Bekas
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memberi amaran kepada
golongan yang mempersenda usaha untuk melaksanakan hukum hudud kerana
perbuatan demikian boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar dari Islam.
Dr
Mohd Asri berkata, sendaan itu boleh dilihat ketika Kelantan mula
memperkenalkan hukum hudud – melalui Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II)
1993.
"Mempersendakan
teks al-Quran ataupun as-Sunnah seperti sendaan sesetengah pihak
apabila Kelantan ingin melaksanakan hudud dengan menyatakan ‘sesiapa
yang ingin makan sup tangan sila ke Kelantan’ adalah melampaui batasan
agama.
"Bahkan, jika pengucap sedar dan bermaksud menghina nas
al-Quran dan as-Sunnah, maka dia terkeluar dari Islam," katanya dalam
satu tulisan di blognya, drmaza.com.
Beliau bagaimanapun
menegaskan bahawa golongan yang menolak hukum hudud yang tertulis di
dalam al-Quran sahaja yang akan terkeluar daripada Islam.
Golongan
yang menolak penafsiran oleh para sarjana atau mana-mana individu
mengenai undang-undang Islam itu, tidak akan jatuh hukum sehingga
murtad, katanya.
''Sebagai seorang muslim, kita tak boleh
persoalkan hukum tuhan. Cuma di sini ada perbezaan dalam menafsirkan
undang-undang hudud.
''Ada
tiga. Pertama, bagi orang yang menentang hukum yang ada di dalam
al-Quran, dia terkeluar agama. Bagi orang yang menentang penafsiran
tidak semestinya mereka menentang hudud tetapi mereka hanya menentang
penafsiran (hukuman) hudud.
"Dan ketiga, apabila seseorang
mengatakan, hukuman itu tidak dapat dilaksanakan pada zaman ini kerana
tidak cukup syarat atau suasana tidak sesuai, tidak boleh dikatakan
mereka sebagai menentang hudud," katanya lagi ketika dihubungi
Malaysiakini.
Mengulas
lanjut perkara itu, Mohd Asri berkata, hukum hudud yang termaktub di
dalam al-Quran boleh memberi lebih daripada satu penafsiran.
Katanya,
mereka yang memberi penafsiran mengenai hukuman itu pula tidak
semestinya menentang Islam. Sebaliknya, hanya melontarkan pandangan
mengenai hukuman tersebut.
"Umpamanya (bila ada yang bertanya)
apa syarat tangan untuk dipotong, apa kesan jika tangan dipotong. Serta
beberapa pandangan sarjana mengenai hukuman ini. Jika beberapa pandangan
terhadap penafsiran itu yang berlaku sekarang, itu bukan menentang
hudud.
"Kalau tolak penafsiran, sebagai contoh, PAS- mengenai
enakmen liwat atau kes zina dan empat orang saksi. Itu bukan menentang
al-quran tetapi (menentang) penafsiran," jelasnya.
Sehubungan
itu, Mohd Asri berpendapat, situasi yang berlaku sekarang bukan mengenai
seseorang yang menentang hukum Allah itu tetapi hanya memberikan
pendapat mengenai kesesuaian melaksanakan hukuman berkenaan.
"Saya
rasa kini mereka bukan menentang hukum tuhan tetapi memberi pendapat
dengan mengatakan suasana sama ada sesuai atau tidak untuk melaksanakan
hudud. Bukan hudud itu tidak sesuai tetapi suasana.
"Kita kena
tahu sama ada orang itu pertikaikan hudud itu sendiri atau mengatakan
hukuman itu sesuai atau tidak sesuai. kalau pertikai hudud itu sendiri,
dia telah keluar agama tetapi kalau menentang penafsiran hudud itu,
tidak sampai hingga terkeluar daripada agama," katanya lagi.
Kelantan promosi hudud
Dalam
tulisan di blognya itu, beliau turut mempertahankan usaha melaksanakan
hudud seperti dijalankan kerajaan negeri Kelantan yang disifatkannya
sebagai tindakan yang jujur untuk melaksanakan perintah Allah.
Namun, langkah itu terhalang kerana tidak mendapat kerjasama oleh kerajaan persekutuan, kata Dr Mohd Asri lagi.
"Kelantan
telah memainkan peranan mempromosi hukuman itu. Walaupun masih terbatas
disebabkan banyak kekangan, namun apa yang penting hukuman itu
dibahaskan, dibincangkan dan dipromosikan.
"Ijtihad baru juga perlu dilihat bagi mencapai maksud keadilan jika ia dilaksanakan," katanya.
Tambahnya,
beliau mendapati demikian apabila melihat kenyataan Menteri Besar
Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memberitahunya: “Jika Allah
tanya saya di akhirat, saya akan beritahu Kerajaan Pusat menghalang saya
melaksanakannya”.
"Di
Kelantan suasana kondusif untuk hudud terikat bukan sahaja dengan
persekitaran dalam negeri tetapi juga dengan pentadbiran pusat.
"Selagi
Kelantan tidak mendapat kerjasama Pusat sepenuhnya, tidak mungkin
suasana kondusif itu dapat diwujudkan. Selepas itu banyak lagi perkaitan
lain yang mesti dilangsaikan sebelum dilaksanakan.
"Maka, bukan
menjadi kesalahan Kelantan jika beberapa hukuman hudud tidak
dilaksanakan disebabkan keterbatasannya," kata Dr Mohd Asri lagi.
Awal
tahun lalu, Nik Abdul Aziz menjelaskan bahawa Kelantan memutuskan untuk
tidak melaksanakan enakmen tersebut kerana bimbang kerajaan persekutuan
akan campur tangan dengan mengisytiharkan darurat dan merampas
pentadbiran kerajaan negeri.
Katanya, perdana menteri pada masa itu Tun Dr Mahathir Mohamad
hadir ke Kelantan dan memberi amaran untuk mengambil tindakan sekiranya undang-undang itu dilaksanakan.
Selain
Kelantan, Terengganu turut meluluskan undang-undang serupa melalui
Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Kisas yang diwartakan pada
2002) ketika negeri itu berada di bawah pentadbiran PAS.
BN yang mengambil alih pentadbiran Terengganu selepas itu juga tidak melaksanakan peruntukan tersebut kerana belum cukup
persediaan, seperti dinyatakan seorang wakil kerajaan dalam persidangan DUN akhir tahun lalu.
-M'kini