KUALA LUMPUR, 15 Sept: PAS hari mendakwa tawaran Pakatan Rakyat seperti yang tercatat dalam Buku Jingga semakin ditiru Umno Barisan Nasional (BN), walaupun merekalah golongan yang mengkritiknya habis-habisan.
“Di satu tangan, Buku Jingga dikutuk sebegitu rupa mereka bakal menjahanamkan dan bankrapkan negara negara, satu tangan pula mereka meniru satu persatu.
Tindakan ini membuktikan hipokrisi Umno BN, yang semakin lemas dan kekeringan idea dalam menjalankan pentadbiran. Sehinggakan pakar dan penasihat, yang dibayar berjuta-juta sekelilingnya gagal memberi idea yang bernas sehingga terpaksa meniru apa yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat,” selar Ketua Penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim memberikan reaksi sedemikian sebagai menjawab balas laporan media yang menjangkakan bahawa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membuat pengumuman penting untuk meminda atau memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Sekiranya benar apa yang dilaporkan media, kata Tuan Ibrahim, PAS akan menyambut baik cadangan bagi memansuhkan akta zalim ISA, kerana ia bertentangan dengan dasar Islam dan tamadun manusia.
“PAS menentang akta ini sejak hari pertama ia dibentangkan dalam parlimen kerana ia memberi kesan besar kepada mangsa yang dituduh. Ajaran Islam sangat menentang sebarang unsur kezaliman, sehingga Allah memberi amaran "jangan kamu cenderung hati untuk menyokong kezaliman, kelak kamu akan dihumban ke neraka".
Demikian juga, Rasulullah juga bersabda " kezaliman adalah kegelapan di hari akhirat."
PAS melihat dan sudahpun mengalami terlalu banyak penyalahgunaan akta zalim ini sejak mula ia dikuatkuasakan,” terang Tuan Ibrahim, sambil menambah ISA telah menyebabkan ratusan orang yang tidak bersalah dihumban ke Kamunting dan mereka tidak diberi peluang untuk membela diri.
PAS katanya akan mengalu-alukan pengumuman Najib sekiranya benar, dan pada masa yang sama percaya rakyat yang kini semakin matang boleh menilai segala tindakan beliau.
“Kilat ikan di air, kita tahu jantan betinanya" - berapa ramai dah diktator di dunia ini yang membuat perubahan peraturan dan menunjukkan kebaikan kepada rakyat pada saat-saat kuasanya meruncing dan menjunam turun, namun rakyat tetap menghukum mereka,” tambah beliau.
Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut menggesa agar kerajaan menghapuskan juga beberapa akta lain yang sering disalahgunakan dan bertentangan dengan nilai tamadun manusia - seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Auku, Akta Hasutan dan Akta Pilihan Raya.
Namun katanya, sekiranya pemansuhan ini berlaku, tindakan Najib dan kerajaan BN kini terbukti semakin jelas meniru apa yang ditawarkan Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga yang dikritik mereka habis-habisan.
Tuan Ibrahim juga berkata bahawa PAS difahamkan kerajaan akan menaikkan gaji guru-guru sebanyak RM200 dan pelbagai kemudahan lain sebagaimana yang dinyatakan dalam Buku Jingga dalam pembentangan Belanjawan 2012 nanti.
“Ini sekali lagi akan melondehkan hipokrisi Umno BN dan membuka mata rakyat bahawa lemahnya kerajaan yang ada kini, sehingga tidak mampu lagi berfikir kerana perut terlalu kenyang dan minda terlalu sibuk untuk menutup segala rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan kesombongan,” selar beliau.
Beliau turut menyeru rakyat untuk bangkit dengan azam untuk menukarkan kerajaan Barisan Nasional dengan sebuah kerajaan baru yang memberi harapan baru lebih adil dan amanah - sebuah negara berkebajikan yang akan betul-betul menjaga nasib mereka.
“Bukanlah nak kata Pakatan Rakyat ini sempurna dan baik sepenuhnya, tapi belum cuba belum tahu. Sudah cuba, anda pasti berkata, ‘Kalau tahu begitu nikmatnya bawah Pakatan Rakyat, dah lama kita buang Umno yang lemas ini, insya Allah,” tambah beliau.
-Hrkh