Ikuti Blog ini

Kebenaran sudah hampir, Nizar


Kali pertama namanya mucul di dalam sesuatu pilihanraya umum ialah menentang Rafidah Aziz pada pilihanraya umum tahun 2004. Pada PRU12 2008, diberi mandat oleh PAS bertanding di DUN Pasir Panjang dan menang. Dan baru-baru ini telah memenangi parlimen Bukit Gantang.


Bersekolah rendah di Sekolah Rendah Anglo-Chinese School (ACS) Kampar. Kemudian naik ke Sekolah Menengah Kebangsaan Anglo-Chinese School Kampar dan Sekolah Menengah Teknik Ipoh dan menyambung pengajian peringkat A-level dan ijazah di England.

Itulah anak muda yang dilahirkan pada 17 Mac 1957 yang lalu yang bernama Mohammad Nizar Jamaluddin. Beliau berkelulusan dari Aston University of Science & Technology di Birmingham, England di dalam bidang Mechanical Engineering.

Nizar mempunyai kebolehan bertutur dalam 4 bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, dan Bahasa Tamil.

Namanya melonjak naik semasa kemelut politik negeri Perak semasa peristiwa 'perampasan kuasa' pada 6 Februari 2009.

Semasa beliau menjadi Menteri Besar lebih kurang 11 bulan, namanya mulai meniti disetiap bibir kawan dan lawan. Kepimpinannya mulai terselah. Musuh politiknya mulai gerun dengan kehebatan beliau berpidato, menyelesaikan banyak status tanah, tidak kira warna kulit, kehebatannya mendapat tempat yang teristimewa dihati rakyat berbilang kaum di negeri Perak khasnya.

Kini beliau diuji, musuhnya memang ingin 'melenyap'kan terus beliau dari bumi Perak. Kehadirannya di dalam peta politik negeri Perak seolah menjadi duri dalam daging orang-orang UMNO. Beliau merupakan satu ikon perpaduan kaum selari dengan slogan PAS for All.

Ada juga kawan-kawan menyifatkan beliau seperti Pak Kadok. Menang sorak kampong tergadai (hilang kuasa).

Saya amat TIDAK bersetuju, kerana kemunculan beliau bukan diminta. Beliau hanyalah memikul amanah parti. Beliau memikul amanah rakyat. Rakyat memberi mandat kepada Pakatan Rakyat. Tiba-tiba, mandat yang diberi oleh rakyat disentap, direntap, di'cabul', di'rogol' dan dirampas tanpa belas kasihan, tanpa rasa hormat kepada rakyat dan demokrasi oleh UMNO/BN.

Beliau yang begitu komited dengan PAS tidak akan sesekali berundur mengangkat bendera putih. Beliau akan menggunakan setiap 'avenue' yang ada untuk mengambil balik hak rakyat yang dirampas. Ini satu amanah Parti.

Masa kearah itu sudah hampir. Kenyataan serta kebenaran sudah dekat. Sikit saja lagi. InsyaAllah pertolongan dari langit akan dinikmati dan akan kembali memegang serta memikul amanah rakyat.


MENTERI BESAR PERAK
AHLI PARLIMEN
BUKIT GANTANG


Enggan saman isu Altantuya, Najib rahsiakan sesuatu?

KUALA LUMPUR - Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali menyokong cadangan Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar agar Majlis Raja-raja menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi memulihkan nama baik negara.


Kata Mustafa Ali, cadangan itu wajar kerana nama negara kini kian tercemar akibat laporan media antarabangsa yang melibatkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.


Walaupun sebelum ini terdapat desakan oleh pelbagai pihak agar Najib atau kerajaan Malaysia menyaman akhbar-akhbar asing yang membuat laporan itu.


Namun kata Mustafa, Najib atau kerajaan masih terus berdiam diri, dan hanya membuat penafian sahaja.


"Penubuhan suruhanjaya ini wajar kerana sebelum naik jadi PM lagi, Najib memiliki 'bagage' yang sarat dengan isu-isu yang dikaitkan dengannya," kata Mustafa ketika temui di Pejabat Agung PAS baru-baru ini.


