Ikuti Blog ini

Raja Petra Bercerita Tentang Musa Hassan - 1Malaysia Wajib Baca!!!




Translated into BM by Jason Cheng:

Umpan Musa Hassan tak mengena


Raja Petra Kamarudin


KPN, Musa Hassan sedang memulakan satu ekspedisi memancing. Dia menyuruh semua pegawainya untuk menimbangkan semua cara bagi menangkap saya. Masalahnya adalah ramai antara pegawainya yang menyalurkan maklumat kepada saya, dan bukan kepadanya. Jadi, saya tahu apa yang dilakukannya pada pagi ini, malah apa yang sedang dia lakukan ketika anda membaca artikel ini.

Musa Hassan menyangka bahawa para pegawainya memantau pergerakan saya. Sebenarnya, tak satu pun daripada pegawainya yang benar-benar tahu akan kedudukan saya. Sebaliknya, saya mempunyai orang dalam yang memantau pergerakannya dan membuat laporan harian kepada saya tentang segala aktiviti yang berlaku di tingkat atas ibu pejabat polis di Bukit Aman.

Pada mulanya, mereka fikir bahawa mereka dapat menggunakan anak saya bagi menjerat saya. Mereka memukul anak saya bagi memaksanya mengaku bersalah atas pelbagai pertuduhan jenayah. Tetapi apabila kes itu dibawa ke mahkamah, anak saya mendedahkan bahawa beliau telah dipukul dan dia menukar pengakuannya kepada tidak bersalah. Jadi, mereka tiada pilihan, selain membiarkan perbicaraan diteruskan. Nah, semasa perbicaraan itulah terungkapnya hakikat bahawa dakwaan terhadap anak saya adalah tidak benar.

Mereka kemudiannya menangguhkan perbicaraan itu dan menghantar anak saya kembali ke Penjara Sungai Buloh, di mana dia terus dibelasah. Akibatnya, anak saya naik gila, lalu terpaksa dihantar ke wad psikiatri. Dia kemudiannya diasingkan kerana dianggap sebagai terlalu berbahaya untuk dibenarkan bergaul dengan lain-lain tahanan.

Ya, mereka sangka bahawa mereka dapat menyembunyikan perkara ini daripada saya. Tetapi akhirnya, saya dapat tahu juga. Bagi saya, terpulanglah kepada pihak polis jika mereka ingin membunuh anak saya. Memanglah ini pernyataan yang saya kesali, namun anak saya adalah korban perjuangan. Sebenarnya, kita semua adalah korban perjuangan. Adakalanya, dalam perjuangan, nyawa perlu dikorbankan, sekalipun ia membabitkan nyawa anak kita sendiri.

Kita tentu pernah membaca suatu kisah semasa era Empayar Islam di Madinah, yang mana seorang ibu diberitahu bahawa anak lelaki terakhirnya telah syahid dalam peperangan. Dia menangis apabila diberitahu bahawa semua anak lelakinya sudah tiada. Tetapi dia sebenarnya menangis kerana dia tidak lagi mempunyai anak lelaki untuk dikorbankan demi perjuangan.

Inilah dasar kepercayaan kita. Perjuangan adalah lebih penting daripada segala-galanya. Adakah mereka fikir bahawa dengan membalun anak saya, maka masalah mereka akan selesai? Apa mereka fikir ia akan ‘menjinakkan’ saya? Tidak sekali-kali, malah ia akan menguatkan semangat saya kerana kini, bukan hanya perjuangan yang menjadi matlamat saya, malah ia melibatkan keadilan; darah mesti dibayar dengan darah jua.

Musa Hassan menyangka bahawa hanya kerana dia adalah pegawai tertinggi PDRM, maka itu juga bermakna bahawa dialah polis terpintar di Malaysia.

Anda nak tahu bagaimana cara polis yang pintar menjalankan siasatan? Meh saya beritahu rahsianya. Nak tahu apa yang dilakukan oleh Kevin Morais, Ketua Pendakwaraya SPRM semasa Krismas tempoh hari? Mesti anda tak tahu, bukan? Kalau anda nak tahu, dia merayakan Krismas dan Tahun Baru dengan kawan lelaki berbangsa Inggeris yang bertahun-tahun lebih tua daripadanya di Bromley, Kent, United Kingdom. Mesti anda tak tahu, bukan?

Musa Hassan, aku tahu bahawa kau mengugut para pegawai polis yang menandatangani Akuan Bersumpah yang menyabitkan hubungan kau dengan kongsi gelap Cina untuk mengubah kenyataan mereka, dan mengisytiharkan bahawa akuan berkanun mereka itu adalah pembohongan semata-mata.

Ah, dah terlambat pun. Akuan Bersumpah tu dibuat dua tahun yang lalu. Kalau nak suruh tarik balik, sepatutnya kau buat macam dengan Bala dulu… sehari selepas Akuan Bersumpah pertama keluar, Akuan Bersumpah kedua ditandatangani.

Adakah kau nak menafikan hal ni dan mengatakan bahawa RPK dan Malaysia Today berbohong? Jika ya, maka aku akan paparkan salinan semua dokumen-dokumen tu untuk membuktikan bahawa kaulah yang menipu. Bahkan kau dah digelar sebagai pembohong oleh Mahkamah Tinggi Sabah, dan dalam sedikit masa lagi, aku akan memaparkan bukti mengenai perkara ni dalam artikel yang lain.

Mereka yang berada di tampuk kekuasaan sedang berusaha meyakinkan kau untuk bersara dan seterusnya menjadi Duta Besar. Mungkin tulah yang sebaik-baiknya, memandangkan sebagai seorang anggota polis, kau memang tak boleh harap. Tapi kenapa Duta Besar? Mengapalah orang tak guna seperti si gatal yang suka meraba sering dilantik sebagai Duta Besar.

Dua negara yang sesuai untuk kau sebagai Duta Besar adalah Haiti ataupun Mongolia. Dah pasti orang Mongolia akan menyambut baik orang yang menghancurkan bukti pembunuhan Altantuya demi memastikan pembunuh sebenar terlepas dari hukuman.

Jadi, apakah rancangan kau sekarang, wahai Musa Hassan? Adakah kau akan mengemukakan 'bukti' bahawa aku memaparkan akuan-akuan berkanun palsu oleh pegawai polis, yakni supaya aku boleh didakwa di bawah Akta Multimedia? Kenapa kau tak buat begitu bagi akuan bersumpah aku sendiri? Mengapa aku disiasat atas sebab menandatangani akuan bersumpah palsu dan kemudiannya mendakwa aku melakukan Fitnah Jenayah, yang mana kebenaran akuan bersumpah tu tak material dalam dakwaan tersebut? Adakah kau takut bahawa kebenaran akan terungkap kalau kau mendakwa aku atas kesalahan menandatangani akuan bersumpah palsu?

Kau ingat aku tinggalkan Malaysia secara haram ataupun dengan menggunakan pasport palsu ataupun pasport asing. Kau tak pasti. Kau fikir aku memasuki negara lain dengan menggunakan pasport palsu ataupun pasport asing. Kau tak pasti. Malah kau tak tahu sama ada aku masih berada di negara ni ataupun tak kerana kau tak pun menemui sebarang bukti yang menunjukkan bahawa aku berada di luar negara.

Polis jenis apa kau ni? Kau naik angin kerana kononnya aku memperbodohkan kau, walhal kau memperbodohkan diri kau sendiri. Rancangan kau adalah berasaskan andaian, tetapi kau sendiri tak pasti sama ada andaian kau tu betul ataupun tak.

Aku tahu lebih banyak tentang aktiviti kau berbanding dengan pengetahuan kau tentang aktiviti aku. Sebenarnya, lebih ramai pegawai kau yang menyalurkan maklumat kepadaku daripada kepada kau. Kau cuma tahu meneka lokasi aku dan rancanganku, sedangkan aku tahu segala gerak geri kau. Malah aku tahu bahawa ketua kuncu kau, Kevin Morais, sedang berseronok dengan seorang lelaki lain di ketika kau sangka kau dah berjaya memerangkap Dato' Ramli Yusuff dan Rosli Dahlan.

Musa, kau ingat kau lagi pandai daripada akukah? Aku tahu kau mendakwa seorang pegawai polis India atas pembunuhan Kugan sedangkan sebenarnya, terdapat tiga pegawai polis yang melanyaknya hingga mati di Balai Polis Subang Jaya. Kenapa hanya seorang pegawai polis berbangsa India yang didakwa? Kenapa tak dakwa lagi dua orang pegawai polis Melayu yang juga terbabit? Adakah ia kerana kau takut kes tu mungkin berubah menjadi isu perkauman jika semua orang tahu bahawa dua pegawai polis berbangsa Melayu juga memukul Kugan sampai mati? Jadi, adakah jika pegawai polis India membunuh seorang India yang lain, maka kerajaan kekal ‘selamat’? Kau fikir kita orang semua dah lupa bahawa pada mulanya, 11 pegawai polis 'digantung kerja' dan diberi tugas pejabat dek kerana kes Kugan?

Musa Hassan, kau bukan taraf aku, malah jadi Pegawai Penyiasat pun kau tak layak. Sejak 11 tahun yang lalu, aku dah jumpa ramai daripada Pegawai Penyiasat kau. Jadi, memang aku tahu bahawa kau tak setaraf dengan dia orang. Terima sajalah tawaran untuk bersara dan kemudian dilantik sebagai Duta Besar ke Haiti ataupun Mongolia… aman sedikit PDRM. Pada hari bersejarah tu nanti, seluruh pasukan polis akan mengadakan Mardi Gras selama 30 hari. Percayalah cakap aku. Aku tahulah… sebab pegawai kau semuanya beri maklumat kepadaku.

TGNA : Kelantan Yang Aman Damai Bagi Semua Agama

Isu perkauman, agama, bahasa dan hak istimewa orang Melayu adalah antara isu sensitif untuk dibincangkan secara terbuka bagi masyarakat Malaysia. Justeru itu, selepas tercetusnya kontroversi isu penggunaan kalimah Allah kepada “the herald” milik gereja Kristian, maka keputusan mahkamah tinggi itu telah menyentuh nilai-nilai keharmonian beragama di Malaysia.

Sehubungan itu, pelbagai pihak kalangan pemimpin dan umat Islam telah memberi pandangan, malah sanggup berdemonstrasi mempertikaikan keputusan tersebut. Paling malang, muncul pula pihak yang bersifat anti-harmoni, telah melancarkan “serangan” ke bangunan gereja.

Alhamdulillah, kejadian buruk dan malang yang boleh mengeruh keharmonian tersebut tidak berlaku di Kelantan. Ini kerana, Kelantan sejak zaman-berzaman telah mengamalkan cara hidup berteraskan agama yang berjaya menerapkan persafahaman antara kaum dan agama. Ia ses8ngguhnya selari dengan ajaran al-Quran, sebagiamana firman Allah (Surah az-Zumar, ayat 38).




Maksud:
Dan demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri".

(Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, Surah Az-Zumar, juz 24:38)


Rakyat Kelantan, kini dalam rahmat dan berkat Allah kerana penerimaan yang jelas dan mutlak kepada keEsaan Allah SWT. Maka, kekalutan seperti cubaan membakar gereja tidak berlaku dan tidak terfikir berlaku di Kelantan. Walaupun kita tahu, di Kelantan sekarang juga terdapat berbilang kaum dan agama. Dalam keadaan Kelantan memiliki 563 buah masjid, 60 To’kong, 22 Wat, 19 Kuil dan 15 buah Gereja, kesemuanya bebas dan aman penuh harmoni menjalankan amal ibadat dan upacara keagamaan masing-maising. Sesungguhnya, Kelantan sejak ditadbir dengan dasar Membangun Bersama Islam telah berjaya mewujudkan perpaduan yang jitu semua lapisan rakyat di kampung, estet, pekan dan bandar.

Bagi kerajaan Negeri pula bersikap terbuka dan sedia berbincang melalui sebarang perundingan demi keharmonian hidup antara kaum. Kesemua cetusan rasa pihak Kerajaan Negeri sedia melayani dan berbincang. Pengalaman kami, telah acapkali kita berdialog, berunding dan duduk semeja bersama-sama pembesar agama dari agama Kristian, Buddha, dan Hindu. Ruang selesa kita bentangkan kepada mereka bagi mendirikan rumah ibadat atas tanah milik mereka, dan pihak Kerajaan Negeri turut menyediakan kemudahan prasarana. Ia adalah antara keselesaan yang teristimewa dinikmati di Kelantan. Maka kita tidak pernah terlibat dengan peristiwa meroboh mana-mana To’kong, Kuil, Wat hatta Gereja.

Apa yang penting, semua agama percaya kewujudan tuhan. Bagi Islam, perkataan Allah adalah nama yang Dia sendiri menamakannya, tidak manusia menamakannya. Ia adalah Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan yang menjadi tumpuan sekalian makhluk, Tuhan yang tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tiada sesiapa yang setara dengan denganNya.

Maka bagi agama lain, apa sahaja yang nak sebut mengenai nama tuhan, terserahlah atas hak agama masing-masing. Ia adalah antara nilai-nilai hormat menghormati mengikut kepercayaan masing-masing. Dan kepercayaan yang suci ialah beriman dengan kekuasaan Allah yang berkuasa di atas setiap ciptaan alam ini. -blog tok guru

Kerajaan Kelantan tidak rugi: Takiyuddin




KOTA BHARU - Kerajaan Negeri menafikan sebuah laporan blog yang menyatakan Kerajaan Negeri mengalami kerugian sebanyak RM50 juta akibat kesilapan yang dilakukan melibatkan urusan pembinaan Bazar Tok Guru.

Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Kerajaan Negeri mendapat keuntungan daripada projek tersebut kerana mendapat sebuah bangunan tanpa mengeluarkan sebarang modal.

“Kita tidak rugi apa-apa. Kerajaan hanya sediakan tapak untuk dibangunkan bersama di antara Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dengan sebuah syarikat, Sensa Timur Sdn Bhd untuk membina sebuah bazar. Sebagai timbal balas, syarikat itu memberikan aras satu dan dua yang bernilai RM40 juta kepada kita.

"Bagaimanapun pada mesyuarat Exco baru-baru ini, kita memutuskan untuk membeli aras bawah yang bernilai RM23 juta dan kesemua lot perniagaan terbabit akan dijual semula bagi mendapatkan kembali wang yang dikeluarkan itu,” katanya, semalam.

Kelmarin Nik Abdul Aziz mengakui Kerajaan Negeri melakukan kesilapan sehingga menanggung kerugian besar dalam projek embinaan Bazar Tok Guru.

Menurut blog Kickdefella, kerugian itu dikatakan melibatkan nilai sebanyak kira-kira RM50 juta iaitu RM30 juta hasil kehilangan dari pemberian tanah dan RM23 juta kerana menebus untuk mengambil balik tingkat bawah bazar tersebut.

Dalam pada itu, Takiyuddin meminta Menteri Besar supaya menjalankan siasatan berhubung kebocoran maklumat tersebut kerana bimbang akan menimbulkan isu yang tidak sepatutnya berlaku.

“Keputusan ini dibuat pada Rabu lepas dan minit mesyuaratnya pun belum disahkan lagi. Soalnya bagaimana maklumat ini boleh bocor dan memberikan maklumat yang salah," katanya.

Takiyuddin berkata, Kerajaan Negeri juga tidak pernah menetapkan harga tertentu untuk semua lot perniagaan tersebut bagi dijual kepada peniaga daripada kedua-dua pasar berkenaan.

“Kita akan menjual semula lot-lot perniagaan ini setelah ia dibahagikan dengan harga belian aras bawah yang bernilai RM23 juta itu.

“Saya juga ingin tegaskan bahawa tidak timbul isu Kerajaan Negeri rugi RM30 juta disebabkan nilai tanah itu kerana kita mendapat pulangan sebuah bangunan tanpa mengeluarkan sebarang modal,” katanya. SH

Peluang UMNO, BN Raih Sokongan Rakyat Tipis - Pensyarah

Peluang UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk meraih semula keyakinan rakyat di negeri Selangor amat tipis walaupun mereka melancarkan program Juara Rakyat sebagai pemikat untuk mengembalikan sokongan.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Nidzamuddin berkata, program berkenaan dilihat hanya mampu memberi keuntungan kepada golongan tertentu terutamanya peniaga dan usahawan.

“Program Juara Rakyat masih baru. Tidak semudah itu UMNO dan BN mampu meraih sokongan rakyat kerana hanya segelintir yang akan terpikat dengan kempen yang dijalankan melalui program ini.

“Malah program ini juga tidak membantu rakyat secara keseluruhan tetapi hanya membuka peluang keuntungan kepada golongan tertentu seperti peniaga dan usahawan yang menyertai program ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dr Ahmad berkata, UMNO juga seolah-olah tidak mahu ketinggalan apabila menganjurkan Juara Rakyat ini yang kelihatan sama seperti program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang dijalankan Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat.

“Apabila mereka lihat dasar begini (MES) berjaya menarik perhatian orang ramai, jadi mereka pun tidak mahu ketinggalan dan menganjurkan program yang mempunyai konsep hampir sama.

“Juara Rakyat digunakan untuk menunjukkan bahawa UMNO juga prihatin terhadap keadaan ekonomi dan pembangunan rakyat,” katanya.

Katanya, penerimaan rakyat terhadap program itu bergantung kepada sejauh mana peruntukan yang digunakan mampu menjaga kepentingan rakyat dan UMNO atau BN juga perlu mengambil pelbagai pendekatan lain untuk memenangi hati rakyat dari pelbagai sudut.

“Penerimaan rakyat bergantung kepada bagaimana pelaksanaan program ini dapat membantu mereka. Sekiranya BN mempunyai pakej yang baik, mungkin ia dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap mereka.

“Bagaimanapun, Juara Rakyat hanya menumpukan sudut ekonomi rakyat. Sehubungan itu, BN perlu menjalankan program menyeluruh yang betul-betul dapat menawan hati rakyat dari pelbagai sudut berbeza,” katanya. -SH

Bantah kesal cara polis surai himpunan.


KUALA LUMPUR, 17 Jan: Gabungan Mahasiswa Bantah E-Undi (Bantah), kesal tindakan pihak polis yang didakwa bertindak ganas dan kasar ketika menyuraikan himpunan mereka dihadapan bangunan pejabat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Putrajaya Jumaat lalu.

Selain mengecam tindakan itu, jurucakap Bantah, Mohd Ridzuan Othman turut mempersoal penangkapan yang dibuat ke atas beberapa pemimpin pelajar sedangkan dakwanya perhimpunan tersebut berlaku dengan aman.

(Gambar: Shazni Munir ditangkap dalam himpunan tersebut)


"Bantah mengecam tindakan ganas dan kasar pihak polis yang menangkap Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia(SMM), Sdr. Shazni Munir sedangkan kekecohan ditimbulkan oleh pihak polis sendiri.

"Adakah Malaysia sekarang sudah bertukar kepada negara kepolisan?," katanya dalam satu kenyataan.

Jumaat lalu, Bantah dengan beberapa pertubuhan mahasiswa termasuk Pro-Mahasiswa Nasional dan 50 mahasiswa lain telah hadir ke KPT bagi menyerahkan memorandum mendesak kementerian memansuhkan pelaksanaan sistem undian elektronik atau E-Undi pada Pilihan Raya Kampus (PRK) akan datang.

Kehadiran kumpulan mereka bagaimanapun bertukar kecoh apabila mereka berdepan arahan bersurai pihak polis yang membawa kepada penangkapan dua wakil pelajar dan seorang wartawan.

Kejadian itu bagaimanapun berlaku selepas lima orang pimpinan mahasiswa berkenaan berjaya menghartar memorundum tersebut.

Menurut Ridzuan, jika tekanan sebegitu dikenakan kepada mahasiswa, maka perundangan mana lagi yang wajar digunapakai memandangkan Artikel 10(1) (b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak berkumpul secara aman tanpa senjata dibenarkan.

"Mahasiswa sebagai aset negara diperlakukan semacam ‘penjenayah tegar’ sedangkan mahasiswa mempunyai hak untuk berhimpun.

"Bantah kesal dengan tindakan tidak profesional polis di dalam himpunan mahasiswa!" katanya lagi.

Jelasnya lagi, kejadian Jumaat lalu juga sewajarnya dipandang serius kerajaan Malaysia khususnya bagi memperbetul integriti pasukan polis agar tidak dipandang serong oleh masyarakat.

Mahasiswa Yang Berani

Khalid Nordin digesa dengar hasrat mahasiswa

Kerajaan pusat, terutamanya Kementerian Pengajian Tinggi digesa supaya bersikap terbuka dan sedia mendengar hasrat mahasiswa dengan memansuhkan sistem e-undi dalam pilihan raya kampus.

Gesaan itu dibuat oleh setiausaha publisiti DAP Selangor, Tiew Way Keng ketika mengulas perhimpunan kira-kira 50 mahasiswa di Putrajaya semalam untuk menyerahkan memorandum bantahan terhadap e-undi, kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin.

Semasa perhimpunan tersebut, dua pelajar dan seorang wartawan ditahan kerana didakwa tidak mengendahkan arahan polis supaya bersurai.

Mereka terdiri daripada Shazni Munir Mohd Ithnin dan Mohd Shahruddin Mohd Rosli yang merupakan aktivis Solidariti Mahasiswa Malaysia (SSM) dan wartawan Harakah, Zainulfaqar Yaacob.

Mohd Shahruddin dibebaskan sejurus selepas itu manakala Shazni Munir dan Zainulfaqar dibebaskan kira-kira jam 7 petang semalam setelah memberikan keterangan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Putrajaya Presint 7.

Mahasiswa yang berhimpun semalam adalah dari SMM, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Pro-Mahasiswa Nasional, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Kesatuan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Gerakan Demokratik Pelajar dan Belia Malaysia (Dema) dan Gabungan Mahasiswa Bantah E-voting (Bantah).

Tiew berkata, mereka hanya pergi ke Putrajaya untuk menyerahkan memorandum itu kepada menteri pengajian tinggi.

“Jadi, mereka hanyalah berhimpun secara aman sebelum mereka dapat bertemu dengan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di kementerian pengajian tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kumpulan mahasiswa tersebut bukan sahaja tidak dapat bertemu dengan menteri berkenaan tetapi dua mahasiswa itu ditahan, sebaik sahaja mereka bertemu dengan pegawai Kementerian Pengajian Tinggi.

Menurut Tiew, menurut Artikel 10(1) (b) Perlembagaan Persekutuan, hak berkumpul secara aman tanpa senjata adalah dibenarkan.

Beliau juga kecewa dengan penahanan wartawan Harakah itu kerana menurutnya ia menghalang Zainulfaqar daripada menjalankan tugasnya sebagai seorang wartawan.

“Menurut laporan, perhimpunan tersebut bersurai apabila pihak polis menghalang kumpulan mahasiswa daripada berkumpul di hadapan bangunan kementerian pengajian tinggi.

“Jadi, mengapakah pihak polis masih menyiasat dua orang mahasiswa yang ditahan itu di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana didakwa menghalang tugas penjawat awam,” soalnya.

Tiew juga menggesa kementerian pengajian tinggi supaya memansuhkan sistem e-undi dan memastikan pilihan raya kampus dijalankan dengan adil dan bersih.

Isu gereja: Hishammuddin, Musa wajar letak jawatan

KUALA LUMPUR : Tindakan polis membebaskan seorang individu yang mengaku di dalam Facebooknya melakukan pembakaran gereja tidak masuk akal. Hal ini kerana polis dilihat tidak melakukan penelitian yang rapi terlebih dahulu sedangkan suspek yang sudah dikenalpasti polis belum ditangkap.
"Setahu saya mana ada orang nak mengaku kata dia yang bakar. Bawa pertuduhan ke Mahkamah pun tak ada yang mengaku. Tiba-tiba polis boleh menangkap seseorang yang mengaku dalam facebook kata dia yang buat.
"Tiba-tiba Polis boleh menangkap sesorang yang mengaku dalam facebook kata dia yang buat. Kemudian Polis bebas bila budak tersebut menyatakan dia saja main-main," tegas Naib presiden PAS, Datuk haji Mahfuz dalam kenyataan media yang dihantar kepada Era Pakatan.
Bagi Mahfuz, ini menunjukkan polis terlalu lemah dan terlalu percaya apabila individu yang ditahan buat pengakuan dia yang melakukan pembakaran ke atas gereja.
Polis yang saya katakan di atas patutnya buatlah pertemuan berjumpa dengan budak tersebut di rumah dia, tanya dahulu baru buat keputusan nak tangkap atau tidak. Ini terus tangkap bawa ke balai Polis. Ini yang orang ramai persoalkan kebijaksanaan Polis kejap kena siasat dan teliti dulu, kejap terus tangkap," jelas Mahfuz
Bagi Mahfuz, yang jelas polis boleh di permain dan di tipu oleh sesorang.
Beliau sebagai berkata, sekiranya budak kolej swasta boleh menipu dan mempermainkan polis, sudah tentu Umno lebih dahsyat lagi menipu dan memperalatkan Polis untuk kepentingan politik UMNO yang tersepit.
"Jangan-jangan kes pembakaran gereja akan jadi macam kes enjin jet hilang. Setahun empat bulan Polis ambil masa untuk siasat baru dapat tangkap dan dakwa. Itu pun Sarjan dengan prebet cabok saja. Yang atas terlepas, yang lagi atas hilang terbang bersama enjin jet.
Semalam, dilaporkan seorang telah ditahan polis selepas dia mengaku dalam facebooknya melakukan pembakaran gereja. Dia kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selapas menyatakan dia saja buat pengakuan main-main.
KUALA LUMPUR, 17 Jan: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan wajar melepaskan jawatan atau diberhentikan berikutan kegagalan mengawal kejadian pembakaran dan pencemaran ke atas gereja yang sangat memalukan negara.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, keadaan itu terus memberikan imej yang buruk kepada negara kerana dilihat tidak mempunyai keupayaan menjamin keselamatan dan ketenteraman awam untuk rakyat.

Katanya, kegagalan itu perlu dipertanggungjawab ke atas Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Hishammuddin dan Musa yang jelas gagal untuk mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) dan NKRA kedua-dua institusi tersebut.

“Oleh itu, amat wajar Hishammuddin dan Musa melepaskan jawatan atau diberhentikan dari jawatan masing-masing atas kegagalan mencapai KPI masing-masing,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, apa guna bercakap dan bermesyuarat berkenaan KPI apabila KPI paling penting untuk KDN dan PDRM ialah menjaga keselamatan rakyat dan harta benda rakyat tidak dapat dijamin.

Ini, ujarnya dapat dilihat dengan kejadian terbaru di sebuah gereja di Kota Tinggi yang boleh mengakibatkan berlaku pertembungan antara kaum dan agama di kalangan rakyat Malaysia.

Katanya, kabinet Datuk Seri Mohd Najib Razak hanya bercakap besar tentang pencapaian KPI, walaupun sudah dua kali kabinet membincangkannya, tiba-tiba kewajipan asas kerajaan amnya dan KDN serta PDRM khasnya untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman awam serta menjaga harta benda rakyat tidak dapat dilakukan.

“Hishammuddin dan Musa kena berhenti atau diberhentikan daripada jawatan masing-masing dan Najib kena tunjuk pada rakyat ‘kaki bangku’ seperti kedua-duanya tidak ada tempat dalam kabinet dan kerajaan.

“Buang saja mereka, baru Najib boleh bercakap walk the talk,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .