Ikuti Blog ini
Hashim: Mahkamah kembali hak pada yang sepatutnya. ,Rabu, September 17, 2008 at 17.9.08,
“Saya lega keputusan memihak kepada kita,” kata Hashim ketika dihubungi hari ini.
Beliau juga berkata, keputusan tersebut pada mulanya tidak dapat dijangka.
“Pada peringkat awalnya, 50-50 juga. Kita bimbang mahkamah tidak berlaku tulus,” katanya.
Hashim diisytiharkan memenangi kerusi itu buat kali ketiga berturut-turut selepas Mahkamah Persekutuan menerima rayuannya semalam.
Panel tiga hakim sebulat suara memutuskan Hashim memenangi kerusi tersebut dan membatalkan kemenangan calon BN Abdullah Hassan pada 8 Mac lalu.
Panel hakim itu juga memutuskan bahawa pilihanraya kecil tidak perlu diadakan.
Ucap tahniah
Beliau juga menyifatkan kembalinya DUN Sanglang ke tangan PAS itu, sebagai kemenangan Islam.
Keputusan itu juga, tambahnya, turut disambut baik pelbagai golongan masyarakat termasuk masyarakat bukan Islam.
Katanya, beliau turut mendapat panggilan telefon dari penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengucapkan tahniah kepadanya.
Di samping itu, katanya, beliau juga ada menerima panggilan telefon dari seorang exco kerajaan negeri Perlis dari Umno, yang turut mengucap tahniah kepadanya.
Ditanya mengenai persidangan DUN yang akan datang, Hashim berkata, sebagai pembangkang negeri, PAS mungkin mengambil pendekatan berbeza kali ini.
“Pihak pemerintah kali ini pun nampak lebih lembut dan terbuka berbanding dulu,” katanya.
“Kalau dulu, masa (Datuk Seri) Shahidan Kassim (menjadi menteri besar), kita hendak pergi hospital bagi hamper raya pun tidak boleh,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada barisan peguam yang mewakilinya.
Masa untuk menyertai PAS ......Presiden , at 17.9.08,
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Umum mengetahui bahawa negara kita kini berada dalam suasana kegawatan ekonomi yang menekan rakyat yang sebahagiannya adalah hasil dari kalutnya kepimpinan negara dalam menguruskan polisi dan pelaksanaan pembangunan ekonomi negara.
Suasana ini diburukkan lagi dengan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Umno untuk memastikan suasana kestabilan politik dan keharmonian kaum yang terus dihormati.
Umno yang satu ketika dahulu digambarkan sebagai lantang memperjuangkan nasib orang Melayu di awal penubuhannya, kini telah hilang taring dan gagal dalam memastikan maruah umat Islam dan orang Melayu terbela.
Gambaran bahawa terjejasnya keharmonian kaum ini oleh pimpinan Umno seolah-olah hubungan kaum di Malaysia kini berada pada tahap yang paling rendah juga sebenarnya adalah cubaan Umno untuk mengalih masalah yang berlaku di kalangan parti komponen BN pada ketika ini.
Sehubungan itu, Parti Islam Se Malaysia (PAS) berpendapat bahawa sudah sampai masanya bagi umat Islam dalam negara kita ini untuk berhijrah kepada PAS dan seterusnya menjadikan PAS sebagai parti tempat bernaung.
PAS adalah parti yang tidak diasaskan kepada prinsip perkauman atau asas perjuangan yang sempit, tetapi dibina di atas dasar memperjuangkan Islam dan keadilan yang lebih universal sifatnya, maka PAS percaya bahawa orang-orang Islam di Malaysia secara umumnya dan ahli-ahli Umno beserta pimpinannya secara khusus memerlukan satu wadah baru yang lebih konsisten dan mampu menjadi penyelamat yang akan memartabatkan maruah ummah.
Sebagaimana yang dipertegaskan oleh PAS dalam Muktamar PAS ke-54 yang lalu dengan tema "PAS UNTUK SEMUA", bahawa sebenarnya perjuangan PAS tetap kekal utuh dan bertahan sehingga ke hari ini kerana mempunyai tujuan penubuhannya yang berteraskan kepada akidah perjuangan yang jelas.
PAS bukannya sebuah parti politik semata-mata, tetapi adalah satu wadah dakwah dan tarbiyah. Perjuangan PAS adalah bersifat universal, untuk seluruh umat manusia, membawa keadilan sejagat, sebagaimana yang termaktub dalam Bab Ketiga, Fasal 6, Perkara (8), (9) dan (10), Perlembagaan PAS di mana usaha-usaha PAS ialah:
� Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam,
� Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini,
� Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta manghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.
Bertitik tolak dari hakikat ini, maka PAS sudah lama bersedia untuk mengisi kekosongan politik yang ditinggalkan oleh Umno ini. PAS percaya bahawa ahli-ahli dan pimpinan Umno ini boleh memberi sumbangan tenaga mereka menerusi PAS.
Marilah bersama-sama kita bina wadah PAS ini supaya menjadi lebih kuat dan mampu berdepan dengan pelbagai cabaran yang mendatang.
Marilah bersama-sama menyertai PAS!
16 September 2008/ 16 Ramadhan 1429
DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG
Badar Al-Kubra, kemenangan buat para pejuang , at 17.9.08,
Alhamdulillah, Allah telah berikan kemenangan dengan janjinya bahawa;
“Dan barang siapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, sesungguhnya puak atau pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.”(Al-Maidah:56)
Maka siapakah kita untuk menafikan takdir kemenangan dari Allah ini. Jumlah yang sedikit bukan bermakna kita harus kalah. Semangat kita harus lebih tinggi dari jumlah fizikal kita kerana iman yang tersemat dalam hati sudah menempah rahmat dari Allah.
“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah (kerana kamu sedikit bilangan dan kekurangan alat perang) oleh itu bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuriNya.” (Ali-Imran:123)
Oleh itu wahai sahabat-sahabat pemuda, kita harus terus bertaqwa dan bertawakkal pada Allah. Tiada jalan pintas untuk kita kecapi jalan keredhaan melainkan dengan memperkukuhkan keyakinan kita.
Jangan kita mabuk pada kemenangan dunia walhal kemenangan akhirat itu lebih manis ganjarannya.
Dalam suasana sekarang, sudah ramai yang menanam angan-angan untuk duduk sebagai peneraju rakyat. Namun tanggungjawabnya amatlah berat dan tanggungjawab kita dalam mencuci kebejatan penzalim itu bukanlah kerja yang boleh habis dalam sehari dua. Ianya akan berangkai sebagai sebahagian dari ekspedisi badar yang harus kita laksanakan.
Jangan kita hanyut dalam kekalutan sekarang. Kemenangan yang ada harus diurus agar ianya bermanfaat untuk Islam.
Ayuh! barisan pemuda Islam. Tegakkan kembali bendera badar, kerana kemenangan lain sedang menanti!
“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”(Muhammad:7)
Pemuda PAS teruskan ‘enggagement’. , at 17.9.08,
Dewan Pemuda PAS Pusat meneruskan dasar enggagementnya apabila mengadakan lawatan dan perbincangan dengan Badan Pencegah Rasuah Malaysia. Rombongan yang diketuai sendiri oleh Ketua Pemuda PAS, YB Salahuddin Ayub tiba kira-kira jam 2.30 ptg semalam di pejabat BPR.
Turut hadir sama ialah Ust. Azman Shapawi (Naib Ketua Pemuda PAS), Sdr. Ahmad Sabki (Setiausaha), Sdr. Suhaizan (Ketua Penerangan Pemuda PAS), Sdr. Khairul Faizi (exco), Sdr. Mohd Adram (exco), YB Ustaz Mohd Firdaus (exco), Sdr. Kamaruzaman (exco) dan Sdr Safarizal (pegawai Pemuda PAS Pusat).
Rombongan lawatan disambut Timbalan II Ketua Pengarah BPR, Tpj. Dato Zakaria bin Hj Jaafar bersama-sama dengan pengarah-pengarah bahagian.
Selepas mengadakan lawatan di bilik pameran BPR, perbincangan diantara DPPP dan BPR berlangsung lebih kurang 2 jam setengah.
Pemuda PAS telah diberi peluang membangkitkan beberapa isu yang berkaitan dengan BPR dan memberikan cadangan-cadangan yang mungkin boleh dilaksanakan oleh BPR.
YB Salahudin memberi harapan yang sangat besar kepada BPR supaya dapat memberi khidmat dengan lebih baik, kerana BPR berperanan besar di dalam menjaga kestabilan negara kita.
Pihak BPR juga mengharapkan sokongan dan kerjasama daripada Parti PAS di dalam melaksanakan amanah pencegahan rasuah di negara ini. Dato’ Zakaria mewakili BPR berterima kasih diatas kunjungan Pemuda PAS dan berharap perbincangan susulan bagi membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan BPR dapat diadakan lagi selepas ini.