Ikuti Blog ini

Anwar disahkan Ahli Parlimen penggal kelima, mampu capai sasaran 16 Sept?


Dikemas kini, 1730) KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh buat penggal kelima di Dewan Rakyat pagi ini selepas kira-kira 35 jam diumumkan memenangi kerusi tersebut.

Di sebalik upacara angkat sumpah itu muncul spekulasi baru 40 hingga 50 Ahli Parlimen akan melompat parti dalam waktu terdekat.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua tidak mengulas lanjut melainkan berkata, "kami akan mengumumkan bila tiba masanya."

Bercakap kepada media selepas menghabiskan masa kira-kira 10 minit di Dewan Rakyat, Anwar berkata beliau merasa terharu dapat kembali ke Parlimen selepas 10 tahun.

"Selepas segala yang saya harungi sepanjang tempoh itu, sekarang saya merasa terharu dapat kembali (ke Dewan Rakyat), ia adalah hak saya," katanya.

Kata Anwar, beliau gembira berada semula di Parlimen atas kepercayaan yang diberikan oleh penduduk kawasan Permatang Pauh.

"Perdana Menteri telah kehilangan mandat negara," kata Anwar sambil menggesa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan "kesemua kroni mereka" harus dikeluarkan.

Galeri gambar upacara angkat sumpah Anwar di Parlimen


Jadi tumpuan....ahli Parlimen Permatang Pauh yang baru, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Parlimen pada jam 9:50 pagi bagi menghadiri upacara angkat sumpah. Kehadiran beliau menjadi tumpuan pemberita dalam dan laur negara.


Anwar mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh pada jam 10:03 pagi di depan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.


Anwar menandatangani surat aku janji selepas mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh yang baru.


Anwar tersenyum kepada pemberita selepas selesai mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh. Penasihat PKR itu mengesahkan tempatnya di Dewan Rakyat apabila memangi pilihan raya kecil Permatang Pauh dengan majoriti 15,671 undi.


Anwar keluar dari Dewan Rakyat menuju ke Lobi Parlimen untuk mengadakan sidang media. Turut mengiringi beliau adalah, Pengarah Strategi Pilihanraya PKR, Saifuddin Nasution. Ismail.


Jadi tumpuan ramai...Anwar menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa ketika mengadakan sidang akhbar selepas upacara angkat sumpah di Dewan Rakyat hari ini.


Tunggu dulu.....Mungkin itu yang diperkatakan Anwar kepada wartawan dalam sidang akhbarnya di lobi Parlimen hari ini.


Anwar ditemani isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersama anak mereka, Nurul Izzah Anwar yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai dan Nurul Nuha. Turut serta bersama beliau, Ketua Penerangan, Tian Chua dan Saifuddin Nasution Ismail.

PAS yang sentiasa releven!

Pilihanraya sudah,menangpun sudah.Tumpuan rakyat kini sudah tentu kepada Dato' Seri Anwar dengan agenda perubahannya.Dengan kepulangannya ke Parlimen yang direstui rakyat barangkali banyak isu reformasi yang diperjuangkan diperingkat awal kebangkitan rakyat dapat di ketengahkan kini.Pas dengan lebih 3000 ahlinya yang terlibat secara langsung sudah tentu berpuashati dengan kemenangan rakyat ini.

Cuma ramai yang bertanya dengan saya terutama ahli UMNO mengapa Pas begitu beria-ia berkempen dan berkampung bagi mengusahakan kemenangan kepada PKR ini.Saya sebagai ahli biasa sudah tentu tidak layak untuk menjawab pertanyaan `sinis' sebegini cuma sebagai ahli menjawablah juga sedikit sebanyak persoalan sahabat-sahabat itu.

"Pas mengambil pendekatan mengeratkan lagi kerjasama dengan sahabat-sahabat Pakatan Rakyat walaupun dalam muktamar baru-baru ini ada suara-suara `kecil' yang mengharap kerjasama ini dikaji semula kerana kurang menguntungkan Pas sendiri.Kerjasama dengan PKR dan DAP sebenarnya lebih baik daripada kita berbaik dengan pihak yang langsung tidak boleh berkompromi dengan dasar dan matlamat perjuangan kita.Sebaliknya dengan Pakatan Rakyat masih kelihatan ada ruang untuk kita `bertahaluf siasi' dan mencari titik pertemuan yang serasi. Pas sekali lagi membuktikan yang mereka bukanlah parti ekstrim atau jumud dengan pendekatan yang tidak fleksibel.Selagi mana rakan-rakan PR menghormati dasar dan perjuangan kita selagi itulah gabungan ini wajar dipereratkan dan semangat solidariti itulah yang
ditunjukkan dalam kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh itu"..Sahabat saya itu mengangguk tanda faham dan bersetuju.

Ironisnya ramai orang di luar sana yang masih menganggap Pas itu sama seperti parti nasional yang lain.Akal mereka masih gagal menerima kenyataan yang ada parti yang benar-benar tulus dan ikhlas berjuang berpandukan Al-Quran dan Sunnah dalam memperjuangkan negara dan membela nasib rakyat!.Pimpinan Pas sama ada daripada Majlis Syura,Mursyidul Am,Presiden, pimpinan pusat hinggalah ke cawangan semuanya lahir dari proses tarbiyyah yang panjang dan berkesan.

Itulah uniknya Pas.Apabila matlamat parti dan jemaah menjadi keutamaan,kepentingan peribadi diketepikan.Tidak ada ruang untuk mana-mana pimpinan atau individu berjuang untuk kepentingan peribadi jika halal,haram,dosa dan pahala menjadi pedoman.Rakyat perlu terus dihidangkan dengan menu perjuangan yang sebegini agar iklim politik negara yang kian berjerubu dapat digantikan dengan sebuah kerajaan yang adil,amanah dan diberkati Allah.

Anwar rakamkan penghargaan kepada media


KUALA LUMPUR, 28 Ogos - Ketua Pembangkang yang baru dilantik, Dato' Seri Anwar Ibrahim merakam penghargaan kepada wartawan yang membuat liputan sepanjang tempoh kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh biarpun berita mengenai dirinya tidak disiarkan.

Selain dari tempoh kempen tersebut, Anwar menjelaskan bahawa wartawan juga sering membuat liputan dan menghadiri sidang media yang beliau adakan selepas dibebaskan dari penjara pada tahun 2004, namun sikap ketua mereka yang dipengaruhi oleh pemimpin Umno menyebabkan semua beritanya tidak disiarkan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada anda kerana saya tahu jauh di lubuk hati anda juga mahukan perubahan tetapi kerana ketua-ketua anda maka tiada langsung berita saya," kata beliau sambil tersenyum selepas mengakhiri sidang media di Lobi Parlimen pagi tadi.

Wartawan dari dalam dan luar negara berhimpun di Parlimen untuk menyaksikan detik bersejarah majlis mengangkat sumpah Anwar sebagai ahli parlimen Permatang Pauh.

Anwar selesai mengangkat sumpah pada jam 10.03 minit pagi tadi di depan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Anwar yang disingkirkan dari kerajaan dan Umno sepuluh tahun lalu kembali menjadi ahli Dewan Rakyat setelah memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Setelah memenangi kerusi parlimen tersebut beliau terus dilantik menjadi Ketua Pembangkang di parlimen.

Biarpun dilabelkan sebagai agen Yahudi dan anti Melayu, Anwar tetap menjadi pilihan pengundi Permatang Pauh yang mewakili rakyat Malaysia untuk membawa agenda perubahan yang menjadi moto beliau sebelum ini.

Sejak 1999, kerusi parlimen Permatang Pauh dipegang oleh Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum meletak jawatan pada 31 Julai lalu.

Anwar selesai angkat sumpah sebagai ahli Parlimen


KUALA LUMPUR, 28 Ogos - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim selesai mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh pada jam 10.03 minit pagi di depan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Selepas upacara angkat sumpah tersebut, Anwar menandatangani surat akujanji.
Pandikar kemudiannya mengalu-alukan Anwar sebagai ahli Parlimen yang baru dan mengumumkan kepada ahli Dewan Rakyat mengenai perlantikan Anwar sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.
Setelah Pandikar mengumumkan Anwar sebagai sebagai Ketua Pembangkang, ahli Parlimen Pakatan Rakyat menepuk meja tanda setuju.
Menteri yang hadir hanya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Mustapha Mohamed bersama-sama dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Datuk Zaid Ibrahim.
Manakala yang lain dihadiri oleh ahli Parlimen Pakatan Rakyat.
Terdahulu Anwar tiba di Lobi Parlimen untuk upacara mengangkat sumpah pada jam 9:50 pagi diiringi isterinya, Dato' Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah.
Turut sama mengiringi beliau adalah, Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Anwar hadir dengan memakai baju Melayu berwarna hitam.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .