Ikuti Blog ini
Penjelasan Presiden rungkaikan kegusaran perwakilan ,Ahad, Ogos 17, 2008 at 17.8.08,
IPOH, 17 Ogos - Tepat jam 3 petang Muktamar PAS kali ke-54 yang mencatat sejarah diadakan di Stadium Indera Mulia melabuh tirainya.
Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar berharap perwakilan dapat merungkaikan segala masalah yang terbuku sebelum ini dengan isu muqabalah (muzakarah).
"Ucapan penangguhan presiden diharap dapat memberi kefahaman yang lebih jelas kepada seluruh perwakilan dan pemerhati bagi memastikan mereka tidak keliru lagi," katanya selepas muktamar berakhir.
Menurutnya penjelasan itu dapat merungkaikan segala permasalahan yang ditimbulkan perwakilan sebelum ini.
Ucapan penangguhan ringkas dan penuh bermakna itu dirungkai Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang untuk dibawa balik perwakilan dan pemerhati.
Beliau berkata, laporan media sama ada cetak atau elektronik yang membesarkan isu tersebut sebelum ini seolah-olah menggambarkan sesuatu yang besar berlaku pada muktamar kali ini.
"Muktamar ini dikatakan tak boleh dikawal dan berlaku perpecahan hebat seperti mana digambarkan media massa.
"Sedangkan kita ada rahsia, di mana Islam mengajar kita untuk berparti atau berjemaah untuk wala' kepada pemimpin.
"Muktamar sebenarnya tempat kita berkhilaf pendapat, berbahas dan bertukar pandangan. Adab inilah kita amalkan dalam muktamar ini. Ia hedaklah dihafal dan diamal oleh ahli bagi memperkasakan parti," katanya.
Beliau berkata, ahli parti hendaklah berilmu, beriman dan berakhlak melalui program tarbiyah.
Beliau juga berkata, agenda kerajaan Pakatan Rakyat hendaklah dilaksana dengan melahirkan Majlis Menteri Besar melibatkan semua pemimpin peringkat kerajaan.
Menurutnya juga Kelab Penyokong PAS akan diperkasakan di mana sebelum ini ada cadangan mahu melantik mereka sebagai senator.
Namun katanya belum lagi ada persediaan untuk mereka sebagai senator memandangkan ia melibatkan banyak prosedur.
Selain itu ada juga cadangan melantik senator dari kalangan ahli PAS di Sabah dan Sarawak di negeri-negeri yang diterajui kerajaan Pakatan Rakyat.
Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada PAS Perak kerana berjaya menjadi tuan rumah muktamar kali ini.
Sindrom Kekangkungan Intelektual , at 17.8.08,
Sejak MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim lontarkan cadangannya agar UiTM membuka 10% kemasukan pelajar bukan Bumiputera, pelbagai pihak mengkritik dan menghentamnya.
Cuma JKKK belum mengkritiknya. Yang agak hebat mengkritiknya adalah terdiri budak-budak "hingusan" UiTM. Seluruh budak-budak "hingusan"UiTM dikerah oleh NC Ibrahim untuk buat demo di seluruh negara. Masing-masing bawa sepanduk mempamerkan semangat "taksub Melayu".
Tahukah anda kesemua budak"hingusan" UiTM itu adalah sekadar patung-patung wayang kulit sahaja. Yang sebenarnya Tok Dalang yang menggerakkan mereka adalah Ketua Bahagian UMNO UiTM, NC Ibrahim sendiri.( Anda kena ingat! Semua IPTA Malaysia, UMNO ada buka cawangannya.Dan Ketuanya adalah NC !)
Pepatah Melayu ada mengatakan, Guru kencing berdiri maka anak murid kencing berdiri. Inilah gambaran di IPTA kita terkini. Tahukah anda betapa ramainya yang menerajui IPTA adalah bertaraf "Kekangkungan Intelektual".
Apabila "spesis " ini bertaraf demikian, ianya berjangkit kepada mahasiswa mereka. Anda saksi sendiri "Kekangkungan Intelektual" mereka terserlah pada malam debat antara Anwar-Shabery baru-baru ini, bagaimana ketololan NC UUM "bersinar" !
Seluruh Malaysia tahu kesemua yang pimpin MPP IPTA kecuali UIA adalah budak-budak belaan UMNO. Budak hingusan inilah yang ketuai demo. Tanya mereka, berapa dapat RM?
Atau sekadar topi dan baju hitam. Wah! Hebatnya mereka berdemo kerana sekadar cuma cadangan, kemudian mahu hantar memorandum kepada Tuanku Mizan sebagai Canselor UiTM.
Tan Sri Khalid sekadar beri cadangan bukan menghina. Kita tertanya-tanya mana sifat kejantanan Melayu Tulin yang ada pada budak-budak UiTM yang hingga kini membisu seribu bahasa apabila "bapa-bapa"UMNO mereka menghina Tuanku Mizan sebagai "natang" tempoh hari. Kurang ajarnya dan "setannya" bapa-bapa UMNO, budak-budak hingusan UiTM buat-buat pekak badak.
Mereka sepatutnya perlu "disunatkan" kali kedua weeh! Jika nilai seikat kangkung di pasar tani sekitar Rm 0.50- RM 1, itulah nilai harga diri NC UUM dan UiTM kita sekarang. Mungkin lebih murah lagi.
Sentuh isu peribadi, Nik Aziz sedia bertumbuk , at 17.8.08,
IPOH: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan kesediaannya untuk bertumbuk jika isu peribadinya disentuh oleh pihak-pihak tertentu.
"Kalau masa saya muda kemudian jadi begini, saya akan bertumbuk," katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan beberapa penyokong Barisan Nasional (BN) yang menggunakan gambar-gambar yang tidak senonoh bagi tujuan menjatuhkan maruah calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, Islam tidak mengesyor menjatuhkan maruah pihak lawan untuk memenangi sesuatu perkara.
Nik Aziz juga mempersoalkan tindakan BN yang menggunakan isu sumpah bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan sehari sebelum hari penamaan calon bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh.
"Tak ada cerita lain? Tak ada hujah dan dalil-dalil lain untuk ditunjukkan kepada masyarakat bagi membantu parti berkempen?" katanya.
Tambah beliau, menggunakan serangan peribadi adalah cara bagi orang telah kehabisan modal.
"Mengapa nak serang peribadi? Peribadi pun belum tentu betul lagi," katanya.
Selain itu katanya pertandingan antara parti-parti politik adalah atas dasar sesebuah parti itu dan bukannya dalam bentuk fizikal.
PKR siasat insiden jurufoto dipukul , at 17.8.08,
PKR akan menjalankan siasatan terhadap insiden terbaru serangan ke atas dua jurugambar yang didakwa dilakukan oleh penyokong pembangkang di luar pusat penamaan calon di Permatang Pauh semalam.
Bercakap kepada pemberita di Pulau Pinang hari ini, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan supaya jangan terus membuat kesimpulan bahawa penyerang mereka adalah ahli parti itu.
Katanya, media perdana seperti RTM (yang dimiliki kerajaan), akan terus menyalahkan PKR.
Sebaliknya, kata Anwar, biarlah insiden itu disiasat dan mereka yang terlibat dihukum, tanpa mengiri sama ada dari Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional (BN).
Anwar yang bertanding dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos ini, mengadakan sidang akhbar selama 45 minit di bangunan Yayasan Aman di Permatang Pauh pagi tadi.
Bangunan tersebut menjadi bilik gerakan utama PKR dalam pilihanraya kecil kali ini, di mana Anwar sedang berusaha untuk kembali semula ke Parlimen selepas 10 tahun.
Merujuk kepada insiden semalam, Anwar berkata, siasatan yang dijalankan kemudiannya, mendapati mereka yang bertanggungjawab melakukannya, tiada kaitan dengan parti itu.
Namun, katanya, walaupun penyerang terbabit bukan ahli PKR, tetapi beliau dan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail telah memohon maaf kepada mangsa, sebagai mengiktiraf kepentingan media.
'Bidas wartawan'
Anwar berkata, kesalahan itu terletak pada media perdana kerana menyiarkan satu kes yang berat sebelah, bukan itu sahaja, tetapi berniat jahat (terhadap PKR)," katanya sambil menjelaskan secara panjang lebar bagaimana pihak media tidak bersikap tidak adil terhadapnya dan pembangkang.
Beliau juga membidas seorang wartawan dari Berita Harian - akhbar yang ada kaitan dengan Umno - apabila dia bertanya sama ada budaya 'samseng' kini wujud dalam PKR.
Menurut Anwar, Berita Harian berkata budaya samseng itu wujud dalam PKR, tetapi tambahnya, apabila (naib ketua Pemuda Umno) Khairy Jamaluddin dan penyokongnya membaling botol, mereka tidak dipersalahkan.
Mantan timbalan perdana menteri itu berkata, itulah budaya Berita Harian yang mesti diperbetulkan.
Semalam, jurugambar kumpulan Akhbar New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan seorang jurugambar agensi berita asing cedera dipukul sekumpulan penyokong parti politik sewaktu proses penamaan calon.
Derma jihad untuk bantu perjuangan Palestin dilancar , at 17.8.08,
IPOH, 17 Ogos - Bagi membantu perjuangan umat Islam Palestin membebaskan negara tersebut dan Masjid Al-Aqsa, muktamar PAS yang berlangsung di Ipoh hari ini telah melancarkan kutipan derma jihad bagi tujuan itu.
Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu telah melancarkan kutipan derma jihad dengan mendahulukan dirinya menghulurkan sumbangan sebanyak RM5,000."Setelah mendapat isyarat dari isteri saya, dia menunjukkan isyarat sebelah tangan (lima jari) maka saya dermakan sumbangan keluarga sebanyak RM5,000 untuk perjuangan Islam di Palestin," ujar beliau sambil dipekikkan laungan Allahuakbar oleh hadirin. Beliau berharap, agar para penderma menyumbang pada jumlah yang besar untuk diserahkan kepada wakil PAS di sana iaitu pejuang Palestin, yang berjuang dengan darah dan air mata. Semua petugas bergerak di tengah-tengah dewan membawa uncang, kotak kosong dan ada yang menggunakan kopiah dan songkok mengutip derma jihad para hadirin.
Amir Jamaat Islami masih terkenang Almarhum Ustaz Fadzil , at 17.8.08,
IPOH, 17 Ogos - Amir Jamaat Islami Pakistan, Qazi Hussain Ahmad yang dijemput menghadiri persidangan Muktamar Tahunan PAS ke-54 masih mengingati persahabatannya dengan Almarhum Dato' Fadzil Mohd Noor.
Beliau yang diberi penghormatan berucap di sesi perbahasan usul Muktamar yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, dekat sini, tengahari tadi, berkata sering bertemu Presiden PAS itu di majlis-majlis anjuran gerakan Islam antarabangsa.
Ucapan Qazi Hussain yang disampaikan dalam bahasa Inggeris diterjemahkan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa.
Pemimpin gerakan Islam Pakistan itu juga mengucapkan tahniah kepada PAS yang berjaya mencatat kemenangan di beberapa negeri dalam pilihan raya umum lalu.
Kemenangan gerakan Islam di Malaysia, katanya amat membanggakan saudara-saudara mereka di seluruh dunia.
Qazi Hussain juga berharap PAS akan terus membawa mesej Islam dan berusaha menegakkan sistem yang adil dan saksama.
Beliau turut menasihati ahli-ahli PAS agar terus berkhidmat kepada masyarakat dan mencari keredaan Allah.
'Islamic State' atau 'Kelantan State' berjaya di Kelantan - Dato Nik Aziz , at 17.8.08,
IPOH, 17 Ogos - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa mana-mana pihak tidak harus berasa ragu dengan konsep negara yang menerapkan Islam kerana ianya telah berjaya dijalankan di Kelantan.
Ujarnya, hal tersebut telah berjaya dilaksanakan di negeri Kelantan sepanjang 18 tahun PAS memerintah negeri itu.
"Nak kata 'Islamic State' ke, Kelantan 'State' ke, Pakatan 'State' ke, katalah apa-apa, yang di Kelantan itu yang saya buat," tegasnya pada sidang media di muktamar Tahunan PAS kali ke-54 hari ini.
Beliau yang juga merupakan Menteri Besar kelantan menegaskan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan persekutuan agenda Islam masih tetap akan diteruskan dengan menjadikan Kelantan sebagai contoh atau panduan.
"Saya cadangkan kita tiru apa yang telah dibuat di Kelantan, jika ada yang tidak bersetuju dan sebagainya hal tersebut hendaklah diperbincangkan," ujarnya lagi pada sidang media Muktamar Tahunan PAS Ke 54 yang telah diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh.
Dalam mengulas isu sumpah kes liwat oleh Saiful Bukhari Azlan, beliau menjelaskan apa yang dilafazkan boleh diterima berdasarkan Islam namun ianya tidak kena dari segi perbuatannya.
"Mana ada kena bersumpah, kita kena pegang al-Quran? Itu amalan Kristian. Dan ianya tidak mesti dibuat di masjid, di rumah pun boleh," katanya lagi.
Dalam pada itu, menjawab soalan yang dikemukakan pemberita, beliau tidak gusar dengan kemungkinan terhakisnya pengaruh ulama dalam kepimpinan parti yang bakal menerajui era kemenangan tidak lama lagi.
Hari ini, sidang muktamar dijangka akan berakhir selepas tiga hari bersidang di Ipoh.
Turun Padang , at 17.8.08,
Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan pengantin lelaki, Mohd Noorzamee Mohd Aris, 27 sambil diperhatikan isterinya, Rusni Sidek, 29 ketika persandingan pasangan itu di Dewan Akira, Seberang Jaya, semalam. Turut hadir isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Pakatan Rakyat: PAS tidak akan bakar jambatan yang dibina , at 17.8.08,
IPOH, 17 Ogos - PAS tidak akan membakar jambatan yang telah dibina bersama Pakatan Rakyat dan tidak berniat untuk mencetuskan situasi yang menggugat keutuhan perpaduan antara parti-parti komponen Pakatan Rakyat.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa kerjasama yang dibuat bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat yang lain adalah berdasarkan kepada prinsip persefahaman yang saling menerima prinsip dan dasar perjuangan parti masing-masing.
"Ianya dibuat tanpa meruntuhkan dasar dan prinsip perbezaan ideologi untuk mengadakan kerjasama selain tidak mencetuskan perkara yang boleh membakar jambatan yang telah dibina," katanya kepada Harakah dalam satu sidang wawancara di Muktamar Tahunan PAS ke-54 di Dewan Indera Mulia, Ipoh.
Sebelum ini, terdapat pandangan yang disuarakan oleh perwakilan yang memperlihatkan seolah-olah PAS mencurigai perjuangan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Bagi Ustaz Abdul Hadi, terlalu awal untuk menilai keutuhan pakatan yang dibina setelah Pakatan Rakyat dibentuk pada pilihan raya umum ke-12 lalu.
"Apa yang penting, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan agenda untuk memartabatkan Islam serta memberi khidmat kepada rakyat terlaksana," ujarnya.
Tambahnya, kekeliruan yang timbul dalam kebanyakan isu sejak akhir-akhir ini sama ada di peringkat ahli mahupun pimpinan wujud akibat usia pakatan yang masih baru, serta perlu lebih dimantapkan.
Ditanya mengenai kesediaan PAS untuk mengisi kemenangan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menerajui Kerajaan Persekutuan, Ustaz Hadi menjelaskan bahawa PAS lebih bersedia berbanding yang lain.
"Persediaan PAS adalah lebih awal dibuat berbanding yang lain memandangkan usia PAS yang lebih awal ditubuhkan," katanya.
Ustaz Abdul Hadi turut menyentuh mengenai tema muktamar tahunan ini iaitu PAS untuk semua.
"Apa yang saya maksudkan adalah perpaduan yang dibina merentasi sempadan masa, tempat, bangsa, agama dan segalanya. Ianya lebih bersifat global," tambahnya lagi.
Mengulas mengenai perjalanan muktamar kali ini, beliau berpendapat perwakilan muktamar begitu matang dan berjaya melontarkan idea yang bernas dalam memperkasakan parti.
"Dalam suasana yang hangat dibakar media massa dan bloggers, saya lihat sikap perwakilan begitu matang dan profesional," ujar Ustaz Hadi.
Katanya, Umno yang trauma dengan kekalahan, masih tidak dapat menerima kenyataan.
"Ini amat menggembirakan saya, selain teguran dan cadangan yang diberikan secara bernas," demikian ujarnya.
Perlakuan lucah Puteri di Permatang Pauh dikesali , at 17.8.08,
Tindakan anggota Puteri Umno membuat laporan polis kononnya ada orang merabanya dianggap sengaja dilakukan bagi menutup perlakuan lucah mereka.
Semasa perarakan calon semalam ada di antara mereka yang menunjukkan perlakuan lucah dengan menunggeng punggung dan bermacam-macam lagi.
Gelagat dan tingkah laku anggota puteri dan pemuda Umno dirakam jurugambar media biar pun perkara itu cuba disembunyikan media elektronik.
Mengulas perkara itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, anak-anak muda dalam Umno cuba mempersendakan Dato' Seri Anwar Ibrahim, biar pun dakwaan kes itu masih dibicarakan di mahkamah.
"Anak-anak muda dalam Umno telah dipengaruhi pimpinan mereka seolah-olah mahu menghukumkan Anwar. Mereka sengaja berniat jahat kerana di Malaysia seseorang itu tidak boleh dianggap bersalah sebelum mahkamah memutuskannya.
"Bukan cara untuk kita membuat kempen begitu. Ini merupakan seolah-olah serangan peribadi yang tidak sepatutnya berlaku," ujar beliau ketika ditemui di muktamar hari ini.
Menurutnya tindakan mereka ini seolah-olah telah membuat hukuman sendiri terhadap Anwar dan ia merupakan satu tindakan jahat.
"Saya berharap Pakatan Rakyat tidak mengikut rentak mereka dalam membuat serangan peribadi. Jangan cepat melatah dengan kempen mereka," katanya lagi.
Malah kata beliau pernah berlaku d zaman Rasullullah saw, baginda mengadakan acara bergusti dengan ahli gusti Arab, Abu Dardar di mana katanya dia tidak akan menerima Islam kecuali baginda dapat mengalahkannya.
Akhirnya Nabi Muhammad saw menyahut cabaran tersebut dan baginda menang sehingga Abu Dardar memeluk Islam.
"Ini menggambarkan Islam boleh berada di mana-mana keadaan. Begitu juga di Permatang Pauh. Oleh itu kita tetap memberi sokongan padu kepada Anwar.
"Semoga kemenangan Anwar akan membuat perubahan yang jelas di Dewan Rakyat nanti," ujarnya.
Biar apa halangan pun kata beliau PAS tetap menyokong Anwar di Permatang Pauh.
Syor Majlis Syura Ulama bertemu Raja-Raja Melayu , at 17.8.08,
IPOH: 17 Ogos - Perwakilan Selangor, Ustaz Solehen Mokyi mencadangkan agar Majlis Syura Ulama mengadakan pertemuan dengan Raja-Raja Melayu bagi mempejelaskan pejuangan yang dibawa oleh PAS di negara ini.
Selama ini jelasnya, imej PAS telah dikotorkan oleh Umno yang menjadi tunjang politik kerajaan dan dalam yang sama tidak banyak maklumat yang positif sampai ke pengetahuan Raja-Raja Melayu.
Hingga ke saat ini, ujar beliau, apabila Pakatan Rakyat menerajui lima negeri, Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Selangor dan Kelantan, maklumat dari PAS tidak banyak diketahui di peringkat Istana.
Oleh itu, bagi menjernihkan imej PAS, Solehin yang juga Ketua Pemuda PAS Selangor, mencadangkan agar Majlis Syura Ulama bertemu dengan Raja-Raja Melayu agar tohmahan Umno yang menuduh PAS sebagai parti yang `jahat' dapat `disucikan' menerusi pertemuan tersebut.
"Kita berharap Majlis Syura Ulama dapat bertemu Yang Dipertuan Agong, agar penerangan yang jelas dapat disampaikan kepada Yang Dipertuan Agong," katanya.
Pertemuan Majlis Syura Ulama dengan Raja-Raja Melayu diharapkan juga akan dapat mengeratkan lagi hubungan Raja-Raja Melayu dengan PAS, sekaligus imej PAS yang kotor selama ini akan bersih dan `bersinar' dari kaca mata Raja-Raja Melayu.
Pertemuan itu juga perlu diadakan kerap, bukannya hanya sekali setahun agar imej PAS sentiasa bersih dan `sihat' dari peringkat bawahan hingga ke peringkat atasan. Solehen berucap mewakili Selangor membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Ke-54, petang semalam.
Persepsi bukan Islam di Perak makin berubah , at 17.8.08,
IPOH: 17 Ogos - Persepsi masyarakat bukan Islam terhadap PAS ternyata jauh berubah apabila Menteri Beaar Perak dilantik daripada kepimpinan PAS Negeri Perak.
Perkara ini diakui sendiri oleh Pegawai Khas Dua Menteri Besar Perak, Mohammad K.Y. Tiang, ketika ditemui di Muktamar PAS ke 54 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Perak, turut mengakui sambutan orang bukan Islam khususnya orang-orang Cina sejak Pakatan Rakyat mentadbir Negeri Perak.
"Setiap hari orang bukan Islam menemui saya melahirkan rasa gembira apbila Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Besar Perak, " katanya.
"Sebelum Pakatan Rakyat memerintah Perak, orang-orang Cina menganggap pimpinan PAS hanyalah golongan 'lebai-lebai' dan agama sahaja, tetapi bila Haji Nizar berkelulusan tinggi di bidang jurutera, orang Cina cukup hormat dan kagum," katanya.
Sejak Pakatan Rakyat menerajui negeri ini, ramai orang-orang Cina dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Cina rasa tidak kekok untuk berada di majlis masjli PAs saperti Konvensyen PAS Negeri Perak yang baru lalu dan juga pada majlis perasmian Muktamar PAS kali 54 semalam, jelas beliau.
Menurut beliau, masyarakat Cina tetap bersama dengan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum ke 13 akan datang dan berharap PAS yang menerajui negeri ini akan berjaya membawa perubahan yang besar pada negeri ini.
Arif Shah dipaksa lawan Anwar? , at 17.8.08,
PERMATANG PAUH, 17 Ogos - Belumpun sempat 24 jam menyerah kertas pencalonan sebagai calon Barisan Nasional (BN), Dato' Arif Shah Omar Shah menentang calon Parti Keadilan Rarkyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim di Dewan Maktab Perguruan Tunku Bainun, terbongkar satu lagi cerita di sebalik tabir krisis dalaman BN.
Sebenarnya, Dato' Arif Shah dipaksa bertanding oleh Umno Permatang Pauh untuk menjatuhkan imejnya yang tidak pernah kalah sejak diangkat menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri dua penggal berturut-turut.
Penggal pertama pada tahun 2004 beliau berjaya menewaskan Pengerusi KeADILan Negeri ketika itu, Dr Mansor Othman manakala pada tahun 2008 sekali lagi mengekalkan kerusi apabila berjaya menundukan pencabarnya, Ramli Bulat dengan majoriti hanya 500 lebih.
Beliau dipaksa setelah melihat pengaruh Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Dato' Jalil Abdul Majid tidak boleh diterima baik oleh rakyat serta kalangan Umno diperingakat cawangan.
Pada hakikatnya Dato' Arif Shah tidak berniat melawan Dato' Seri Anwar kerana kewibawaan Anwar yang sah berjaya sebagai Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri sewaktu dalam BN dulunya.
Tetapi apa boleh buat semua dipertaruhkan oleh parti dan beliau menerimanya dengan berat hati maklumlah di era Dato' Seri Anwar nama beliau terutamanya abangnya Amin Shah menjadi sebutan di mana sahaja khususnya di Pulau Pinang.
Senario ini jelas membuktikan Umno di Permatang Pauh tiada calon yang lebih berwibawa untuk menentang Dato' Seri Anwar sehingga memaksanya berlawan dengan bekas Ahli Parlimen kawasan terbabit.
Rata-rata masyarakat yang ditemui menyifatkan Dato' Ariff Shah seorang yang kuat berjanji tetapi sukar mengotakanya barangkali terlalu sibuk dengan tugasanya sebagai Adun pembangkang di negeri ini.
Beliau juga dikatakan gagal menangani masalah perumahan Sutera Prima yang berada dalam Dunya sendiri.
Penduduk yang terjejas dengan keretakan serius rumah tidak langsung berpeluang berjumpanya sehinggalah campur tangan Timbalan Ketua Menteri, Mohamad Fairuz Khairudin ke situ.
Sebelum itu, beliau tidak bertindak apa-apa termasuk mengadakan perjumpaan dengan pembeli perumahan di situ atau kata lain cuba melarikan diri.
Begitu juga dengan isu projek di belakang Masjid Jelutong, sebelah pulau di mana beliau yang diamanahkan sebagai orang tengah antara penduduk Kampung Masjid dengan pemaju Concord Lane Sdn Bhd bagi mendapatkan pampasan akhirnya diam begitu sahaja.
Sedangkan penduduk seramai 13 orang masih menanti janji pemaju mengantikan rumah bernilai RM120 ribu seorang hasil pengorbanan mereka berpindah untuk menyenangkan proses pembinaan.
Itulah antara rekod yang diamalkan oleh calon BN kononya mahu membela nasib rakyat di Permatang Pauh kerana terabai disebabkan sembilan tahun di bawah pembangkang.
'PAS Untuk Semua' jadi hala tuju perjuangan , at 17.8.08,
'PAS untuk semua' menjadi halatuju perjuangan PAS tahun ini apabila ia dijadikan inti ucapan dasar Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar tahun ini.
Muktamar kali ini sebenarnya diselimuti dengan suasana pilihan raya kecil Permatang Pauh yang bermula dengan penamaan calon 16 ogos 2008.
Malah ia membayangkan kepada rentasi politik baru negara kepada sistem dwi parti yang merupakan lanskap baru politik negara ini.
Presiden memulakan ucapan dengan sayu dalam suasana PAS semakin gagah mengharungi politik negara selepas melalui pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu dengan penuh bergaya bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.
Lebih mengharukan lagi dengan kehadiran ramai tokoh gerakan Islam dari seluruh dunia termasuk Dr Amman Said dari Jordan, Dr Amir Hidayah mewakili Parti KeADILan Sejahtera Indonesia, Sri Lanka, Maldives dan Pakistan.
Kesemuanya meliputi seramai 25 tetamu dari luar negara yang memeriahkan lagi muktamar PAS yang dilangsungkan di Stadium Indera Mulia.
Presiden berkata, muktamar PAS kali ke-54 diadakan di Perak sebagai satu penghormatan kepada tempat PAS memulakan langkah pertamanya dalam lipatan sejarah perjuangan PAS.
"Di negeri inilah tertubuhnya Hizbul Muslimin pada 1948 di Maahad Ihya As-Syarif, Gunung Semanggol.
"Di sini jugalah pada 1955 PAS mula mengenal erti demokrasi pilihan raya setelah wakil rakyat pertama iaitu Tuan Guru Ahmad Tuan Hussein yang bertanding memenangi Kerusi Majlis Undangan Persekutuan Krian.
"Di Perak jugalah Dewan Ulamak PAS ditubuhkan secara rasmi di Batu 20, Bagan Datoh pada 1957," katanya pada ucapan dasar.
Beliau berkata, sejak bermula 57 tahun lalu PAS masih utuh dan teguh, walaupun berhadapan dengan pelbagai jenis cabaran dan tribulasi yang sentiasa mendatang.
Katanya, PAS tidak pernah mengalah untuk terus berjuang menerusi lunas demokrasi yang ada dalam negara walaupun dikepung dari pelbagai sudut menerusi akta-akta yang zalim.
"Marilah kita memperteguh dan memacu jamaah kita berhadapan dengan pelbagai jenis cabaran yang akan sentiasa ada di hadapan kita.
"Kita juga sama-sama mengikhlaskan niat dan amal perbuatan kita semata- mata kerana Allah untuk melaksanakan tugas dan amanah yang amat berat di muka bumi ini," katanya.
Beliau juga berkata, tema PAS Untuk Semua berteraskan kepada keyakinan yang tinggi bahawa perjuangan kita merupakan suatu amanah untuk memakmurkan alam ini.
Katanya, perjuangan PAS adalah bersifat universal untuk seluruh umat manusia membawa keadilan sejagat, sebagaimana yang termaktub dalam Bab Ketiga, Fasal 6, Perkara (8), (9) dan (10), Perlembagaan PAS.
Antara usaha-usaha PAS kata beliau memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.
Selain itu memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian kaum.
"Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta manghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan dan perhambaan," katanya.
JANGAN CABAR RAKYAT PERMATANG PAUH , at 17.8.08,
KAMU HINA ANWAR BERMAKNA KAMU HINA RAKYAT PERMATANG PAUH. KAMU FITNAH ANWAR BERMAKNA KAMU FITNAH RAKYAT PERMATANG PAUH. KAMU AIBKAN ANWAR BERMAKNA KAMU AIBKAN RAKYAT PERMATANG PAUH. KAMU LAWAN ANWAR BERMAKNA KAMU LAWAN SELURUH RAKYAT PERMATANG PAUH!!! Kamu fikir kami boleh berdiam diri??!!
Terbukti strategi BN untuk mengurangkan kehadiran penyokong Anwar disaat akhir tidak menjadi. RAKYAT PERMATANG PAUH CELIK AGAMA dan BIJAK.
Kehadiran hampir ratusan ribu rakyat memenuhi jalan raya mengingatkan perhimpuan Bersih pada November lalu. Kehadiran Tok Guru Nik Aziz, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Tan Sri Khalid Ibrahim dan tokoh-tokoh rakyat mengiringi Anwar ke penamaan calon pada pagi semalam.
Satu suasana yang tidak pernah dilihat setelah Malaysia merdeka sejak 51 tahun, rakyat berbilang kaum dan agama bersatu. Kumpulan tarian naga cina dan kumpulan gendang india mewarnai suasana pagi tadi membuka tirai kemuncak perjuangan reformasi yang telah lama dibawa.
Kehadiran FRU menghiasi suasana pada pagi tadi. Syabas kepada anggota FRU kerana berjaya mengawal keadaan dengan baik. Syabas juga kepada anggota FRU dan Polis kerana anda menyokong PR dan ada yang mendoakan kemenangan PR di Permatang Pauh ini.
Insiden kononnya jurugambar dari NST dipukul oleh penyokong PR telah dimanipulasi oleh pihak media. Menurut saksi yang berada ditempat kejadian, jurugambar yang dipukul itu bukanlah jurugambar dari NST tetapi seorang SB yang menyamar sebagai jurugambar (kalau tak betul, tolong betulkan maklumat ini).
Hari itu juga merupakan mimpi ngeri bagi BN terutama sekali bagi Rais Yatim yang disimbah air oleh rakyat yang amat marah dengan pemimpin BN. (kalau tidak salah saya kerana saya memerhatikan dari jauh). Tidak terlepas juga Tengku Adnan Mansor juga menjadi 'mangsa' kemarahan rakyat.
Setelah selesai penamaan calon pagi semalam, hujan turun dengan lebat. Peyokong-penyokong PR tetap tidak berganjak. Mereka menantikan 'Ikan Besar' yang akan keluar dari pusat tersebut. Laungan 'Altantuya' bergema sepanjang jalan. Kemarahan rakyat membuak-buak tetapi keadaan masih terkawal. Akhirnya rakyat yang menuntut keadilan dipaksa oleh FRU untuk berundur. Akur dengan arahan tersebut, rakyat pun berundur demi keselamatan semua orang. Najib terselamat kali ini. Tetapi rakyat akan tetap memburu Najib hingga ke lubang cacing.
Rumusan yang boleh saya buat disini mengenai suasana pagi semalam adalah rakyat Permatang Pauh amat merindui Anwar untuk memimpin mereka. Telah dibuktikan pada pagi 16 Ogos 2008, rakyat dari seluruh pelusuk parlimen permatang pauh dan seluruh negara membanjiri Institut Perguruan Tuanku Bainun menandakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Anwar Ibrahim.
Jika hendak berbicara mengenai moral rakyat yang berkumpul pagi semalam, baik tak payah. Simpan sahaja bicara anda itu. Moral pemimpin-pemimpin Umno/BN lebih hina dari itu. Jika pimpinan Umno/BN menganggap peyokong PR biadab, Kebiadaban Umno/BN lebih teruk dari Israel!!!
Akhir sekali saya menberi AMARAN kepada kerajaan Malaysia.
KAMU HINA ANWAR BERMAKNA KAMU HINA RAKYAT PERMATANG PAUH. KAMU FITNAH ANWAR BERMAKNA KAMU FITNAH RAKYAT PERMATANG PAUH. KAMU AIBKAN ANWAR BERMAKNA KAMU AIBKAN RAKYAT PERMATANG PAUH. KAMU LAWAN ANWAR BERMAKNA KAMU LAWAN SELURUH RAKYAT PERMATANG PAUH!!!
LAWAN TETAP LAWAN!!!
-Gerakan Revolusi Malaya-
Langgan:
Catatan (Atom)