Ikuti Blog ini

DEWAN UNDANGAN NEGERI PERAK LULUS USUL MANSUHKAN ISA



Semalam, saya dan pengerusi GMI telah menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Perak bertempat di Bangunan Setiausaha Kerajaan.YB Saari Sungib dan isteri beliau, Pn Aliza yang turut serta datang dari Kuala Lumpur,turut hadir mewakili Kerajaan Negeri Selangor yang telah terlebih dulu mengeluarkan usul mansuhkan ISA, pada bulan April tahun ini.
Hati saya amat tersentuh dengan kesungguhan YB Chang Lih Kang, ADUN Teja yang begitu cermat mempersembahkan hujjah beliau tentang sejarah dan kezaliman ISA yang terus menerus digunakan oleh pemimpin UMNO-BN untuk kepentingan peribadi masing-masing.Usul beliau beberapa kali di persoal dan dipersendakan oleh para wakil rakyat BN yang ternyata sangat-sangat mempertahankan akta jahat itu.
"Secara prinsipnya, sesiapa pun samada dari BN atau dari Pembangkang tidak sepatutnya ditahan dibawah akta itu.Sejarah telah membuktikan, Pemimpin tertinggi UMNI-BN menggunakan ISA untuk kepentingan masing-masing.Contohnya peristiwa Operasi Lalang dan peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar pada 1998" jelas YB Lih Kang.
"ISA telah digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk menahan rakyat biasa dari penjual ais kerim, ahli perniagaan, pelajar, wartawan , blogger hinggalah kepada Ahli Parlimen. Terlalu banyak kezaliman yang telah dilakukan oleh SB keatas tahanan ISA dan keluarga mereka, justeru itu ISA mesti di mansuhkan dengan segera" itu adalah sebahagian dari hujjah yang telah disampaikan selama hampir 15 minit, dengan gangguan-gangguan oleh wakil rakyat BN.
Sebelum itu, isu pemberian sumbangan dari Kerajaan Negeri Perak pada keluarga tahanan ISA di negeri itu, telah diberi tentangan hebat oleh wakil Rakyat BN.Begitu buruk akhlak wakil rakyat tersebut ,menuduh tahananan ISA dengan kata-kata yang buruk seperti pengkhianat negara, pembawa masaalah kepada keselamatan negara dan sebagainya.
"Jika kita buang ISA sekarang, kita tiada peluang untuk buat akta seperti ini lagi " demikianlah Ketua Pembangkang, YB Tajol Rosli sendiri beria-ia sangat mempertahankan akta yang haram dari sudut Islam dan juga ditentang oleh agama lain.Namun, YB Tajol tidak menafikan ISA sepatutnya di review semula.

Namun, pada jam 4.12pm semalam, telah di putuskan dan dipersetujui oleh dewan bahawa usul mansuhkan ISA diterima. Ketika itu, ruang dibahagian pembangkang telah kosong.Semua ADUN BN telah keluar dewan lebih awal lagi.
" Kerajaan Negeri Perak berjanji akan memberi komitment untuk membantu mangsa ISA.Beliau menginagtkan diri beliau sendiri dan setiap yang hadir, sekiranya mereka tidak membantu orang yang dizalimi, dikhuatiri, mereka akan ditanya oleh Allah SWT diakhirat kelak" demikian kata-kata akhir dari YAB Menteri Besar Perak Dato Seri Nizar, yang telah menerima memo dari GMI yang disampaikan oleh Pengerusinya, Syed Ibrahim.
Kami semua rasa bersyukur kerana sebuah lagi negeri Pakatan Rakyat, telah mengikut jejak Selangor, mengeluarkan usul memansuhkan ISA. Semoga tindakan ini akan diambil oleh negeri lain di bawah PR.


Kes liwat Anwar: Pendakwaan dan pembelaan terus bertelagah, Mahkamah Tinggi dengar rayuan 20 dan 21 Nov


ANWAR bersama Azizah di Mahkamah Sesyen hari ini.

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dan pembelaan bagi kes liwat Datuk seri Anwar Ibrahim terus bertelagah mengenai urusan pemindahan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi walaupun Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 1, S.M Komathy Suppiah mendapati sijil pemindahan yang ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail tidak sah.

Sesi sebutan kes yang dijadual bermula hari ini terpaksa ditangguhkan apabila pihak pendakwaan memfailkan semakan semula terhadap keputusan hakim berkenaan buat kali kedua ke Mahkamah Tinggi.

Pada awal sesi sidang mahkamah hari ini, Peguam R. Sivarasa yang mewakili pihak pembelaan mempersoalkan tentang pelanggaran akujanji pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang berjanji akan menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

Sivarasa berhujah berdasarkan peruntukan Seksyen 51(A) yang menjelaskan segala dokumen yang berkaitan mestilah disediakan oleh pihak pendakwaan sebelum tarikh perbicaraan.

"Yang Arif, pihak pendakwa telah melanggar akujanji yang mengatakan bahawa mereka akan menyerahkan dokumen tersebut sepatutnya pada hari ini sebelum perbicaraan bermula," katanya.

Bagaimanapun Mohamed Yusof memaklumkan kepada mahkamah peruntukan seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 terutamanya bagi sub-seksyen 35(2) yang memperuntukan bahawa memandangkan ada permohonan semakan semula, semua prosiding di mahkamah rendah hendaklah digantung.

anwar sodomy trial 141108 01

"Oleh itu kami meminta supaya semua prosiding berhubung dengan kes ini ditangguhkan sementara menunggu apa-apa keputusan dan arahan Mahkamah Tinggi berhubung dengan semakan semula kes tersebut," katanya.

Pada 11 November lalu, pihak pendakwaan telah memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap keputusan yang dibuat Komathy pada 7 November lalu.

Kemudian pada 12 November, Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi (Bahagian Jenayah) memaklumkan bahawa Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan 20 hingga 21 November depan untuk mendengar penghujahan kedua-dua pihak berhubung semakan tersebut.

Alasan yang diberikan Mohamed Yusof masih tidak memuaskan hati pihak pembelaan yang tetap menggesa pihaknya mengemukakan dokumen yang berkaitan kerana kes tersebut akan tetap dibicarakan.

"Kami memerlukan dokumen tersebut untuk buat persediaan dalam kes ini, walaubagaimanapun kes ini akan tetap dibicarakan," kata Sivarasa.

Oleh yang demikian, Mohamed Yusof memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menyerahkan segala dokumen yang diperlukan itu.

Menurutnya, dokumen berkenaan akan diserahkan pada petang ini.

Sementara itu Anwar yang ditemui diluar mahkamah menjelaskan tindakannya 'mencelah' sewaktu Mohamed Yusof berhujah bagi menyangkal dakwaan Sivarasa yang sangsi sebab pihak pendakwaan tidak mahu menyerahkan dokumen-dokumen berkenaan yang berkemungkinan telah diubah, diganggu ataupun hilang seperti yang berlaku 10 tahun lalu.

"Sebab tulah saya sergah dalam mahkamah tadi, kita baru cuit sikit dia dah melenting...kalau dah tahu 10 tahun lalu ada buat salah, mengaku sahajalah, buat apa nak teruskan kezaliman.

"Sekarang 'pemain-pemain' utama adalah orang sama, cuma pelakonnya sahaja dah tua," katanya sinis.

Ketika didalam mahkamah, Anwar mencelah dengan mengatakan: "Sejak 10 tahun lalu anda tidak pernah minta maaf."

Celahan itu dibuat apabila Mohamed Yusof menyatakan beliau sudah bosan dengan dakwaan Anwar bahawa pihak pendakwaan berat sebelah sewaktu mengendalikan kesnya.

Mohamed Yusof dengan nada yang emosional berkata: "Saya sudah bosan dengan dakwaan seperti ini, semua dokumen ada pada saya hari ini dan tak ada masalah untuk saya serahkan kepada pihak pembelaan."

Dalam pada itu Sivarasa yang menggantikan peguam kanan barisan pembelaan, Sulaiman Abdullah yang tidak hadir pada prosiding hari ini berkata pihak pembelaan membantah sekeras-kerasnya tindakan pihak pendakwaan yang enggan menyerahkan dokumen-dokumen terbabit.

"Kami bangkitkan persoalan mengenai mengapa mereka tidak mahu serahkan yang mungkin ada sesuatu (agenda).

"Namun akhirnya mereka ubah pendirian dan berjanji akan serahkan semuanya petang ini atau esok," katanya.




PAS perhalusi keahlian bersekutu


Kepimpinan tertinggi PAS telah membincangkan secara mendalam kemungkinan membuka keahlian bersekutu kepada bukan Islam dalam PAS.

Ia merupakan atara dua agenda utama yang dibincangkan sesi permukiman pimpinan PAS selama tiga hari di Langkawi pada hujung minggu lalu.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Mohamed Daud Iraqi yang turut menghadiri sesi permukiman tersebut.

Menurutnya, isu keahlian tersebut perlu dibincangkan dengan mendalam dan terperinci dalam siri-siri pertemuan pimpinan PAS.

Katanya, ini kerana ianya melibatkan dasar PAS yang harus dibawa ke muktamar tahunannya dan memerlukan pindaaan perlembagaan parti.

Isu keahlian bersekutu bukan Islam dan langkah mengukuhkan hubungan PAS dalam Pakatan Rakyat, menjadi topik perbahasan panas dalam muktamar parti yang ke-54 di Ipoh Ogos lalu.

Usul membabitkan perkara tersebut turut diluluskan oleh perwakilan muktamar tersebut untuk diperhalusi oleh kepimpinan parti.

Kelab penyokong

Sejak 2004, PAS telah menubuhkan Kelab Penyokong PAS (KPP) yang dianggotai oleh penyokong bukan Islam di peringkat negeri, dengan keahliannya kini mencecah 18,000 orang.

Berikutan sokongan yang menggalakkan dari kalangan pengundi bukan Islam terhadap calon PAS dalam pilihanraya umum Mac lalu, Dewan Pemuda PAS pusat melangkah setapak lagi dengan menubuhkan Kelab Penyokong Muda PAS (KPMP) yang dilancarkan di pejabat agung PAS di ibunegara Sabtu ini.

Menurut Mohamed Daud lagi, sesi permukiman itu dihadiri oleh anggota Majlis Syura Ulama dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Mereka termasuk Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Menurut beliau lagi, pimpinan PAS juga turut membincangkan bagaimana untuk memperkukuhkan kerjasama dengan Pakatan Rakyat.

“Kita perhalusi lagi syarat-syaratnya. Kita akan memanggil pimpinan pelbagai peringkat, duduk sekali.

“Kita fikir masak-masak (bagaimana) untuk memperkukuhkan Pakatan,” katanya.




Kita pasti MATI..

 Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata beliau sama sekali tidak bersetuju dengan kaedah penggunaan klip video 'Sajak Kematian' di sekolah memandangkan ia tidak sesuai dengan tahap umur pelajar yang masih terlalu muda.

"Saya sungguh tidak bersetuju kerana kita hendak mendidik mesti secara berhemah dan pendekatan yang menakut-nakutkan lebih-lebih lagi terhadap anak-anak yang usianya cukup muda, saya rasa ia tidak akan membawa manfaat," katanya selepas merasmikan Program Pertukaran Pelajar ASEAN (ASEP) 2008 di sebuah sekolah di Kuala Lumpur hari ini.

Assalamualaikum..

Isu sajak kematian yang meletup di akhbar sejak akhir-akhir ini memanggil saya untuk memberi sedikit pandangan. Sajak kematian yang memaparkan gambaran bagaimana seksaan di alam kubur ini menimbulkan pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak. Ada yang menyokong dan ada yang menentang. Seperti biasa, nada kerajaan adalah seirama dengan pihak yang menentang jika sesuatu itu ada kaitan dengan agama. Adakah anda masih ingat dengan isu ‘Jom Heboh’ anjuran tv3 dahulu? Walaupun mufti yang di akui telah mengeluarkan fatwa bahawa ia HARAM, namun ‘Jom Heboh’ itu telah diHALALkan oleh kerajaan. Begitu juga dengan isu murtad, walaupun seorang mufti telah mendedahkan angka orang Islam yang telah murtad berjumlah beribu-ribu, namun pihak kerajaan menafikan dengan meminta bukti-bukti yang kukuh.

Sepatutnya kerajaan yang kononnya meletakkan Islam sebagai akar pemerintahan ini menunjukkan kerisauan dalam isu ini bukannya menimbulkan keraguan. Bukankah kepincangan akhlak muda mudi sekarang ini adalah hasil daripada banyaknya keraguan-keraguan yang ditimbulkan oleh kerajaan? Erm.. Keraguan dalam pendidikan misalnya.. Cuba intai isu rotan pelajar, kerajaan tidak bersetuju dengan peraturan ini kerana ia akan memberi tekanan kepada para pelajar. Lucu. Bila timbul isu pelajar menendang guru, isu ini kembali timbul… namun, seperti biasa.. kerajaan tetap keras kepala..!

Nabi SAW sendiri mengajar kita dalam hadis baginda supaya memukul (tanpa menyakiti) anak-anak jika tidak solat ketika umur anak-anak kita sudah mampu untuk solat. Mampu untuk solat pun dah boleh dipukul.. Bila baligh.., lu fikir la sendiri..!
Berbalik kepada isu sajak kematian tadi, kita semua tahu bahawa kematian itu sesuatu yang pasti. Wajib mati kepada mereka yang dihidupkan oleh Allah. Tidak dapat tidak. Justeru, salahkah jika pihak sekolah atau sesiapa sahaja mengambil insiatif untuk memberi peringatan kepada mereka yang hidup untuk sama-sama memperingati mati..? Bukankah kita akan mati?..

Iya.. mungkin ada di kalangan kita senada dengan arjuna tentang isu memberi peringatan tentang kematian tetapi tidak bersetuju method peringatan itu. Tidak boleh guna cara yang keras, nanti akan memberi kesan psikologi yang negatif kepada pelajar dan ia boleh membawa kesan yang buruk kepada pengukuhan akidah. Mungkin itu hujahnya.

Erm.. kalau begitu, bagaimana pula dengan penyiaran drama seram atau cerita hantu seperti ‘Kekasihku Seru’, ‘Puaka Niyang Rapik’, ‘Jangan Pandang Belakang’ dan banyak lagi drama-drama dan filem-filem yang boleh membawa kepada keruntuhan akidah dan 100 kali ganda lebih seram daripada penayangan klip sajak kematian yang tentang oleh pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan?..

Berhentilah mengHALALkan benda yang HARAM dan mengHARAMkan benda yang HALAL lagi.. Kasihanilah remaja-remaja kita yang sedang enak dibuai kelaghaan. Cukuplah remaja-remaja kita yang sedang parah dan memerlukan agama sebagai penawar. Remaja hari ini adalah gambaran remaja pada masa depan. Boleh anda gambarkan bagaimana remaja pada masa depan jika anda perhatikan akhlak, kelakuan remaja pada hari ini?.. Fikir-fikirkan..


MENTERI DALAM NEGERI ZALIM?



Ahmad telah di tuduh mencuri sebuah basikal kepunyaan Pak Hamid . Sepatutnya Pak Hamid menyerahkan Ahmad kepada polis supaya supaya beliau boleh disiasat dan jika salah, terus dihadapkan ke mahkamah.Tetapi, dalam kes Ahmad ini, Pak Hamid tidak menyerahkan pada polis untuk didakwa dimahkamah.Tetapi sebaliknya, Pak Hamid telah mengurung Ahmad di sebuah bilik store di rumahnya.Pak Hamid telah menjalankan hukuman mengikut keinginannya sendiri terhadap Ahmad.

Inilah perkara yang sama berlaku pada tahanan ISA. Sepatutnya mereka semua yang dituduh bersalah, mestilah didakwa di mahkamah. Seorang Hakim sepatutnya mendengar pandakwaan keatas mereka dan pihak pendakwa mestilah memberikan bukti-bukti untuk menyokong tuduhan itu.

Realiti kehidupan tahanan ISA, mereka ditahan dan disiasat oleh polis SB. Sekiranya SB tidak berpuas hati dengan siasatan keatas tahanan, SB akan memberi laporan kepada Menteri Dalam Negeri, yang kemudiannya akan menandatangani satu perintah tahanan dan mangsa ISA itu terpaksa menghabiskan dua tahun dari usianya di Kem Kamunting. Kuasa Menteri Dalam Negeri tiada hadnya. tahanan boleh terus menerus ditahan dari dua tahun hingga dua tahun berikutnya dan mungkin boleh ditahan sepanjang hayat........

Adakah tindakan Menteri Dalam Negri itu tidak zalim?

Note: Adalah sesuatu yang "biasa" tahanan ISA di bogelkan dan didera secara mental dan fizikal.


TAZKIRAH JUMAAT - Masuk neraka kerana seekor lalat



"Diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. tentang dua orang pemuda yang melintasi sebuah kuil. Apabila mereka melintasi dihadapan kuil itu, mereka ditahan oleh sekumpulan pemuda kafir dan tidak membenarkan mereka melintasi kuil tersebut kecuali mereka mempersembahkan sesuatu kepada patung dikuil tersebut...Jika mereka melintasi kuil itu tanpa mempersembahkan sesuatu, mereka akan dibunuh..

Lalu bertanyalah pemuda-pemuda tersebut tentang persembahan yang perlu diberikan kepada patung itu. Maka jawab pemuda-pemuda kafir itu " Berilah apa saja yang mampu asalkan ada persembahan"
Maka pemuda pertama menagkap seekor lalat dan dibunuhnya lalat tersebut dan dipersembahkan kepada patung dikuil tersebut. Ini kerana apalah salahnya menangkap lalat dan dipersembahkan kepada patung itu kerana pada pandangannya perbuatannya itu amat kecil sekali berbanding segala amalan yang telah dibuatnya. maka dia pun dilepaskan pergi.

Sedangkan pemuda kedua tidak mahu mempersembahkan apa-apa kepada patung itu kerana baginya mempersembahkan sesuatu kepada patung adalah syirik dan itu merupakan dosa besar. Maka dia berkeras dan tetap dengan pendiriannya agar tidak akan mempersembahkan apa juga kepada patung itu. Akibatnya dia ditangkap dan dibunuh...

Maka sambung Rasulullah s.a.w. pemuda pertama masuk neraka walaupun dosanya hanya mempersembahkan lalat kepada patung manakala pemuda kedua masuk syurga kerana berjaya mempertahankan keimanan dan tidak diganggu gugat oleh sebarang ugutan..

Maka kita juga perlulah mengambil iktibar agar tidak melakukan dosa walau sekecil mana pun kerana kerana kita tidak tahu dimana letaknya kemurkaan Allah. Ditakuti nanti dosa yang kita anggap kecil, sebenarnya mengundang kemurkaan Allah....dan disebabkan dosa itu..kita dihumban keneraka .. Nauzubillah.....


Tragedi berdarah Lubuk Merbau bakal merebak ke Kuala Nerang?

pru_pt1APAKAH tragedi berdarah pilihanraya kecil kawasan Parlimen (Kapar) Padang Terap Januari 1985 bakal mencetuskan kemungkinan melanda pula ke kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) Kuala Nerang Kedah yang dilaporkan akan turut mengadakan pilihanraya yang sama tidak lama lagi?

Ini berikutan keputusan mahkamah pada 3 November lalu mengistihyarkan muflis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan tersebut, Datuk Syed Sobri Syed Hashim dari Barisan Nasional yang didapati gagal melunaskan hutang banknya berjumlah RM100,000.

Pada pilihanraya umum ke-12 lalu, Syed Sobri yang terpilih menjadi calon adun menggantikan Datuk Dr Afiffuddin Omar menang ke atas wakil PAS, Zawawi Ahmad dengan majoriti tipis 805 undi dan kesnya akan didengar di mahkamah pada awal Disember ini.

Seandainya pihak Suruhanjaya Pilihanraya telah meneliti dan memutuskan bahawa satu pilihanraya kecil akan berlangsung berlandaskan keputusan mahkamah dan makluman Speaker Dun Kedah, Dr Isa Ismail diambilkira, maka perkembangan terbaru ini mungkin tentunya akan mengimbau kembali peristiwa bagaimana tragedi paling memilukan di Padang Terap akan berulang lagi pada pilihanraya kadun Kuala Nerang nanti.

Sehari sebelum hari pengundian, dilaporkan berlaku pertumpahan darah melibatkan lebih 200 orang ahli Umno dan petugas jentera PAS di Felda Lubuk Merbau yang dianggap kawasan paling ramai bilangan pengundi berdaftar berakhir dengan satu kematian iaitu seorang penyokong PAS, Osman Talib dan puluhan lagi dikatakan ditimpa kecederaan akibat penggunaaan objek tajam.

Inilah perkara yang paling dibimbangi bukan sahaja melibatkan para pengundi, pasukan keselamatan malah jentera kempen baik dari Pakatan Rakyat didokongi PAS mahupun Barisan Nasional.

Malah dikalangan penduduk Felda di situ yang menerima tempias peristiwa itu pasti tidak dapat melupakan tragedi yang tidak dijangka sehingga mengakibatkan kawasan mereka seolah-olah berada di medan pertempuran yang kemudian sedikit reda selepas menerima campurtangan dari pihak berkuasa keselamatan.

Dun Kuala Nerang yang memiliki 18, 394 pengundi berdaftar dan lebih 90% terdiri daripada pengundi Melayu terletak dibawah kapar Padang Terap bersama-sama satu lagi dun iaitu Pedu yang dimenangi calon BN, Datuk Seri Mahadzir Khalid, bekas MB Kedah.

calonpasknPada pilihanraya umum Mac lalu, BN berjaya menyapu 2 kerusi Dun manakala parlimen pula dimenangi Pakatan menerusi Ustaz Nasir Zakaria, calon PAS yang mengalahkan penyandang, Datuk Paduka Ghazali Ibrahim.

Berlandaskan senario politik sekarang, keputusan terbaru dalam pilihanraya kecil kapar Permatang Pauh dan isu-isu berbangkit baik di dewan rakyat mahupun dewan undangan negeri, peluang Pakatan dilihat cukup cerah untuk merampas kembali Kuala Nerang dari genggaman BN.

Baik Pakatan mahupun BN, golongan atas pagar dan masyarakat bukan Melayu terutama keturunan Thai dijangka sekali lagi menjadi penentu ke arah kemenangan selain bergantung kepada sokongan pengundi fanatik masing-masing. Inilah hakikat yang sering berlaku di Dun Kuala Nerang setiap kali pilihanraya berlangsung.

Kiranya pilihanraya kecil menjadi realiti, tidak dapat tidak permasalahan BN yang dikecam hebat berikutan kenaikan harga minyak dan barangan dan kegagalan Pakatan merealisasikan agenda mengambilalih kerajaan persekutuan akan dilihat menjadi bahan kempen bakal diperdengar pada sesi ceramah dun Kuala Nerang kelak. Sama-samalah kita tunggu dan lihat….!




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .