahu sebenarnya berapa ramaikah warga tua yang sudah mengembalikan duit mereka. Akaun berkaitan wang yang dikembalikan oleh warga tua yang disimpan oleh Umno tidak boleh dipercayai kerana Umno kita percaya tidak beramanah. Siapakah akhirnya yang akan menikmati semua kutipan dari warga tua ini?

Wang yang dikutip dari sumbangan orang ramai kepada tabung Tsunami suatu masa dulu, juga dikatakan tidak diagihkan dengan betul kepada mangsa bencana alam tersebut oleh Umno/BN. Ada mangsa yang mendakwa mereka tidak menerima apa-apa bantuan dari tabung Tsunami! Wang untuk mangsa bencana alam pun mereka ‘gasak’.

Jadi, apakah duit ehsan yang dikembalikan oleh warga tua akan selamat kembali kepangkuan khazanah negeri Pulau Pinang?

Lebih dari 100,000 warga tua telah menerima duit ehsan dari kerajaan negeri, namun 100 orang lebih sahaja yang telah mengembalikan duit tersebut.

oleh decapucino

Wang Yang Disatukan – Bila Mahu Dibersihkan?

http://buletinonline.net/images/stories/berita34/hasiljudi.gifAsalnya memang malas hendak melayan isu ini. Memang kata orang, kerja orang politik senantiasa hendak menjatuhkan lawan. Mutakhir tampak macam Umno mencetus isu, mengambil sebanyaknya ‘mileage’ dan kemudiannya meninggalkan isu begitu sahaja. Pakatan hanya ‘mengekor’ sahaja dan bertindak reaktif. Contohnya mana isu YB Neo Ching masuk masjid, isu Kalimah Allah dsbnya.

Tak putus-putus serangan dibuat. Tapi kali ini Umno silap congak. PAS dan Pakatan tidak akan izinkan Umno mencetuskan isu dan melenyapkan isu ini begitu sahaja. Kali ini, PAS akan lanjutkan sehingga terlondeh Umno! Isu ini akan akhirnya ke Parlimen lagi!

Apabila Reezal Merican Naina Merican pertama-tama mendedahkan bahawa Kerajaan Pulau Pinang telah menggunakan wang sumbangan sebanyak RM500,000 daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang untuk pemberian wang ehsan RM100 kepada warga emas, Umno menyangka Ketua Penerangan Pemuda Umno itu bijak mencari isu membunuh lawan politiknya.

Serangan ini dianggap berjaya dan berkesan mencetuskan rasa marah orang Islam, khususnya warga emas yang memulangkan wang RM100 itu. Mereka bertujuan menjatuhkan wibawa Ketua Menteri Lim Guan Eng. Lantas ada yang ‘berlakon’ memulangkan pemberian itu kembali.

Umno menggeletek keseronokan melihat taktiknya menimbulkan kemarahan terhadap kerajaan Pulau Pinang dan Ketua Menteri itu berjaya. Ketika mendapat tentangan, serangan beraleh sasaran. Kali ini ditujukan kea rah program pembayaran RM1000 kepada waris ketika warga emas meninggal. Kedua-dua ini dikatakan dari sumber haram hasil derma RM2juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.

Kerajaan Pulau Pinang telah secara jelas mengatakan bahawa sumber kedua-dua program tersebut adalah dari peruntukan belanjawaan 2010 sebanyak RM20 juta hasil penjimatan penjimatan dari urustadbir CAT (kecekapan, pertanggungjawaban dan ketelusan). Tuduhan Umno jelas meleset. Tetapi peduli mereka tentang fakta dan kebenaran. Yang penting mereka ‘spin’ –‘putar-belit’ dan mampu yakinkan rakyat yang tidak membaca media alternatif dan internet – golongan yang bengantung seluruh maklumat dari media BN/Umno – Utusan, BH dan RTM.

Begitu juga program Rakan Anti-Kemiskinan (RAK). RAK adalah program kerajaan Pulau Pinang untuk membasmi kemiskinan tegar dengan mengeluarkan keluarga daripada garis pendapatan RM400 sebulan kepada sekurang-kurangnya RM500 sebulan.

Umno kecewa. Program murni terus ini diserang Umno, kononnya sumber haram dan dari judi.

Pegawai Kewangan Negeri sendiri Dato’ Farizan Darus telah mengaskan bahawa sumber RM2juta daripada Kelab Lumba Kuda diasingkan dan dikhusus pemberiannya hanya kepada orang bukan Islam. Memang miskin tegar bukan hanya terdiri dari orang Islam. Tentunya tidak salah menyalurkan wang derma kepada orang bukan Islam sementara orang Islam tidak diberikan dari sumber ini. Bukankah ini satu usaha murni dari kerajaan negeri Pulau Pinang mempastikan orang Islam mendapat sumber yang halal?

Persoalan yang hendak ditanya rakyat, khususnya umat Islam ialah : Sejak bila pulak Umno pandai membezakan sumber rezeki halal dan haram? Sebabnya? Judi dan Umno ini sinonim sejak azali lagi!

Sejarah merakamkan betapa Umno mengingkari fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Pulau Pinang pada tahun 1951 iaitu Tuan Haji Abdullah Fahim (Ayahanda mantan PM Tun Abdullah Ahmad Badawi) bahawa judi loteri adalah haram.

Ertinya halal dan haram dalam UMNO tidak pernah menjadi masalah sejak penubuhannya mereka lagi. Malahan, tumbesaran UMNO tidak sangat memperhitungkan halal-haram sejak Merdeka lagi.

Ini terbukti apabila kalangan ulamak di dalam Umno membantah loteri kebajikan adalah haram. Pemimpin Umno tidak memperdulikan bantahan ulamak dalam Umno, berakhir dengan episod penubuhan PAS pada 24 November 1951.

Sampai sekarang kita tidak dengar suara membantah secara agresif dalam Umno supaya judi dihapuskan, malahan baru sahaja kerajaan Umno BN meluluskan lesen judi bola 2010 sempena pertandingan Piala Dunia kepada Syarikat Ascot Sport Tan Sri Vincent Tan Berjaya Group pada 6 Mei 2010 tetapi terpaksa digantung buat sehingga kini.

Peliknya kerajaan Negeri Pulau Pinang yang pertama mengharamkan judi bola sekaligus memusnahkan rancangan Umno untuk membenarkan lessen judi bola di Malaysia. Kerajaan PAS lebih awal lagi tidak mengizinkan lesen judi di premis-premis di Kelantan setelah berbincang dengan semua tokoh agama-agama lain.

Isu pokok yang hendak diketengahkan ialah sumber pendapatan. Timbalan Perdana Menteri turut tumpang semangkok mengambil kesempatan untuk memukul kerajaan Pakatan Rakyat kononnya orang Islam cukup peka dengan sumber pendapatan mereka bukan dari sumber haram seperti judi.

Kalau benar TPM peka dan Umno peka dengan sumber pendapatan perlu bersih dan halal, mengapa kerajaan Umno/BN sejak berdekad lamanya masih mengumpulkan semua pendapatan dari cukai dan bukan cukai dari sumber yang haram seperti Cukai Dosa atau “Sin Tax”, rokok, judi, arak dsbnya masih tidak lagi dipisahkan bahkan disatukan dalam ‘Wang yang Disatukan’ atau “Consolidated Fund” di peringkat kerajaan Pusat?

Ahli Parlimem Kuala Selangor pernah membangkitkan perkara ini, seperti juga beberapa ahli Yang Berhormat yang lain, tetapi pimpinan Melayu Umno membisu seribu bahasa. Tiba-tiba nak tunjuk warak dan alim kononnya peka dengan sumber pendapatan – halal dan haram. Kemuncak hipokrasi Umno!

Seluruh rakyat perlu diberitahu bahawa pimpinan Umno menipu rakyat lagi khusus kakitangan kerajaan bahawa penerimaan gaji mereka adalah tidak jelas dari sumber yang halal kerana telah ‘disatukan’. Dalam amalan Kewangan Islam, sumber yang jelas boleh dipisahkan dari sumber yang haram bagi pembersihan pendapatan. Tentunya gaji kakitangan mampu dibayar dari sumber yang jelas halalnya.

Sudah sampai waktunya pimpinan negara bertindak menyelamatkan pembayaran imbuhan kakitangan kerajaan untuk umat Islam di segi gaji dan bayaran yang mereka terima. Hanya ‘political will’ atau iltizam politik yang tinggi serta kepekaan terhadap agama yang mendalam yang akan mampu membuat perubahan seperti ini. Umno/BN tidak diharapkan untuk membuat perubahan ini.

Kerajaan Pakatan Rakyat termasuk kepekaan pimpinan bukan Islam dari Pakatan tampaknya lebih bersungguh dari pemimpin elit Umno yang tegar dengan rasuah dalam kerasukan haloba tempolok masing-masing, meninggalkan kepentingan umat Islam dan mengorbankan kesejahteraan rakyat seluruhnya.

Dr Dzulkefly Ahmad, AJK PAS Pusat

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .