Oleh kerana kedua-dua Umno dan MCA adalah merupakan parti komponen utama di dalam BN, ramai yang tertanya-tanya sama ada Umno akan mengikut rentak MCA ataupun sebaliknya.
Ini adalah kerana masing-masing asyik berbalah mengenai bangsa manakah yang patut menjawat jawatan perdana menteri selepas pilihanraya umum yang berikutnya.
Ketetapan berbeza Umno dan MCA
Umno di dalam kebanyakan siri ceramahnya di kalangan orang-orang Melayu dan dalam kampung-kampung di dalam kawasan pedalaman asyik mengatakan bahawa jika rakyat memilih Pakatan Rakyat di dalam pilihanraya umum yang akan datang, maka DAP yang menguasai pakatan pembangkang tersebut akan melantik seorang pemimpin Cina daripada partinya untuk menjawat jawatan perdana menteri.
Di sebelah MCA pula, para pemimpin partinya asyik berceramah kepada masyarakat Cina dengan mengatakan bahawa jika Pakatan Rakyat berjaya di dalam pilihanraya umum yang akan datang, PAS yang menguasai pakatan pembangkang tersebut akan melantik pemimpin partinya untuk menjadi perdana menteri.
Justeru dari itu, PAS yang mengepalai Pakatan akan memperkenalkan undang-undang dan sistem pentadbiran Islam di negara ini dan akan mengenakan amalan Syariah tersebut terhadap semua tanpa mengira sama ada seseorang itu beragama Islam atau sebaliknya.
Ini jelas menunjukkan ketetapan kedua-dua Umno dan MCA adalah berbeza. Masing-masing tidak mahukan seorang perdana menteri yang berbangsa Cina dan berbangsa Melayu untuk memerintah negara ini.
Apakah kemahuan mereka berdua ini sebenarnya?
BN masih berasaskan parti-parti kaum yang tidak bersatu
BN walaupun menampakkan seperti suatu gabungan parti-parti berasaskan kaum-kaum yang diwakili masing-masing yang inginkan perpaduan, namum ia sebenarnya tidak.
Ini adalah kerana di dalam BN, Umno masih mementingkan perpaduan orang-orang Melayu, manakala MCA masih memperjuangkan perpaduan masyarakat Cina dan MIC pula untuk perpaduan kaum India. Ketiga-tiga parti utama di dalam BN ini masih menumpukan kepada perpaduan kaum yang kononnya diwakili masing-masing.
Sementara parti komponen BN yang paling besar, iaitu Umno pula akan menguasai sepenuhnya ganbungan tersebut dengan menitikberatkan ideologi ketuanan yang dipeloporinya.
Akibat daripada itu, parti-parti komponen BN yang berasaskan berbilang kaum seperti Gerakan dan PPP menjadi tidak dapat berbuat apa-apa demi menegakkan idealisma Bangsa Malaysia yang diperjuangkan oleh kedua-dua parti tersebut.
Manakala di Sabah dan Sarawak pula, parti-parti komponen BN di sana turut diagihkan mengikut kaum-kaum yang tertentu seperti Umno (untuk orang Melayu), PBS (untuk Kadazan), PBRS dan UPKO (juga untuk orang Kadazan), LDP (untuk orang Cina), PBB (untuk Melanau), SUPP (untuk masyarakat Cina), SPDP dan PRS (untuk orang-orang Dayak).
Ini jelas merupakan suatu bentuk pecah dan perintah yang dipelopori oleh Umno selama ini bagi memastikan kaum-kaum yang lain asyik dipecah dan diagihkan mengikut beberapa buah parti politik.
Jadi hakikatnya adalah dengan perpecahan di kalangan parti-parti komponen BN yang akan berterusan, Umno akan terus membolosi jawatan perdana menteri itu selama-lamanya jika gabungan tersebut berpeluang untuk terus berkuasa.
PM bangsa mana tidak penting!
Bagi kami, soal perdana menteri daripada bangsa mana adalah tidak penting. Tetapi yang lebih penting adalah kita perlukan seorang perdana menteri Malaysia tulen yang boleh memimpin masyarakat kita yang berbilang kaum ke arah perpaduan yang lebih erat dan saksama.
Yang kita mahukan adalah seorang perdana menteri yang berjiwa Malaysia, yang matang dan lebih mengutamakan keMalaysiaan beliau lebih daripada bangsa dan agama peribadinya, lebih mengutamakan perpaduan nasional daripada konsep ketuanan satu kaum dan suatu agama, menitikberatkan kebajikan rakyat Malaysia pada keseluruhannya dan menjunjung serta menghormati Perlembagaan Persekutuan yang mempertahankan hak-hak dan kesamarataan semua kaum dan agama.
Apa yang sering dipermainkan oleh Umno dan MCA di dalam soal perdana menteri berbangsa Cina atau Melayu selama ini adalah keganasan politik semata-mata yang bertujuan untuk memastikan perpecahan dan syak-wasangka di kalangan masyarakat Melayu dan Cina akan berterusan demi mengekalkan kuasa dan pengaruh masing-masing.
Bahaya soal bangsa PM terus dipermainkan
Adalah amat berbahaya sekali, jika sekiranya soal bangsa perdana menteri yang akan datang terus dipermainkan oleh Umno dan MCA terhadap masyarakat Melayu dan di kalangan orang-orang Cina di seluruh negara kerana perbuatan ini bukan sahaja akan memudaratkan lagi soal perpaduan di antara kaum, malah ianya akan juga mengakibatkan timbulnya kebencian masyarakat Melayu terhadap mereka yang bukan Melayu, manakala masyarakat Cina pula akan terus menaruh rasa tidak percaya terhadap orang-orang Melayu.
Oleh yang demikian, kita perlu mengulangi dan bertegas terhadap sifat-sifat politik amalan Umno dan MCA yang sungguh jijik ini bahawa taktik mereka yang suka menimbulkan sama ada perdana menteri itu berbangsa Melayu atau Cina adalah tidak penting ataupun berfaedah lagi
Jika sekiranya seseorang perdana menteri itu hanyalah seorang Melayu sahaja, beliau tidak akan menghiraukan soal perpaduan semua kaum dan pentingnya negara kita Malaysia akan kekal sebagai satu Bangsa Malaysia dan sama juga jika sekiranya seseorang perdana menteri itu hanyalah berbangsa Cina sahaja, keadaan tersebut akan sama seperti yang disebut di sini.
Yang kita mahukan adalah seorang perdana menteri Malaysia yang memperakui dirinya seorang berbangsa Malaysia dan bukannya asyik mengungkit ketuanan dan kuasa satu kaum terhadap yang lain.
- Viktor Wong -
Malaysia Chronicle