Beliau juga melihat, semacam ada kebimbangan atau rahsia yang disimpan apabila Najib enggan menyaman akhbar asing berhubung tuduhan ke atas Perdana Menteri itu.


Malah beliau juga melahirkan persoalan samada ada perkara yang disembunyikan agar tidak terdedah berikutan keenganan Najib atau kerajaan membersihkan namanya dengan landasan undang-undang.


"Najib atau kerajaan boleh memanggil kedutaan negara-negara yang mana akhbar mereka melaporkan isu tersebut untuk meminta kerjasama memberi penjelasan," katanya.


Namun hingga kini, tindakan tersebut juga gagal dilakukan Najib hingga pelbagai persepsi atau spekulasi yang timbul kerana kegagalan itu.


Terdahulu, Mahfuz bersama Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub telah menyerahkan memorandum kepada Majlis Raja-raja Melayu segera menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja bagi memulihkan nama baik negara.


Kata Mahfuz, penubuhan Suruhanjaya DiRaja itu perlu ditubuhkan setelah nama negara kini kian tercemar akibat laporan media antarabangsa yang melibatkan Perdana Menteri.


Beliau menegaskan isu pembunuhan Altantuya Shaariibu dan pembelian kapal selam yang dikaitkan oleh media antarabangsa dengan Najib menyebabkan nama baik negara kini tercemar.

Pakatan Rakyat bantah larangan pondok panas



PAKATAN Rakyat sebulat suara menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar menarik balik keputusannya semalam yang melarang parti-parti politik daripada mengadakan pondok panas dan memancing undi pada hari mengundi, lapor Ariffuddin Ishak untuk Malaysiakini.

Malah Pakatan Rakyat juga sebulat suara menolak keputusan suruhanjaya itu semalam kerana beranggapan alasan-alasan yang diberikan adalah tidak munasabah.

"Kita mahu agar SPR tidak melaksanakan larangan yang mereka putuskan itu dan kita mahu sistem pilihan raya dilaksanakan seperti pilihan raya sebelum ini," kata Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa berkata, Pakatan Rakyat juga mahu menemui semula SPR Khamis ini - buat kali kedua - bagi membincangkan mengenai larangan tersebut.

"SPR sebelum ini menyatakan bahawa parti-parti politik ini ialah pelanggan mereka, jadi kami sebagai pelanggan, mungkin akan pergi kedai mereka semula.

"Kami cadangkan untuk berjumpa dengan SPR Khamis ini untuk jelaskan semula dan untuk lihat apa sebenarnya perkara-perkara yang dirasakan (SPR) boleh menimbulkan masalah... kami akan berikan hujah-hujah," kata beliau selepas mengadakan mesyuarat bagi menentukan pendirian Pakatan Rakyat berhubung larangan tersebut di sini hari ini.

Semalam SPR memutuskan supaya semua parti politik tidak lagi dibenarkan mendirikan pondok panas selain dilarang memancing undi pada hari mengundi. Langkah ini akan dikuatkuasakan mulai pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bulan depan.

Dalam pada itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa berkata, larangan yang dibuat oleh SPR itu bercanggah dan tidak mengikut undang-undang pilihan raya.

"Kami dah teliti dari segi undang-undang dan di sini kami menyatakan untuk menolak pendirian yang diambil oleh SPR. Ini satu pendirian yang tidak munasabah dan bagi kita ia tidak mengikut undang-undang pilihan raya itu sendiri," katanya.

Malah jelas Sivarasa, keputusan yang dibuat oleh SPR itu juga bercanggah dengan pendirian suruhanjaya sebelum ini.

"Keputusan ini bercanggah dengan pendirian mereka sendiri yang dibuat dulu pada pilihan raya umum 2004. Undang-undang pilihan raya membenarkan parti politik mendirikan pondok panas mengikut Seksyen 24 B (2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

Sivarasa juga berkata menerusi surat yang dikeluarkan oleh SPR pada 19 Mac 2004, jelas menyatakan bahawa semua parti yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya dibenarkan menubuh atau menyelenggara pejabat atau pondok parti di luar kawasan sempadan 50 meter dari tempat mengundi.

"Jadi jelaslah bahawa tindakan mereka melarang untuk adakan pondok panas bercanggah dengan tafsiran mereka sendiri yang dibuat dahulu," katanya.

Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor), Dr. Siti Maria Mahmud (PAS-Kota Raja) dan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang).

DUN Penanti: Umno putuskan esok


DUN Penanti: Umno putuskan esok



PETALING JAYA: Keputusan sama ada Umno akan meletakkan calonnya bertanding pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bulan depan dijangka diputuskan esok.


Biro Politik Umno bermesyuarat petang esok.


Mesyuarat tersebut dijadual dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak di Putrajaya pukul 5 petang.


Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Rashid Shirlin ketika dihubungi mStar Online mengesahkan mengenai perkara tersebut.


“Ya, esok Biro Politik akan bermesyuarat bagi menentukan sama ada BN (Barisan Nasional) yang diwakili Umno akan bertanding atau tidak dalam pilihan raya kecil Penanti,” katanya.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon bagi kerusi DUN Penanti ialah 23 Mei ini dan jika ada pertandingan, hari pengundian akan diadakan pada 31 Mei.




Isu Kerajaan Nizar : Pakatan Rakyat Tak Boikot Sidang DUN



Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Nga Kor Ming hari ini menafikan sekeras-kerasnya beberapa khabar angin kononnya beliau dan rakan-rakan dari Pakatan Rakyat (PR) akan memboikot persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal diadakan pada 7 Mei depan.

Setiausaha DAP Perak itu juga menafikan ada memberikan kenyataan bahawa akan mengambil tindakan memboikot persidangan itu dalam sebuah portal terkenal.

“Kenyataan yang ditulis itu adalah salah dan tidak benar sama sekali, saya menafikan memberikan kenyataan demikian.

“Saya tidak boleh mengambil sebarang tindakan secara peribadi. PR hanya akan memberikan jawapan berkaitan pendirian saya dan PR selepas perbincangan diadakan.

“Kami akan mengadakan perbincangan itu pada 30 April. Mesyuarat itu akan dihadiri oleh kesemua wakil dan ADUN dari komponen PR iaitu dari PAD, DAP dan Keadilan,” katanya semalam.

Menurutnya, PR juga akan menunggu arahan yang akan dikeluarkan oleh Speaker DUN, V Sivakumar sebelum mengambil sebarang keputusan lanjut.

“Tindakan yang diambil oleh Menteri Besar Barisan Nasional (BN). Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk mengadakan sidang pada 7 Mei itu seolah-olah beliau telah membelakangkan keputusan mahkamah yang bakal diumumkan pada awal Mei hadapan.

“Saya amat berharap agar mahkamah tidak disalahgunakan dan dijadikan forum untuk melanjutkan lagi pergolakan politik di Perak.

“Pihak yang paling layak untuk menentukan masa hadapan politik di negeri ini bukanya peguam atau hakim tetapi adalah rakyat.

“Saya harap agar Zambry akan faham dengan fakta ini,” katanya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Keshvinder Singh Kasmir Singh tidak mengiktiraf persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditetapkan pada 7 Mei ini berikutan kedudukan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir masih dalam penelitian mahkamah.

Katanya, dengan kedudukan menteri besar yang belum ditentukan itu lagi menyebabkan ADUN PR tidak mengiktiraf dan persidangan itu akan mejadi lebih kontroversi.

“Dr. Zambry sepatutnya menunggu keputusan yang dibuat oleh mahkamah terlebih dahulu sebelum menetapkan tarikh persidangan. Ini kerana, kita telah failkan status beliau sebagai menteri besar,” katanya.

Beliau berkata, sidang DUN yang telah dirancang kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak diiktiraf selagi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur belum mengeluarkan sebarang keputusan rasmi bagi menentukan siapa yang layak menjadi kerajaan sah di Perak.

Menurutnya, mereka tetap tidak mengiktiraf persidangan itu, tetapi pada masa sama belum membuat keputusan untuk menghadiri atau tidak sidang itu.

“Ia terpulang kepada hasil mesyuarat kepimpinan yang akan dijalankan minggu ini untuk membuat keputusan sama ada wakil rakyat PR akan menghadiri sidang DUN atau tidak.

“Mesyuarat penentuan yang akan dijalankan pada bila-bila masa itu akan membolehkan kepimpinan berbincang untuk hadir atau tidak, lebih-lebih lagi kes mahkamah belum selesai,” katanya.

Keshvinder Singh berkata, kalau mencapai kata sepakat tidak perlu hadir, mereka tidak akan hadir.


PENANTI : SELAMAT BERJUANG – PERTAHANKAN MENJANA KEMENANGAN


PR SELAMAT BERJUANG

N.12 PENANTI: PAKATAN RAKYAT – PKR, DAP & PAS
SELAMAT BERJUANG – PERTAHANKAN MENJANA KEMENANGAN
GANDAKAN UNDI MAJORITI. INSHAALLAH.

Berkelah bermalam di pinggir kota
Bonda Tun Lah Datuk Hajjah Kailan
Bismillah, Salam Sejahtera pembuka kata
Mengiringi PRK N.12 calun PR dari Keadilan

Permatang Pauh bersawah padi
Padi menjadi di tuai dipunggah
Debaran PRK N.12 Penanti dan menjadi
Muslihat SPRM dan SPR berjaya di sanggah.

Proton Saga, Gen2, Waja dan Wira
Kereta Nasional, aksiden jadi rangka
Mohamad Fairus Khairudin andalah wira
Bukan pembelot tidak mendurhaka.

Lautan dalam samudera di Sunda
Tangkapan laut dalam, pukat tunda
Perkhidmatan anda sejarah di tinda
Inshaallah di depan peluang berganda.

Tapak kerajang berlantai buloh
Tempat menyimpan raga berangan
Anda di sepak terajang, kesel Sg Buloh
Mahalnya harga mutiara perjuangan

Datin Seri Azizah menyalin lampin
Cucu sulung bergandang simen
YB Datuk Seri Ibrahim icon pemimpin
AP Pmtg Pauh, K. Pembangkang Parlimen.

Padi di tuai di bakarlah jerami
Api membara melarat gayat
YAB Tuan Lim Guan Eng KM kami
Memikul amanah melindungi rakyat

Sayor kailan jeruk kemaman
Hidangan marhaen anak menantu
YB Hamdan PSJ PAS Us Salleh Man
Bersama anak buah, jihad membantu

Burung wak-wak mematok padi
Padi Mat candu masak tiga penjuru
Tok Guru Nik Aziz, Tok Guru Abdul Hadi
N.12 Penanti pohon restu, berkat Tok Guru.

Gading gaharu, kas-kas air gamat
Di sapu di balut penyemboh sendi
Bergandinglah bahu, fokaskan matlamat
Pertahankan kemenangan, gandakan undi.

Kediaman resmi MB Seri Mentalun
Tempat pertemuan jamuan perdana
Walaupun UM No-BN tak letak calun
Di letak calun boneka di bagi dana.

Tahan lokah terkena lokan
Ikan pelaga anak seluang
Adakah sesiapa politik cari makan
Nak keluar PKR kunonnya tersasar juang?

Bikin serawa bersama pengat
Jamu penceramah di siang hari
Pemimpin wibawa, rakyat bersemangat
Bersatu hadapi, nyah UM No Najib P. Menteri

Kilang industri IKS di simpang Kuala
Peluang bekerja, taukeh jadi kaya
Pemimpin DAP, PAS, PKR jadi idola
Rakyat bersatu tawan Putrajaya

Pohon meranti berbuah keranji
Pokok ditebang di buat titi
Pengundi N.12 Penanti, kami berjanji
Memberi kemenangan 4,850 majoriti.

Terbang tinggi di langit mengawan
Bertembong langgar jatuh beralun
Kepangkuan PDRM, SPRM, SPR badan Awam
Jangan ganggu majlis permashoran calun

Tiup kelempong meniup belon
Acara majlis mencuit hati
Dr Mansor Othman di angkat calun
Mewakili PR di PRK N.12 Penanti.

Bengkang betek pengat sagu
Gulai Mamak, nasi beriani itik serati
Kemenangan Dr 31 Mei jawatan menunggu
Pertimbangan YAB KM dilantek TKM 1 ganti.

Nukilan selepas Asar: Ibn Abdullah Al Awab.



Siapakah Yang Akan Tentukan Agenda Mesyauarat Sidang DUN Perak 7 Mei?



Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak akan diadakan pada 7 Mei 2009. Satu tarikh terdesak, yang ditetapkan oleh DS Zambry tanpa persetujuan atau pengetahuan Speaker Dun V Sivakumar.

DS Zambry AK, tidak mempunyai pilihan, selain wajib mengadakan sidang DUN dengan segera kerana tempoh waktu mengenapkan enam bulan daripada tarikh sidang Dun terakhir diadakan hanya tinggal beberapa hari lagi.

Pembubaran DUN merupakan perkara yang paling ditakuti Umno/BN.

Beberapa kes mahkamah juga masih tergantung. Namun adalah dipercayai, ia akan diselesaika sebelum persidangan DUN itu. Kes saman DS Mohammad Nizar Jamaluddin yang mempertikaikan perlantikan Zambry sebagai menteri besar adalah antara kes yang tersangat relevan.

Jika perlantikan Zambry ini benar atau mengikut perlembagaan negeri, mengapa pula Zambry memohon mahkamah membuat periystiharan bahawa beliau adalah Menteri Besar yang sah?

Pada 7 Mei nanti, adalah dijangkakan bahawa satu “keributan” akan berlaku. Speaker Sivakumar masih berkuasa dalam DUN. Beliaulah yang akan menentukan segala perjalanan dalam DUN. Tentunya perkara asas yang menjadi persoalan ramai ialah kedudukan kerusi anggota DUN.

Persoalannya apakah susun atur kedudukan Adun ini sudah diatur semula. Kalau sudah dimaklumkan dan disusun semula kedudukannya, maka ia atas arahan siapa? Yang pasti bukan arahan speaker .

Pada persidangan DUN 7hb Mei nanti, tentu akan berlaku keributan terutama perebutan kerusi tempat duduk adun-adun. Zambry tentunya mahu menduduki kerusi pertama yang diduduki Nizar. Namun Nizar tentunya tidak akan berganjak kerana secara perlembagaannya beliau belum meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

Mahu tidak mahu semuanya akan terpulang pada speaker. Inilah antara perkara yang akan menarik perhatian ramai. Selepas hal ehwal kedudukan kerusi ini selesai, siapa pula yang akan dijemput oleh speaker untuk menyampaikan watikah titah ucapan kepada Paduka Seri Sultan Perak yang akan bertitah merasmikan persidangan.

Apakah agenda persidangan ? Siapa yang akan menetapkan agendanya. Tentunya dengan kelulusan speaker ?

Yang pastinya, dengan segala apa jua dayanya, Zambry , Umno dan BN akan berusaha menghalang apa jua kuasa yang boleh diperintahkan oleh speaker.



Pemilihan beliau sebagai calon adalah tepat - DSAI


SOKONGAN… Calon PKR-Pakatan, Mansor Othman disambut oleh bekas penyandang kerusi DUN Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin (kanan) selepas beliau diumumkan calon bahagian itu malam tadi.

Sah! Mansor calon PKR pilihan raya kecil DUN Penanti



Seperti dalam tajuk posting saya semalam… Sebab itu saya letak tajuk besar kerana kebiasaan sumber yang datang dari SBM hampir 90 peratus tepat…


PETALING JAYA: Sah! Sebagaimana diramalkan sebelum ini bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mansor Othman akan diturunkan sebagai calon bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti mewakili Pakatan Rakyat.


Mansor merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang.



anwar ibrahim dr mansor othman pkr candidate for penanti state seat by election 280409 01Ia diumumkan oleh Anwar yang juga Penasihat PKR di Yayasan Aman, Penanti dalam bahagian Permatang Pauh kira-kira pukul 10 malam tadi.


Menurut Anwar, Mansor akan dicalonkan untuk mengisi kekosongan kerusi Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang jika menang pilihan raya kecil ini.


Pengumuman mengenainya dibuat Anwar di hadapan kira-kira 1,000 penyokong.


Anwar berkata, pemilihan beliau sebagai calon adalah tepat berdasarkan latar belakang pendidikan yang tinggi, kekananannya dalam parti, seorang pemimpin yang matang dan kemampuannya menerajui perjuangan parti di negeri ini.


Mansor, 56, merupakan bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dengan memiliki tiga ijazah sarjana.


Bekas Prof Madya di Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Sains Malaysia (USM) itu memegang Sarjana Sains Kemasyarakatan dari USM serta Sarjana Sastera dan Sarjana Falsafah (M.Phil) dari University of Yale.


Anwar berkata, lewat petang semalam beliau telah mengadakan pertemuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang turut dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.


“Mereka telah dimaklumkan mengenai cadangan calon Keadilan dan memberi perakuan untuk sama-sama membantu kempen PRK DUN Penanti kelak,” kata dalam blog beliau.


Beliau merupakan antara pesaing utama untuk menjadi calon PKR pada pilihan raya kecil berkenaan.


Difahamkan, Mansor menjadi pilihan utama memandangkan beliau tidak dicalonkan mewakili PKR sebagai senator oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam.


Mansor pernah bertanding di peringkat DUN ketika pilihan raya umum Mac 2008.


Pilihan raya kecil Penanti adalah pilihan raya kecil keenam yang diadakan selepas pilihan raya umum pada 8 Mac tahun lepas.


Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mei sebagai hari penamaan calon dan 31 Mei sebagai tarikh mengundi bagi pilihan raya kecil Penanti.


Kerusi Penanti kosong apabila Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I Mohammad Fairus Khairuddin melepaskan jawatannya.


Pada Mac 2008, Fairus menewaskan calon BN.




Pelantikan Hishamudin - UMNO Terengganu Akan Berpecah Tiga

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita4/muhyidin.JPGKUALA TERENGGANU – Pelantikan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu baru tidak akan menyatukan semula UMNO Terengganu.

Bahkan, UMNO Terengganu akan mengalami perpecahan lebih serius dan teruk dengan pelantikan tersebut.

Ketua Penerangan PAS Terengganu
Hj Muhyidin Abd Rashid (gambar) berkata berkata demikian apabila diminta mengulas perkara berkenaan disini, semalam.

Menurutnya, UMNO Terengganu akan berpecah daripada dua tiga kumpulan kerana tidak semua anggota parti itu bersetuju dan menyokong pemilihan Hishammuddin menggantikan tempat Dato’ Ahmad Said.


“Pelantikan Hishamudin, yang tidak mempunyai pengalaman sebagai pengerusi perhubungan negeri akan mendedahkan UMNO Terengganu kepada tiga golongan,

“Sudah terdengar desas-desus dikalangan penyokong UMNO peringkat bahawan yang tidak berpuas hati (dengan lantikan Hishamudin), ini akan mewujudkan kumpulan baru (yang tidak berpuas hati).

Katanya, berdasarkan sejarah, kewujudan kumpulan yang menyokong tokoh tertentu dalam UMNO sudah berlaku sekian lama.

Sebelum ini, katanya, pada akhir tahun 90an wujud kumpulan yang menyokong bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan kumpulan menyokong Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor.

“Pada masa yang sama wujud kumpulan yang meyokong Dato’ Abu Bakar Daud dan kumpulan yang menyokong Dato’ Dr.Tengku Mahmud Mansor,”ujarnya.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, pemilihan Hishammuddin juga sebenarnya mengesahkan kepada umum bahawa Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu dan Datuk Seri Idris Jusoh tidak mampu bekerjasama.

Katanya, keadaan itu jelas menunjukkan keadaan UMNO Terengganu sukar untuk pulih dan bersatu seperti sediakala kerana masing-masing tidak dapat menerima antara satu sama lain.

Apabila ditanya, adakah pelantikan Hishamudin akan memberi kesan kepada pengaruh PAS, beliau berkata, ia tidak akan menjejaskan sokongan rakyat yang semakin meningkat kepada PAS.

“Kemenangan PAS pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu pada bulan Januari lalu adalah manifestasi rakyat Terengganu yang dapat membezakan antara pemerintahan PAS dengan pemerintahan UMNO/BN,”tambahnya.




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .