Ikuti Blog ini

Harga minyak: Razaleigh mula ancam Abdullah


Selepas pengakuan Ketua Umum KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau boleh menurunkan harga minyak sebanyak 50 sen kini calon Presiden Umno Tengku Razaliegh pula mendakwa dirinya juga mempunyai cara tersendiri menurunkan bahan api tersebut.

Tengku Razaliegh yakin boleh turunkan harga minyak selepas beberapa hari Menteri Penerangan Dato' Shabery Cheek mempertahankan Perdana Menteri Abdullah Badawi dalam keputusan menaikan harga minyak secara mendadak.

Menurut Dewan Pemuda PAS, kenyataan terbaru Razaleigh walaupun menafikan sebagai kempen politik tetapi mesej yang begitu jelas ditujukan kepada kegagalan Abdullah Badawi menjaga kepentingan rakyat.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, idea yang tercetus oleh Razaliegh itu sama dengan pandangan Pakatan Rakyat sebagaimana yang dinyatakan oleh Anwar Ibrahim dalam debat baru-baru ini.

"Yang penting dua pencabar Abdullah Badawi telah bersepakat harga minyak boleh diturunkan jika kerajaan memikirkan beban yang ditanggung oleh rakyat," tegas Salahuddin.

Tambahnya, Razaliegh dan Anwar adalah bekas Menteri Kewangan yang kini disebut-sebut bakal menggantikan Abdullah sebagai Perdana Menteri ekoran terpalitnnya Dato' Seri Najib Razak dengan isu Altantuya serta kejayaan Abdullah Badawi menjerat timbalannya dalam pelan peralihan kuasa pada 2010.

Salahuddin berkata, Razaliegh menyedari ada usaha-usaha untuk menghalang mana-mana ahli Umno bertanding jawatan Presiden Umno sedang giat dijalankan.

"Di satu sudut, Pak Lah menggunakan MT Umno untuk membuat arahan supaya Presiden Umno tidak ditandingi kerana peralihan kuasa akan dibuat pada 2010; sedang di sudut yang lain, usaha melobi Perhubungan Umno negeri-negeri supaya menyokong Pak Lah secara terbuka juga dibuat," katanya.

Dalam masa sama, Salahuddin berkata, peraturan berkempen diwujudkan untuk menyekat tokoh Umno tertentu daripada berkempen terutama yang tidak berjawatan menteri.

"Semua pendekatan ini adalah untuk menyelamatkan Abdullah Badawi, di samping MT terus mengekalkan peraturan 30 peratus pencalonan untuk jawatan Presiden Umno," tambah beliau.

Sehubungan itu, Salahuddin berkata, Razaliegh adalah satu-satunya pemimpin Umno yang dilihat layak menentang Abdullah Badawi untuk jawatan tersebut, beliau bukan sahaja lebih berpengalaman bahkan telah terbukti kebolehannya mentadbir.

"Semenjak zaman Tun Hussein Onn nama Ku Li disebut sebagai bakal Perdana Menteri, tetapi Dr Mahathir yang dipilih oleh Tun Hussein. Pada zaman Mahathir, Ku Li telah memperlihatkan pengaruhnya sehingga Umno 'dibiarkan' haram untuk menyekat peluang Ku Li," katanya.

Kini, kata Salahuddin, Najib sudah terjerat dengan Altantuya dan hampir hilang kelayakan, dan Razaliegh mula menggunakan isu-isu yang tiada kaitan dengan Umno seperti isu harga minyak untuk memancing sokongan ahli Umno.

"Ku Li nampaknya lebih sependapat dengan pembangkang yang mewakili suara rakyat dalam hal ini, berbanding Pak Lah yang buntu dalam mengatasi kenaikan harga minyak global," katanya.

Polis buat kerja gila - Mohd Sabu


Pihak polis sengaja menimbulkan suasana ketegangan sebagai provokasi dengan mengadakan sekatan jalan raya dalam kehangatan isu liwat Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan ura-ura usaha Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan pusat.

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu menyelar tindakan pihak polis yang disifatkan mengadakan sekatan jalan raya yang tidak perlu dan tidak menitik beratkan kesan dan masalah yang terpaksa ditanggung pengguna jalan raya akibat sekatan tersebut.

"Ini semua kerja gila, dan sengaja diada-adakan atau mungkin polis sudah tiada kerja lain yang hendak dibuat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Mengulas mengenai dakwaan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mengenai kemungkinan suatu perhimpunan akan dianjurkan dalam masa terdekat, beliau dengan tegas menafikannya.

"Kita (PAS) tidak ada sebarang perancangan untuk mengadakan perhimpunan buat masa ini.

"Bahkan sekiranya hendak diadakan perhimpunan pun, polis buat sekatanpun perhimpunan tetap boleh dijalankan," ujarnya.

Mantan Pengerusi Jawatankuasa Perhimpunan Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu turut menjelaskan perhimpunan 100,000 rakyat pada 10 November tahun lalu membuktikan sekatan jalan raya tidak memberikan apa-apa kesan kepada 'kekuatan suara hati dan kehendak' rakyat untuk menyampaikan hasrat mereka.

Sementara itu, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua pula menyifatkan tindakan polis mengadakan sekatan yang masih berterusan itu sebagai tidak bertanggung jawab serta menyusahkan rakyat.

"Ini satu perkara yang tidak masuk akal dan tidak bertanggung jawab," tegasnya.

Ahli Parlimen Batu itu melahirkan kehairanan terhadap pendirian dan tindakan pihak polis yang kelihatan sudah mula tersasar daripada peranan dan tanggung jawab mereka yang sebenar.

"Kerja polis bukan buat sekatan kerana ia tidak akan membantu apa-apa malah operasi tersebut akan melibatkan anggota polis yang ramai," ujarnya.

Dalam suasana indeks jenayah negara kian meningkat khususnya di Lembah Klang, beliau juga melahirkan kekesalan dengan sekatan tersebut yang telah memberi kesan buruk kepada ekonomi rakyat.

"Apa yang berlaku menyebabkan orang ramai marah kerana ia menyusahkan.

"Mereka tidak mempertimbangkan kesan apabila para peniaga terjejas pendapatannya, selain pengguna jalan raya yang mengejar urusan kerja masing-masing," katanya lagi.

Memburukkan lagi keadaan, pihak polis katanya mengambil keputusan menjalankan sekatan jalan raya dengan menggunakan khabar angin semata-mata.

"Itulah lambang tahap profesional dan integriti polis kita," ujarnya.

Semalam, menurut Khalid, sekatan jalan raya di 22 lokasi di seluruh negeri dibuat bagi membendung kecenderungan pihak tertentu mengadakan perhimpunan tanpa permit.

Selain mencegah jenayah, beliau berkata, sekatan jalan yang sentiasa berubah lokasi itu perlu bagi memastikan tidak ada elemen tidak sihat yang mengganggu ketenteraman dan keselamatan masyarakat khususnya di Selangor.

"Saya sedar sekatan jalan ini menimbulkan ketidakselesaan tetapi saya mohon maaf. Ini membabitkan keselamatan, jadi kita perlu beri perhatian," katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Beliau ditanya mengenai sekatan jalan raya menghala ibu negara yang menyebabkan kesesakan teruk sejak Isnin lalu.

Dilaporkan lebih 1,600 pegawai dan anggota membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan, Unit Anjing Pengesan, Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Berkuda dan Unit Udara dikerah mengawal semua pintu masuk ke ibu kota.

Khalid berkata, walaupun Anwar Ibrahim dibebaskan semalam, polis tidak menolak kemungkinan penyokongnya mungkin mengadakan perhimpunan dalam tempoh terdekat.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .