Ikuti Blog ini

Kami Kembali - Muslimeen United


PR Sedia hadapi UMNO BN Di Bagan Pinang


Pakatan Rakyat bersedia menghadapi apa jua taktik politik yang dimainkan Umno Barisan Nasional dalam kempen Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang yang bakal bermula pada 3 Oktober depan.

Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar berkata Pas mengembleng segenap sumber dari peringkat akar umbi sehingga ke pucuk pimpinan negeri, dengan sokongan Kelab Penyokong Pas dan badan-badan bukan kerajaan.

“Kita mempersiapkan jentera dari peringkat akar umbi sampai ke peringkat negeri bersama dengan rakan PKR, DAP, Kelab Penyokong Kaum India dan NGO bersama untuk membantu kempen kita bagi memastikan kemenangan calon PR kali ini,” katanya.

Menurut Zulkefly, PKR Bagan Pinang akan menyaksikan pendekatan mendidik rakyat mengenai hak dan kuasa mereka memilih pemimpin yang berwibawa, bebas rasuah dan bertanggungjawab.

Pendidikan politik ini penting bagi menghadapi permainan retorik pembangunan Umno dalam setiap pilihanraya.

Zulkefly menambah pemberdayaan pengundi membuka mata masyarakat kepada manfaat sekiranya orang-ramai melantik pemimpin yang bersih, amanah dan bertanggungjawab.

“Kita tahu Umno penuh tipu muslihat. Masa pilihanraya mereka cuba buat baik, cuba hendak mengambil hati semua rakyat. Masa inilah dia nak bagi macam-macam kepada rakyat tetapi mereka tidak peduli langsung kehidupan rakyat sama ada orang Melayu, Cina atau India,” katanya.

DUN Bagan Pinang mengalami kekosongan selepas penyandangnya, Azman Mohammad Noor yang mewakili Barisan Nasional meninggal dunia pada 4 September lalu akibat jangkitan dalam darah.

Sementara itu Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan Datuk Kamarul Baharin Abbas berkata Umno Barisan Nasional akan membangkitkan isu pembangunan dalam usaha menarik sokongan rakyat.

Sehubungan itu katanya, PR akan mendedahkan kegagalan Umno-BN menjaga kedudukan Bagan Pinang dari destinasi ulung di Selatan Tanahair kepada pekan koboi yang tidak lagi dikenali.

“Ini akan memberi gambaran Bagan Pinang sendiri di bawah Barisan Nasional dan Umno tidak membawa pembangunan yang disebutkan, jadi apakah perubahan yang akan dibawa di sini? Saya fikir rakyat tidak akan lagi memberi kepercayaan,” katanya.

Dari segi persiapan awal, Kamarul berkata Pakatan Rakyat tidak mempunyai masalah menghadapi PRK pada kali ini kerana terdapatnya jentera yang mantap disamping kerjasama erat antara parti komponen Pakatan Rakyat

“Persiapan awal lancar kita hanya tunggu hari penamaan calon, organisasi jentera bergerak persiapan awal dari segi pentadbiran, kerjasama dengan Pas dan DAP bagus bersepakat dan sekarang kita bersedia dengan semangat,” katanya

Menurut Kamarul, PKR meletakkan sasaran mengurangkan majoriti Umno di peringkat Dewan Undangan Negeri. Beliau menambah Bagan Pinang adalah batu loncatan kepada operasi merampas Negeri Sembilan dari BN.

“Akan mengurangakan majoriti Barisan Nasional dan perbezaan hanya 2 atau 3 kerusi termasuk Speaker yang boleh menggugat kerajaan Barisan Nasional.

“Pertama kita mendekatkan jurang kurangkan majoriti Barisan Nasional Negeri Sembilan. Keduanya membuktikan pada rakyat Malaysia bahawa sokongan padu yang diberi rakyat kepada PR berterusan dan belum lagi luntur menunjukkan peningkatan memberi semangat kepada kita,” katanya.

Jentara parti DAP turut turun bagi memperkemas persiapan Pakatan Rakyat menghadapi PRK Bagan Pinang.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan Loke Siew Fook berkata tinjauan awal mendapati Umno Barisan Nasional berada dalam keadaan yang amat tertekan.

“Saya rasa Umno lebih tertekan dari kita kerana mereka perlu menang di kawasan ini.Ini merupakan kubu kuat kepada mereka sekiranya mereka kalah ia bukan sahaja memberikan satu implikasi yang besar kepada Umno Negeri Sembilan tetapi Umno Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Siew Fook berkata undi pos merupakan cabaran hebat kepada Pakatan Rakyat memandangkan proses kawalan ketat undi berkenaan memaksa pengundi pos tidak dapat membuat pilihan secara bebas.

“Sama ada mereka boleh membuat satu pilihan secara bebas. Saya yakin kalau undi pos ini diberikan satu kebebasan kepada mereka untuk memilih saya yakin bahawa tentera pun ada ramai yang akan menyokong kita,” katanya. -TVA




Spy PAS


PAS mempunyai penyokong-penyokong di kem tentera dan balai polis yang akan bertindak sebagai "mata-mata" parti itu untuk memantau kempen-kempen BN ketika pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Ketua Penerangan Pemuda PAS berkata individu-individu berkenaan termasuk pegawai tentera dan polis yang berdaftar sebagai pengundi di kawasan berkenaan.

"Mereka adalah sumber maklumat kita untuk pastikan BN tidak menjalankan kempen dalam kem," kata Suhaizan Kaiat ketika dihubungi Malaysiakini lewat petang ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan di sebuah blog bahawa PAS melalui beberapa pegawai tentera telah menjalankan kempen di dalam kem dan, oleh itu, tidak perlu lagi memohon kebenaran untuk berbuat demikian seperti desakan Pemuda PAS minggu lalu.

"Berdasarkan maklumat yang kami terima, pihak PKR telah bantu PAS dengan menyediakan satu sistem di mana kepala-kepala tertentu sudah ditugaskan menjaga 10 biji rumah.

"Kepalanya seorang kapten (bakal) bersara yang hanya tinggal beberapa bulan lagi. Sebelum ini kami sudah dedahkan sebelum ini, seorang kapten bersara bernama Izani yang menguruskan kantin," blog The Unspinners dipetik.

"Nama kapten bersara itu kami tahu. Kami beritahu satu saja... bermula dengan R."

Blog pro-BN ini mengulas laporan Malaysiakini PAS serius mahu tembusi kem askar selepas Suhaizan menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menuntut peluang berkempen di kem.

Pilihan raya kecil itu bermula 3 Oktober ini dan lapan hari diperuntukkan untuk tempoh berkempen sebelum pengundian pada 11 Oktober.

Diminta mengulas dakwaan blog ini, Suhaizan berkata: "Siapa mereka itu, kita tidak boleh beritahu, nanti mereka akan kena tindakan pula."

Mata-mata PAS itu, tambahnya, sentiasa memberikan maklumat berkaitan kempen BN untuk memastikan pilihan raya itu berjalan dengan adil.

"Kita tidak mahu nanti ada menteri-menteri atau pemimpin-pemimpin BN yang berselindung di sebalik majlis-majlis formal anjuran kementerian untuk berkempen," jelas Suhaizan lagi.

"Maksudnya kalau kita (PAS) tidak boleh berkempen dalam kem, BN tidak boleh juga. Kalau BN boleh, kita pun mesti boleh."

Jelasnya lagi, beliau akan meminta supaya SPR dapat memastikan pemilih-pemilih pos di kem askar dan balai polis diberikan peluang sama untuk mendapatkan maklumat mengenai calon PAS.

SPR boleh menyediakan peluang berkenaan dengan memberikan peluang kepada calon-calon, termasuk pembangkang, untuk menjalankan ceramah di dalam kem.

Suhaizan turut menolak pandangan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang tidak membenarkan parti politik memasuki kem tentera untuk berkempen demi mengelak tentera "berpolitik."

"Saya rasa (Abdul Latif) silap. Berpolitik ini apabila seseorang itu ada jawatan dalam parti atau terlibat secara aktif dalam parti politik.

"Tapi tujuan kita (berkempen di dalam kem) adalah untuk memberi maklumat kepada pengundi, bukan untuk jadikan tentera berpolitik.

"Apakah mendapatkan maklumat (pilihan raya) itu juga berpolitik?" katanya.

Desakan berkempen di dalam kem tentera timbul apabila jumlah pemilih pos – yang sering dicurigai pembangkang akan menguntungkan BN – terlalu besar.

Daripada 13,664 pemilih berdaftar di DUN tersebut yang layak membuang undi, 4,604 terdiri daripada pemilih pos.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .