Tiga
aktivis mahasiswa hari ini ditahan polis kerana cuba memasuki
Angkasapuri bagi bertemu dengan pengurusan RTM untuk menuntut ruang
berdebat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Siswa yang ditahan antaranya pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Mohd Safwan Anang (
bawah) di hadapan pintu masuk ke Kementerian Penerangan - yang menempatkan pejabat pengarah RTM.
Dua
lagi yang ditahan adalah Pengerusi Persatuan Bahasa Melayu Univrsiti
Malaya (PBMUM) Abdul Muqit Muhammad dan aktivis siswa Muhammad Akram
Ahmar.
Ketika dihubungi
Malaysiakini petang ini,
Setiasusaha SMM Ahmad Syukri Kamaruddin berkata insiden itu berlaku
selepas mereka berbincang dengan wakil kementerian dan pihak polis
berhubung tuntutan mereka.
Dalam pembicangan tersebut, Ahmad
Syukri berkata mereka bersetuju untuk bertemu dengan pengarah RTM pada
Isnin depan dan diminta bersurai kemudiaannya.
"Kemudian Safwan patah balik selepas mendapat maklumat pengarah RTM ada di dalam.
"Dia nak masuk bersama dua lagi, tetapi ditahan polis," katanya.
40 berarak dari masjid UMKumpulan mahassiwa itu diminta hadir semula ke Angkasapuri pada Isnin depan jam 9 pagi untuk mendapat maklum balas yang diminta.
Sementara
itu, Ahmad Syukri berkata, Safwan dan dua lagi kini ditahan kira-kira
4.30 petang dan dibawa ke Balai Polis Pantai tidak jauh dari situ.
Kumpulan mahasiswa kini beralih dari Angkasapuri ke hadapan balai itu untuk menuntut pembebasan rakan mereka.
Selepas
solat Jumaat tadi, kira-kira 40 orang mahasiswa berarak dari Masjid
Ar-Rahman dekat Universiti Malaya (UM) ke pintu masuk Angkasapuri.
Difahamkan kira-kira 30 anggota polis mengawal keadaan.
Awal
Mac lalu, Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) menghantar surat permohonan
kepada RTM meminta supaya menganjurkan debat dengan perdana menteri
berkaitan dasar pengajian tinggi.
Bagaimanapun selepas tiga
minggu permohonan mereka kepada Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan
Jabatan Penyiaran Malaysia Mohd Nadzir, tiada sebarang maklum balas
diberikan.
Sehubungan itu, Ahmad Syukri berkata mereka
menganjurkan "Occupy Angkasapuri" hari ini dengan memasang empat khemah
bagi berkampung dan menuntut jawapan daripada pengurusan RTM.
Sementara itu, Ahmad Syukri memberitahu
Malaysiakini malam ini bahawa ketiga-tiga mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 8.20 malam ini.
-M'kini