Ikuti Blog ini

Laman web dedah gambar mangsa rogol menteri

KUALA LUMPUR, 31 Dis: Kisah tentang menteri yang didakwa merogol pembantu rumahnya tidak boleh disembunyikan lagi apabila sebuah laman web menyiarkan gambar mangsa rogol tersebut semalam. gambar disini

Laman web itu, Sabahkini.net, juga turut menyiarkan kenyataan seorang pemimpin PKR Sabah agar menteri berkenaan meletakkan jawatan.

Laman itu juga menyiarkan nama menteri berkenaan serta laporan bertulis yang dibuat oleh sebuah NGO yang menjaga kepentingan pekerja Indonesia, Migrant Care yang menyiasat kes ini sejak Julai 2007 lalu.

Blogger Rocky Bru atau nama sebenarnya Ahiruddin Atan pula membandingkan negara Yahudi Israel pernah memenjarakan menterinya yang didapati bersalah merogol pembantunya.

Namun, tulis Rocky, laporan yang dibuat pada tahun 2007 itu dipercayai diperap sahaja oleh Perdana Menteri ketika itu.

"Tak boleh biar orang tuduh pemimpin kita melakukan jenayah terkutuk tanpa siasatan. Tapi pasal kita dah tak siasat dan kes tu dah terpendam, sekarang ni tampak macam kita telah cuba mengabui mata rakyat," tulis Ahiruddin dalam blognya.

Sebelum ini, Ahirudin pernah disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SCMM) ekoran tindakannya mendedahkan dalam blognya anak seorang menteri mendapat projek dari kementerian yang dijaga oleh menteri berkenaan.

Sementara itu, Ketua Unit Media Baru Pemuda Umno, Tun Faisal mahu menteri yang merogol pembantu rumahnya itu diambil tindakan.

Tun Faisal yang menjawab pertanyaan seorang rakan twitter berkata, "ambik tindakan, apa masalah." apabila ditanya "@tunfaisal mcm mana dgn menteri rogol.apa cer?"

Harakahdaily sebelum ini sudah empat kali menyiarkan cerita ini termasuk tiga pendedahan mengenainya.

Ini kerana, selepas didedahkan oleh WikiLeaks dan laporan oleh Ahiruddin Atan melalui blog Rocky Bru nya, Harakahdaily menebual sendiri Country Coordinator Migrant Care, Alex Ong mengenai penyiasatan Migrant Care.

Alex mengesahkan laporan itu dan mengesahkan Migrant Care telah membuat siasatan terperinci mengenainya pada bulan Julai 2007.

Pada 1 Ogos 2007, Alex bersama dua lagi pemimpin Migrant Care telah menandatangani satu kenyataan media mengenai kes mangsa rogol yang bernama Robengah ini.

Kenyataan ini kemudiannya didedahkan semula oleh NGO Tenaganita pada 27 Disember lepas apabila kes ini timbul semula ekoran pendedahan WikiLeaks. -Hrkh

Betulkah YB Teo pakai seksi dalam masjid ? Mari baca penjelasan Pengerusi Masjid

KUALA LUMPUR, 31 Dis. : Pengurusan Masjid Taman Cheras Jaya berpendapat pihaknya tidak melihat adanya sebarang masalah dengan pakaian Ahli Parlimen Serdang yang menyertai program senamrobik di pekarangan rumah ibadat itu meskipun pemimpin-pemimpin Umno menyifatkan tindakan itu telah mencemari kesucian Islam.

“Kami tidak ada apa-apa masalah sama sekali dengan pakaian YB Teo,” kata pengerusi jawatankuasa Masjid Taman Cheras Jaya Azman Idris kepada The Malaysian Insider hari ini.

Dalam kenyataan yang dilihat menolak kritikan disiarkan akhbar Umno yang dibawa sejak semalam, Azman menjelaskan, menutup aurat terpakai kepada umat Islam sahaja.

“Menutup aurat terpakai hanya kepada Muslim. Jadi, isu menutup aurat tidak terpakai kepada YB Yeo,” kata beliau.

Malah kata beliau, pihaknya hanya mengadakan aktiviti itu di tempat letak kereta, bukannya dalam masjid sebagaimana dijadikan isu semata-mata.

“Saya tidak melihat ada apa-apa masalah dalam isu ini,” tambah beliau sambil menjelaskan, sesetengah wanita Islam yang menghadiri karvinal Maal Hijrah pada 12 Disember lalu juga tidak menutup aurat. Program itu diadakan sempena karnival tersebut.

“Ada yang mengenakan jeans yang ketat. Tetapi kami tiada masalah,” katanya lagi.

“Kami ada meletakkan papan tanda mengatakan sila menutup aurat. Tetapi, kami tidak menguatkuasakan kerana ia tanggungjawab individu terbabit. Kami hanya boleh menggalakkan (mereka berbuat demikian),” kata beliau.

Dalam pada itu, laporan Bernama memetik Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Islam tidak melarang sebarang kegiatan termasuk senamrobik dilakukan dalam kawasan masjid asalkan kegiatan itu tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, tidak menjadi masalah untuk melakukan kegiatan di luar atau dalam masjid sama ada oleh orang Islam atau bukan Islam.

“Adalah tidak salah dalam Islam pihak tertentu mengadakan kegiatan dalam rumah ibadat orang Islam, kerana zaman Nabi Muhammad s.a.w dahulupun, ada orang kafir masuk (kawasan) masjid kerana ia menjadi pusat segala kegiatan termasuk politik,” katanya.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pula dikatakan mahu memanggil nazir Masjid Taman Cheras Jaya untuk menjelaskan kehadiran Teo dan menyertai senamrobik di pekarangan masjid itu.

Timbalan Setiausaha Mais Abdul Halem Hapiz Salihin dipetik Utusan Malaysia berkata, pihaknya juga akan menyiasat mengapa tindakan wakil rakyat daripada DAP itu tidak ditegur oleh pihak pengurusan masjid.

Laporan akhbar itu semalam mendakwa Teo masuk ke pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, yang terletak di Balakong, dengan mengenakan pakaian ketat semasa melakukan senamrobik bersama jemaah masjid.

Menurut Abdul Halem Hapiz, tidak salah melakukan aktiviti berfaedah seperti senamrobik di pekarangan masjid tetapi biarlah mematuhi adab seperti memakai pakaian yang sesuai.

Tambah beliau, sepatutnya wakil rakyat itu dinasihatkan memakai pakaian sukan yang lebih sopan seperti berlengan panjang dan menutup kepala serta senamrobik diasingkan antara lelaki dan wanita atau lelaki di hadapan dan wanita di belakang.

Ogos lalu Teo didakwa menyampaikan ‘tazkirah’ dalam sebuah surau di Kajang Sentral.

Bagaimanapun jawatankuasa surau itu juga menafikan wakil rakyat itu menyampaikan tazkirah sebagaimana dipertikaikan media milik Umno dan pemimpin-pemimpin mereka.

Kelakuannya itu dilaporkan menimbulkan kemurkaan Sultan Sharafuddin. Teo telah memohon maaf kepada baginda di atas perbuatannya itu.

Semalam, Teo memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau akan meneruskan pendekatannya menyertai aktiviti anjuran umat Islam meskipun akhbar Utusan Malaysia terus-menerus menyerangnya.

Meskipun mengakui tindakan menyertai aktiviti itu di Masjid Taman Cheras kemungkinan menjejaskan sokongan undi orang Melayu, Teo berkata, beliau akan terus menyertai aktiviti seumpama itu dalam usaha merapatkan hubungan dengan para pengundinya.

Menurut Teo dalam blognya di www.wretch.cc/blog/teonieching, acara tersebut adalah program pertama Karnival Maal Hijrah anjuran masjid berkenaan.

“Apabila saya mendapat jemputan daripada masjid, saya akan pergi,” kata Teo.

Waspada Membeli Beehoon

Orangramai diminta waspada tatkala membeli beehoon terutama yang diimpot dari negara China.

Ini ekoran dari laporan bahawa sejumlah besar beehoon yang dihasilkan dari negara tersebut diperbuat dari bijiran yang rosak dan mengandungi bahan tambahan "carcinogenic" yang boleh menyebabkan cancer dijual berleluasa di selatan China, demikian berita dari AFP hari ini.

Terdapat hampir 50 kilang di bandar Dongguan di selatan China berhampiran Hong Kong mengeluarkan kira-kira 500,000kg beehoon tercemar setiap hari yang menggunakan bijiran yang rosak dan hapak, Beijing Youth Daily dipetik.

Pengeluar yang tertekan dengan kenaikan kos telah merendamkan untuk memutihkan beras yang rosak menggunakan kimia tambahan seperti sulphur dioxide dan lain-lain bahan yang boleh menyebabkan cancer untuk menghasilakan setengah kg bijiran ditukarkan menjadi tiga paun beehoon, tambahnya.

Beras yang bermutu rendah yang biasanya diuntukkan makanan binatang sebelum kenaikan harga barang-barang meningkat secara mendadak di China pada separuh tahun kedua 2010, lapor akhbar tersebut, yang menemuramah para pemborong..

Beehoon, sering digoreng dan dihidangkan bersama perencah daging dan sayuran merupakan makanan kegemaran di selatan China.

Beberapa minggu lepas, beberapa siri insiden yang melibatkan pengambilan beehoon tercemar telah dilaporkan di dalam media menjelang sambutan Tahun Baru dan Tahun Baru China - ketika pembelian makanan dan arak biasanya meningkat.

Wali Band dibenar buat persembahan di Kelantan

KOTA BHARU, 31 Dis: Anggota kumpulan band terkenal dari Indonesia, Wali Band begitu bersyukur dan berbangga apabila muncul sebagai band pertama yang diberi peluang membuat persembahannya di Negeri Kelantan dalam tempoh 20 tahun.

Salah seorang anggota kumpulannya, Apoi pada sidang medianya melahirkan rasa terkejut apabila dimaklumkan kumpulan mereka bukan sahaja band pertama dari luar negara membuat persembahan, sebaliknya mendahului band dari negara ini sendiri.

Apoi yang bermain gitar seterusnya berharap kumpulan mereka dapat menghiburkan rakyat Kelantan.

“Konsep kami adalah berdakwah, jadi semoga kami dapat berdakwah sambil berhibur,”ujarnya.

Petang semalam anggota ini mengadakan sidang medianya disalah sebuah hotel di sini sempena program mengumpul dana bagi membantu rakyat Palestin.

Empat anggota anak muda ini akan menjayakan Bazaar 4 Gaza di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V malam ini.

Program berkenaan dianjurkan bersama Anjung Tulus, Sekretariat Misi Cakna Palestin dan kerajaan negeri.

Petang ini Wali Band akan bersama para peminat di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-1V.

Umno-BN Lucut Kuasa Sultan Sejak 1993



SHAH ALAM 31 DIS: Penghapusan kekebalan Raja-Raja Melayu pada tahun 1993 oleh Kerajaan Umno-Barisan Nasional sekaligus menolak tuduhan liar bahawa kerajaan Pakatan Rakyat sengaja mencetuskan kontroversi behubung perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan perkara itu berkata, Umno-Barisan Nasional telah lebih awal meminda Undang- Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 demi kepentingan politik mereka.

Khalid berkata, sebelum ini perlantikan SUK terlebih dahulu mendapatkan penerimaan Sultan dan Menteri Besar namun sejak dilucutkan kuasa oleh Umno-Barisan Nasional maka tiada lagi istilah pekenan Sultan dalam isu tersebut.

"Sebenarnnya sebelum tahun 1993, undang-undang negeri ternyata pemilihan Setiausaha Kerajaan Negeri, pemilihan Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang negeri mesti mendapat sokongan penerimaan Tuanku Sultan dan juga Menteri Besar.

"Saudara tahu, 1993 ialah di mana Umno menarik semua kuasa-kuasa Sultan. Antara yang ditarik ialah Sultan tidak boleh memilih Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang negeri," jelas beliau dihadapan kira-kira 200 jemaah yang hadir di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor semalam.

Namun kata Khalid, masih terdapat satu kuasa Menteri Besar iaitu setiap SUK yang ingin memulakan tugas harus mengangkat sumpah di hadapan Menteri Besar.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis solat hajat dan bacaan memohon keadilan anjuran kerajaan negeri Selangor.

Sebelum ini, Pengerusi Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamizun Khairuddin menuduh Khalid cuba mempolitikkan pengurusan pentadbiran di negeri Selangor selepas bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Khusrin Munawi dilantik sebagai SUK negeri Selangor. -tvs

Tenang: PAS bersiap untuk menang

LABIS, 31 Dis: Boleh ke Pakatan Rakyat melalui PAS menang dalam pilihan raya kecil Tenang? Inilah rata-rata soalan yang dikemukakan apabila diberitahu, "saya baru balik dari Tenang."

Agak sukar tetapi persiapan yang dibuat oleh jentera PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil ini nampaknya untuk menang. Walaupun pilihan raya kecil itu sebulan lagi, namun PAS sudah mempersiapkan semua keperluan asas yang diperlukan.

(Gambar: Bilik gerakan PAS dan Gerakan yang bersebelahan di pekan Labis)

Bilik operasi utama, bilik penerangan, bilik operasi dewan-dewan dalam PAS hatta bilik media juga sudah dipersiapkan dengan keperluan asas untuk wartawan bekerja sudah dipersiapkan oleh PAS.

"Memang agak sukar untuk menang, tetapi kita yakin jika kena caranya, kita boleh menang," kata Mazlan Aliman, AJK PAS Pusat yang Timbalan Pengarah I jentera pilihan raya kecil ini.

Dalam pilihan raya ini, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Johor, Dzulkefli Ahmad telah diberikan amanah untuk memimpin jentera PAS iaitu selaku pengarah operasi pilihan raya ini.

Dengan mempunyai enam cawangan, PAS bergerak agak pantas dalam pilihan raya kecil ini. Mungkin semangat petugasnya tinggi memandangkan ini adalah pilihan raya kecil yang pertama di Johor selepas pilihan raya umum 2008 lalu.

Dalam pilihan raya ini, kata Mazlan, PAS akan mengambil pendekatan lembut dan tidak provokatif dalam kempennya.

"Kita akan pastikan semua pemilih yang layak mengundi keluar mengundi dengan selamat dalam pilihanraya ini. Kita akan elakkan tekanan atau kekecohan namun yang kita bimbang adalah provokasi dari lawan kita," kata Mazlan.

(Gambar: Penduduk Felda Tenang mendapat jalan baru apabila pilihan raya kecil hendak diadakan di kawasan mereka)

Pilihan raya kecil ini diadakan ekoran kematian Adunnya, Datuk Sulaiman Taha baru-baru ini. SPR telah menetapkan 30 Januari hari mengundi manakala 22 Januari hari penamaan calon.

Tenang adalah DUN yang terletak di bawah kawasan parlimen Labis, dan akan ditandingi oleh calon PAS bagi mewakili Pakatan Rakyat. Dalam pilihan raya umum lalu, PAS menang di kawasan Cina iaitu mendapat undi antara 50% hingga 67% undi.

Misalnya, pengundi Bandar Labis Tengah yang terdiri 96% Cina, PAS memperolehi 66.8% undi. Untuk kerusi parlimen pula, DAP memperolehi 73.8% undi. Di Bandar Labis Timor yang mempunyai 63.5% pengundi Cina, PAS memperolehi 52.5% undi, sementara DAP pula mendapat 57% undi. Di Labis yang mempunyai 58.3% Cina dan 32.4% India, PAS mendapat 50.6% dan DAP mendapat 60.4%.

Statistik menunjukkan bahawa pengundi Cina telah menyokong pembangkang (PAS dan DAP) pada PRU tahun 2008, memandangkan undi pembangkang mendahului BN di kawasan yang majoritinya Cina.

Tenang yang mempunyai 13 unit peti undi keseluruhannya, adalah kawasan campuran, desa-bandar, dan merupakan kubu tradisional BN. Menurut perangkaan PRU tahun 2008, nisbah populasi pengundi adalah 48 % Melayu, 39 % Cina, 12 % India dan selebihnya lain-lain bangsa.

Pengundi Cina terletak di sekitar pekan Labis manakala pengundi Melayu terletak di tiga buah Felda iaitu Chempera, Chempera Barat dan Tenang. Pengundi Melayu juga terletak di kampung tradisi Melayu di sekeling Labis itu.

"PAS akan memberikan tumpuan kepada tiga buah Felda dan kampung tradisi Melayu dan kita harap DAP dan PKR boleh memberikan tumpuan kepada pengundi Cina dan India di kawasan pekan," kata Mazlan yang juga mengendalikan unit penerangan kempen ini.

(Gambar: Batu tanda jalan masuk ke Felda Tenang yang bakal tidak tenang menjelang 30 Januari nanti)

Ketiga-tiga Felda yang ada di Dun Tenang ini kelihatan mundur berbanding dengan kawasan Felda yang lain hatta jika dibandingkan dengan kawasan Felda di Johor sendiri. Rumah-rumah yang diberikan oleh Felda kepada peneroka hampir 50 tahun dahulu ketika kawasan ini dibuka masih teguh berdiri.

Ketika kunjungan di buat ke Felda Tenang yang terletak kira-kira 10 km dari pekan Labis, kerja-kerja menurap jalan masuk ke kawasan perumahan Felda ini giat dijalankan. Kalau dalam pilihanraya sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib pernah memberikan jaminan tidak akan ada projek mee segera menjelang pilihan raya kecil berkenaan, penduduk Felda Tenang sudah menikmati projek mee segera ini hampir sebulan sebelum hari pilihan raya.

Mungkin projek ini adalah sumbangan awal BN untuk pengundi kawasan Felda ini. Tidak dapat disahkan apakah Felda Chempera dan Chempera Barat juga mendapat jalan baru sebagaimana rakan-rakan mereka di Tenang.

Jentera PAS mensasarkan kenaikan undi sehingga 10 peratus untuk kawasan Felda jika mereka mahu menang dalam pilihan raya kecil ini.

Bagaimana ia hendak dicapai tidak diketahui. Yang pasti, hampir semua rumah ada tv dan setengahnya Astro tetapi nampaknya jarang rumah-rumah kawasan Felda ini ada internet. Yang ada hanya pusat cyber komuniti yang dibina oleh Felda dan juga cyber cafe yang dibina oleh ahli-ahli perniagaan.

Memandangkan Felda ini sudah lama dibuka (awal tahun 1960an), para penerokanya sudah lanjut usia iaitu lebih dari 70 tahun umur mereka. Jenerasi kedua Felda ini berumur lebih 50 tahun. Ini bermakna, di sini sudah ada jenerasi ketiga atau ke empat.

Sebab itu, apabila harga komoditi iaitu kelapa sawit dan getah naik, tidak semua warga Felda menerimanya. Yang menerima secara langsung adalah peneroka itu sendiri namun untuk jenerasi kedua dan ketiga, mereka tidak semestinya turut menikmati hasil itu.

"Tumpuan kami adalah jenerasi kedua dan ketiga Felda ini," kata Mazlan yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Salah satu strategi PAS dalam pilihan raya ini adalah menyerahkan tugasan menjaga kawasan Felda kepada petugas pilihan raya dari negeri-negeri yang agak maju dari segi politiknya.

PAS Terengganu diamanahkan menjaga Felda Chempela, Pahang (Felda Tenang) dan Perak (Felda Chempelak Barat) manakala PAS Kelantan di serahkan menjaga kampung tradisi Melayu.

(Gambar: Mengejutkan, selepas hampir 50 tahun dibuka, ada lagi peserta Felda yang mempunyai rumah semacam ini)

Berdasarkan berita angin yang ada, PAS mempunyai lima calon yang berpotensi untuk bertanding dalam pilihan raya ini iaitu Mazlan sendiri, Pesuruhjaya PAS Johor, Dr Mahfoz Mohamad, Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi dan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Suhaizan Kaiyat serta seorang calon wanita.

Di pihak BN pula, Timbalan Ketua Umno Bahagian Labis adalah calon paling popular disamping mendapat sokongan penuh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Calon-calon lain adalah Naib Ketua Umno Bahagian dan Ketua Wanita Umno Bahagian. -Hrkh

Himpunan 1111 : 300 mahasiswa daripada UKM



Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) menyasarkan akan dapat menghantar seramai 250 - 300 orang mahasiswa-mahasiswa UKM dari kampus Bangi, Cheras dan Kuala Lumpur ke program Himpunan Mahasiswa Untuk Malaysia 1.1.11 pada hari Sabtu ini.

Jurucakap GMUKM yang juga Pengerusi Gerakan Mahasiswa Lantang Negara, saudara Fadhlan bin Sugiman berkata, "Setakat kini (daripada) maklumat yang kita peroleh daripada 'front-front' sama ada di Bangi, Cheras dan KL (Kuala Lumpur) mendapat respon yang positif.

" Mobilasi ahli-ahli daripada GMLN, AKSIS, MAMPU, KAMI dan di segenap lain-lain kawasan telah memberikan jaminan bahawa kita mampu mengumpul dan menghantar seramai kira-kira 250 hingga 300 mahasiswa. Itu tidak termasuk mahasiswa-mahasiswa yang tidak respon dan berdaftar dengan kita lagi. Tetapi jika masih ada mana-mana mahasiswa yang ingin menyertai himpunan ini juga masih dapat mendaftar dengan kami melalui Facebook.

" Kita percaya dengan semangat azam tahun baru di dekad baru ini; 2011 ini akan menyuntik dan memberi sedikit sebanyak semangat yang baru yang sinergi dan mantap. Kita percaya, sebagai salah sebuah universiti yang agak senior, jumlah seramai 250 atau 300 bukan sekadar itu sahaja, tetapi akan bertambah dalam sedikit masa lagi, " tambah beliau lagi.


Dalam pada itu, pengarah program himpunan ini, saudara Mohd Ezuan Saad, himpunan yang bakal disertai lebih daripada 50 buah institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta itu dan diharap akan dapat membawa mahasiswa turun ke lapangan masyarakat serta memainkan peranan penting dalam pemerintahan negara.

"Himpunan ini diharapkan dapat berperanan sebagai medan kapada setiap mahasiswa di seluruh negara untuk tampil dengan wajah dan nafas baru yang lebih dinamik pada tahun baru 2011.

" (Di peringkat) kami mahu para mahasiswa terus memainkan peranan yang dominan di dalam masyarakat serta politik dalam negara kita," ujar beliau lagi.

Sementara itu pula menurut jurucakap GAMIS, saudara Ahmad Shukri Kamarudin berkata, program lima jam tersebut bermula seawal pukul 8.30 pagi itu bertujuan memberikan mesej bahawa mahasiswa bersama-sama dengan masyarakat.

Program ini juga antara lain telah menggariskan beberapa buah objektif yang ingin dicapai seperti;
i. Menghimpunkan mahasiswa Malaysia sebagai tanda solidariti di bawah semangat patriotisme
ii. Merangka deklarasi Mahasiswa Malaysia bersempena dengan kedatangan tahun baru 2011
iii. Memberikan mesej kepada masyarakat bahawa mahasiswa bersama-sama dengan masyarakat Malaysia
iv. Memberi gambaran kepada masyarakat bahawa segala tindakan yang dilakukan oleh mahasiswa adalah berdasarkan rasa tanggungjawab terhadap Negara.

Menurut saudara Ahmad Shukri lagi, program itu akan diisi dengan acara melakar kain rentang bertemakan Jalur Gemilang, Pidato Mahasiswa 'berantai' dan pengisytiharan Deklarasi Mahasiswa 1.1.11

PDRM, cukup-cukuplah usaha memperbodohkan Rakyat

Mengapa polis hanya mahu menyalahkan media internet sahaja. Ini bermakna Polis akan menyekat maklumat dari blog atau laman web yang pro Pakatan Rakyat. Adakah selama ini maklumat dari media arus perdana seperti TV1, TV3, Utusan Meloya dan yang sepusat dan sepusing dengannya adalah benar dan tepat?

Sudah banyak kali mereka disaman kerana memfitnah. Media arus perdana yang jelas menghasut dan mengamalkan pelaporan berita putar-belit, dibiarkan begitu sahaja seolah-olah kita ini hidup dalam masyarakat yang buta huruf dan tidak berpendidikan.

Pihak yang berkuasa merasakan seolah-olah mereka berhadapan dengan masyarakat yang tiada pegangan agama, yang tidak tahu membezakan antara yang makruf dan yang mungkar, dosa dan pahala.

Polis wajib bertindak adil bukannya menjadi pencacai angkat najis najib rosmah. Ramai polis yang menjalankan tugas mereka dengan profesional tetapi kebanyakkan Ketua Polis akan menjadi alat dan pencacai najib rosmah sahaja. Sebagai contoh, usung tilam sahaja boleh jadi Ketua Polis Negara.


Polis cari inisiatif baru bagi Sekat penyebaran maklumat tidak tepat yang dilakukan oleh media-media baru

IPOH 30 Dis. - Polis akan mencari inisiatif baru bagi menyekat penyebaran maklumat tidak tepat yang dilakukan oleh media-media baru pada tahun depan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Beliau berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang memanipulasikan teknologi maklumat (IT) untuk kepentingan sendiri perlu disekat.

"Kita bimbang sekiranya tidak ditangani, ia akan menyebabkan penyebaran fakta-fakta salah yang boleh memesongkan pemikiran rakyat.

"Oleh itu, polis harus ada mekanisme atau struktur prosedur operasi standard (SOP) kerja baru untuk mengatasi ancaman ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis serah terima tugas Ketua Polis Perak yang ke-18 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyaksikan penyerahan dokumen serta tongkat kuasa daripada pemangku, Datuk Zakaria Yusof kepada Ketua Polis negeri yang baru, Datuk Mohd. Shukri Dahlan.

- Sharp Shooter

 SUK mula tugas angkat sumpah depan MB

SHAH ALAM, 31 Dis: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan, keutamaan beliau sekarang adalah untuk mengembalikan sepenuhnya kuasa mentadbir negeri kepada kuasa yang dipilih rakyat.

Abdul Khalid berkata, menjadi amalan biasa sebelum ini pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) terlebih dahulu mendapat penerimaan Sultan dan Menteri Besar (MB).

Tetapi menerusi isu menghapuskan kekebalan Sultan sejak 1993 oleh Umno, kuasa melantik SUK telah 'dilupuskan' daripada Sultan dan MB.

Sejak itu, jelasnya, tiada lagi kuasa sultan dan MB untuk melantik Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang selain SUK.

Namun menurutnya, dalam pada itu masih terdapat satu kuasa menteri besar iaitu, setiap SUK yang ingin memulakan tugas mesti mengangkat sumpah di hadapan MB.

Abdul Khalid menegaskan demikian dalam majlis solat hajat dan bacaan Yaasin yang diadakan di kediaman rasmi beliau di sini, malam tadi.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjamaah, ucapan dari MB dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, solat hajat, bacaan Yaasin dan solat Isyak yang dipimpin oleh Ketua Penerangan KeAdilan, Dr Mohd Nor Manuty.

"Dalam menjalankan amanah rakyat mentadbir negeri ini, membina satu pasukan terbaik adalah keperluan utama untuk sama-sama merancang dan bertukar fikiran.

"Selain itu, SUK mestilah orang yang berpengalaman, dapat berucap dan difahami rakyat, menguasai Bahasa Inggeris dengan baik terutamanya dengan pelabur.

"Paling utama juga, beliau mestilah mempunyai rasa kemesraan tentang perjuangan rakyat, mampu menjana negeri terulung di negara ini, pembangunan dan perusahaan serta sebagai negeri maju," tegasnya.

Meskipun bagi beliau, isu ini merupakan perkara kecil sahaja dalam pengurusan namun bimbang jika disalahgunakan bukan untuk membangun tetapi meruntuhkan Negeri Selangor.

Sementara itu, Khalid di dalam ucapannya berkata, Sultan sewajarnya tidak dilibatkan di dalam politik jika ingin mendapat sokongan dari keseluruhan rakyat.

Beliau juga berkata, sudah menjadi amalan sesiapa pun tidak hadir sesuatu majlis walimatul-urus jika tidak mendapat undangan hadiri kenduri berkenaan.

"Datuk Khusrin perlu faham-faham sendiri, nama beliau tidak ada dalam senarai jemputan sebagai SUK," sindirnya akhiri ucapan. -Hrkh

Utusan usaha jauhkan bukan-Islam daripada memahami Islam

Media cetak pengampu umno-apco yang mencatatkan kerugian pra-cukai lebih RM10 juta, nampaknya masih terus berusaha untuk menggandakan jumlah kerugian dengan sengaja mencipta isu-isu sensitif yang melibatkan agama Islam.

Utusan mempergunakan isu agama untuk meraih simpati masyarakat Islam sedangan majoriti masyarakat Islam telah menolak fahaman ekstrem yang cuba dibawa Utusan.

Utusan sanggup bersusah-payah mencipta isu remeh-temeh untuk menghalang kesediaan masyarakat bukan-Islam untuk memahami dan bergaul dengan umat Islam. Sebaliknya Utusan akan diam membisu sekiranya puak islam umno melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum Islam.

Baju ketat: Keluarkan senarai 'OK tak OK', kata Teo

Anggota parlimen Serdang Teo Nie Ching yang dihurung kontroversi terbaru berhubung isu pakaiannya di perkarangan sebuah masjid di Cheras, hari ini meminta satu senarai pantang larang disediakan berhubung perkara itu.

Wakil rakyat DAP itu berkata, ini kerana, hampir 30 tahun tinggal di Malaysia, berdasarkan pelbagai persoalan sekitar umat Islam dan bukan Islam, beliau menjadi semakin keliru.

"Sama ada orang bukan Muslim boleh masuk surau? Sama ada orang bukan Muslim boleh masuk perkarangan masjid? Sama ada orang bukan Muslim boleh baca Quran? Sama ada orang bukan Muslim boleh guna Kalimah Allah?" soalnya bertalu-talu.

youth convension 111210 teo nie ching"Sekiranya Datuk Seri Najib (Razak) dan pemimpin-pemimpin Umno yang lain cannot be bothered untuk menjawab soalan-soalan saya, mungkin pemimpin-pemimpin MCA, GERAKAN ataupun MIC boleh mengeluarkan satu senarai 'OK Tak OK' untuk semua warga bukan Muslim negara ini?" tegasnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, selepas kontroversi memasuki surau di Kajang Ramadan lalu, Teo didakwa masuk ke perkarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong dengan memakai baju ketat dan melakukan senamrobik bersama-sama jemaah masjid.

NONEMemetik sebuah blog, harian berbahasa Melayu itu dilapor mempersoal sama ada Islam yang diperjuangkan PAS di Selangor berbeza dengan negeri-negeri lain, seperti Kelantan yang mengasingkan kaunter bayaran berlainan jantina.

Blog tersebut, Ruang Bicara Faisal juga dilaporkan menyindir sama ada tahun depan mungkin masjid itu boleh menganjurkan pesta tari-menari dalam kawasannya sebagai sebahagian acara sambutan Maal Hijrah.

Teo: Utusan tak layak beri ajaran agama

Menulis di laman Facebook beliau hari ini, Teo berkata, walaupun Najib memberikan pelbagai saranan kepada media dalam sebuah konvensyen akhbar Cina pada 20 Disember, dalam masa yang sama, Utusan "memainkan isu agama dan kaum yang sempit dan bahaya."

"Adalah jelas sekali bahawa Utusan Malaysia bukanlah penggalak kesederhanaan tetapi penggalak ekstremisme, tetapi adakah perdana menteri ataupun menteri dalam negeri akan mengambil sebarang tindakan terhadap Utusan Malaysia?" katanya.

Mempertahankan tindakannya, Teo yang juga pembantu setiausaha publisiti DAP menjelaskan, tindakannya menyertai program masjid itu bertujuan merapatkan hubungan antara komuniti.

"Sudah banyak kali saya lihat orang bukan Islam menghadiri majlis hari raya Aidilfitri di perkarangan masjid. Jadi, apa kesalahan saya untuk menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan di perkarangan surau ataupun masjid apabila dijemput?"

"Adakah saya salah kerana saya memang telah melanggar ajaran Islam? Ataupun sebab saya seorang ahli politik DAP?" soalnya.

Mengambil peluang itu, beliau mengkritik Utusan yang didakwanya hanya tahu benci-membenci dengan menggunakan fahaman ekstremis baik aspek kaum, jantina mahupun agama.

"Saya tidak akan ikut adat yang ditetapkan oleh Utusan Malaysia ataupun Umno kerana saya percaya Utusan Malaysia tidak layak untuk memberi ajaran agama Islam," kata anggota parlimen muda itu. -M'kini

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .