Ikuti Blog ini

Perutusan TG Nik Aziz : Hijrah Ke Arah Dakwah Bernegara


Perutusan Hijratur-Rasul Al-Mursyidul Am PAS Sempena Tahun 1433 Hijrah

بسم الله الرحمن الرحيم

وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

– Surah al-Nisa’ ayat 100

Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian dan kesykuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana taufik dan inayahNya, kita masih diberikan peluang untuk terus hidup melangkah ke tahun baru 1433 Hijrah pada saat ini. Semoga dengan pertambahan umur yang dikurniakan oleh Allah SWT ini memberikan kita ruang untuk terus menambahkan ibadat dan memperkasakan perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah SWT.

Sesungguhnya, menyambut ulang tahun Hijratur-Rasul ini bukanlah satu perayaan suka-suka. Ia bukanlah satu sambutan tahunan semata-mata tanpa sebarang sebab dan juga akan berlalu begitu sahaja untuk menunggu sambutan pada tahun hadapan. Sambutan Hijratur-Rasul ini sebagai menghayati makna dan pengertian peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dan para muhajirin dari Kota Makkah ke Kota Madinah yang kemudiannya dikira sebagai tahun pertama Hijrah.

Hakikatnya, Hijrah Rasulullah s.a.w tidak berlaku pada awal tahun dan tidak berlaku pada bulan Muharram. Sebaliknya, Rasulullah s.a.w mula keluar dari kota Mekkah pada akhir bulan Safar, bulan yang kedua dalam kalendar Islam. Baginda keluar dari Mekkah bersama-sama dengan sahabat baginda yang paling setia Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a setelah mendapat perintah dari Allah s.w.t agar bersama-sama dengan umat Islam di kota Madinah. Rasulullah s.a.w tiba di kota Madinah dan mula menetap di sana pada hari Jumaat, 12 Rabiul Awal. Sekalipun hijrah tidak berlaku di bulan Muharram, namun detik peristiwa tersebut ia dipilih sebagai tahun yang pertama dalam kalendar

Islam sewaktu proses penetapan kalendar Islam pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab RA. Kenapakah Saidina Umar bin Al-Khattab dan para sahabat pada masa itu tidak memilih peristiwa lain seperti peristiwa kelahiran Rasulullah SAW, peristiwa pembukaan Kota Makkah atau Haji Wada’? Jawabnya ialah kerana peristiwa hijrah itulah yang mencetuskan fenomena dan momentum terbesar di dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW. Momentum tersebut ialah pembentukan sebuah negara Islam yang pertama dan perpindahan era dakwah secara rahsia kepada era dakwah secara bernegara.

Pembentukan negara itulah yang menjadi matlamat kepada penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah. Jika tidak kerana membentuk negara, tidak perlu lagi berlakunya hijrah Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, amatlah salah sama sekali tanggapan yang menyatakan bahawa bernegara merupakan satu perkara yang tidak wujud di dalam Islam, apatah lagi menidakkan kewujudan syariat Islam dalam aspek bernegara.

Sebagaimana umat Islam diwajibkan untuk mengerjakan solat lima kali sehari, berpuasa selama sebulan dalam satu tahun dan mengerjakan haji sekali sepanjang hidup, demikianlah juga diperintahkan agar bernegara dan melaksanakan undang-undang menurut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Kita tidak rela jika pembangunan fizikal pesat berlaku namun dalam masa yang sama kita menyaksikan runtuhnya nilai-nilai agama dan jauhnya manusia daripada Allah SWT. Alangkah ruginya hidup manusia jika hanya mendapat kemegahan, kemewahan dan kekayaan di dunia semata-mata namun di akhirat dilemparkan Allah SWT ke tempat yang buruk iaitu neraka hanya kerana enggan tunduk patuh kepada Allah SWT.

Justeru, PAS mendidik rakyat agar kenal batasan iman dan kufur, batasan syurga dan neraka serta batasan pahala dan dosa, agar tidak berlaku penolakan terhadap mana-mana perintah Allah SWT. Ini kerana iman sifatnya ialah syumul. Menolak satu cabang iman bererti menolak keseluruhan iman itu sendiri.

Dari aspek yang lain, hijrah juga mengajar umat Islam agar berstrategi dalam apa jua langkah dan gerak kerja. Bagaimana kita melihat Rasulullah SAW mengatur strategi yang cukup teratur di dalam berhijrah, demikianlah juga wajib untuk kita mengatur strategi dan mempunyai perancangan yang tersusun di dalam memastikan gerak kerja yang dilakukan berkesan dan berjaya. Strategi Rasulullah SAW dapat dilihat apabila baginda datang ke rumah Saidina Abu Bakr as-Siddiq pada waktu siang hari iaitu waktu yang tidak akan dijangka dipilih untuk keluar dari Mekah.

Baginda juga mengupah Abdullah bin Uraiqit yang masih musyrik menunjukkan jalan dan ini mengajar bagaimana harusnya bekerjasama dengan non muslim dalam urusan yang boleh mendatangkan faedah kepada Islam. Baginda juga memilih untuk berlindung di dalam Gua Thur yang bukannya terletak di pertengahan jalan menuju ke Madinah dengan tujuan untuk mengelirukan kaum musyrikin. Nyata sekali semua strategi yang diatur oleh baginda Rasulullah SAW ini berjaya mengeluarkan baginda dari kota Makkah dan menuju ke Madinah dengan selamat. Justeru, apabila kita menyambut peristiwa Hijratur Rasul pada hari ini, kita sebenarnya menyambut peristiwa fatonah atau kecerdikan baginda.

Pada zaman kita hari ini, pengurusan hidup hendaklah bersendikan fatonah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Fatonah ini pula hendaklah disertakan dengan amanah. Fatonah tanpa amanah akan melahirkan generasi yang punah iaitu generasi yang cerdik tetapi jauh dari Allah SWT. Hari ini, kita melihat setiap hari didedahkan pelbagai skandal dalam pengurusan wang samada di peringkat pemimpin maupun di peringkat pegawai. Laporan demi laporan audit yang dibentangkan menyaksikan pelbagai ketirisan yang berlaku sehingga mengakibatkan kerugian puluhan juta ringgit wang rakyat.

Ketirisan ini jika diselamatkan nyata sekali dapat memberikan manfaat yang lebih besar kepada rakyat jelata. Kenapakah perkara ini boleh berlaku sedangkan kita mempunyai pelbagai undang-undang pencegahan rasuah dan penyelewengan? Tidak lain melainkan hanyalah kerana manusia tidak mampu dikawal oleh undang-undang manusia. Yang mampu memagari manusia dari melakukan perbuatan khianat hanyalah taqwanya kepada Allah SWT. Inilah misi PAS di dalam gerak kerja politik. Kita berjuang melalui pilihanraya untuk mendapatkan kuasa dan untuk membangunkan roh dan jiwa rakyat agar sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT.

Di Kelantan, kita menguatkuasakan larangan pembukaan premis judi, larangan penjualan arak secara terbuka, memindahkan wang kerajaan ke perbankan Islam serta memperbanyakkan skim-skim kebajikan seperti takaful kifalah, skim armalah, skim al-it’am dan sebagainya semuanya bertujuan untuk memberikan kebaikan kepada rakyat dari sudut duniawi dan ukhrawi.

Hijrah juga mengajar kita menjadi optimis dalam perjuangan. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menjanjikan kepada Suraqah bin Malik untuk dipakaikan dengan alat kebesaran raja Parsi sedangkan baginda sedang di dalam perjalanan menuju ke Madinah. Janji tersebut nyata sekali menjadi kenyataan selepas kewafatan baginda iaitu pada saat kejatuhan kerajaan Parsi pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab RA. Oleh yang demikian, pada saat dunia kelam pekat diselubungi gelap sekular, yakinlah, jahiliyyah pasti akan tumbang, dan Islam pasti akan tertegak juga di bumi Allah SWT ini.

Insya-allah, fajar semakin menyinsing. Malam pasti berakhir. Kebangkitan yang berlaku di seluruh dunia lambat laun akan tiba juga di negara kita yang tercinta. Semoga keamanan terus dikekalkan dan semoga Islam dapat didaulatkan. Selamat berhijrah dan selamat berubah.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Al-Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Bertarikh: 28 Zulhijjah 1433H.

Satu lagi kemelut Najib: Kabinet arah semakan semula Akta Perhimpunan Aman

Satu lagi kemelut Najib: Kabinet arah semakan semula Akta Perhimpunan Aman
Dalam usaha untuk meminimakan kerosakkan, Perdana Menteri Najib Tun Razak telah melihat semula Rang Undang-undang Perhimpuanan Aman yang telah dikritik oleh pelbagai kumpulan masyarakat dan dikatakan bakal menjadikan Malaysia lebih teruk daripada Myanmar dari segi kebebasan hak asasi dan demokrasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz telah dipilih untuk menjadi kambing tambatan dan Najib yang sudahpun lemah itu dilindungi kerana harga politik kemelut terbaru ini mungkin terlalu besar untuk beliau bayar.

Secubit Garam

Berdasarkan laporan yang belum disahkan daripada akhbar bahasa Cina, Kabinet telah mengarahkan Nazri untuk menyemak semula rang undang-undang itu yang mengandungi senarai peruntukan yang menyukarkan rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat mereka mengenai apa jua isu.

Sehinggalah perkara ini dapat disahkan, saya akan ambil ia dengan secubit garam. Tetapi, ini sepatutnya langkah yang terbaik yang harus diambil oleh BN. Pokoknya, bagaimana mereka hendak menyelamatkan Najib dalam prose itu? Beliau sudahpun dalam masalah kerana populariti beliau telah menurun selepas Perhimpunan Bersih pada 9 Julai lepas dan sekarang beliau buat satu lagi kesilapan. Untuk mengatakan bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai rang undang-undang itu dan Nazri telah membentangkannya semasa beliau berada di luar negara adalah sesuatu yang sangat bodoh.” Ujar timbalan Presiden PKR Tian Chua kepada Malaysia Chronicle.

“Najib semestinya telah memeriksa kandungannya sebelum memberi lampu hijau kepada Nazri. Ini bersama dengan ISA dan pemansuhan undang-undang darurat sepatutnya menjadi legasi beliau jadi mustahillah beliau tidak tahu menahu mengenainya apa lagi beliau dan sepupu beliau Hishamuddin (Menteri dalam Negeri) telah beriya mempertahankan undang-undang itu. Kebocoran ini mungkin hanya untuk menguji reaksi rakyat dan ini menunjukkan betapa lemahnya pentadbiran beliau selepas satu demi satu kesilapan yang mereka lakukan.

Pusingan U pantas

Sememangnya Najib, beberapa hari yang lepas telah mengisytiharkan bahawa Rang Undang-undang Perhimpuanan Aman merupakan satu “langkah besar untuk kerajaan”. Tetapi, dengan protes terkini daripada Majlis Peguam, nampaknya Najib tidak dapat melompat dengan lebih cepat.

Berdasarkan laporan akhbar cina, Najib telah mengarahkan Nazri untuk meminda rang undang-undang tersebut dan menspekulasi bahawa jumlah hari pemberitahuan kepada polis mengenai perhimpunan diubah daripada 30 kepada 10, namun tetap jauh lebih besar berbanding 5 hari yang diberi kepada rakyat Myanmar untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa sebelum mereka berkumpul di tempat awam.

“ini bukanlah suatu undang-undang yang kami sebagai peguam boleh lihat masuk ke dalam statut tanpa berbuat apa-apa. Ia bukanlah undang-undang yang kami mahu generasi akan datang untuk warisi dengan senang-senang tanpa bantahan dari kami. Sekiranya undang-undang ini masuk ke dalam buku statut, generasi akan datang akan mewarisi sebuah negara yang jauh daripada moden dan progresif.” Ujar Presiden Majlis Peguam Negara, Lim Chee Wee pada hari Jumaat.

“Adalah sangat memalukan yang Burma boleh mencadangkan satu undang-undang yang lebih demokratik berbanding kita. Ia merupakan satu penghinaan kepada rakyat Malaysia kerana kita dijanjikan demokrasi tetapi sekarang ia jelas bukan.” Kata pemimpin Bersih Ambiga Sreenevasan, seorang peguam terkenal dan bekas Presiden Majlis Peguam Negara.

Tiada jaminan tulen, undang-undang ini akan memberi kuasa penuh kepada polis dan rayuan sepenuhnya kepada menteri. Ini bukan demokrasi.” Kata Pemimpin Pembangkan Anwar Ibrahim kepada wartawan. Beliau kemudiannya memimpin Ahli Parlimen Pakatan Rakyat untuk menentang rang undang-undang tersebut di Parlimen.

BN perlu rang undang-undang itu untuk sekat perbezaan pendapat


Sementara itu, Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar percaya bahawa Umno-BN akan tetap meneruskan rang undang-undang itu supaya ia dapat menyekat mana-mana penyuaraan pendapat yang akan muncul seiring dengan PRU 13 nanti.

“Mereka tahu Bersih 3.0 akan berlaku oleh sebab itulah mereka mahukan undang-undang ini.” Shamsul memberitahu partinya semasa krogress yang berlangsung pada hari Jumaat, hasil daripada perhimpunan yang meminta pilihanraya yang adil dan bebas disertai oleh beribu-ribu rakyat di Kuala Lumpur pada tahun 2007 dan Julai lepas.

“Sekiranya mereka sekat kita, dan jika ada berlaku penipuan, kita akan gunakan jalanan. Lupakan pilihanraya dan kita guna jalanraya!”

Malaysia Chronicle

Datuk Ismail Kamus Tokoh Maal Hijrah 1433 Selangor

SHAH ALAM – Penceramah dan pendakwah agama bebas Datuk Ismail Kamus dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1433H Negeri Selangor sempena sambutan Maal Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Beliau menerima wang tunai RM20,000 daripada kerajaan negeri dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), sijil penghargaan, pingat Maal Hijrah, sepersalinan pakaian dan pakej mengerjakan umrah yang disampaikan Tengku Sulaiman Shah, wakil kekandanya, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketika ditemui pemberita, Ismail berkata beliau bersyukur dan gembira kerana sumbangannya dalam menegakkan syiar Islam dihargai kerajaan negeri.

Tokoh Saudara Kita pula disandang pemilik restoran makanan Cina Muslim Muhammad Chan Abdullah, 58, manakala pesara guru agama Said Husin, 80 yang mempunyai 19 anak, dianugerahkan Tokoh Keluarga Mithali dan Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia Jamaludin Elias, 48, menerima anugerah Tokoh Aktivis Masyarakat.

Mereka masing-masing menerima wang tunai RM10,000 sumbangan kerajaan negeri dan LZS, sijil penghargaan, pingat Maal Hijrah, sepersalinan pakaian serta pakej mengerjakan umrah. – BERNAMA

Isu air tak jejas sokongan rakyat Kelantan

KUALA LUMPUR, 27 Nov: Penganalisis politik Prof. Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berpandangan, isu air yang dimainkan pihak tertentu menyerang Kerajaan Negeri Kelantan yang dipimpin PAS, tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada parti Islam itu.

Beliau yang juga Ketua Program Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, isu tersebut bukan baru di negeri itu malah rakyat negeri itu sendiri tidak melihat isu itu sesuatu yang besar kepada mereka kerana memahami kekangan yang ada pada kerajaan negeri.

"Bukannya saya hendak katakan kerajaan Kelantan itu tidak ada kelemahan, kelemahan memang ada, misalnya dalam isu air. Memang airnya keluar perlahan, airnya kotor jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain, tetapi itu tidak menjadi isu besar bagi rakyat Kelantan.

"Mengapa demikian? Ini kerana kerajaan Kelantan ada satu tiang besar dan kukuh yang sukar digoncang, iaitu kepimpinan Tok Guru dan ketelusan pentadbiran sehingga rakyat faham kerajaan negeri tidak boleh menyediakan prasarana yang baik kerana tidak ada wang disebabkan oleh tiada bantuan dari kerajaan pusat," katanya ketika ditemui Harakahdaily semalam.

Media dan pemimpin Umno sejak dua minggu lalu menyerang Kelantan dengan mendakwa air di negeri itu tidak bersih dan berisiko membawa penyakit.

Ianya termasuk akhbar Umno, Utusan Malaysia melalui Mingguan Malaysia pada 20 November 2011 yang membawa tajuk ‘Air Kelantan Terkotor?’.

Mereka juga mendakwa kononnya air yang dibekal Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB), mengandungi logam berat serta E-coli.

Bagaimanapun dakwaan itu dibidas kerajaan negeri dengan membawa fakta dari Laporan Pencapaian Pematuhan Kualiti Air Terawat Bagi Parameter QAP Seluruh Negara bagi tempoh Januari hingga Julai dan Januari hingga Ogos 2011 yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya.

Laporan itu mendedahkan bahawa negeri-negeri ditadbir kerajaan BN mengandungi kadar pencemaran bakteria E-coli lebih tinggi berbanding Kelantan.

Negeri Perlis mencatat pencemaran E-coli paling tinggi dalam negara iaitu 1.21% diikuti Pahang (1.12%), Wilayah Persekutuan Labuan (1.01%), Perak (0.90%), Kelantan (0.88%) dan Johor (0.55%).

Mengulas lanjut, Mohammad Agus yang juga anak Kelantan berkata, biarpun isu tersebut dimainkan, namun baginya rakyat Kelantan tidak terpengaruh apatah lagi keyakinan rakyat terhadap kejujuran kepimpinan Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sangat tinggi.

"Dalam keadaan tertekan seperti sekarang ini pun Kelantan sukar digugat oleh kerajaan pusat dari segi sokongan rakyat kepadanya. Kenapa?

"Ini kerana kerajaan Kelantan mempunyai darjah integriti, ketelusan dan kejujuran politik yang tinggi," katanya. -Hrkh

Akta Polis bersalin kulit jadi Negara Polis


Bil ataupun Rang Undang-undang Perhimpunan Aman yang dibentang oleh BN di Parlimen merupakan satu insiden hitam bagi sebuah negara demokrasi. BN mengambil sistem demokrasi untuk negara tetapi takut dengan sistem itu sendiri.

Apa yang akan dibentangkan dan diluluskan oleh parlimen ini merupakan satu tindakan yang mengekang perhimpunan secara aman dan nampaknya kerajaan yang memerintah amat gerun dengan kebangkitan rakyat untuk menyuarakan suara dan manifestasi mereka secara terbuka. 

Cadangan ini adalah bercanggah dengan kehendak perlembagaan yang membenarkan rakyat menyuarakan pandangan dan pendapat mereka melalui perhimpunan secara aman. Demokrasi hanyalah dalam bentuk pembungkusannya sahaja tetapi sebenarnya di dalam bungkusan itu penuh dengan elemen kuku besi (diktator) dan jika BN mengambil kesempatan untuk mendapatkan kelulusan dengan sokongan ‘simple majority’ di Parlimen, ia tidak lain dari tindakan menekan terhadap gerakan fikiran rakyat untuk melakukan perubahan.

Bagi pendapat saya secara peribadi, BN akan teruskan membentangkan bill ini dan akan mendapat kelulusan ‘simple majority’ di dewan parlimen. Tidak ada siapa yang boleh menyangkalnya jika BN masih mahukan akta yang menekan ini untuk dikenakan kepada rakyat.

Perhimpunan tidak dibenarkan di semua tempat dan ini adalah cara BN untuk mengelakkan insiden seperti Bersih 2.0 untuk berlaku sekali lagi. Tentunya bill ini merupakan tanda-tanda yang kerajaan BN tidak akan melaksanakan pilihan raya secara adil dan bill ini penting untuk mengelakkan reaksi marah rakyat yang ramai.

Saya tidak mahu komen banyak tentang isu ini. Hanya saya hendak bersama dalam isu menentang bill ini kerana ianya akan menjadikan negara ini sebagai apa yang dikatakan sebagai Negara Polis (police state) dan ianya tidak ada bezanya dengan sebuah negara yang berkepimpinan diktator yang bersalutkan demokrasi.

Saya telah sebutkan beberapa kali yang demokrasi di negara ini telah beransur-ansur mati. Jika pilihan raya diadakan kali ini saya berkeyakinan yang isu ini akan dapat diatasi jika semua rakyat bersatu; tidak kira apa bangsa sekali pun untuk pergi ke peti undi dengan aman dan terus sahaja memberikan undi kepada mana-mana parti selain dari UMNO dan BN.

Dengan cara ini tidak payah lagi kita hendak bertengkar dan berbahas. Bagi saya masa untuk berbahas sudah tidak ada lagi kerana UMNO dan BN tidak akan dapat mengubati penyakit rendah diri itu lagi. Penyakit itu sudah menjadi kanser tahap empat. UMNO tidak akan berubah lagi.

Kita sepatutnya tidak merasa bersalah lagi untuk meninggalkan UMNO itu kerana ianya lebih membawa penyakit dari membawa yang baik untuk rakyat. Rakyat tidak diberikan kebebasan untuk berfikir. Kita hanya dibenarkan untuk mengangguk sahaja dan tidak dibenarkan mengeleng.

Jika ini cara UMNO memimpin dan membina pembangunan rakyat, kita akan menjadi rakyat yang tolol dan tidak boleh berbeza fikiran lagi.

Apabila saya membaca apa yang sedang berlaku ini, ada juga keinginan saya untuk keluar memberikan pandangan dalam ceramah-ceramah dan perhimpunan bagi menambah usaha untuk bersama-sama membetulkan keadaan yang tidak baik yang sedang menyelubungi politik negara.

Kita tidak juga boleh menyalahkan BN menggubal akta seperti ini. Kita mesti faham mereka yang sedang berkuasa ini amat takut dan gerun untuk menerima kekalahan yang saya rasa akan mereka alami. Selalunya mana-mana kerajaan yang akan jatuh selalunya bersikap seperti apa yang kita lihat sedang dilakukan oleh BN sekarang ini.

BN tidak gentleman. Mereka terlalu seronok dengan kuasa dan tidak mahu melepaskannya walaupun mereka tahu mereka tidak berkelayakan lagi untuk mentadbir negara. Tetapi mereka masih mahu berkuasa, maka tidak hairan kenapa mereka menggubal dasar-dasar yang ketat dan dianggap gila oleh mereka yang berfikir.

Jika rakyat benar-benar hendak mengelakkan akta seperti ini wujud, caranya ialah untuk tidak memberikan kuasa lagi kepada mereka yang bertanggungjawab menggubal akta yang tidak senonoh ini. Jika mereka tidak lagi berkuasa, maka mereka tidak akan lagi berada di tampuk kuasa untuk menggubal dasar-dasar yang menekan seperti ini.

Kita mesti mengakui yang peralihan kuasa itu adalah fenomena normal dalam sesebuah negara demokrasi. Jika mereka yang terpilih melanggar semangat demokrasi itu rakyat mempunyai hak untuk memberikan mandat itu pada pihak lain, dan itu bukan sekali-kali merupakan kesalahan. Memberikan sokongan kepada pihak lain itu bukannya satu tindakan yang kriminal. Kita boleh melakukannya tanpa takut kepada mana-mana pihak.

Sebenarnya rakyatlah yang bertanggungjawab. Jika mereka masih memberikan sokongan dan seterusnya mandat untuk berkuasa maka rakyatlah yang patut dipersalahkan. Mereka yang berkuasa sekarang memang tidak merasa bersalah kerana melakukan kesalahan itu adalah kerja mereka.

Rakyatlah yang bertanggungjawab sama ada akta ini mahu diteruskan atau dibubarkan. Itu sahaja komen dari saya. Jika kita kaji secara halus tentang apa yang sedang berlaku di sekeliling kita, untuk mengalahkan BN dalam pilihan raya kali ini bukanlah satu perkara yang mustahil malahan ianya merupakan keadaan yang agak mudah bagi parti-parti pembangkang untuk memenangi pilihanraya ini.

Ingat kepada slogan ABU (Asalkan Bukan UMNO), undilah mana-mana parti yang lain. Insyaallah segala akta yang menekan boleh kita hapuskan.
- Aspan Alias

'Perarakan peguam' pada Selasa diteruskan


Majlis Peguam akan tetap meneruskan perarakan mereka Selasa depan walaupun kerajaan kini mempertimbangkan menilai semula beberapa peruntukan dalam Rang Undang-undang Perhimpunan Aman yang dicadangkan.

"Walaupun ia sedikit positif bahawa kerajaan - sebagai reaksi kepada bantahan awam - mempertimbang meminda tujuh peruntukan, kecuali untuk mengurangkan tempoh notis, kita tahu, tidak pindaan lain ...," kata pengerusi majlis itu Lim Chee Wee.

lawyers at brickfields police station 220509 lim chee wee"Bagaimanapun, ia sebenarnya mencerminkan apa yang salah dengan proses yang melibatkan rang undang-undang itu - ia amat tergesa-gesa untuk dijadikan undang-undang tanpa perundingan awam yang mencukupi."

Kata Lim, penyelesaian terbaik dengan merujuk rang undang-undang itu kepada jawatankuasa khas parlimen.

Majlis Peguam semalam mengerahkan 14, 000 anggota berarak dalam program dinamakan Walk for Freedom (berjalan untuk kebebasan) pada Selasa depan apabila rang undang-undang itu akan dibahas.

Lim berkata, rang undang-undang itu amat berbeza dengan amalan negara luar seperti United Kingdom dan Findland yang memerlukan notis lebih pendek untuk berhimpun dan langsung tidak perlu sekiranya tidak munasabah secara praktikalnya.

"Di Finland, hanya enam jam diperlukan. Di Malaysia, perhimpunan dalam gerakan atau perarakan kecuali perarakan pengebumian, adalah dilarang. Ini adalah keterlaluan," katanya. -M'kini
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .