Dengan kerjasama PAS Kawasan Puchong, PAS Selangor melalui Lajnah Penerangannya telah melancarkan “Misi Tawan DUN Sri Serdang” baru-baru ini. Ini merupakan sebahagian dari operasi untuk menawan saki-baki kerusi Dun yang masih dalam tangan Umno di Selangor.
PAS bertanding 20 kerusi di Selangor dalam PRU lalu, menang 8 dan tewas 12. Adalah diharapkan dengan operasi bersepadu seumpama ini, usaha untuk memantapkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan cara menawan saki-baki kerusi DUN ini akan berjaya.
Di DUN Sri Serdang Jumaat lepas acara padat disusun bagi menzahirkan kesungguhan PAS ini. Bermula dengan solat Jumaat di Masjid Istiqomah, Kg Seri Langkas,Puchong, PAS Kawasan diketuai YDP Kawasan Ustaz Sufian dengan rombongan negeri diketuai Dato Dr Hasan Ali selaku Pesuruhjaya telah bertemu dengan rakyat jelata di sana selepas solat.
Kemudian rombongan bergerak ke Balai JKP MPSJ Zon 12 di Kg Seri Aman, Puchong untuk makan tengahari dan berdailog bersama Jentera PAS Kawasan, diikuti dengan penyerahan bantuan kepada ibu-ibu tunggal dan rakyat termisikin di kawasan berkenaan. Ahli Majlis MPSJ Zon ini adalah Ustaz Nasir Yusof yang juga TImbalan YDP Kawasan. Ucapan ringkas telah diberikan oleh Ustaz Sufian dan Dato Hasan.
Dari Kg Seri Aman rombongan bergerak ke Surau As Syakirin Taman Puchong Utama untuk solat Asar. Jemaah di surau berkenaan telah mempelawa Dato Hasan untuk memberikan tazkirah ringkas selepas Asar.
Selesai tazkirah rombongan bergerak ke Pejabat JKP MPSJ Zon 20 Taman Serdang Jaya. Ketibaan rombongan disambut oleh ahli majlis kawasan, Sdr Sufari dari PKR. Rombongan kemudiannya dibawa mengunjungi Pasar Malam Taman Industri Seri Serdang, salah sebuah pasar malam terbesar di kawasan berkenaan.
Pengunjung-pengunjung pasar malam dan para peniaga telah mengambil kesempatan bersalam-salaman dan bertegur sapa dengan rombongan khasnya Dato Hasan sendiri.
Menjelang waktu maghrib rombongan bergerak ke Masjid Riadus Sollehen di Taman Serdang Jaya. Dato Hasan telah mengimamkan solat maghrib dan memberi ucapan ringkas diikuti tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Sufian. Ternyata jemaah yang hadir begitu gembira dapat bertemu dengan Dato Hasan hari itu.
Sebelah malamnya suatu ceramah perdana telah diadakan di Stadium Tertutup MPSJ Serdang Jaya. Para penceramah terdiri dari bekas Ketua Umno bahagian PJS Kapten (B) Dato Zahar Hashim dan Dato Hasan sendiri. Pada malam itu Dato Hasan telah menerima hampir 100 borang keahlian PAS yang rata-rata terdiri dari ahli-ahli Umno di DUN Sri Serdang.
Secara keseluruhannya program ini telah berjaya menyuntik semangat kerja yang begitu positif khasnya dari kalangan Jentera PAS Puchong selain menarik minat para pengundi terhadap PAS dan Pakatan Rakyat yang begitu komited untuk menawan kerusi DUN ini yang PAS tewas dengan majority 45 undi.
PAS Kawasan akan terus mengadakan program susulan dengan memberikan penekanan kepada pendaftaran pengundi baru dan keahlian baru. Kita telah berjaya mengenal pasti kawasan-kawasan dalam DUN berkenaan yang perlukan pemerhatian, tetapi dengan prestasi kerajaan Pakatan Rakyat dan komitmen Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Sri Serdang yang digerakkan oleh petugas-petugas PAS dan rakan-rakan PR, tidak mustahil kerusi DUN ini dengan izin Allah swt dapat di tawan dalam PRU akan datang.
26 Mac ini program yang sama akan diadakan di DUN Sg Air Tawar, Sabak Bernam puladiikuti dengan DUN-DUN lain.