Ikuti Blog ini

Pengundi Permatang Pauh wakili suara 27 juta rakyat


KUALA LUMPUR, 10 Ogos-Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengingatkan para pengundi di Permatang Pauh bahawa mereka mempunyai 'tugas negara' yang mewakili keseluruhan 27 juta rakyat Malaysia.
Anwar menyebut bahawa, pilihan raya kecil Parmatang Pauh adalah bukan mengenai dirinya, tetapi ianya adalah mengenai urustadbir yang baik, pembasmian kemiskinan dan rasuah serta sistem perundangan dan kehakiman yang tidak adil.

Oleh itu, katanya, Pakatan Rakyat memerlukan kemenangan yang besar untuk mencetuskan perubahan politik di negara ini.

Anwar kemudiannya melancarkan jentera pilihan raya kecil Pakatan Rakyat yang diketuai oleh ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin.

Sementara itu, Shamsul berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada pemilik kilang dan syarikat di Pulau Pinang dan Kedah selatan, untuk mengingatkan mereka supaya membenarkan para pekerja keluar pengundi dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Katanya, ini kerana hari pengundian jatuh pada hari bekerja dan oleh itu, pekerja perlu diberi masa untuk menunai tanggungjawab mereka untuk mengundi.

Gamis sedia jadi perantara antara Majlis Peguam-Nik Aziz


KUALA LUMPUR - Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) bersedia menjadi orang tengah untuk mengatur rundingan antara Majlis Peguam dan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkaitan dengan perundangan Islam dan sivil.

Berhubung dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Nik Aziz berkaitan forum "Memeluk Islam", jurucakap Gamis berkata, "perkara ini perlu diselesaikan dengan perbincangan yang lebih matang melibatkan individu-individu atau institusi yang berautoriti."

Dengan merujuk kepada kenyataan Nik Aziz yang mencadangkan agar dilaksanakan perbincangan bagi menilai logik antara Islam dan bukan Islam, dan dialog itu tidak harus hanya memfokus kepada perundangan Islam semata-mata bahkan melihat Islam dan segenap ruang lingkupnya berbanding dengan agama lain, Gamis berkata:

"Gamis merasakan perkara ini perlu diusahakan bagi menjelaskan kedudukan perundangan Islam supaya tidak hanya dilihat di bawah aspek Perlembagaan semata-mata."

"Bahkan aspek berkaitan Islam dan ajarannya itu sendiri perlu lebih utama untuk diambil kira.

"Ini bertujuan supaya hak-hak Islam dan umatnya terbela dan tidak sewenang-wenangnya dibahaskan oleh individu yang tidak berautoriti," kata Gamis dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Nik Aziz: 'Saya lantik menantu sebab dia layak'


KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menafikan wujudnya unsur kronisme dalam pelantikan menantunya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), sebaliknya dibuat berdasarkan kelayakannya.

Beliau berkata, Ariff Fahmi Abdul Rahman yang berpendidikan tinggi dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan dipercayai mampu menjalankan tanggungjawab itu setelah CEO sebelum ini meletak jawatan.

"Jadi saya lantik bukan atas dasar menantu tetapi atas dasar kelayakan dia (Ariff Fahmi)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Rangkaian Perniagaan Muslim Antarabangsa Ketiga di sini, hari ni.

Nik Aziz berkata, beliau telah menjelaskan kepada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lepas sebab-sebab pelantikan menantunya itu.

Semalam media melaporkan mengenai beberapa pegawai Badan Pencegah Rasuah
(BPR) memasuki premis PMBK di sini untuk meneliti beberapa dokumen berhubung beberapa isu yang berbangkit termasuk salah guna kuasa.

Nik Aziz sebelum ini berkata beliau sedia disiasat oleh BPR sekiranya wujud unsur-unsur salah guna kuasa dalam pelantikan menantunya itu.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .