Ikuti Blog ini
Pemangku Raja terharu sambutan rakyat , at 14.1.10,
PENGKALAN CHEPA, 14 Jan: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra petang ini penuh sesak dengan kebanjiran orang ramai bagi menyambut keberangkatan pulang Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.
Baginda tiba jam 4.28 petang dan ketika keluar dari bilik istirehat diraja, Pemangku Raja melambaikan tangan sambil mengucapkan terima kasih berulang kali kepada orang ramai.
Wajah Tengku Muhammad Faris jelas terharu dan kelihatan mengalir air mata dengan kehadiran rakyat jelata.
Baginda berpakaian baju Melayu berona merah terang.
Sebelum baginda berangkat ke istana, baginda dan pemimpin negeri mengaminkan doa dibaca Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Che Rahim Jusoh.
Keberangkatan pulang baginda disambut oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, timbalannya, Datuk Ahmad Yakob, Speaker Dun, Nasuruddin Daud, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.
Pengelola Istana D’raja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad bersama pegawai kanan istana juga kelihatan.
Dianggarkan lebih 5,000 berhimpun di terminal tersebut yang terdiri pelbagai lapisan rakyat. Turut kelihatan masyarakat Cina, India dan Siam.
Alim ulama termasuk pelajar pondok yang berpakaian jubah putih juga ramai. Anggota pasukan keselamatan yang diketuai Ketua Polis Kelantan, Datuk Rahim Hanafi mengawal keadaan.
Suasana agak tenang biar pun kesesakan berlaku di luar dan dalam bangunan terminal.
Turut dilihat banyak sepanduk yang bertulis ‘Rakyat Menjunjung Kasih dan Taat Setia Kepada Pemangku Raja’.
Ada juga sepanduk ‘Daulat Tuanku’ yang bertulis lambang Umno.
Difahamkan, sebaik tiba Pemangku Raja dijangka bertitah kepada orang ramai yang hadir menyambut keberangkatan baginda.
Pentas khas disediakan di luar bangunan terminal.
Orang ramai mulai tiba di lapangan terbang tersebut kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Ketika jam menghampiri 4 petang bilangan rakyat tambah ramai dianggarkan hampir 5,000 orang berkumpul di lapangan terbang.
Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu majlis sambutan Pemangku Raja dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama NGO.
Katanya, semua pegawai kerajaan negeri di peringkat jajahan, pihak berkuasa tempatan dan parti-parti politik turut menyambut keberangkatan pulang baginda bagi menzahirkan rasa kasih serta taat setia yang tidak berbelah bagi.
“Biar pun penerimaan rakyat terhadap baginda begitu baik, namun taat setia dari mereka dan kerajaan perlu diperjelaskan.
“Malam ini sekali lagi kita akan berhimpun di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V untuk menunaikan solat sunat hajat dan kita minta rakyat hadir pada majlis itu yang bermula solat Maghrib,” ujarnya.
Tok Guru Nik Aziz: Politik suku agama suku punca Melayu lemah , at 14.1.10,
KOTA BARU – Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi pendiriannya amalan agama suku politik suku menjadi punca kekuatan orang Melayu terhakis, sekali gus menyebabkan banyak kecelaruan di kalangan masyarakat dalam negara. “Dasar, ataupun prinsip itu ternyata bercanggah dengan apa yang dilakukan Nabi. Bercanggah dengan al-Quran dan bercanggah juga dengan sirah Nabi Muhammad SAW.
“Disebabkan percanggahan-percanggahan sedemikianlah timbulnya pelbagai kecelaruan. Dan kecelaruan itu sebenarnya berpunca dari kelemahan orang Melayu sendiri, orang Melayu yang memperlekehkan agamanya sendiri.
“Masyarakat sebenarnya celaru dengan apa yang dikatakan agama suku dan politik suku ini... bahkan disebabkan itu juga orang beragama lain cuba mencuri peluang untuk mencelarukan kita,” kata beliau.
Mursyidul Am PAS ini mengulas ancaman gejala sosial di kalangan masyarakat yang sanggup bertindak ganas membakar gereja ekoran kontroversi isu penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi penerbitan akhbar mingguan Herald.
Padah ajaran agama suku politik suku, Nik Aziz mengingatkan kembali salah seorang pemimpin kerajaan sanggup berkata Islam sesuai dan munasabah pada zaman unta.
“Seolah-olah baginya Islam sudah tidak sesuai pada zaman ini. Ini juga satu kecelaruan.
“Jadi apa peliknya kalau orang lain pun cuba untuk mencelarukan kerana kelemahan kita sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh Herald, Nik Aziz sebaliknya bertanya “kenapa tidak ambil Islam terus?”
“Pada asasnya saya telah jawab. Perkataan itu boleh digunakan tapi oleh kerana ada mainan di belakang, usul fekah menyebut, benda harus melibatkan perkara bahaya ia hendaklah disekat. Benda harus juga, tapi kalau ada manfaatnya, wajib.
“Kalau orang nak kalimah Allah dengan ikhlas, betul... lebih baik dia naik setangga lagi iaitu agama Allah sendiri, Islam. Ambil agama-Nya,” jelasnya.
Keputusan Mahkamah Rayuan, Nizar MB Perak yang sah? , at 14.1.10,
Merujuk kepada isu yang disebarkan melalui sms mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang berpihak kepada MB Pakatan Rakyat Perak, Ds. Hj. Muhammad Nizar Jamaluddin, maka saya suka untuk memberi beberapa kenyataan media seperti dibawah ;-
1. Saya menafikan bahawa pihak Mahkamah Rayuan telah mengumumkan bahawa siapakah MB Perak yang sah.
2. Namun begitu, pendengaran kes dihadapan 5 hakim pada 5hb November, 2009 telah pun lengkap dan habis bagi peguam dipihak MB Pakatan Rakyat dan MB Kudeta Perak, namun sehingga kenyataan ini dikeluarkan saya mengesahkan bahawa Ds. Nizar masih belum dipanggil ke mahkamah yang sama bagi mendengar keputusan yang telah ditentukan. Oleh itu isu dan berita angin siapakah pemenangnya tidak berbangkit.
3. Namun begitu, Pakatan Rakyat Perak mengambil sikap dan suka menghebahkan kepada umum dimana kami berpendirian bahawa besar kemungkinan keputusan adalah memihak kepada Ds. Nizar sebagai MB Perak yang sah, sehingga telah melebihi dua bulan masih tidak diumumkan oleh hakim mahkamah rayuan. Satu tempoh yang begitu lama dan tidak munasabah yang diambil oleh hakim mahkamah rayuan bagi menentukan siapakah MB yang sah menguatkan lagi jangkaan itu.
4. Selain itu sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada Zambry, kenapakah ianya tidak diumumkan dan mengambil masa yang begitu lama untuk disahkan. Satu persoalan yang pada pandangan kami menyebabkan wajar timbul isu dan cakap-cakap yang mengatakan keputusan memihak kepada Ds. Nizar.
5. Kerana itu saya menyeru kepada seluruh penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat di Perak supaya terus mempertingkatkan usaha untuk menyusun seluruh kekuatan melalui semua jentera di semua Parti PAS, DAP dan PKR serta pada gabungan sekretariat Pakatan Rakyat di peringkat Parlimen bagi menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran DUN Perak.
6. Segala langkah yang perlu bagi memastikan semua calon Pakatan Rakyat yang bertanding menang adalah keutamaan yang mesti didahulukan. Seterusnya merialisasikan hasrat Parti dan rakyat untuk melihat Pakatan Rakyat kembali memegang tampuk pemerintahan di Negeri Perak yang kita cintai.
Kenyataan Media 14hb Januari, 2010
YB.Drs. Khalil Idham Lim
Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.
Berita yang tak diberitahu pada orang kampung dan orang felda , at 14.1.10,
DS Nizar lebih popular berbanding Najib , at 14.1.10,
KUALA LUMPUR : Google.com meletakkan Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaludin sebagai antara insan yang paling banyak mencetuskan berita atau diberitakan di Malaysia sepanjang tahun 2009.
Tokoh PAS itu turut mengatasi populariti Perdana Menteri, Najib Razak dan Menteri Pengangkutan, Ong Tea Keat yang masing-masing berada di tangga ke 8 dan ke 9.
“Ini merupakan penghargaan kepada rakyat khususnya di Perak yang selama ini kekal bersama dengan harapan ke arah perubahan dalam negara yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi erapakatan.com.
Menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, rakyatlah yang mencetuskan berita selama ini kerana mereka yang dahagakan keamanan dan keadilan yang semakin cuba dikuburkan oleh Umno dan Barisan Nasional.
Terdahulu, Nizar yang diamanahkan sebagai MB Perak selepas Pakatan Rakyat berjaya menawan negeri itu digugat oleh Umno dan BN yang melakukan rampasan kuasa setahun lalu sehingga mencetuskan pelbagai masalah dalam negara khususnya di Perak.
Rampasan kuasa itu turut meletakan ekonomi negeri Perak terganggu selain menyaksikan perlembagaan negara di atur sesuka hati oleh kerajaan Umno dan BN.
Nizar menambah, beliau tidak faham mengapa sehingga kini Mahkamah sukar menetapkan tarikh untuk menetapkan perbicaraan bagi menentukan siapakah Menteri Besar Perak yang sah.
Google turut meletakan Nizar sebagai lelaki paling popular dalam carian mereka sepanjang tahun 2009.
Turut tersenarai dalam 10 tangga teratas itu ialah Fasha Sandha, Zakiah Anas, Sufiah Yusof, Kartika, Elizabeth Wong, Manohara Odelia Pinot dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad di tempat ke-2.