TUMPAT: Pelajarnya datang dari seluruh negara. Ada juga dari selatan Thailand menimba ilmu agama daripada Tok Guru Haji Yaakob Ishak.
Pondok Berangan atau lebih dikenali sebagai Madrasah Yaakubiah
terletak tidak jauh daripada perkampungan Siam di Kampung Berangan.
Tok Guru Haji Yaakob mengasaskan pondok tersebut pada 1942. Ketika
itu gerakan menentang penjajah memuncak, ditambah pula kedatangan Jepun
ke Tanah Melayu.
Beliau mencurah segala ilmu di dada selepas pulang daripada mencari
ilmu agama di Patani, Pondok Tok Selehor dan Pondok Bunut Payong.
Berasal dari Kampung Kelong, Tumpat sebelum berhijrah ke Kampung Berangan bagi membina pusat pengajian agama.
Hasil perkongsian hidup dengan Che Zainab Che Hussin, mereka dikurniakan tujuh anak.
Anak sulung, Asiah kini tinggal di Mengkebang, Kuala Krai. Kedua,
Ahmad, ketiga Kamariah seorang pendakwah, keempat, Faridah bertugas
sebagai guru. Kelima, Hazrin, pensyarah perubatan di USM Kubang Kerian
dan Jalilah juga seorang guru.
Che Zainab, 84 agak uzur dan tidak mampu lagi berjalan lebih jauh di
luar rumah, sama sekali tidak menyangka anak keduanya, Ahmad dipilih
menggantikan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ketua
kerajaan Kelantan.
“Makcik terkejut apabila diberitahu Ustaz Mad dilantik sebagai
Menteri Besar Kelantan. Beliau datang memberitahu makcik selepas balik
daripada mengangkat sumpah di istana Isnin lalu.
“Ustaz Mad memberitahu beliau begitu terkejut apabila dipilih Tok
Guru Nik Abdul Aziz menggantikan tempatnya,” katanya ketika ditemui di
rumahnya di Pondok Berangan hari ini.
Beliau tinggal bersama anak ketiga, Habshah di sebuah rumah di
belakang surau pondok. Tidak jauh dari situ ada dua lagi anaknya yang
tinggal berdekatan.
Pondok agama itu didiami seramai 100 penghuni termasuk warga emas dan ibu tunggal yang mahu mencari ilmu agama.
Rumah pondok yang kecil seumpama bangsal ada 40 buah. Pelajar yang
mendalami kitab seramai 40 orang, ada yang berasal dari Kampuchea.
Tok Guru Haji Mohamad Ali, meneruskan kesimbungan Allahyarham Tok
Guru Haji Yaakub. Beliau bertindak sebagai mudir pondok berkenaan.
“Makcik berharap Ustaz Mad memikul tanggangungjawab dengan penuh
amanah, jujur dan ikhlas,” pesannya kepada Menteri Besar Kelantan yang
baru.
Hrkh