Ikuti Blog ini

Mahkamah Sahkan Utusan Memang Akhbar Fitnah Dan Sampah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Utusan Malaysia bersalah memfitnah ahli parlimem Shah Alam, Khalid Samad dalam kenyataan yang disiarkan di muka akhbar berkenaan.

Hakim Dr Prasad Sandosham Abraham Prasad berkata plaintif (Khalid) telah berjaya membuktikan kenyataan itu - yang diambil dari blog ahli parlimen Bandar Baru Kulim, Zulkifli Nordin - adalah salah.

Hakim bagaimanapun menarik perhatian mengapa ahli parlimen Bandar Baru Kulim itu tidak dinamakan sebagai defendan.


Mahkamah menolak pelindungan bersyarat sebagai pembelaan dalam kes tersebut kerana hakim berkata kehidupan di Malaysia perlu mengambilkira sensitiviti semua kaum, tidak seperti undang-undang di Australia atau United Kingdom.

Dalam penghakiman lisannya, hakim berkata semua defendan bersalah memuat-turun artikel dari blog tersebut tanpa memeriksa kandungannya (berhubung sensitiviti).

Hakim Sandosham menetapkan 11 Oktober untuk mendengar penghujahan tentang gantirugi.

Beliau berkata, mahkamah mendapati menggelar seseorang sebagai Abu Jahal dan sebagai kafir adalah fitnah.

Dalam saman yang difailkan tahun lalu, Khalid (kiri), dari PAS, menamakan Utusan Malaysia dan ketua pengarang kumpulan
Mingguan Malaysia, Datuk Aziz Ishak dan penerbit Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia sebagai defendan.

Ahli parlimen Shah Alam itu mendakwa bahawa pada 11 September 2009, Aziz - selaku ketua pengarang kumpulan kedua-dua akhbar tersebut - dengan niat jahat, membenarkan penerbitan dan pencetakan perkataan fitnah terhadapnya di muka depan akhbar berkenaan.

Beliau juga mendakwa bahawa artikel bertajuk 'Zulkifli bidas Pak Janggut' secara langsung atau tidak langsung merujuk kepadanya walaupun namanya tidak disebut.

Video : Penjelasan perlaksanaan Hudud dalam Islam


Ugut Mat Sabu: PAS Mahu Polis Siasat Perkasa (UMNO Juga)

PAS mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kumpulan pendesak Melayu, Perkasa ekoran ancaman terbuka mereka untuk 'menyerang' Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Sambil menyifatkan ancaman itu boleh mencetus ketegangan, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata pihak polis sepatutnya sudah boleh memanggil Perkasa.

"Sepatutnya pihak polis boleh mengambil tindakan terhadap Perkasa yang membuat ancaman secara terbuka.

"Mereka boleh cakap apa yang mereka nak cakap, tetapi jangan pulak sampai bertindak menghalang hak orang lain berceramah," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas amaran Perkasa Negeri Sembilan bahawa mereka akan menganjurkan lebih banyak protes ke atas Mohamad Sabu jika timbalan presiden PAS itu berani menjejakkan kakinya di negeri berkenaan untuk menyampaikan ceramah.

Amaran itu dilontarkan ketuanya Mohd Noor Nordin Abdullah yang dengan angkuh berkata beliau sendiri akan mengetuai protes terhadap Mohamad, jika timbalan presiden PAS itu enggan memohon maaf berhubung kenyataannya mengenai peristiwa Bukit Kepong.

Sabtu lalu satu pergaduhan tercetus pada ceramah Mat Sabu di Ampangan, Seremban.

Pada kejadian itu dua penyokong PAS cedera selepas bergelut dengan ahli Perkasa yang menyerbu pentas ceramah ketika timbalan presiden PAS sedang berucap. -Hrkh





SAH!!! UMNO berlindung dibalik PERKASAM serang ceramah Mat Sabu

PAS mahu impak 'lebih kuat' di Pulau Pinang

Tidak ramai yang sedar bahawa PAS bermula di Pulau Pinang, - dan kerana itu, parti Islam itu memilih Kepala Batas untuk menyambut ulangtahunnya ke-60, kata Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusuf Rawa.

NONEKatanya, majlis itu adalah "bersejarah" kerana parti tersebut berhasrat memberi impak lebih besar di negeri tersebut, walaupun ia kini hanya mempunyai dua kerusi - satu kerusi parlimen dan satu kerusi negeri, Permatang Pasir.

Beliau bagaimanapun tidak komited sama ada parti itu akan bertanding lebih banyak kerusi di Pulau Pinang dalam pilihan raya umum akan datang, yang boleh diadakan seawal November atau tahun depan.

Mujahid (kanan) yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS berkata, kongres tersebut akan memberi tumpuan kepada isu dan cabaran yang dihadapi parti itu selama ini ketika ia berdepan dengan usaha "penjenamaan semula" supaya boleh diterima semua rakyat Malaysia.

"Adalah penting rakyat Pulau Pinang tahu sejarah PAS dan bagaimana parti itu bermula di negeri ini," katanya kepada Malaysiakini, ketika ditemui di Seberang Perai, malam tadi.

Sepanjang termpoh tersebut, tambahnya, PAS menjadi lebih kuat, tidak seperti parti-parti politik lain yang akhirnya lenyap, tetapi PAS berjaya berkembang dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia. -M'kini

Rumusan Isu Mat Indera: Akhirnya Kebenaran Di Pihak Mat Sabu.

"Isu Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan mungkin sampai ke penghujungnya, dan mungkin juga tidak. Di dalam media isunya kelihatan sudah berlalu, diambil alih oleh isu hudud. Namun di puncak menara gading, isu ini mungkin terus diperdebatkan sehingga sejarah tentang kemerdekaan ditafsir dan ditulis semula suatu hari nanti.

Profesor Zainal Kling (ZK) dan Profesor Khoo Kay Kim(KKK) telah menelanjangi keintelektualan mereka sendiri. Suatu ketika, KKK bagai seorang mahaguru yang mengarahkan Mat Sabu hadir ke kuliah sejarah di pejabatnya. Nampak terbetik keangkuhan seorang mahaguru apabila berhadapan seorang yang dikatakan ‘kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga’. Isu Mat Indera ini berlanjutan hingga menelurkan polemik baru iaitu, Tanah Melayu tidak pernah dijajah.

Namun apabila bangkit professor dan cendikiawan sejarah menolak hujah ZK dan KKK, mereka berdua ini bagai mati kuku apabila bertemua buku dengan ruas. Tidak pula mereka berdua berani menyanggah keilmuan pakar sejarah, Prof. Dato’ Mohamad Abu Bakar, pensyarah Jabatan Sejarah UM, Dr. Kamal Ahmad Ariffin Muhd Rus dan beberapa orang lagi cendekiawan sejarah yang mempunyai pandangan yang kontradik dengan mereka . Apatah lagi, pemimpin UMNO sendiri tidak bersedia untuk menyokong mereka tentang isu Tanah Melayu tidak pernah dijajah. Agaknya mereka tersedar bahawa UMNO yang bermata juling sedang menjeling mereka. Lantas, mereka mendiamkan diri sebagai tanda memahami maksud jelingan itu.

Jadi rumusannya ialah, dakwaan Mat Sabu bahawa Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan belum dapat dipatahkan oleh oponennya. Selama mana hujah Mat Sabu tidak dipatahkan selagi itulah kata-kata Mat Sabu adalah benar, meskipun sejarah belum ditulis semula secara bersurat. Apa yang benarnya di pihak Mat Sabu?

Pertama, Mat Indera ialah salah seorang pejuang kemerdekaan. Beliau menentang Inggeris, bukan menentang bangsa dan tanahairnya. Wiralah itu namanya apabila sanggup berkorban nyawa demi membebaskan bangsa dan tanah airnya daripada pihak penjajah yang merompak hasil mahsul dan kedaulatan tanah air. Beliau mati digantung. Rakan yang mengkhianatnya, Bajuri, hidup senang-lenang dengan habuan $75 000.00 oleh British kerana memberkas Mat Indera. Sarjan ini kemudiannya menjadi Ketua UMNO Pontian. Kalau Mat Indera wira, tak kan Ketua Pemuda UMNO itu juga wira. Apa filem ini? Habis kalau bukan wira, itulah manusia normal panggil pengkhianat. Pengarah filem yang abnormal sahaja sanggup mengangkat pengkhianat menjadi wira.

Kedua, polis yang berkhidmat pada tahun 1950 ialah polis penjajah Inggeris. Polis ini tiada kena-mengena dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terbentuk selepas merdeka atau penubuhan Malaysia. Apa yang PDRM nak sakit hatinyanya? Polis penjajah Inggeris adalah talibarut Inggeris walaupun berbangsa Melayu. Mereka sanggup bekerja untuk Inggeris demi sesuap nasi meskipun terpaksa membunuh bangsa dan ulama sendiri. Merekalah yang menangkap dan sanggup menggantung mayat ulama pejuang, Tok Janggut. Tok Janggut tidak dipandang hina oleh generasi kini. Yang dipandang hina ialah segelintir bangsa yang sanggup mengkhinati kawan dan bangsanya sendiri.

Ketiga, antara hakikat dan teknikal, yang diterima secara rasmi dan kolektif oleh negara kita ialah Tanah Melayu pernah dijajah. Ini tidak perlu dipertikaikan lagi oleh ZK dan KKK. Apabila ZK dan KKK mengusarkan masyarakat dengan dakwaan lekeh dan leceh mereka, sewajarnya bangun rakyat membuat 1 000 laporan polis terhadap keceluparan mereka. Itupun kalau benar justifikasi Ketua Polis Pulau Pinang yang berkata bahawa Mat Sabu didakwa kerana terlalu banyak laporan polis. Maka yang difahami ialah Mat Sabu kena dakwa bukan kerana lontaran isunya tetapi kerana laporan polis terlalu banyak . Macam ada kebangangan dalam justifikasi ini. Agak-agak baru ada 10 laporan polis terhadap ZK. Jadi PAS/PR/NGO setiap cawangan (bukan setiap bahagian), perlu buat laporan polis kalau nak cukup 1000 laporan demi memenuhi kebangangan itu. Biarlah Mat Sabu kena dakwa asalkan anak Kling dan KKK juga didakwa. Baru adil. Namun yang sebaiknya ialah gugurkan tuduhan terhadap Mat Sabu kerana kebangangan justifikasi Ayub Yaakob tadi.

Kesimpulannya, kita wajar mengucapkan ribuan terima kasih kepada Utusan Malaysia dan pemimpin UMNO kerana telah mengangkat Mat Sabu sebagai wira. Utusan Malaysia dengan UMNO tak lain tak bukan sebagai contoh sokong membawa rebah. Insya-Allah kedua-duanya akan rebah selepas PRU13 nanti.

http://sembur.blogspot.com

Iktibar: Ambil Nama & Nombor Polis Yang Menahan Anda

Tak catat nama, nombor punca gagal saman polis

Seramai 57 ahli PAS gagal mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana tidak mencatatkan nama dan nombor keahlian polis yang menangkap mereka dalam himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Kegagalan mereka berbuat demikian kerana sebahagian daripada polis yang menangkap mereka itu hanya meletakkan nama, tetapi tidak meletakkan nombor keahlian polis pada uniform yang dipakai oleh mereka ketika melakukan tangkapan terhadap orang awam pada hari itu.

Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, Asmuni Awi (gambar) menjelaskan, selain itu, sesetengah daripada mereka sememangnya terlupa untuk mencatat nama dan nombor keahlian polis yang menangkap mereka pada hari itu disebabkan tidak terfikir, akibat kekalutan, tertekan atau terlalu hairan dengan tangkapan yang dilakukan ke atas mereka.

Menurut beliau, disebabkan kegagalan itu, pihaknya turut gagal membantu mereka memfailkan saman terhadap kerajaan dan pihak polis berhubung kejadian itu, walaupun di dalam senarainya terdapat 60 orang ahli PAS yang berhak berbuat demikian.

Katanya, sehingga kini, hanya 3 orang sahaja peserta himpunan aman Bersih 2.0 yang ditangkap polis yang boleh dibantu oleh pihaknya untuk menyaman kerajaan dan PDRM kerana berjaya mencatatkan nama dan nombor keahlian polis yang menangkap mereka pada himpunan itu.

"Saman pertama yang telah difailkan menerusi syarikat guaman saya dilakukan oleh Razman Zakaria, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Ogos lalu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Manakala saman kedua dan ketiga, menurut beliau, akan dilakukan oleh kepimpinan PKR Cabang Tambun, dengan satu daripadanya Cina dan satu lagi India pada minggu depan.

Katanya, kegagalan ahli-ahli PAS mencatatkan nama dan nombor keahlian polis yang menangkap mereka pada himpunan tersebut tidak seharusnya berlaku kerana seminggu sebelum himpunan itu dilangsungkan telah pun diadakan taklimat mengenainya.

"Taklimat itu diadakan oleh saya sendiri di Markas PAS Bukit Gantang, Perak dengan dihadiri ratusan ahli-ahli PAS khususnya yang tinggal di Perak," jelasnya.

Sungguhpun begitu, beliau tidak menyalahkan sepenuhnya ke atas ahli-ahli PAS terbabit ekoran kegagalan itu kerana mereka mungkin terlupa berbuat demikian ekoran kekalutan yang berlaku.

"Tambahan pula, pada uniform yang dipakai oleh sebahagian polis yang menangkap mereka itu hanya terdapat namanya sahaja tetapi tidak terdapat nombornya.

"Anggota-anggota polis terbabit seolah-olah telah diberikan taklimat supaya berbuat begitu pada hari itu, walaupun sepatutnya setiap uniform yang dipakai oleh setiap anggota polis mestilah lengkap dengan catatan nama dan nombor pada baju masing-masing," katanya.

Selain itu, tegasnya, sebahagian anggota polis terbabit sememangnya tidak memakai uniform, tetapi hanya memakai jaket, manakala sebahagiannya lagi menutupi uniform mereka dengan jaket di luarnya sehingga langsung tidak terdapat catatan nama dan nombor keahliannya.


Sebahagian tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis pada hari itu, jelasnya, bukannya dilakukan pada himpunan tersebut, malah sebahagian daripadanya dilakukan di luar himpunan berkenaan.

"Orang awam atau sesiapa sahaja yang hendak ditangkap oleh pihak polis tidak perlu takut untuk mencatatkan nama dan nombor keahlian polis yang menangkap mereka, malah untuk tujuan itu, mereka juga berhak meminta angota polis terbabit menunjukkan autoriti kadnya kepada mereka untuk pengesahan dan memudahkan mereka mencatatkan nama dan nombor polis terbabit.

"Anggota polis itu pula tidak boleh keberatan untuk menunjukkan autoriti kadnya kepada sesiapa sahaja yang hendak ditangkapnya itu kerana individu itu sendiri sememangnya berhak berbuat demikian.


"Itulah juga yang telah dilakukan oleh dua kepimpinan PKR Cabang Tambun yang akan memfailnya saman mereka pada minggu depan. Itulah sebabnya mereka berjaya mencatatkan nama dan nombor polis terbabit dengan betul sehingga boleh diambil tindakan undang-undang ke atas polis itu," katanya.

Beliau yang cukup kesal dengan kejadian itu menasihatkan setiap ahli PAS supaya mengambil iktibar terhadap kegagalan mereka mencatatkan nama dan nombor keahlian polis yang menangkap mereka pada setiap himpunan yang diadakan pada masa akan datang.

Katanya, catatan nama dan nombor polis itu amat penting kerana jika tidak mempunyai catatan itu, tindakan saman tidak boleh dilakukan kerana keperluan itu telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. -Hrkh

Pendirian rasmi PAS mengenai hudud


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 30 Sept: Selaras dengan pendirian Pakatan Rakyat yang mengiktiraf Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu, PAS berpendirian kedua-dua negeri itu berhak memperkanunkan undang-undang tersebut.

Dalam satu kenyataan menyatakan pendirian rasmi parti itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persoalan kini, sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran untuk melaksanakannya.

Menurutnya, perbezaan pandangan dengan DAP khususnya dalam soal penafsiran "bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan" adalah sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya.

"PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan," katanya.

Berikut adalah kenyataan rasmi berhubung pendirian PAS:

1. Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa aktiviti dan perjuangan PAS adalah dalam kerangka demokrasi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan jaminan kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda masing-masing, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

2. PAS juga ingin menegaskan komitmen untuk melaksanakan perubahan menyeluruh dalam negara kita ini, menerusi muafakat rakyat yang telah dipersetujui dalam penegasan bersama yang disebutkan dalam Platfom Dasar Bersama Pakatan Rakyat (Pakatan Rakyat Common Policy Platform) dan Dokumen Buku Jingga.

3. PAS juga amat berpegang dan memperjuangkan prinsip negara berkebajikan yang menuntut dilaksanakan keadilan Islam untuk semua dalam masyarakat, dan menolak sekeras-kerasnya tindakan yang berunsur kezaliman terhadap mana-mana rakyat dalam semua tindakannya samada di peringkat dasar parti atau kerajaan yang dipimpin oleh PAS.

4. Perbezaan pandangan DAP terhadap Enakmen Jenayah Syariah adalah berpusat di atas penafsiran bahawa ianya bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Persoalan penafsiran ini adalah suatu isu yang sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya. PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan.

5. Sehubungan dengan perakuan bahawa Enakmen Jenayah Syariah II (1993) Kelantan dan Enakmen Jenayah Syariah (2003) Terengganu yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing, maka PAS melihat kerajaan negeri mempunyai hak bagi memperkanunkan undang-undang tersebut. Persoalan sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran merupakan perkara kedua yang perlu diselesaikan melalui proses yang sesuai dan munasabah. Rakyat Kelantan khususnya memilih PAS atas dasar Islam yang di bawanya, kerana itu mereka seharusnya diberi hak bagi mengamalkan ajaran mereka. Sebarang usaha menghalang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi yang dipersetujui bersama. Kini terpulang kepada kerajaan Kelantan bagi membawa Enakmen berkenaan di peringkat yang seterusnya.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS
30 September 2011

Yayasan Dakwah Islam Sendiri Menentang Hudud!!

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Aziz Jamaludin Mhd Tahir berkata, masyarakat Islam hanya membantah hukum hudud ciptaan mereka yang gila kuasa memerintah, bukannya “menentang hukum hudud yang sebenar.”

“Setiap orang Islam tidak menentang hukum hudud yang sebenar, tetapi yang ditentang sekarang ialah hukum hudud ciptaan mereka yang gila kuasa untuk memerintah,” kata beliau (gambar) yang merujuk kepada usaha PAS sejak hampir dua dekad lalu.

Dalam menginterpretasikan hukum hudud, katanya, “kita sebenarnya harus memisahkan antara hukum hudud yang digariskan oleh al-Quran dan hadis, dengan hukum hudud yang digubal oleh yang mempunyai kepentingan politik semata-mata.”

Astarghfirullah...Yayasan Dakwah Islam sendiri menentang hudud!! Orang Islam sendiri yang tak faham, bagaimana nak memahamkan yang bukan Islam. Juga ini sebabnya orang politik berada dalam Yayasan Dakwah, lingkup!! Ada cop UMNO kat dahi dia laa!!!

Calon Muslimat dan DUN sasaran bertanding sudah siap sedia

KUALA TERENGGANU - Dewan Muslimat PAS Pusat (DMP) telah menggerakkan sasaran meletakkan sekurang-kurangnya satu calon bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu calon peringkat Parlimen disetiap negeri dalam pilihanraya umum ke-13 akan datang.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof berkata demikian ketika ditemui media selepas program Pantau Muslimat peringkat negeri Terengganu di Markaz Tarbiah PAS di Kuala Ibai, dekat sini pada Khamis 29 September.

"Kita diperingkat Dewan Muslimat Pusat memang menggerakkan (sasaran Muslimat bertanding) sekurang-kurangnya satu kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen, dan kita mengemukakan cadangan ini untuk diperbincangkan di peringkat negeri,

"(ini adalah) sebab kita melihat hampir keseluruhan negeri 50% dan di Terengganu hampir 52% adalah pengundi wanita,"jelasnya.

Menurutnya, cadangan tersebut diutarakan berdasarkan prestasi dan kemampuan wakil-wakil rakyat muslimat masakini di negeri-negeri Kelantan, Kedah dan Selangor.

Mengulas perkara yang sama, Timbalannya Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, DMP telah pun menyenaraikan nama-nama calon bagi Muslimat yang akan bertanding dan DUN-DUN sasaran.

Khusus bagi negeri Terengganu, Dr. Mariah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja merayu kepada kepimpinan PAS negeri Terengganu supaya diperuntukkan satu kerusi untuk Muslimat.

"pihak pimpinan tertinggi (PAS Pusat) tidak ada masalah, tapi persoalan kerusi ini biasalah, ia bergantung kepada sikap-sikap pimpinan Kawsan, pimpinan perhubungan negeri,

"di negeri terengganu ini, kami minta dan kami memang merayu sesungguh-sungguhnya satu kerusi DUN diberi kepada muslimat,"katanya.

Apabila ditanya, adakan pihak DMP telah ada calon Muslimat dan DUN sasaran yang akan ditandingi di negeri Terengganu, kedua-dua pimpinan tertinggi muslimat berkata sudah ada.

"Ada dah (sasaran kerusi yang akan ditandingi) ada dah.....ada dah (calon yang akan bertanding) sudah ada senarai nama (calon) dan sudah ada senarai (DUN) semua negeri kami sudah ada senarai,"tegasnya. -BO


Statistik PDRM Buktikan Jenayah Johor Lebih Tinggi Dari Pulau Pinang


Media massa kawalan pemerintah UMNO-Barisan Nasional menjadi haru-biru apabila Lim Guan Eng, selaku Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa menghina negeri Johor, negeri kelahirannya, dalam satu wawancara radio Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).

Laporan itu yang dibuat oleh agensi berita nasional Bernama dan disebarkan oleh media kawalan BN rupa-rupanya silap dan berbentuk berita palsu yang jelas bermotif politik.

Walau pun pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang menuntut permohonan maaf, media kawalan UMNO-BN begitu bongkak enggan berbuat demikian walau pun fitnah itu telah luas tersebar.

Untuk menutup malu atas perbuatan fitnah mereka, dicungkil pula sumber kononnya “penghinaan” terhadap Johor berhubung kadar jenayah negeri itu dikatakan dibuat oleh Guan Eng sewaktu berada di Singapura.

Sama ada benar atau tuduhan itu, ia mungkin akan dijelaskan kepada umum tidak lama lagi.

Tetapi isu yang lebih utama, sama ada benar atau tidak tuduhan media kawalan UMNO-BN itu, ialah adakah bercakap benar tentang sesuatu keadaan itu dianggap satu penghinaan?

Pelabur mahu diyakinkan

Memang benar Guan Eng selaku Ketua Menteri melawat ke Singapura dalam usaha menarik pelaburan ke Pulau Pinang khususnya dan Malaysia amnya. Bukan sahaja Singapura, malah banyak negara telah dan sedang dilawatinya untuk membantu memulihkan ekonomi negara yang agak malap sekarang.

Lawatan Lim Guan Eng itu adalah atas dasar lawatan untuk menarik pelabur Singapura datang melabur /berdagang di Pulau Pinang. Ini bukan jemputan ke Pulau Pinang untuk sekadar merasa semangkok cendol atau sepinggan char kue tiaw.

Ini jemputan yang akan membawa masuk wang, kepakaran dan teknologi yang ianya berjumlah berjuta-juta ringgit, malah billion ringgit. Pelaburan ini akan memberi impak kepada ekonomi negeri khususnya anak watan yang akan berkerja di situ. Laba ini untuk seluruh rakyat Pulau Pinang.

Justeru, modal Lim Guan Eng untuk meyakinkan pelabur datang ke Pulau Pinang harus ‘besar’ dan ‘convincing’ dengan jaminan keselesaan dan keselamatan pelaburan itu. Ini termasuklah dengan kestabilan politik di Pulau Pinang dan ketelusan pentadbiran kerajaan negeri yang terkenal menerusi urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT).

Maka tidak hairanlah jika mana-mana Ketua Menteri, Menteri Besar atau Menteri termasuk Perdana Menteri akan bersungguh-sungguh meyakinkan bakal pelabur untuk menanam modal di negara kita.

Statistik jenayah

Jika benar Guan Eng dikatakan membandingkan kadar jenayah yang berlaku di negeri seberang Singapura, iaitu Johor dengan Pulau Pinang, ia hanya sekadar perbandingan statistik rasmi yang disediakan oleh pihak kerajaan Malaysia.

Bukankah statistik dan data yang ada dikeluarkan sendiri oleh Polis Diraja Malaysia? Ini bukan laporan statistik yang dibuat oleh badan asing tanpa tauliah berbanding PDRM. Sila semak data statistik itu sendiri yang tertera di laman web PDRM.

Malah, laporan-laporan akhbar kawalan UMNO-BN sendiri telah menyatakan bahawa kes-kes jenayah yang dicatatkan di Johor pada tahun lalu adalah 20,648 kes berbanding 12,161 kes di Pulau Pinang.

Adakah menjadi kesalahan bagi negeri-negeri seperti Perlis yang mempunyai kadar jenayah paling rendah untuk menggunakan statistik itu sebagai daya penarik untuk pelabur datang ke negeri Indera Kayangan?

Lagi pula, pelabur bukannya jenis manusia yang tidak berakal. Walau pun Selangor dan Kuala Lumpur mempunyai kadar jenayah yang paling tinggi (kerana jumlah penduduk yang besar), pelaburan tetap tinggi di Lembah Klang kerana banyak faktor-faktor lain turut diambil kira oleh usahawan antarabangsa seperti infrastruktur, kemudahan asas dan lain-lain.

Jadi, menyatakan apa yang benar bukan soal menghina mana-mana negeri, termasuk Johor atau pihak polis. Malah kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang sendiri telah memuji pihak polis yang berjaya mengurangkan kadar jenayah di pulau mutiara itu.

Malah, polis Johor sendiri tidak perlu emosi atau kecewa. Mereka pegawai yang profesional dan mereka telah berusaha gigih menurunkan kadar jenayah. Daripada beremosi, adalah lebih baik mereka terus menggembleng tenaga dalam menurunkan kadar jenayah di negeri Johor. Itu lebih praktis dan baik demi kesejahteraan rakyat Johor.

Siapa burukkan siapa?

Kedua, istilah “memburuk-burukkan” negeri Johor digunakan oleh media massa milik UMNO-BN hanya bertujuan memomokkan Guan Eng yang mereka lihat mewakili kejayaan Pakatan Rakyat. Jelas ia bermotif politik.

Sudah menjadi lumrah, jika fakta yang baik, akan dikenal dan mengharum wangi baunya. Jika buruk, tidak perlu kita heboh-hebohkan kerana, bau busuknya itu tetap akan terhidu oleh jiran kita.

Menuduh Guan Eng menghina Johor adalah perbuatan terdesak. Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP dilahirkan di Johor dan dibesarkan di banyak tempat termasuk di Batu Pahat dan di Melaka. Kehidupannya perit kerana menerima tempias perjuangan politik bapanya Lim Kit Siang yang sentiasa dijadikan mangsa oleh kerajaan BN.

Guan Eng sepatutnya menjadi kebanggaan Johor kerana beliau adalah anak jati Johor yang diterima baik oleh warga Pulau Pinang untuk menjadi Ketua Menteri mereka. Tidak mungkin beliau sanggup menghina negeri kelahirannya sendiri.

Karenah Mahathir dan UMNO-BN

Malah, dalam soal hina-menghina ini, bukankah pemimpin agung UMNO Tun Mahathir Mohamad terkenal dengan penghinaannya terhadap Kelantan sejak PAS mengambil alih kerajaan negeri lebih 20 tahun lalu?

Adakah orang-orang UMNO sudah lupa dengan sindiran yang menghina kepada isu ‘janggut nabi’ suatu masa dahulu? Atau, semua juak-juak UMNO sudah lupa bagaimana Mahathir menghina Raja-Raja Melayu?

Isu-isu yang sekadar untuk menimbulkan emosi orang-orang Melayu khususnya, tidak perlu diambil serius. Apa yang penting, kita jelaskan kepada khalayak, apakah dasar kita yang sebenar. Jangan tertipu dengan mainan sentimen UMNO-BN.

Dalam soal kritik-mengkritik, ia adalah amalan biasa dalam demokrasi yang matang. Jika kritikan dan teguran dianggap penghinaan, maka gelap masa depan anak-anak Malaysia yang akan menjadi terlampau manja sehingga sentiasa mahu menangis apabila ditegur sedikit.

Permainan kotor UMNO-BN boleh memandomkan generasi akan datang. Sekejap main isu hudud, sekejap main isu Ketuanan Melayu, sekejap main isu Perlembagaan, lepas itu main isu komunis. Hakikatnya, semua isu-isu ini tidak pernah dijelaskan oleh UMNO secara lengkap untuk memberi kefahaman rakyat.

UMNO-BN amat mengharapkan rakyat gelap tanpa ilmu yang cukup di dada. Di padang yang tiada helang, maka belalang menjadi raja. – Roketkini.com
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .