Ikuti Blog ini

Isu muzakarah wajar dibincang pada muktamar di Ipoh - Dewan Ulama


Dewan Ulama PAS Pusat mahu segala isi perbincangan di antara pemimpin tertinggi PAS dan Umno yang dikatakan diadakan sebelum ini turut dibincang di semua peringkat parti.

Ketuanya, Dato' Mohamed Daud berkata, resolusi hasil pertemuan tersebut juga perlu dibawa kepada muktamar yang akan diadakan di Ipoh mulai 13 Ogos ini sebelum diputuskan Majlis Syura.

"Dewan Ulama boleh bersetuju dengan pertemuan yang diadakan di antara pemimpin Umno dan PAS sekiranya ia berteraskan kepada Islam dan perpaduan semua bangsa.

"Pertemuan tersebut boleh diadakan tidak hanya kepada pimpinan Umno dan PAS sahaja malah kepada parti-parti lain juga boleh diadakan bagi meningkat imej Islam dan perpaduan rakyat di negara ini,"katanya di sini.

Akhbar hari ini melaporkan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mendakwa muzakarah bersama pemimpin PAS sudah diadakan sebanyak tiga kali membincangkan isu berkaitan agama dan orang Melayu.

Mohamed berkata, sekiranya pertemuan diadakan di antara PAS dan Umno boleh membawa kepada penyelesaian masalah berbangkit sebelum ini seharusnya peluang tersebut digunakan sebaik mungkin.

"Sememangnya terdapat beberapa pandangan yang berbeza di antara PAS dan Umno, begitu juga pimpinan parti, namun kita seharusnya jangan melihat kepada kelemahan sahaja.

"Mungkin juga terdapat kebaikan dalam pertemuan tersebut. Kalau kita enggan bertemu dengan Umno, sampai bila pun hal-hal yang berkaitan Islam tak dapat disampaikan kepada mereka," katanya.

Menurutnya beliau ingin sangat sekiranya PAS bermuzakarah dengan Umno menyentuh isu calon beragama Islam hendaklah ditampilkan di kawasan mempunyai kira-kira 75 peratus pengundi Melayu.

Kata beliau agama Islam bukan hanya milik orang Melayu sahaja, malah untuk semua kaum.

Ditanya pembabitan Dewan Ulamak PAS Pusat dalam muzakarah yang diadakan sebelum ini, katanya beliau tidak dijemput dan tidak tahu apa yang dibincangkan.

"Bagaimanapun saya berharap pertemuan tersebut menyentuh isu yang berkaitan Islam dan perpaduan bangsa di negara ini,"katanya. - mj/mks.

‘Boneka’ Adalah Kerja Jahat UMNO - MB Perak


Kuala Nerus - Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan PAS Perak menafikan menjadi ‘boneka’ kepada parti DAP dalam mengurus serta mentadbir negeri sejak empat bulan lalu.
Ia adalah kerja jahat yang dibuat oleh pemimpin UMNO Perak, bertujuan menggugat kestabilan kerajaan Pakatan Rakyat tersebut.

Menteri Besarnya, Dato’ Seri Mohamad Nizar Jamaludin menafikan dakwaan pemimpin UMNO Perak bahawa kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan PAS menjadi ‘boneka’ DAP.

“Mereka (UMNO) seolah-olah, gambarkan kerajaan Pakatan Rakyat yang ada hari ini kerajaan yang ditekan dan dipergunakan untuk kepentingan DAP, ini tidak betul.

“Sebab segala-gala keputusan yang kami (kerajaan) buat adalah keputusan bersama yang berlandaskan keputusan syura atau pun secara kolektif,” tegasnya pada sidang media selepas Ceramah Perdana Sempena Dua Dekad Penubuhan Madrasah Darul Taqwa, di Pekan Batu Enam, semalam.

Menurutnya, hebahan yang tidak berasas itu sengaja disebarkan oleh para pemimpin Umno dan Barisan Nasional yang ditolak oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu.

Namun begitu, katanya Umno/BN sengaja memainkan sentimen ‘kemelayuan’ bagi membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan baru Pakatan Rakyat di Perak.

“Ini adalah hebahan yang dibuat oleh UMNO sendiri. Sebab jika kita lihat rencana-rencana dan poster yang mereka sebarkan.

“Semuanya mereka itu memainkan sentimen-sentimen ‘Kemelayuan’ dan mereka hendakkan orang-orang Melayu percaya kerajaan yang ada pimpinan PAS ini adalah kerajaan yang tidak mementingkan bangsa Melayu.

“Kerajaan yang ada ini, kita terpaksa, kita akur dan kita patuh, kita menerima dan mengiktiraf segala-gala peraturan yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Artikel 153 dan kita juga mengiktiraf Artikel 3 dalam Perlembagaan Pesekutuan. Untuk itu, apa sahaja keistimewaan bumiputera kita akan pelihara,” jelasnya.

Dato’ Seri Mohamad Nizar menegaskan sebarang tindakan yang hendak dibuat seperti dasar tanah, dasar air, lantik ahli-ahli exco dan ‘Datuk Bandar’ turut dibincangkan di kalangan Pakatan Rakyat.

“Ini menunjukkan, kita (PAS) tidak menjadi mana-mana ‘boneka’ kepada mana-mana parti. Ini adalah kebersamaan.

“Setiap parti itu menghormati kewujudan dan setiap parti itu menerima perbezaan masing-masing.

“Dan keputusan kami (Pakatan Rakyat) adalah berlandaskan sentimen-sentimen profesionalisme dan tidak berdasarkan kepada kaum dan tidak berdasarkan kepada mana-mana kepentingan parti,” ujarnya di hadapan 10,000 hadirin.

Hadir sama pada majlis tersebut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali.

14 Buah E200 Kompressor Untuk Exco - Terengganu Mula Bermewah-mewah


Belum pun menerima duit royalti minyak, Exco Kerajaan Terengganu dan pegawai kanan akan menggunakan kereta Mercedes baru E200 Kompressor yang mewah
MB Pertahan Kerajaan Beli Kereta Mewah

Kuala Terengganu, 5ptg - Menteri Besar Terengganu Dato' Ahmad Said hari ini mempertahankan tindakan kerajaan negeri membeli 14 kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri dalam usaha menjimatkan kos perbelanjaan tahunan.

Ahmad berkata, pembelian kereta itu menggunakan peruntukan yang disediakan sebelum ini dan bukan menggunakan wang royalti minyak.

“Ia tidak melibatkan royalti minyak. Bagaimana nak guna wang royalti minyak, kita masih belum menerimanya daripada kerajaan pusat,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas laporan akhbar berhubung pembelian kenderaan bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Bernama melaporkan , Ahmad berkata, keputusan pembelian kenderaan berjumlah RM3.43juta itu dibuat berikutan kos penyelenggaraan Proton Perdana V6 Executive yang digunakan oleh Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri sebelum ini terlalu tinggi.

“Bukannya kita nak kata kereta keluaran nasional tidak baik, tetapi hakikatnya kereta itu tidak sampai dua tahun terpaksa diselenggara kerana beberapa komponen kereta seperti kotak gear rosak.

“Contohnya kereta yang dinaiki Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar, Toh Chin Yaw sudah dua kali diselenggara yang melibatkan kos sehingga RM50,000. Tetapi kalau kereta Mercedes walaupun mahal tetapi ia jimat dari segi penyelenggaraan tempoh jangka panjang,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis tahlil sempena Keputeraan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah di sini hari ini.


Berita Sebelumnya - 14 Buah E200 Kompressor Untuk Exco, Pegawai Kanan


Kuala Terengganu - Belum pun menerima duit royalti minyak, Exco Kerajaan Terengganu dan pegawai kanan akan menggunakan kereta Mercedes baru E200 Kompressor yang mewah, sebagai kereta rasmi mulai hari ini.

Kerajaan negeri telah membeli 14 buah kereta mewah tersebut dengan kos RM3.43 juta sebagai menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang baru sahaja dibeli pada tahun 2004.

Walaupun setiap satu kereta Mercedes tersebut dibeli dengan harga RM245,000 dikatakan lebih murah dari harga pasaran, namun tindakan kerajaan Terengganu ‘kontra’ dengan arahan kerajaan pusat yang menyarankan semua pihak berjimat cermat.

Setiausaha kerajaan negeri Dato’ Mokhtar Nong menyatakan keputusan kerajaan membeli kereta baru tersebut telah dibuat beberapa bulan yang lalu.

Beliau berkata kerajaan membeli kereta tersebut adalah sebagai langkah keselamatan kepada para exco dan menjimatkan kos penyelenggaraan.
Kenyataan itu seolah-olah menafikan bahawa kereta buatan Malaysia Proton Perdana V6 yang dibeli pada tahun 2004 lalu, tidak lagi selamat dan merugikan jika terus digunakan.

“Kerajaan negeri membuat penilaian bahawa Mercedes lebih baik untuk digunakan bagi jangka panjang dan sudah tiba masanya untuk menggantikan Proton Perdana”katanya.

Walau bagaimana pun, menurut beliau Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said lebih suka menggunakan kereta sedia.

Namun beliau tidak menyatakan mengapa sebab-sebab Ahmad lebih menggunakan kereta lama tersebut.

Orang ramai yang ditemui oleh Buletin Online semalam umumnya menyatakan bantahan terhadap pembelian kereta baru tersebut.

Mereka berpendapat bahawa kereta Proton Perdana V6 masih sesuai dan selamat digunakan kerana baru berusia empat tahun.

“Mungkin Ahmad Said tidak setuju dengan pembelian itu, sebab itu dia lebih suka menggunakan kereta sedia ada,”kata Mustaffa yang sempat ditemui pada majlis ceramah di Batu Enam semalam.

“Ahmad sebelum ini mengatakan bahawa beliau mengutamakan kepentingan rakyat,”tambah Mustaffa yang juga Pengerusi Persatuan Peniaga Batu Enam.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .