Ikuti Blog ini

Orang Asli nafi Kelantan rampas tanah


KUALA LUMPUR, 27 Mac: Masyarakat Orang Asli Kelantan hari ini melahirkan rasa kecewa dan terkilan dengan pihak tertentu yang menuduh kerajaan negeri pimpinan PAS telah merampas tanah mereka sedangkan ianya sama-sekali tidak berlaku.

Sekumpulan 10 orang mereka yang hadir ke Parlimen hari ini menafikan tuduhan tersebut malah menganggapnya sebagai fitnah didalangi pihak berkepentingan.

Malah kata wakil Orang Asli Kelantan Ajom Alang, Kerajaan Kelantan yang diterajui PASlah satu-satunya kerajaan negeri yang berusaha untuk memberi hak milik tanah kepada mereka.

"Bermacam-macam tomahan dan tuduhan fitnah bahawanya kerajaan negeri di bawah YAB Tuan Guru (Datuk Nik Abdul Aziz) merampas tanah-tanah Orang Asli.

"Fitnah itu tak betul, sebenarnya kerajaan negeri pimpinan tuan guru pada hakikatnya telah meluluskan dan mewartakan tanah-tanah itu untuk memberi hak milik kepada sebahagian masyarakat Orang Asli di Gua Musang," katanya pada sidang media di lobi parlimen (gambar).

Turut serta pada sidang media itu Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang), Mohammad Husin (Pasir Putih) Dr. Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Abdul Aziz Abdul Kadir (Ketereh).

Sebelum ini, banyak pihak termasuk Umno Kelantan menuduh kerajaan negeri yang diterajui PAS merampas tanah daripada Orang Asli Hulu Kelantan untuk tujuan pembangunan.

Ianya termasuk tanah Orang Asli di Sendrop dan Blau.

Kerajaan negeri bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan mendakwa tanah yang dibangunkan di kawasan itu adalah milik kerajaan.

Menurut Ajom lagi, di Kelantan tidak ada tanah adat untuk Orang Asli mahupun tanah wilayah, cuma yang ada adalah tanah yang mahu digazet untuk Orang Asli pada zaman BN yang tidak selesai-selesai.

Maka katanya, tidak timbul langsung soal kerajaan negeri merampas tanah mereka.

"Zaman BN dulu mana ada org asli dapat hak milik. Adakah sekarang ini di negeri-negeri BN Orang Asli dapat hak milik? Saya rasa belum ada," katanya.

Beliau turut menyelar pihak tertentu yang mempengaruhi Orang Asli untuk berdemonstrasi Januari lalu bagi membantah kerajaan negeri yang mahu membangunkan projek Ladang Rakyat di tanah-tanah Hulu Kelantan.

Malah kata mereka, Orang Asli sangat-sangat mengalukan Projek Ladang Rakyat dibuat kerana mereka akan mendapat banyak kebaikan dari projek itu.

Selain kebaikan dari sudut ekonomi mereka, projek itu juga akan mebawa kepada pembukaan jalan yang bekal memudahkan mereka.

"Saya rasa ini (demonstrasi) bukan tindakan Orang Asli sendiri tapi kemungkinan ada konco-konco lain dari belakang yang menghasut Orang Asli bertindak liar. Kita dari dulu lagi tak pernah demonstrasi bantah kerajaan negeri.

"Bahkan kita sebenarnya merayu kepada kerajaan negeri supaya selesaikan segera masalah tanah bagi membuktikan Kelantan negeri yang pertama berusaha memberi hak milik kepada Orang Asli di Malaysia," katanya. -Hrkh


Bersama Pakatan Rakyat menuju Putrajaya - TG Hj. Hadi


Anak Guna Porsche: Patutlah Nazri Takut Isytihar Harta Sebelum Ini

Nazri diminta dedah sumber dana beli Porsche

Menteri di Perdana Menteri Jabatan Nazri Abdul Aziz digesa mendedahkan sumber dana untuk pembelian sebuah kereta Porsche dan sebuah kenderaan MPV mewah yang digunakan oleh anaknya dan pegawal peribadi anaknya semasa didakwa berlaku insiden seorang pegawal keselamatan dipukul malam Selasa lalu.

Dalam hal ini, Naib Presiden PKR, N Surendran berkata ia juga menjadi tanggungjawab Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengotakan janjinya untuk pembaharuan dan kerajaan yang bersih.

"Ini boleh dilakukan dengan mengarahkan Nazri membuat pengisytiharan penuh asetnya," tambah Surendran dalam satu kenyataan hari ini.

Surendran berkata tindakan tergesa-gesa polis untuk membersihkan anak Nazri - Mohamad Nedim - daripada sebarang salah laku - seperti yang dilaporkan beberapa akhbar Sabtu lalu - hanya menimbulkan lebih banyak kecurigaan dan keraguan mengenai apa yang sebenarnya berlaku di kondominium mewah itu pada malam 20 Mac.

"Adakah polis cuba melindungi reputasi Umno dan kerajaan?" soalnya sambil menambah bahawa rakyat berhak meminta satu siasatan menyeluruh dan saksama dijalankan terhadap kejadian tersebut.

Katanya, kenyataan OCPD Brickfields Wan Abdul Bari Wan Abdul "Wan Abdul Bari's statement is Khalid tidak konsisten dengan laporan-laporan awal bahawa anak Nazri dan pengawal peribadinya yang memukul pengawal keselamatan tersebut.

"Juga telah dilaporkan bahawa terdapat rakaman CCTV keseluruhan kejadian tersebut. Apakah yang didedahkan dalam pita CCTV tersebut?" soalnya.

Surendran juga mendakwa ia telah menjadi amalan standard bagi pihak polis tergesa-gesa mempertahankan pemimpin BN atau saudara mara mereka yang disyaki melakukan jenayah. -mk


Bukan Wajib Bagi Menteri Kabinet, Ahli Keluarga Isytihar Aset Kepada SPRM - Nazri


PUTRAJAYA: Menteri-menteri Kabinet dan ahli-ahli keluarga mereka tidak seharusnya tertakluk kepada syarat-syarat ketat seperti mengisytiharkan aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

“Anggota-anggota Kabinet dan isteri-isteri mereka tidak wajib untuk mengisytiharkan aset mereka kepada SPRM. Kita hanya perlu melakukannya (pengisytiharan) kepada Pedana Menteri,” katanya di sini, Khamis.

“Tugas SPRM hanya melakukan siasatan sekiranya terdapat sebarang penyelewengan… itu sahaja,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun menerima baik cadangan SPRM itu.

“Kami tidak mempunyai masalah terhadap perkara itu. Semua anggota Kabinet perlu mengisytiharkan aset mereka kepada Perdana Menteri dan kami menyokong sepenuhnya cadangan daripada SPRM,” katanya kepada pemberita pada mesyuarat bulanan kementerian itu, Khamis.

SPRM pada Rabu berkata, salinan fail pengisytiharan aset anggota Kabinet dan isteri-isteri mereka serta ahli keluarga yang lain perlu diserahkan kepada Perdana Menteri.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh berkata, suruhanjaya itu mengemukakan cadangan tersebut kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mesyuarat pada 12 Disember lalu dan dilihat menerima idea berkenaan.

“Kami mencadangkan supaya satu salinan pengisytiharan aset semua anggota pentadbiran persekutuan perlu diberikan kepada suruhanjaya. Kami (seterusnya) mencadangkan isteri-isteri mereka dan ahli keluarga yang lain dikehendaki untuk memaklumkan aset mereka melalui akuan berkanun dan rekod disimpan oleh SPRM,” tambahnya lagi
. -mstar (19/01/12)

WAJIB BACA: Menarik mengenai PAS Kelantan...

3 dekad kebangkitan PAS di Kelantan

Oleh SUBKY LATIF

PADA 10 Februari lalu saya diminta mengulas tentang kebangkitan PAS dan kerajaan 1990-2008 dalam Seminar Tiga Dekad Kebangkitan PAS di Kelantan di Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu.

Kemenangan besar PAS Kelantan tahun 1990 itu adalah barakah dan hasil kebangkitan kepimpinan ulama PAS sejak tahun 1982.

Wujud sekumpulan pimpinan ulama dalam PAS pimpinan Haji Yusof Rawa dan Kelantan dianugerah kemenangan dulu kebetulan ia juga dipimpinan ulama tersohor Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama beberapa ulama lagi seperti Nik Abdullah Arshad, Ustaz Halim Abdul Rahman dan Ustaz Yahya Othman serta ia disokong oleh sekalian tok-tok guru pondok seluruh Kelantan.

Amanah Allah dan rakyat kepada PAS Kelantan itu adalah ujian dan cabaran buat PAS seluruhnya.

Saya menyapa Tok Guru Nik Abdul Aziz di Markas PAS Kelantan sebelum beliau berangkat ke Istana mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar; "Tok Guru bersamping di bawah lutut untuk menghadap Sultan, seperti orang kampung saja!"

Jawabnya, "Ana mahu sebagai orang tua menjadi penasihat kepada Sultan..."

