KOTA BHARU, 18 Sept - Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustapa Ali menjelaskan faham segala teguran Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadapnya baru-baru ini.
"Jadi apa sebab Tok Guru tegur saya itu saya fahamlah. Dan selepas itu saya ambil sikap tidak jawab Tok Guru. Saya sebagai anak, Tok Guru boleh panggil saya pada bila-bila masa sahaja.
"Jadi saya terus terang apabila keluar dalam Harakah kata Tok Guru tegur saya itu sebenarnya saya sudah menghantar mesej kepada Setiausaha Politiknya, Haji Annual Bakri Haron.
"Saya kata sampaikan terima kasih saya kepada Tok Guru. Jadi rasanya ada sesuatu yang Tok Guru tegur saya dan saya sendiri rasa tidak jelas. Jadi hari ini jelaslah," katanya kepada media selepas pertemuan dengan Menteri Kelantan di JKR 10, hari ini.
Baru-baru ini dalam wawancara ekslusif bersama Harakah, Mustafa yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat mendakwa pertukaran kerajaan pada 16 September tidak menjadi kenyataan.
Ekoran itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz menegur kenyataan tersebut kerana dianggap bertentangan dengan keputusan yang dicapai pada muktamar di Ipoh Ogos lalu.
Pesuruhjaya PAS Terengganu itu berkata, beliau tidak boleh hendak cerita apa dimaksudkan jelas itu.
"Sebagai anak saya kena mari. Jadi apa yang diterangkan Tok Guru saya fahamlah. Bagi saya sekarang sudah tidak ada apalah.
"Dan InsyaAllah seterusnya tidak ada apa. Saya puas hati dan faham apa hasil pertemuan tadi," katanya.
Menurutnya beliau dan Tok Guru sebagai ayah dan anak dan hubungan di antara ayah dengan anak.
"Hubungan ayah dengan anak kadang-kadang ada benda-benda kecil, sebab ayah rasa dia hendak tegur dia tegur.
"Dan sebagai anak apabila kena kena tegur kadang-kadang ada rasa hendak cakap atau lagu mana ke... itu sudah menjadi perkara biasa," ujarnya.
Beliau menjelaskan isu itu bermula ada hubung kait interview khasnya yang disiarkan Harakah sebelum ini.
"Jadi tidak berbangkit dengan mana-mana isu lain dan ia hanya ada kaitan dengan interview saya dalam Harakah sahaja. Saya hormat Tok Guru macam ayah saya," katanya.
Oleh itu beliau menolak andaian yang menyebut PAS dilanda krisis.
"Bukan krisis sebagaimana diperkatakan. Kita akui ada perbezaan pendapat itu dan bukan krisis. Tok Guru akan tegur semua," katanya.
Manakala Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, isu itu seumpama kiambang bertaut bagi merapatkan hubungan kepemimpinan PAS.