Ertinya Tok Guru memulakan tugasnya sebagai menteri besar, memimpin kerajaan dan rakyat sebagai orang tua, mungkin beliau tidak setua setengah daripada ketua-ketua kerajaan lain.

Dengan watak tuanya itu Menteri Besar menghadapi pegawai-pegawai kerajaan, meminta sokongan dan nasihat mereka bagi memimpin negeri.

PAS sebenarnya sudah bangkit dan padu semula sebelum tahun 1990 itu. Kemenangan itu meningkatkan lagi kebangkitan dan perpaduannya.

Kerajaan itu dikenali sebagai kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah pimpinan PAS menjadikan motto kerajaannya Membangun Bersama Islam, mengisytiharkan Kelantan sebagai negeri Serambi Makkah.

Sebelum itu orang membolot sebanyak-banyak duit negeri, melalui Tabung Serambi Makkah yang diwujudkan orang memberi duit kepada kerajaan di bawah skim itu bagi membangunkan negeri dan rakyat.

Menteri Besar tidak tinggal di kediaman rasminya dan tidak pula mengambil elaun rumah yang diperuntukkan jika tidak tinggal di rumah kerajaan.

Meneruskan kehidupan yang sederna, tidak mengambil pembantu rumah baru bagi membantu isterinya mengendalikan kerja rumah sebagai isteri Menteri Besar.

Menteri Besar mengangkat hidangan sendiri seperti biasa kepada tetamu di rumah.

Menteri Besar tidak minta apa-apa daripada kerajaan untuk diri dan keluarganya – sebatang balak pun tidak diminta. Ini menyebabkan sekalian pembesar negeri dan kerajaan segan dan malu untuk mengambil kesempatan.

Kerajaan itu berdepan dengan cabaran awalnya, MCA sengaja hendak menunjukkan pengaruh politiknya menganjurkan pesta minum arak. Kerajaan menasihat melarangnya. MCA berkeras hendak mengadakan juga. Reaksi Menteri Besar, 'Lantaklah minum hingga pecah perut.' MCA pun membatalkannya.

Sepanjang tiga dekad – 1990- 2008 – parti dan kerajaan berdepan dengan pasang surut sokongan rakyat. Ia berdepan dengan suasana tidak serasi dengan sekutunya Parti Semangat 46. Apabila parti itu dibubarkan, ahli-ahlinya rujuk semula kepada Umno, sebahagian dari penyokongnya hilang tetapi kerajaan dapat diselamatkan.

Pernah PAS kalah dalam pilihan raya kecil di kawasan kuatnya di Pengkalan Pasir. Pernah kerajaan PAS itu diselamatkan oleh satu majoriti saja di Dun untuk jangka waktu yang lama. Tetapi PRU 2008 memberinya kemenangan besar semula hampir menyamai kemenangan tahun 1990.

Kerajaan negeri menghadapi berbagai catuan daripada kerajaan pusat dan layanan anak tiri.

Geran per kapita diberi lewat, pelaburan disekat malah hak ke atas royalti minyak di perairannya dinafikan. Tetapi kerajaan Kelantan tetap dapat meneruskan pembangunan dan dapat pula membayar hutang kepada pusat mengikut jadual.

Dalam apa keadaan pun imej kerajaan Kelantan dan Menteri Besarnya dalam mengendalikan amanahnya terus meningkat dari semasa ke semasa. Pemerintahannya dikira bersih dan tidak pula ketinggalan kecekapannya daripada lain-lain kerajaan. Menteri Besarnya pula jauh lebih terserlah daripada ketua kerajaan yang lain.

Imej Menteri Besar dan kerajaan ikut memberi kekuatan kepada parti baik di peringkat negeri mahupun di peringkat nasional walaupun kekuatan parti itu juga memberi kekuatan kepada Menteri Besar dan kerajaannya. Kekuatan Menteri Besar dan kerajaan tidak menjamin keselamatan kerajaan jika parti tidak kuat.

PAS di Kelantan sudah dikira kuat sebelum kemenangan tahun 1990 tetapi kekuatan itu lebih terserlah apabila dibantu oleh Parti S46. Begitulah cara Allah membantu pihak yang dikehendaki.

Persoalan sekarang yang menjadi cabaran kepada PAS ialah apakah ia benar-benar kuat atau kekuatannya itu adalah kerana kekuatan Tok Guru sebagai Mursyidul Am dan Menteri Besar?

Mana lebih kuat antara parti dengan Tok Guru? Atau adakah kedua-duanya sama-sama kuat? Kita tetap boleh bersyukur kiranya kedua-duanya sama-sama kuat.

Dalam apa keadaan PAS mesti memastikan ia lebih kuat daripada Tok Guru. PAS Kelantan akan bermasalah kiranya Tok Guru lebih kuat daripada parti.

PAS tidak boleh bergantung kepada kekuatan Tok Guru saja kalau ia tidak kuat. Kita mesti menerima hakikat bahawa suatu hari nanti Tok Guru tidak ada dalam kerajaan. Seperti umat Islam di zaman Rasulullah s.a.w. mesti menerima hakikat bahawa Rasulullah tetap wafat dan Islam mesti terus tanpanya.

PAS Kelantan mesti bersedia tanpa Tok Guru dalam kerajaan dan tanpa Tok Guru di dunia nyata ini.

Mahu tidak mahu PAS Kelantan dan kerajaan Kelantan akan terpaksa menghadapi cabaran tiada lagi Tok Guru di dunia. Parti akan berjalan terus dan kerajaan juga akan berjalan terus. Pengganti Tok Guru dalam parti tidak sama dengan Tok Guru dan pengganti Tok Guru dalam kerajaan pun juga tidak sama dengan Tok Guru. Ia terpaksa dihadapi.

Tetapi apakah PAS Kelantan bersedia tanpa Tok Guru dalam kerajaan sedang Tok Guru masih berada di dunia? Tok Guru masih ada di dunia tetapi tidak lagi menjadi Menteri. Bagaimana?

PAS dan rakyat mesti bersedia menghadapi keadaan itu dan mesti bersedia untuk belajar menghadapinya.

Di sinilah perlunya parti itu mesti lebih kuat daripada Tok Guru supaya masing-masing tidak berhadapan apa-apa masalah tanpa di dunia atau tanpa Tok Guru dalam kerajaan.

Tok Guru boleh jadi pemimpin seumur hidup baik bagi parti dan rakyat, tetapi Tok Guru tidak boleh jadi Mursyidul Am seumur hidup dan Menteri Besar seumur hidup. Tok Guru boleh jadi pemimpin seumur hidup tanpa menjadi Mursyidul dan tanpa menjadi Menteri Besar.

Lim Kit Siang adalah pemimpin DAP walaupun dia sudah tidak lagi jadi Setiausaha Agung dan tidak juga jadi Pengerusinya.

Mahatma Gandhi tidak menjadi Presiden dan Perdana Menteri India serta tidak menjadi ketua Parti Kongres India tetapi dia adalah pemimpin parti itu dan pemimpin rakyat seumur hidup.

PAS mesti bersedia menerima realiti itu bagi memenuhi tuntutan sebuah parti dalam dunia demokrasi kerana demokrasi mengajar dunia begitu. Justeru itu PAS mesti menentukan ia lebih kuat dari pemimpin. Pemimpin datang dan pemimpin pergi, PAS mesti ada terus dan relevan.

Saya tidak bercadang untuk menamatkan perkhidmatan Tok Guru dalam parti dan dalam kerajaan, tetapi saya mahu mengingatkan keperluan sebuah parti yang kuat dan lebih kuat dari pemimpinnya, supaya ia boleh menghadapi apa jua susana dan cabaran.


WAJIB BACA menjelang Pilihanraya...

SEMAKIN kuat, hangat dan bersemangat cakap-cakap pilihan raya, semakin panas jugalah persekitaran politik satu Malaysia. Pendek kata, macam kata iklan ikonik Astro tidak lama dulu – “macam-macam ada.”

Antaranya:-

1. Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, dilaporkan oleh akhbar The Sun sebagai berkata, tarikh pilihan raya umum adalah “trademark” (tanda niaga) beliau. Maksud beliau, keputusan bila PRU akan diadakan adalah hak mutlak beliau. Beliau yakin orang India kini menyokong Barisan Nasional dan mahu kelebihan suara dua pertiga dikembalikan.

2. Namun begitu, di sebalik kecanggihan kempen blog, Facebook dan Twitter, aspek-aspek tahayul dalam pemikiran sesetengah orang politik terus kukuh. Maka, ramailah tukang tilik dan burung serinditnya, sami pelbagai agama, bomoh Siam dan Kiai Jawa yang dilawati untuk mendapatkan “petunjuk”.

3. Khabarnya, ada tok sami yang meramalkan bulan Jun ini, bulan, bintang dan matahari akan berbaris harmonis di angkasa raya menandakan masa paling sesuai untuk mempertaruhkan nasib. Agaknya itulah sebab mengapa ada ramalan mengatakan PRU akan diadakan Mei atau Jun.

4. Namun begitu, hanya Mohd Najib akan menentukan sama ada segala ramalan mengenai tarikh PRU itu tepat. Itu tanda niaga yang didaftar atas nama beliau.

5. Selepas pergolakan Pas di Kedah, kini giliran DAP pula. Pengerusi Nasionalnya, Karpal Singh terus bertelingkah dengan Timbalan Setiausaha Agung merangkap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy. Karpal tidak puas hati dengan keputusan Jawatan Kuasa Disiplin mengenai aduan salah laku terhadap Ramasamy lantas menghalakan serangan kepada pengerusi jawatankuasa itu, Tan Kok Wai, pula. Apa yang sedang berlaku dalam DAP sekarang adalah penerusan perebutan kuasa antara golongan lama dan baru dalam parti itu. Pergolakan dalam Pas dan DAP itu sudah tentunya tidak baik bagi Pakatan Rakyat.

6. Selain isu lembu dan kondo NFCorp yang menghambat Ketua Wanita Umno, Shahrizat Abdul Jalil, keluar daripada Kabinet, Umno kehilangan seorang veteran apabila bekas Menteri Penerangan, Abdul Kadir Sheikh Fadzir, mengumumkan keluar parti selepas 56 tahun berkuat kuasa 19 Mac. Beliau berbuat demikian selepas dicabar oleh Setiausaha Agung Umno, Teuku (Tengku) Adnan Mansor agar keluar kalau tidak puas hati dengan parti.

7. Bukan Abdul Kadir saja keluar parti. Ramai lagi yang telah keluar Umno tapi nama mereka ada lagi dalam daftar kerana cawangan tidak mahu atau tidak berani kemukakan kepada ibu pejabat.

8. Ramai yang keluar parti masih komited kepada Umno, tetapi mereka berbuat demikian kerana tidak yakin lagi dengan kepemimpinan parti, khasnya mengenai mempertahankan hak orang Melayu. Pemimpin atasan Umno dilihat lebih mengutamakan Barisan Nasional daripada Umno.

9. Jawatankuasa Akaun Parlimen (PAC) mengesahkan yang National Feedlot Corporation (NFCorp) milik keluarga Shahrizat tidak membayar balik ansuran hutang mudah kepada Kerajaan pada bulan Januari dan Feb lalu berjumlah RM34 juta.

10. Dr Hassan Ali, bekas Exco Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, yang baru dipecat daripada Pas kerana bergaduh dengan rakan kongsi DAP, berkata beliau gembira menghadiri sidang DUN sebagai wakil rakyat bebas. Cabaran terhadap Pas ialah membuktikan kepada orang Melayu/Islam yang ia bukan di bawah telunjuk DAP dan PKR.

11. Sebahagian peneroka Felda dan perwakilan mereka masih menentang IPO Felda Global Ventures. Masih banyak soalan mengenai modus operandi cadangan IPO itu yang belum terjawab. Seorang bekas menteri kanan bertanya mengenai “preference shares” yang akan memberikan keutamaan dividen kepada pihak-pihak tertentu dan membelakangkan peneroka.

12. Tidak kira di negeri perintah BN atau PR, keselesaan dan keselamatan harian rakyat jelata semakin terancam. Bandar raya, bandar dan pekan semakin kotor, jalan raya berlopak dan anjing (bertuan dan liar) berkeliaran menjadi ancaman kepada orang ramai. Di Bukit Mertajam, Seberang Prai baru-baru ini, seorang kanak-kanak tujuh tahun, Dhiya Qairina, diserang anjing jirannya ketika berbasikal.

13. Sekarang dalam satu Malaysia (rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan) anjing, sama ada anjing bertuan atau anjing liar, serta babi hutan menjadi masalah besar. Dulu anjing yang tidak ada lesen tergantung di tengkuk akan ditangkap atau ditembak. Tapi sekarang tidak lagi. Tunggu sajalah sampai manusia dijangkiti penyakit anjing gila (rabies) barulah Kerajaan akan riuh-rendah, hiruk-pikuk buat ikrar dan janji.

14. Tidak cukup dengan anjing, babi hutan dan kera, kita juga kena main oleh pendatang (halal dan haram). Kerana para perunding antarabangsa dan diplomatik kita hambar dan half-past-six, maka negara kita kena buli kiri kanan oleh negara-negara jiran. Negara jiran yang sepatutnya jadi kawan sudah jadi lawan.

Wallahualam. Kalau pembahas ada nak tambah, silalah tambah.

http://kadirjasin.blogspot.com
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .